"Macam mana kau hari ini, okay? " Addy bersuara perlahan. Disandar santai tubuhnya ke belakang kerusi.
Akif dan Daniel yang turut berada di sebelah sisi dan hujung katil diam. Tunak merenung Benjamin yang kelihatannya sudah sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan tempoh hari.
Masing-masing antara mereka memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memanjangkan umur sahabat mereka. Masih teringat lagi saat ketiga mereka diberitakan tentang kemalangan yang menimpa Benjamin.
Addy yang ketika itu berada di Ibu pejabat polis Bukit Aman sedang bertugas, Akif yang ketika itu sedang beransur pulang daripada mesyuarat penting dan Daniel yang sedang membentangkan kertas kerja. Mengigil seluruh tubuh mereka ketika sampai di hospital yang menempatkan Benjamin..
Berlari kencang mereka meluru ke arah Dato Razman dan Datin Rida yang ketika itu mundar mandir ke hulu ke hilir di depan dewan bedah. Sebagai orang lelaki, jatuh juga air mata yang kononnya cuba ditahan sebaik mungkin bila mengenangkan sahabat sejati sedang bertarung nyawa di dalam dewan bedah.
Luluh hati mereka saat diberitahu kalau keadaan Benjamin saat dibawa ke hospital berada dalam keadaan kritikal. Ketiganya terduduk lemah di bangku ruang menunggu.
Akif sudah menangis menumbuk dinding hospital manakala Daniel sudah menunduk tersandar di dinding. Masing-masing mengalirkan air mata. Terbayang segala kenangan antara mereka bersama.
Sekilas, teringat segala kesalahan yang dilakukan terhadap Benjamin. Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran mereka adalah hanya mahu Benjamin selamat. Dipanjatkan doa kepada Maha Esa supaya memberikan peluang dan ruang kepada Benjamin untuk terus hidup.
Aulia pula dikatakan sampai sekarang masih belum juga sedarkan diri. Entah bagaimana reaksi si gadis jika mengetahui bahawa keadaan tunang tersayang. Jika berlaku sesuatu terhadap Benjamin, sudah tentu Aulia yang paling ketara sekali akan merasai dan meratapi. Kerana dia tahu betapa cinta, sayang dan berharganya Benjamin terhadap gadis itu.
Lima jam berada dalam dewan pembedahan, akhirnya sekujur tubuh Benjamin ditolak keluar. Masing-masing bingkas berdiri menghampiri sekujur tubuh yang terbaring kaku dengan bantuan mesin hayat diberikan.
Untuk kesekian kalinya, jatuh lagi air mata jantan mereka. Masing-masing sudah teresak sesama sendiri. Daddy dan mummy usah dikata. Lencun dengan air mata sedari awal tadi. Seketika, mereka mulai disajikan dengan harapan bila diberitahu kalau Benjamin berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan yang berlangsung lima jam.
Sujud syukur dilakukan. Dipanjat rasa kesyukuran yang tidak terhingga. Digenggam tangan Benjamin yang kaku di atas katil pesakit. Memberi kata-kata semangat sebelum Benjamin ditolak ke dalam wad khas.
"Jangan risau, aku okay dah. Entah bila boleh keluar pun tak tahu lah. Tanya doktor, dia cakap sehari dua lagi. Bosan asyik terperuk dalam wad ni. " rungut Benjamin malas.
Bebola mata bergerak merenung tiga sahabatnya yang sedari tadi diam tidak bersuara. Dia lihat ketiag mereka seolah tenggelam dalam lamunan panjang. Bila dia bersuara barulah ketiga seakan kembali k alam realiti.
Serentak, ketiga sahabat tersebut melepaskan tawa.
"Bosan lagi ke? Aku tengok bukan main cantik nurse yang asyik keluar masuk dalam bilik wad kau ni.. " tukas Akif selamba.
Benjamin mencebikkan bibir.
"Alah, diorang tu aku tengok keluar masuk bilik aku pun buat benda yang sama je. Cuma adalah seorang dua yang macam gedik-gedik sikit. Tapi aku buat tak tahu jelah. Bukan luak pun.. " balas Benjamin beriak biasa.
"Eleh, yaka kau buat tak tahu je? Bukan boleh percaya. Depan kitaorang cakap lain, belakang kita orang kau layan. " selar Daniel pula. Sengaja ingin mencipta suasana yang seakan sedih di antara mereka.
"Betul lah. Korang ni percaya cakap aku boleh tak? Nak layan apa lagi. Tunang aku sikit punya lawa. Tak ada makna nak layan perempuan lain lah."
Sekali lagi terasa bergema wad kelas satu itu dengan tawa mereka. Wajah cemberut Benjamin terlihat lucu di mata mereka.
"Nasib baik kau sedar Ben, tidak aku ingat nak rembat tunang kau kalau kau masih tak nak bangun. " provok Akif pula. Sengaja mahu mengusik kasar dengan Benjamin.
Benjamin menoleh deras ke sisi. Dilayangkan penumbuk besar miliknya ke arah Akif. Kecil besar kecil besar memandang Akif yang cuba mengawal tawa.
"Whoa! Kalau tunang orang lain aku tak kisah kalau kau nak rembat, tapi kalau tunang aku, sorry lah. Memang kau kena langkah mayat aku dulu.. " ujar Benjamin turut bergurau kasar membalas usikan Akif Hafeez.
Akif melangkah merapati Benjamin yang menyandar di kepala katil. Dilabuhkan punggungnya di depan Benjamin. Benjamin diam. Menanti tindakan seterusnya daripada Akif.
"Terima kasih sebab bertahan dan sedar semula, Ben! " ucap Akif bergetar. Dipaut tubuh Benjamin rapat.
Kalau sebelum ini dia tidak sempat mengucapkan kata-kata tersebut, tapi hari ini izinkan dia menjadi clingy. Mengucapkan luahan hati tersebut yang sekian lama tersimpan di lubuk hatinya paling dalam.
Benjamin terkedu. Namun, perlahan-lahan dibalas jua pelukan Akif merangkap sepupu dan juga sahabatnya. Walaupun ada kisah yang tidak enak antara mereka sebelum ini, namun jujur dia sudah lama memaafkan kesilapan Akif. Kerana baginya, tidak guna berdendam. Lagipula, dia faham perasaan Akif.
Dikerling sekilas ke arah Addy dan Daniel yang berpura memandang ke arah lain untuk mengelap air mata yang mengalir. Tidak cukup dengan itu, masing-masing mengeluarkan deheman seolah diserang sakit tekak tiba-tiba.
Akif meleraikan pelukan.
"Maaf lah, aku emosi sikit hari ni. " tutur Akif sambil tertawa kekok. Air mata di tubir mata disapu kasar.
Benjamin hanya diam. Sebuah senyuman diukirkan. Terasa betapa bertuah dirinya dikelilingi dengan sahabat, keluarga dan pasangan yang sangat sayang dan peduli akan dirinya.
"Aku pun nak ucapkan terima kasih pada korang semua sebab ada di saat aku lemah. Terima kasih atas doa korang untuk aku. " ucap Benjamin pula seraya memandang ketiga-tiga sahabatnya.
Ketiga saling memberi anggukan. Senyuman manis dilayangkan. Bagi mereka, cukuplah sekali sahaja mereka diuji dengan perkara yang hampir merentap denyut jantung mereka yang berdetak normal sebelum ini.
Mereka sudah tidak sanggup lagi. Biarlah apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada diri mereka untuk lebih menghargai antara satu sama lain sekaligus memelihara hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara mereka.
Sejenak, sesuatu terlintas di ruang fikiran Addy. Kerusi segera ditarik rapat menginjak ke birai katil milik Benjamin.
"Ben.. " seru Addy serius
Serentak, ketiganya menoleh memandang Addy yang beriak serius wajah dan suaranya. Seakan ada sesuatu mahu disampaikan.
"Aku dalam proses siasat siapa dalang kejadian langgar lari kau dengan Aulia. Keterangan beberapa orang saksi aku dah ambil. Selepas ni aku akan ambil keterangan kau dan Aulia pula memandangkan kau pun dah sihat. "
Benjamin anggukkan kepala.
"Bila? "
"Lagi cepat lagi bagus. Sebab aku rasa firasat hati aku kuat mengatakan kau memang dia dalangnya. Aku macam boleh dapat trace. Tapi, apa-apa pun siasatan masih lagi dijalankan. " tegas Addy. Terserlah gaya dan kredibilitinya sebagai seorang inspektor polis.
"Siapa? " serentak menyoal.
"Kau rasa siapa kalau bukan.. ?"
"Aqeela.." dan serentak juga masing-masing memberikan jawapan.
Addy tersenyum senget. Nampak gayanya, ketiga mereka juga sudah boleh mengagak siapa dalang kejadian yang menimpa Benjamin dan Aulia. Nasib sahaja kejadian tersebut tidak meragut nyawa Benjamin. Namun demikia, walaupun tidak berjaya, ianya seakan hampir. Hampir meragut nyawa!
••••
Aku menapak masuk ke arah bilik yang menempatkan Benjamin. Hari ini aku dihurung rasa gembira dan bahagia kerana akhirnya setelah hampir seminggu berada di wad, Benjamin boleh pulang ke rumah semula.
Beberapa hari lepas, Addy bersama beberapa orang pegawai polis datang bagi mengambil keterangan aku dan Benjamin tentang kemalangan yang hampir sahaja meragut nyawa Benjamin. Aku tutup pintu wad perlahan.
Tas tangan yang berada di bahu, aku letakkan ke meja sofa. Kelihatan televisyen terpasang kuat sedang menayangkan acara sukan bola sepak luar negara. Aku lingaskan mata ke sekeliling bilik. Katil yang kosong menarik perhatianku.
Sejenak, kedengaran pintu ditutup dari sayap kanan bilik wad kelas pertama. Terjengul wajah Benjamin yang sudah siap berpakaian kemas. Jeans biru gelap dipadankan dengan kemeja berkolar berwarna kelabu membuatkan tunangku kelihatan sangat kacak.
"Sayang.." seru Benjamin mesra.
Aku tersenyum manis. Menapak merapati Benjamin yang sedang tersenyum menyambut kedatanganku.
Aku meraih tangan Benjamin. Aku heret tubuh lampainya ke arah katil. Aku tolak perlahan tubuh itu agar melabuhkan duduk di birai katil. Aku pula berdiri tercegat di sisi.
Tuala di tangan Benjamin aku capai perlahan. Aku bawa tuala tersebut ke kepala Benjamin yang masih lagi basah kerana baru siap mandi. Aku gosok rambutnya perlahan. Tidak berniat untuk menyakiti.
Benjamin tersenyum senang. Gembira dengan belaian yang diberikan Aulia. Terasa diri dimanjai oleh buah hati kesayangan. Serta-merta terasa menggebu perasaannya untuk berkahwin. Tidak sabar ingin menjalani hidup berdua dan dikurniakan anak-anak yang cantik paras rupa.
"Abang senyum apa, bukan main lebar Lia tengok.. " ujarku perlahan sekaligus mematikan lamunan bahagia di fikiran Benjamin. Rambut yang masih lagi lembap aku alurkan dengan jemariku.
"Tak ada apa. Cuma abang tak sabar nak kahwin. Nak ada ada baby comel-comel macam sayang. " ujar Benjamin.
Aku berdehem. Mengawal rasa hati yang berbunga-bunga mendengar luahan kata tentang keinginan Benjamin. Aku gigit bibir perlahan. Menyembunyikan rasa teruja yang turut tidak sabar untuk berkahwin dan mempunyai anak yang comel seperti papanya.
"Lia pun tak sabar nak ada baby comel macam papa dia. " ujarku perlahan. Hidung aku lagakan dengan hidung Benjamin.
"Sayang sudi kan bagi baby comel kat abang? "
Aku tersenyum malu. Wajah yang putih mulai bertukar menjadi kemerahan. Kepala aku anggukkan laju.
"Apa perkembangan pasal kes kemalangan kita tu abang? Ada any update dari Addy? " soalku serius.
Bergerak perlahan menuju ke arah tingkap bilik. Menjemur seketika tuala yang diguna oleh Benjamin. Benjamin mengeluh. Tubuh disandar ke kepala katil. Mata diluruskan ke depan. Menonton kembali siaran ulangan bola sepak yang sedang terpasang.
"Abang.." seruku bila melihat Benjamin ralit menonton bola sepak tanpa membalas pertanyaanku.
"Ermmm.." sahut Benjamin.
Aku merapati Benjamin di katil. Aku labuhkan duduk di sisinya. Buah yang siap sedia dikupas yang terletak di tepi kepala katil, aku suap sepotong ke mulut Benjamin. Encik tunang aku ni sejak-sejak sihat, manjanya terlebih. Pernah tempoh hari, aku datang melawat agak lambat dari hari kebiasaanya.
Bila masuk sahaja ke dalam bilik, kulihat wajah cemberut Benjamin yang sedang memeluk tubuh di katil. Bila aku menyapa, dikeraskan sahaja lidahnya. Bila aku merenung wajahnya, dilarikan tatapan matanya daripadaku. Naik hairan aku dibuatnya.
Mendekati meja, terlihat makanan yang sedikitpun tidak berusik. Bila disoal, rupanya aku tiada untuk suapkan dia makan. Jatuh rahangku dengan peel si encik tunang. Namun, wajah segera aku maniskan. Kasihan mengenangkan buah hati yang belum makan, aku ringankan tangan menyuapkan makanan ke mulut Benjamin.
"Ada. Semalam Addy call abang, bagitahu kalau diorang dalam perancangan untuk tangkap Aqeela dengan konco-konco dia. " jelas Benjamin menoleh sekilas ke sisi. Menatap wajahku.
Aku menganggukkan kepala. Menyumbat lagi sepotong buah epal ke dalam mulut Benjamin. Dikunyah perlahan.
"Memang dah lengkap lah bukti yang mereka ada? " tanyaku.
Benjamin angkat bahu.
"Entah. Mungkin dah ada bukti lah kut. Rasanya tidak salah abang, dekat kawasan kita kemalangan tu, ada cctv. Jadi, cctv tu jadi salah satu bukti. Then, kalau sayang nak tahu konco yang Aqeela upah tu dah terlibat dengan banyak lagi kegiatan jenayah sebelum ni.. " jelas Benjamin panjang lebar.
Aku tersentak.
"Maksud abang, diorang ni antara penjenayah yang dikehendaki lah? " soalku kuat.
"Yes. Dan kalau sayang nak tahu juga kereta yang diorang guna untuk langgar kita hari tu adalah kereta yang sama diorang guna untuk jenayah lain sebelum ini. So, kat situ dah ada satu bukti lagi. " terang Benjamin lagi.
Aku terdiam.
"Kenapa Aqeela sanggup buat macam itu sekali pada kita? " keluhku perlahan. Lebih kepada perasaan kesal yang membelit di hati.
Benjamin hanya angkat bahu. Dia juga tidak punya jawapan yang kukuh sebenarnya untuk soalan yang diajukan oleh Aulia.
"Tak tahu lah sayang. Orang kalau dah taksub ni, membunuh pun dia sanggup. Dia akan buat apa sahaja supaya keinginan dia terlunas. Walaupun dia tahu kalau tindakan dia itu salah di sisi agama atau undang-undang dunia. " luah Benjamin bernada kesal.
"Kan sayang? Nasib lah sayang Lia ni tak ada apa-apa. Kalau tidak Lia sendiri yang akan bunuh dia. " ujarku kasar.
Benjamin membuntangkan biji mata. Seram dengan kata-kata serius Aulia.
"Sayang ni biar betul. "
Aku tertawa kuat. Lucu dengan reaksi Benjamin terhadapku.
"Seram abang sayang cakap macam tu tahu. " Benjamin mengusap lembut dadanya. Sahaja untuk membuat teruk.
Aku mencebikkan bibir.
"Kata orang. Entah-entah abang tu belum sempat cakap dah pergi bunuh dulu. Abang lagi menyeramkan okay." semburku.
"Itu sayang baru tengok sikit je seram abang. Tunggu lah nanti. Ada benda yang lagi seram tapi abang yakin, benda seram tu mesti sayang akan suka." Benjamin tersenyum nakal.
Aku tersentak. Entah kenapa. Aku rasakan kalau kata-kata Benjamin itu terselit makna tersurat dan tersirat. Dengan riak muka yang gatal, seolah Benjamin memaksudkan benda lain. Tersedar dengan maksud tersebut, aku pantas menampar bahu Benjamin. Geram! Sakit-sakit pun sempat lagi nak menggatal.
Benjamin tertawa galak bila menyedari percakapan sebentar tadi difahami oleh Aulia. Dimainkan bibirnya di leher jinjang yang putih melepak itu.
Aku menjulingkan mata ke atas. Dah cakap kan, angin gatal dia sudah menyerang. Aku tekup bibir Benjamin yang bermain dileherku. Aku tolak lembut wajah Benjamin menjauhi leherku. Geram aku dibuatnya.
"Kedekut! " omel Benjamin. Dicebikkan bibirnya.
Aku hanya menggeleng sebelum tertawa dengan omelan Benjamin.
Aku paut leher Benjamin merapati wajahku. Namun, Benjamin sengaja keraskan tubuhnya. Diluruskan pandangannya ke hadapan.
Aku bawa bibirku ke telinga Benjamin.
"Tunggu kahwin nanti. Abang nak buat apa pun Lia rela. I'm yours.. " bisikku perlahan.
Perlahan-lahan kulihat bibir merah itu mengukirkan senyuman lebar. Aku turut tersenyum kerana rajuk manjanya sudah terpujuk.
"Betul? "soal Benjamin mesra.
Aku anggukkan kepala laju.
••••
Dato Khalid mengurut pelipisnya yang terasa tegang. Berkecamuk perasaannya saat ini, bila menerima panggilan daripada ibu pejabat polis Bukit Aman tentang Aqeela yang dikhabari menjadi dalang kepada kemalangan langgar lari anak dato Razman iaitu Benjamin dan Aulia.
Saat disampaikan berita tersebut, terasa seakan mahu terhenti dentak jantungnya. Cawan berisi air teh yang sedang enak diteguk jatuh pecah berderai ke lantai. Berserak di serata dapur. Datin Mariah yang turut berada bersama terjerit kuat.
Telefon bimbit yang masih melekap di telinga diletakkan ke meja makan. Nasib sahaja dia tidak tercekik ketika itu. Datin Mariah yang perasan akan reaksi dan respon tanpa sedar yang ditunjukkan oleh si suami pantas bingkas berdiri menuju laju ke arah si suami yang beriak tegang.
Telefon yang masih berbunyi suara diambil sebelum dilekap ke telinga miliknya. Suara tersebut didengari dengan teliti dan jelas tanpa sedikitpun mencelah. Butir bicara sang pemanggil jelas menghentam cuping telinganya.
Sesaat dia turut terkesima seperti sang suami yang sudah menunduk menongkat kepala di meja makan. Perlahan diletakkan telefon tersebut lambat-lambat ke atas meja. Dato Khalid mendongak. Memandang wajah Datin Mariah yang diam tidak bersuara. Hanya mampu berdiri tercegat di sebelah sisinya.
"Kenapa Aqeela sanggup buat sampai macam ni sekali abang? Kenapa? " Datin Mariah meratap sayu.
Terasa segala perasaannya kini bercampur baur. Sedih, terkejut, marah, segala bergabung menjadi satu. Sesak dadanya saat diberitakan perkara yang tidak pernah terlintas langsung di akal fikirannya. Sungguh dia tidak sangka Aqeela tergamak sekali melakukan perkara tersebut.
Dato Khalid Khan hanya mampu menggelengkan kepala. Dia juga lelah dalam mencar jawapan kepada persoalan tersebut. Puas dia mencari namun masih tidak ditemui.
"Abang pun tak tahu lah sayang. Kenapa cetek benar pemikiran anak kita. Terlalu taksub hingga sanggup menggadaikan nyawa orang lain demi keinginan sendiri. " tutur Dato Khalid kesal.
Datin Mariah terduduk longlai di kerusi meja makan. Ditekup wajahnya ke meja makan. Sejenak, terdengar esakan kuat daripada si isteri.
"Semua ni salah abang! Kalau lah abang tak taksub dalam harta benda, pangkat, darjat, anak kita takkan jadi macam tu. Dari dulu lagi saya minta supaya abang berubah. Nasihat Aqeela, tegur kesalahan dia dengan cara yang sepatutnya, tapi apa yang abang buat?! " turun naik dada Datin Mariah menghamburkan kata-katanya.
Dato Khalid hanya mampu menunduk menekur ke meja makan. Setitis air mata kesal mengalir di pipi. Saat ini baru dia menyedari kalau harta, pangkat, darjat sudah tidak penting lagi. Saat-saat begini, rasa penyesalan datang mengetuk pintu hati bertubi-tubi segenap penjuru.
"Maafkan abang,Mar. Maafkan abang. Kerana abang, Aqeela jadi macam tu. Abang tahu kalau abang menjadi salah satu punca kenapa Aqeela ingin mendapatkan Benjamin, tapi itu dulu Mar. Dulu! Selepas itu, tidak lagi. Abang ada tegur Qeela, nasihat Qeela. Tapi Qeela sendiri yang tetap mahukan Benjamin. Dan abang sendiri tak sangka kalau Qeela sampai nekad nak membunuh." jelas Dato Khalid panjang lebar.
Bukanlah dia mahu memperlihatkan dirinya yang elok, namun setelah dia menyedari akan kesilapannya, dia menasihati Aqeela. Menegur Aqeela. Namun, Aqeela seolah tidak mempedulikan teguran dan nasihatnya malah dengan sengaja memekakkan telinga. Mengendahkan teguran darinya.
Sejak daripada itu, mereka sudah tidak lagi bertegur sapa. Dia juga sudah lelah bercakap, maka dibiarkan Aqeela dengan ketaksubannya terhadap Benjamin. Dia sedar dia bukanlah seorang ayah yang baik selama ini. Dia banyak melakukan kesilapan, namun dia bersyukur kerana di akhirnya, dia masih diberikan kesedaran untuk berubah.
Datin Mariah terdiam. Hanya esakan sahaja yang sekali sekala kedengaran keluar daripada mulutnya.
"Kalaulah abang cepat sedar, tentu bukan begini kejadiannya. " rintih Datin Mariah bersulamkan tangis.
Tidak betah melihat si isteri yang sudah teresak di sisi, pantas tubuh bingkas berdiri. Dipeluk erat tubuh itu ke badannya.
"Maafkan abang Mar. Abang gagal jadi suami dan ayah yang baik pada kalian berdua. Abang gagal! Maaafkan abang. Andai sahaja abang mampu putarkan semula masa lalu, abang janji abang akan ubah segalanya. Abang akan jadi yang terbaik untuk kalian berdua. Ampunkan abang, Mar. Ampunkan aku Ya, Allah! " rintih Dato Khalid kuat. Meratap sayu kesilapan yang terbayang-bayang di ruang mata saat ini.
Satu persatu kini bayangan silam menghimpitnya. Dia akui banyak kesilapan yang dia lakukan. Dia culas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba di muka bumi Tuhan. Dia culas dalam menjadi seorang suami dan ayah yang baik kepada isteri dan anaknya.
Datin Mariah pantas membalas pelukan si suami yang sudah teresak-esak menangis pilu. Dia juga dihurung sebak yang menggunung. Di satu pihak yang lain, dia mengakui kalau dia juga gagal menjadi seorang ibu dan isteri yang baik.
Banyak juga kesilapannya dan kealpaannya sebagai ibu dan isteri. Mungkin, ini adalah satu cara Tuhan ingin menguji dan menghapus dosa mereka. Doanya saat ini, semoga Allah mempermudahkan urusan mereka semua.
"Maafkan kekhilafan abang, Mar! Maafkan papa, Qeela. Allah, ampunkan aku ya Allah. " rintih Dato Khalid lagi. Tanpa rasa segan dan silu.
"Abang. Saya maafkan abang. Ampunkan saya juga kalau saya bukan seorang isteri dan ibu yang baik selama ini. "
Dato Khalid Khan menggelengkan kepala. Meleleh-leleh air mata mereka saat ini. Keduanya saling berpelukan dan meratapi kesilapan dan kealpaan masing-masing.
Tanpa mereka sedari, rintihan dan kekesalan mereka tanpa sengaja dapat dilihat oleh sepasang mata lain. Terbuntang luas mata itu melihatkan keadaan kedua orang tua yang sangat disayangi sedang menangis sambil berpelukan.
Mata yang terang benderang kini, kabur dengan air mata yang semakin memberat di tubir matanya. Sebelah tangan kini naik menekup mulut. Menahan esakan daripada meletus hingga dapat disedari oleh mereka. Tubuh yang gagah berdiri akhirnya melorot jatuh bersandar ke dinding.
Wajah yang basah dengan air mata ditekup rapat ke lutut. Terinjut-injut bahunya melepaskan tangis. Terbayang segala salah silapnya selama ini terhadap ramai umat manusia. Segala dosa-dosanya turut tertayang bertalu-talu di ruang mata. Betapa alpa dirinya. Betapa taksub dirinya dengan manusia hingga sanggup mengambil jalan singkat.
"Qeela! "seru seseorang.
Pantas didongakkan wajahnya ke atas. Terbias seraut wajah kedua orang tuanya. Sekali lagi, esakan terlepas daripada mulutnya.
"Papa! Mama! Ampunkan Qeela. Qeela takut ma, pa. Qeela takut. Maafkan Qeela. " rayu Aqeela bergetar sayu.
Dato Khalid dan Datin Mariah bersimpuh melabuhkan duduk di penjuru dinding dapur. Ditarik anak gadisnya ke dalam pelukan. Aqeela Sania membalas pelukan itu kejap. Terasa kasih sayang itu mengalir ke dalam tubuhnya. Betapa selama ini, dia merindukan pelukan hangat kasih sayang kedua orang tuanya.
"Qeela serah diri ya sayang. " pujuk Datin Mariah lembut.
Aqeela menangis kuat. Dipeluk erat tubuh Datin Mariah. Dato Khalid turut memeluk erat kedua tubuh yang disayanginya itu.
"Qeela takut. " ujarnya bergetar.
Datin Mariah bertindak memaut wajah anaknya.
"Tak ada apa yang perlu Qeela takutkan. Jangan risau, mama dengan papa sentiasa ada dengan Qeela. Walau apa pun, kami akan tetap sayangkan Qeela. "
Dato Khalid Khan menganggukkan kepala. Mengiakan kebenaran kata-kata sang isteri. Digenggam erat tangan anak gadisnya yang mengigil.
"Betul apa yang mama cakap tu. Walau apa pun yang terjadi, kami akan sentiasa ada dengan Qeela. Akan tetap sayang Qeela dan takkan pernah buang Qeela. " ujar Dato Khalid pula sebak.
Semakin kuat Aqeela melagukan tangisannya. Dipeluk tubuh si ayah rapat. Kejap pelukan di tubuh tua itu.
"Baik, Qeela akan serah diri. Maafkan Qeela. Qeela sayang mama dengan papa. Jangan tinggalkan Qeela. "
Serentak, keduanya menganggukkan kepala laju. Bersyukur kerana Aqeela sanggup untuk menyerah diri kepada pihak polis. Sekurangnya, Aqeela membuat satu keputusan yang tepat.
Doanya, agar ada sinar untuk anaknya. Berharap semoga kesalahan Aqeela dimaafkan dan seterusnya menjadikan Aqeela seorang insan yang baik selepas ini.
"Tak. Kami takkan sesekali tinggalkan Qeela. Maafkan papa dan mama juga sebab gagal jadi yang terbaik untuk Qeela. " pinta Dato Khalid seikhlas hati.
Aqeela menggeleng perlahan.
"Tak, papa dan mama dah buat yang terbaik untuk Qeela. Cuma Qeela yang alpa. Taksub dengan keinginan hati. Maafkan Qeela sekali lagi. Ampunkan Qeela. "
Keduanya mendiamkan diri. Hanya pelukan erat sahaja yang diberikan kepada Aqeela saat ini.
Enjoy reading. Komen banyak2 untuk next chapter. Thankyou!
Share this novel
mngalir air mta
jlm cerita yg best di baca... tk sabarnya nk tunggu next episode ni.. tq penulis