Bab 27

Romance Completed 79607

SEBAIK saja kereta yang dipandu Azfar berhenti betul-betul di depannya, Zenia terus masuk ke dalam. Senyuman manis Azfar menyapa pandangannya. Lalu dia membalas senyuman itu.

“Lama ke tunggu? Sorry lambat.” Ucap Azfar.

“Eh tak apa.” Zenia menggeleng.

“So... kita pergi sekarang?” Zenia mengangguk. Azfar melepaskan brek tangan dan mula memandu.

Tak sangka. Dulu bukan main kekok tapi sekarang elok pula Zenia boleh bersembang dengan Azfar. Mungkin sebab sikap lelaki itu yang mudah mesra dan suka bercerita menyebabkan Zenia cepat selesa dengannya. Memang dulu dia belum nampak semua itu tapi sekarang apabila sudah duduk berborak dalam satu kereta baru Zenia tahu Azfar itu bagaimana orangnya. Tak silap dia memutuskan untuk menolong lelaki itu.

“Yang tu ke?” Azfar menuding jari ke arah bangunan tinggi berwarna putih di seberang jalan.

“Yup.” Zenia mengangguk laju.

“Dah sampai.” Azfar menarik brek tangan sesudah keretanya berhenti betul-betul dalam petak parkir.

“Awak teman saya masuk dalam boleh kan? Saya tak tahu nak mula dari mana.” Pintanya sambil menoleh ke arah Zenia.

“Okey.” Zenia bersetuju tanpa berfikir panjang. Dia menanggalkan tali pinggang keledar lalu turun dari kereta. Ketika itu juga telefon bimbitnya berdering. Mendengar nadanya, Zenia tahu Hayyan yang menelefon. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg. “Helo.” Ceria Zenia menyapa.

“Helo sayang. Kat mana tu?”

“Kat of... errr... kat luar. Kan dah cakap semalam nak keluar dengan Eton hari ni.” Jawab Zenia. Tangan kiri mengetuk dahi sendiri kerana hampir-hampir tersasul tadi. Tanpa sedar Azfar sedang memerhatikan dari sisi kereta.

“Ohh...”

“Kenapa?” Tanya Zenia. Sekadar mahu mengalih tumpuan Hayyan soal di mana dia sedang berada ketika itu.

“Saja. Rindu.” Ringkas Hayyan menjawab.

Zenia tertawa kecil. Terasa cuitan di bahunya, dia menoleh. Azfar memberi isyarat untuk masuk ke dalam dahulu. Zenia mengangguk sebagai balasan. Lelaki itu segera berlalu.

“Awak, kejap lagi kita borak lagi. Saya ada kerja nak buat ni.” Ujar Zenia sebagai tanda ingin memutuskan talian. Hayyan mengeluh panjang. Zenia mengetap bibir. Perasaan bersalah membelit hatinya.

“Okey. Bye.”

“Bye.” Talian diputuskan. Zenia menghela nafas panjang sebelum mula melangkah menuju ke arah pintu masuk.

SEMENTARA MENUNGGU Azfar berurusan dengan Tuan Sabri, Zenia menanti di sofa di ruangan menunggu. Fokus matanya tidak lari dari telefon bimbit. Semua SMS yang dihantar Hayyan sejak sejam yang lalu dibaca satu per satu sebelum membuahkan senyuman di bibirnya.

Dah balik nanti beritahu tau?

Okey. Janganlah risau.

Risaulah. Takut buah hati dipandang orang lain. Awak tu dahlah comel.

Werkkk. :P

Haha. Nanti dah balik beritahu. Ingat tu. Ini serius.

Azfar muncul sekali gus mengalih tumpuan Zenia. Dia bangkit berdiri. Faham dengan isyarat mata Azfar. Mereka beriringan keluar dari ruangan pejabat menuju ke tempat parkir kereta.

“Terima kasih banyak-banyak Nia. Kalau awak tak tolong, saya dah tak tahu nak mintak tolong siapa lagi.” Ucap Azfar sambil tersenyum manis. Ada nada lega dalam suaranya.

Zenia turut mengukir senyum.

“Tak ada apalah. Bukan tolong banyak sangat pun.” Balasnya.

“Tak banyak awak kata? Ni siap temankan saya datang sini lagi. Tak tahu dah saya nak cakap apa.” Azfar tergelenggeleng. Kagum benar bunyinya.

Zenia tergelak. Terpegun seketika Azfar mendengar tawanya itu. Renungannya lembut ke wajah Zenia. Zenia yang perasan dengan renungan Azfar itu pantas melarikan wajah. Tiba-tiba pula rasa semacam.

“Hmm... kalau saya ajak awak pergi minum dulu, sudi tak?” Tanya Azfar penuh hati-hati.

“Hmm...” Zenia berfikir-fikir. Hari tu dah tolak sekali. Takkan nak tolak sekali lagi.

“Please... anggap aje ni balasan saya atas pertolongan awak.” Pancing Azfar lagi. Wajahnya penuh mengharap.

Zenia pandang muka Azfar. Tidak semena-mena dia berasa tidak sampai hati untuk menolak. Azfar nampak ikhlas sekali. Lalu dia mengangguk sebagai tanda setuju. Azfar tersenyum senang hati.

SIULAN KAMIL mengalih tumpuan Hayyan yang sedang asyik termenung. Seronok benar nampak rakannya itu. Buka almari keluarkan baju, sembur perfume satu botol. Kemas-kemas rambut depan cermin... sah nak keluar dengan awek!

“Kau tak keluar ke Riz?” Tanya Kamil sambil menoleh sekilas ke arah Hayyan.

“Keluar ke mana?” Hayyan buat muka bingung.

“Habis selama ni kau keluar ke mana?” Balas Kamil menyindir.

Hayyan menghembus nafas panjang. Faham maksud soalan Kamil.

“Nia busy buat assignment.” Jawabnya perlahan.

“Ohh... patutlah nampak macam forever alone aje.” Berdekah ketawa Kamil memenuhi ruang bilik. Bertambah kuat apabila Hayyan melempar bantal tepat ke mukanya.

Hayyan baring di katil dengan tangan disilangkan di belakang kepala. Kamil duduk di sebelahnya.

“Aku ada benda nak cakap dengan kau ni. Tapi aku harap kau tak marahlah. Aku tak ada niat pun nak...”

“Apa benda kau cakap ni? Straight to the point aje tak boleh ke?” Berdebar-debar pula dengar mukadimah panjang Kamil itu. Hayyan bangkit daripada baringan lalu membetulkan duduknya menghadap Kamil.

Kamil diam mengambil nafas untuk seketika.

“Macam ni... semalam aku... aku...” “Kau apa?” Hayyan jadi hilang sabar.

“Tapi kau janji jangan marah aku!”

“Cakaplah dulu apa benda kau nak cakap tu.”

“Okey. Macam ni... semalam aku ternampak Zenia keluar makan dengan...”

Hayyan mula rasa lain macam. Berdebar-debar jantungnya menunggu sambungan ayat Kamil itu.

“... dengan Azfar.” Sambung Kamil. Diperhati wajah Hayyan. Tak ada riak yang menggambarkan ketidakpuasan hatinya. Riak wajah itu tenang. Setenang-tenangnya. Tapi dalam hati entah siapalah yang tahu.

Kamil tepuk bahu Hayyan.

“Aku tak ada niat nak burukkan Nia. Aku tahu kau lebih kenal dia daripada aku. Cuma... aku tak naklah nanti jadi apa-apa yang tak sepatutnya. Kau kena berhati-hati dari sekarang.” Nasihatnya ikhlas.

“Kau salah orang tak?” Perlahan Hayyan bertanya. Riak wajahnya masih lagi sama. Kamil angkat bahu.

“Mata aku ni tak rabun. Apatah lagi buta. Lagipun duadua aku kenal. Mustahil silap orang.” Jawabnya selamba.

Hayyan terdiam. Tiada balasan daripadanya walaupun sepatah. Kamil bangkit dari katilnya.

“Kau tanyalah Nia elok-elok. Aku pun tak nak buat kesimpulan apa-apa sebab kadang-kadang apa yang kita tengok tak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.” Itu nasihatnya sebelum terus berlalu keluar dari bilik.

“Saya ada hal... dah janji dengan Eton esok nak keluar dengan dia. Sorry eh?”

Kata-kata Zenia tempoh hari bagai kembali terngiangngiang di telinga Hayyan. Janji dengan Eton tapi keluar dengan Azfar? Zenia... apa semua ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience