Setelah mengharungi selama satu jam perjalanan akhirnya kami tiba di rumah. Kereta mewah milik Benjamin menjalar masuk ke perkarangan rumah agam milik Dato Razman.
Enjin kereta dimatikan. Sebaik sahaja kereta berhenti, segera aku buka pintu kereta. Malas untuk berlama-lama di dalam kereta. Terasa bahangnya walaupun di luar hujan.
Bersama kot Benjamin yang masih membaluti tubuh aku melangkah keluar daripada kereta. Pandangan tajam Benjamin aku hiraukan. sakit hati aku mengenangkan dimarahi, dikasari Benjamin sebentar tadi.
Aku mencicit lari masuk ke dalam rumah. Mengelak tempias hujan lebat. Entah di mana silapnya, aku lupa akan keadaan lantai yang licin. Terasa sumbang larianku sebelum hampir aku terjelepok tersungkur di lantai. Mata aku pejamkan rapat.
Tiba-tiba terasa pinggangku ditarik kuat dari arah belakang.Aku terkedu. Nafas terasa menghembus laju. Mulut melopong luas. Tangan kekar Benjamin yang memeluk pinggangku dari belakang aku genggam erat. Lega diselamatkan Benjamin daripada tersungkur ke lantai. Mahu berdarah hidung.
Tubuh aku tegakkan. Terasa longlai lututku.
"Kenapa rushing sangat ni ? Kalau jatuh tadi macam mana ?" bisik Benjamin di telingaku.
Liur kutelan pahit. Kedudukan aku stabilkan.
"Terima kasih.." ucapku. Hampir tidak kedengaran suaraku.
Wedges setebal tiga inci aku buka dan letakkan di atas rak kasut Benjamin. Belum sempat aku melangkah mendaki anak tangga, sapaan mummy yang keluar daripada pintu dapur sambil memegang sudip mengejutkan aku.
"Sayang.." panggil mummy.
Aku berpusing ke arah mummy yang sedang tersenyum manis ke arahku. Aku menapak mendekati mummy. Pipi mummy kukucup kiri dan kanan.
"Miy.." balasku. Segaris senyuman aku hulurkan.
Benjamin yang melangkah menghampiri kami aku biarkan.
"Eh Ben pun ada sekali?" tanya mummy sambil memandang aku dan Benjamin silih berganti.
Aku serahkan soalan kepada Benjamin. Biar dia sahaja yang menjawab.
Benjamin mengganggukkan kepala. Mata dikerling sekilas ke arahku.
"Ben ambil Lia sekali tadi. Kesian pula nak dibiarkan balik naik bas. Sekarang pula musim hujan" mulut berbicara dengan mummy tapi bebola mata menilik aku dengan hujung ekor mata di sebelah.
Aku mencebik. Konon, padahal dimarahinya aku. Bertempik macam nak keluar anak tekak.
"Lia naik dululah mummy. Nak mandi. Kena hujan tadi.." Malas berlengah di situ, tubuh terus aku pusingkan mendaki laju anak tangga.
Benjamin mendongak memerhati langkah lajuku.
Mummy hanya memerhati gelagat kami dengan kerutan seribu di dahi. Seperti ada yang tidak kena antara keduanya. Nampak aura ketegangan di wajah masing-masing.
Pening kadangkala dengan kerenah anak-anak. Sudah besar panjang pun masih mahu saling bertegang urat. Ada sahaja yang tidak kena.
"Ben.." nama Benjamin diseru oleh mummy.
Benjamin yang baru sahaja berpusing mahu mencecahkan kaki ke anak tangga berpaling pantas.
"Yes.." sahut Benjamin.
"Ben dengan Lia okay ke ?" tanya mummy lembut. Bertaut pandang dengan si anak tiri.
Benjamin mengeluh perlahan. Sesaat, dianggukkan kepala sambil mengukir sebuah senyuman hambar.
"Okay je mummy.." balasnya ringkas.
Takkan mahu diceritakan apa yang terjadi antara mereka hari ini. Nanti timbul isu lain pula. Lagipun ia bukan satu masalah besar cuma sahaja diperbesar oleh mereka.
Datin Rida termangu seketika sebelum dianggukkan kepala tanda menerima jawapan yang diberikan Benjamin. Rasa pelik ditepis jauh.
"Takpa lah Mummy. Ben naik atas dulu.." pamit Benjamin sopan.
"Okay. Pergilah. Nanti jangan lupa turun makan ye.." senyuman manis dilayangkan ke anak tirinya.
Benjamin tersenyum pendek. Anak tangga mula didaki satu persatu menuju ke bilik.
Aulia POV
Masuk sahaja ke dalam bilik, pintu aku tutup rapat. Beg sandang dan kot Benjamin aku lempar kuat ke katil seakan melempar tuan empunya badan kot ni.
Aku terduduk di birai katil. Cadar katil aku cengkam kuat. Geram! Kot yang terdampar aku pandang lama. Sesaat, aku capai kot tersebut. Aku sangkutkan di kepala katil. Biarlah ia berada di situ. Nanti saja aku pulangkan kepada Benjamin.
Lama berteleku, aku rentap kasar tuala yang tersangkut. Berharap apabila air mengalir mengenai di tubuh kelak mampu menyejukkan rasa panas di hati.
Hampir Lima belas minit bertapa dalam bilik air, aku hanya berkemban keluar. Sedikit sebanyak air sejuk mandi sebentar tadi mampu untuk meredakan panas di hatinya.
Aku melenggang menuju ke katil. Tubuh aku rebahkan sambil mendepakan tangan. Melayang seketika fikiran tentang kejadian hari ini. Sungguh aku hairan. Benjamin kelihatan marah sekali. Jujur, inilah kali pertama aku melihat kemarahan Benjamin. Sungguh menyeramkan sehingga menangis aku dibuatnya.
Daddy dengan mummy pun tidak pernah memarahi dia sedemikian rupa. Besar sangatkah kesalahan dia? Aku mengeluh panjang. Mata mulai lali. Sedikit demi sedikit mata mulai terpejam dan kemudian gelap!
Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku daripada lena yang singkat. Mata yang kabur aku gosok beberapa kali. Tubuh yang sengal aku bangunkan. Tiba-tiba aku merasa pening. Seakan bilikku berpusing ligat. Aku berpaut pada tiang katil.
Cuba untuk mengimbangi tubuh daripada jatuh. Perlahan-lahan tubuh aku dudukkan kembali. Tangan naik meraba leher dan dahi. Panas! Sah aku demam. Terkena hujan petang tadi.
Mengenangkan aku masih berkemban dan belum menunaikan solat maghrib, maka aku gagahkan jua diri bergerak menuju ke almari. Sepasang baju tidur satin aku pakaikan ke tubuh.
Usai, aku bergerak menuju ke kamar mandi. Wuduk aku alirkan ke anggota badan. Siap, telekung aku pakaikan dan bersedia untuk menunaikan solat maghrib.
Sepuluh minit menghadap Allah yang Satu, aku baringkan kembali tubuh ke katil. Tubuh yang dingin memaksa aku supaya tidak memasang penghawa dingin pada hari ini. Comforter tebal aku tarik membungkuskan diri. Sejuk kian hinggap di sekujur tubuh milikku diselang-seli dengan bersin yang kerap.
Sungguh, aku tiada daya untuk bangun kini. Apa yang terlintas di kotak fikiran hanyalah mahu beristirehat dan tidur sahaja. Sengal segala sendi. Mummy...
Ketukan di pintu beberapa kali menyedarkan aku yang separa mamai. Comforter aku tarik lagi ke badan menghangatkan tubuh yang dilanda kesejukan.
Tiba-tiba terasa tombol pintu dipulas dari luar. Terdengar bunyi tapak kaki menghampiri katilku. Pandangan yang kabur kini semakin jelas. Terbias seraut wajah mummy di tubir mata. Mummy melabuhkan duduk di sebelahku.
Senyuman yang menghiasi wajah mummy kini mengendur diganti dengan riak cemas. Pantas, tangan dibawa meraba sekitar leher dan dahiku. Aku menelan liur yang terasa kelat. Tekak terasa perit.
"Mummy.." seru aku perlahan.
"Ya sayang. Ya Allah! Lia demam ke? Kenapa tak panggil mummy?" kalut mummy bertanya. Pipiku diusap-usap sebelum rambutku yang masih basah mengurai disebak dan diselitkan di tepi telinga.
"Lia tak larat nak bangun. Lia rasa nak tidur je sekarang ni.." perlahan suaraku. Hampir tidak kedengaran oleh mummy.
Aku baringkan kepalaku di ribaan mummy. Terasa berkaca mataku. Emosi secara tiba-tiba sahaja.
"Nak mummy peluk.." aku merengek.
Segera mummy memaut tubuhku. Kemas pelukan mummy aku rasakan. Mummy membelai belakang badanku lembut. Terasa kasih sayang seorang ibu. Hangat tubuh mummy membuatkan aku sedikit selesa.
"Sayang makan ubat ye. Kalau tidak, macam mana demam nak kebah." pujuk mummy.
Aku menggelengkan kepala.
"Tak nak..ubat tak sedap.." rengekku sambil menggelengkan kepala.
"Ubat memang lah tak sedap sayang. Kalau sedap bukan ubatlah namanya. Mummy turun kejap, ambil makanan dengan ubat. Nanti mummy naik teman Lia kat sini..kejap ye sayang.." kata mummy sambil membaringkan kepalaku di bantal kembali.
Tangan mummy aku capai lemah.
"Mummy jangan lama-lama kat bawah. Lia nak mummy.." mataku mula berkaca.
Mummy menepuk tanganku yang bersulam dengan jari-jemarinya.
"Ya. Mummy janji. Tak lama kejap je." balas mummy sebelum mengatur langkah menuju ke ruang bawah.
Aku memejamkan mata. Membiarkan kelibat mummy berlalu pergi daripada ruang mata.
Benjamin POV
Langkah kuatur menuruni tangga dengan perlahan. Setapak demi setapak aku melangkah. Sambil itu mata meliar mencari kelibat seseorang. Siapa lagi kalau bukan si adik tiri. Sedikit sebanyak terusik juga hatinya bila mengenangkan kekasaran yang telah ditonjolkan kepada adik tirinya. Sepatutnya dia lebih bijak mengawal emosi supaya ianya tidak disalah erti.
Langkah terus aku lencongkan ke arah dapur. Memasuki ruang dapur yang dihiasi cat berwarna pastel itu, hanya ada daddy sahaja di meja makan. Sedang menghirup segelas air. Bik Suty pula sibuk menghidangkan makanan.
Aku liarkan ke sekeliling dapur. Kelibat aku cari masih tiada. Kelibat mummy juga tidak kelihatan malam ini. Diet ke apa ? Kebiasaannya, aku yang paling lewat turun. Bila sudah turun pasti kelibat Aulia sudah tercongok di sebelah mummy. Kadangkala dari jauh sudah terdengar celoteh mulut mungil itu bercerita itu ini bersama daddy dan mummy disertai dengan ketawa kuat.
Langkah berhenti di meja makan. Daddy panggung kepala melihatkan keberadaanku menyertai makan malam. Kerusi yang diperbuat daripada kayu jati aku tarik perlahan sebelum melabuhkan duduk. Mata aku rayapkan ke juadah makan malam. Setiap hari hidangan yang menyelerakan. Sudah pasti, dimasak oleh mummy. Beruntung daddy.
"Tak keluar malam ni Ben?" soal daddy memecahkan suasana sunyi antara kami.
Aku yang sibuk menilik juadah di depan mata segera menentang seraut wajah daddy.
Kepala aku gelengkan.
"Nope. Malas lah. Tak ada mood"
"Malas? Kalau tidak setiap malam merayap. Tak balik pukul 1 2 pagi tak sah. Entah apa la yang dicarinya di luar pun tak tahu lah. Kamu tu dah besar panjang Ben. Tinggallah benda-benda lagha macam itu." daddy memulakan bebelannya.
Aku tersengih sumbing sambil menggaru pelipis. Terasa sakit pula telinga mendengar tazkirah percuma daripada daddy malam ini.
"Alah daddy. Ben bukan keluar merayap tak tentu hala. Just lepak-lepak dengan kawan-kawan je. Minum-minum.." balasku sambil mengerling daddy yang merenung dengan pandangan 'yeke kau ni'..
"Kenapa? Di rumah ni tak ada air dah yang boleh diminum ? Daddy rasa tiap-tiap bulan bil air rumah ni tak pernah missed daddy bayar.." sindir daddy padu.
Aku terhenyak. Susah bercakap dengan daddy ni. Ada sahaja yang disindir.
" Kat rumah lain. Kat luar lain.." balasku.
"Apa yang lain?"
Aku mengeluh.
"Dad! Seriously?" keluhku kasar. Rambutku aku selerakkan. Dah gaya detektif disoalnya aku.
Daddy mencebikkan bibir. Mula dah lah tu perangai bebal anak bujangnya. Pantang disoal lebih sikit, berangin sahaja.
"Daddy bukan apa. Kamu tu orang ada nama. Terkenal. Daddy tak nak nanti timbul isu benda-benda tak elok pula. Tak pasal-pasal buruk reputasi kamu.." pesan daddy penuh makna.
"Daddy jangan risaulah. setakat ini okay je lagi.." balasku ringkas.
"Mummy tak turun makan sekali ke?" soalku cuba mengubah topik perbualan antara kami.
Bukan apa, daddy kalau sudah mulakan 'pesanan khidmat masyarakat' dia alamatnya sampai pagi esok nanti pun belum tentu habis. Jadi lebih baik dia timbulkan topik lain.
"Mummy naik atas panggil adik kamu turun makan sekali" ujar daddy. Tahu sahaja peel aku yang mahu mengelak daripada dibebel.
"Jomlah kita makan dulu. Kejap nanti turunlah diorang tu." kata daddy sambil mencedokkan nasi ke dalam pinggan.
Baru suapan pertama masuk ke dalam mulut, terkocoh-kocoh mummy kulihat memasuki ruang dapur. Kalut sekali langkahnya. Aku mengerutkan dahi. Dah kenapa?
Daddy yang turut perasan segera bertanya.
"Kenapa Rida ? Gopoh semacam je saya tengok awak ni. Dah mari duduk sini. Makan sekali. Hah, Aulia mana? Tak turun makan ke ?" soal daddy bertalu-talu tanpa sempat dijawab oleh mummy. Kepala dijengul ke belakag. Melihat kelibat anak tirinya.
"Tak apa lah. Abang dengan Ben makanlah dulu. Saya nak bawa naik makanan dengan ubat kejap. Lia demam. Panas betul badan dia. Nasiblah saya tergerak hati nak naik panggil dia kat atas tadi." keluh mummy. Terlakar riak risau di wajah tua itu.
Daddy tersentak.
"Demam?" soal daddy sekali lagi.
Mummy hanya membalas dengan sebuah anggukan.
"Cepatlah kasi makan ubat. Nanti takut melarat pulak demam si Aulia tu. Takpa, nanti saya naik jenguk dia kat bilik. Awak pergilah naik temankan dia. Kalau tak kebah juga esok kita bawa pergi hospital.." usul daddy.
Aku menghentikan suapan bila mendengarkan kata-kata mummy. Pasti gadis itu demam akibat ditimpa hujan petang tadi. Terbit rasa kasihan di hatinya berselit dengan rasa risau.
Ku menyoroti gelagat mummy ke hulu ke hilir menyediakan makanan dan ubatan kepada Aulia. Aku melepaskan keluhan kecil. Teruk sangatkan demam gadis itu? Serasa mahu sahaja dia berlari naik ke atas menjenguk keadaan si gadis.
"Saya naik dulu bang." pamit mummy.
Daddy menganggukkan kepala mengizinkan.
"Teruk sangat ke demam dia?" bisik aku halus. Lebih bersoal jawab dengan diri sendiri.
"Apa kamu cakap,Ben? Daddy kurang jelas.." dilemparkan pertanyaan kepadaku.
Cepat-cepat aku gelengkan kepala.
"Tak ada cakap apa lah" bohongku. Nasi aku suapkan ke mulut kembali.
Tak sangka suara hati terkeluar secara spontan. Nasib tidak didengari daddy. Jika tidak, dianggap yang bukan-bukan pula nanti.
Aulia POV
Pintu yang terkuak kembali menyedarkan aku. Mata yang terpejam aku buka sedikit demi sedikit. Mata turut terasa bahang panas dalam badan.
"Miy.." panggilku lemah.
Mummy meletakkan sedulang makanan berserta ubatan di meja sebelah katilku. Tubuhku diangkat dan disandarkan di kepala katil berlapikkan sebiji bantal.
Mummy duduk mengiring mengadapku. Sepinggan nasi digaul bersama ikan goreng dan kicap disuakan ke mulutku. Aku menolak perlahan. Aku benar-benar tiada selera untuk menjamah sebarang makanan pada ketika ini. Seleraku mati.
"Makanlah sikit sayang. Alas perut tu. Kesian dibiarkan kosong. Lia tak makan apa pun dari petang tadi. Nanti masuk angin macam mana?" pujuk mummy lembut.
Aku tetap gelengkan kepala.
"Sikit je. Mummy suap. Nanti makan ubat. Lepas tu rehat. Kalau tak alas perut macam mana nak makan ubat?" dilontarkan lagi kata-kata pujukan kepadaku.
Mata yang berkaca, merenung wajah mummy. Bagaimana harus aku terangkan bahawa aku benar-benar tiada selera ? Mahu sahaja aku termuntah nanti setelah menelan makanan tersebut.
Sekali lagi kepala aku gelengkan. Terhela nafas panas dari hidungku.
Mummy mengeluh perlahan. Sudu yang berisi nasi diletakkan kembali ke dalam pinggan. Dicapai gelas yang berisi air putih.
"Minum sikit air ni sayang. " gelas disuakan ke mulutku.
Aku meneguk air dalam gelas. Belum sampai separuh sudah aku unjukkan kembali ke arah mummy. Jangankan makan, minum juga aku tiada selera.
Mummy mengusap rambutku. Tanganku disulamkan dengan jarinya. Diramas-ramas jariku menyalurkan kehangatan. Aku membalas lemah genggaman tangan mummy.
"Mummy turun ambil tuala sekejap. Nak tuam dahi Lia. Biar kurang sikit panas. " pantas, mummy bergerak menuju ke ruang bawah kembali. Aku hanya memandang lemah langkah mummy yang terkocoh mengambil tuala pula untuk dituam di dahiku.
Kepala aku lentokkan kembali ke bantal yang tersandar.
Benjamin POV
Usai makan, aku bergerak untuk menuju ke ruang atas. Risau akan keadaan si gadis cepat-cepat aku habiskan makananku.
Aku berlari-lari anak mendaki anak tangga. Di pertengahan, kelibat mummy kulihat menuruni anak tangga dengan laju. Seakan ingin mengambil sesuatu.
"Ben. Dah siap makan?" sapa mummy sekadar berbasa basi.
"Dah. Ermmm...Lia macam mana mummy. Dia makan tak?" tanyaku terus tanpa berselindung.
Mummy mengeluh.
"Dia taknak makan. Puas mummy pujuk. Masih juga tak nak dijamahnya nasi walaupun sikit. Macam mana nak makan ubat kalau dah perut kosong.." keluh mummy. Terserlah raut kerisauan yang tidak dibuat-buat.
Aku menghela nafas panjang. Sesaat..
"Macam ni lah mummy. Biar Ben yang cuba pujuk Lia makan. Mana tahu kut dia nak jamah juga sikit. Sekarang, mummy pergilah makan. Takpa, Lia biar Ben yang tolong tengokkan sekejap." usulku lembut.
Terukir segaris senyuman di wajah mummy. Aku turut tersenyum.
"Kejap. Mummy ambilkan tuala. Ben tolong tuamkan kepala Lia dengan tuala basah. Biar kurang sikit panas badan dia tu nanti.."
Aku menunggu di anak tangga sementara menanti mummy membawakan aku sehelai tuala.
"Nah Ben. Lia tu kalau demam manja sungguh. Harap kamu sabarlah tengokkan dia kejap sementara mummy makan" ujar mummy.
"Tak apa. Ben naik dulu. Mummy pergilah makan.." kaki terus berlari anak kembali menuju ke bilik Aulia semula.
Aulia POV
Kepala aku lentokkan ke bantal. Serasa habis tenagaku disedut pergi. Oleh sebab inilah aku jarang sekali dihinggap demam. Sekali terkena, memang teruk demamku. Pernah sekali, demam terlampau tinggi aku terpaksa ditahan di wad. Serik aku rasakan!
Bunyi derap kaki yang berjalan masuk ke bilik tidak aku hiraukan. Tidak perlu menoleh sudah kutahu gerangannya. Siapa lagi kalau bukan mummy ? Kerana hanya mummy seorang sahaja yang bergerak keluar masuk bilik aku sedari tadi. Aku memejamkan mata rapat..
"Miy..Lia sakit kepala.." rengekku menahan tangis. Serasa mahu pecah kepalaku menahan sakit yang berdenyut-denyut.
Mummy hanya diam mendengar rengekanku.
Sesaat..dua saat..tiga saat..
Terasa ada tangan yang menjalar memicit kepalaku yang berdenyut. Diurut pelipis kulembut. Sakit yang bertandang sedikit berkurangan. Terbuai seketika menikmati picitan tersebut.
Hairan tiada sebarang suara atau bunyi dikeluarkan mummy, kutolehkan wajahku perlahan ke sebelah.
Mata yang terpejam serentak terbuka luas melihatkan kehadiran gerangan yang kusangka mummy. Tangan yang memicit kepalaku dari tadi, aku tepis perlahan. Melorot tangan kekar itu jatuh ke sisi.
Tidak terkesan dengan tindakanku, Benjamin kulihat melabuhkan duduk di sebelahku. Apalah sangat tepisan dariku. Seperti angin lalu sahaja. Rapat tubuhnya menyendeng di sebelahku.
"Awak buat apa kat sini?" soalku lemah.
"Takkan lah tengok bola pula sister. Jenguk you lah. Mummy cakap you demam.." beritahu Benjamin. Dilekapkan tangannya lama ke dahiku.
"Saya demam sikit je. Nanti kebah lah. Tak perlulah awak kat sini. Saya nak mummy.." esakku. Air mata murah benar mengalir di pipi. Tambahan pula di hadapan Benjamin.
Benjamin mendengus. Nak mummy,nak mummy. Aku kau tak nak pula.
"Demam sikit je you cakap? Badan panas membahang macam nak terbakar. Sikit lagi nak meletup.." selar Benjamin. Aku menunduk. Ingat lawak? huh!
Dipaut daguku dengan sebelah tangan kekarnya. Dibawa wajahku mendekat. Nafas panasku menampar wajah Benjamin.
"Mummy cakap you tak nak makan. Kenapa? Tak ada selera?" diajukan pertanyaan lagi. Lembut menyapa pendengaranku.
Aku anggukkan kepala.
" You makanlah sikit. Biar perut tu tak kosong nak makan ubat. Jadi sakit lain pula nanti.." arah Benjamin.
Aku gelengkan kepala. Menolak. Masih berkeras.
"You nak makan atau you nak I kiss you ? Cepat pilih.." ugut Benjamin. Tubuh mengesot mendekatiku.
Aku menelan liur. Terkejut dengan ugutannya. Aku injakkan tubuh ke belakang. Tapi mudah saja pinggangku dirangkul. Aku yang sememangnya lemah, tidak berdaya untuk melepaskan diri. Akhirnya aku keraskan tubuh. Namun, aku mengaku kehangatan tubuh berotot Benjamin sedikit sebanyak membuatkan aku selesa.
"Cepat Aulia Natasha. You choose. Makan atau I kiss you sekarang?" sekali lagi dikeluarkan ugutannya. Dalam kedengaran suara Benjamin.
"Saya tak ada selera. Macam mana saya nak makan? Faham tak ?" aku memberontak. Geram! Tak habis-habis dengan perangai diktator dia!
"Okay fine. Kalau you taknak makan, terpaksalah I kiss you." ugut Benjamin seraya cuba menarik aku rapat lagi menghampiri tubuhnya.
Tangan spontan naik menahan dada Benjamin. Terkebil-kebil mataku merenung sepasang mata hazel menawan itu. Lama terdiam, aku akhirnya mengalah. Menganggukkan kepala. sebal!
"Fine! Saya makan. Boleh lepaskan pinggang saya tak?" tanyaku dingin.
Benjamin tertawa.
"Sure. Asalkan you nak makan.." pinggangku dilepaskan perlahan-lahan.
Sudu aku pegang untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut. Namun, tiba-tiba sahaja sudu dirampas dari tanganku.
"Nope. I yang akan suapkan you makan. Kalau nak harap you suap sendiri entah bila nak habis nasi ni. Dah cepat, buka mulut I suap." arah Benjamin. Tidak lembut tidak juga kasar nadanya.
Aku mendengus kuat. Benjamin tayang riak wajah selamba. Dibawa sesudu nasi ke mulutku. Dengan lafaz bismillah, aku kunyah perlahan. Aku gagahi jua walaupun terasa tawar sahaja makanan yang sedang berada dalam mulutku kini.
Cukup lima suap, aku menolak. Sudah tidak mampu lagi menerima sebarang suapan lagi daripada Benjamin.
"Tak nak dah ?" sesudu lagi disuakan kepadaku. Tangan menolak lembut.
Aku gelengkan kepala.
"Makanlah sikit lagi. Baru lima sudu. " pujuk Benjamin.
Untuk kesekian kalinya, aku geleng lagi kepala.
Benjamin menghela nafas panjang. Kesian pula mahu dipaksa. Terasa lega walaupun hanya dijamah lima sudu sahaja. Jadilah asalkan perut yang kosong dialas.
"Next, makan ubat pula.."
Aku anggukkan kepala.
Sebiji ubat yang berada atas piring kecil dalam dulang, Benjamin capai.
"Buka mulut.." arah dia.
Aku ngangakan mulut dan gulp! Selamat memasuki rongga anak tekakku. Pahit kurasakan. Werk! Tak sedap langsung.
Air putih disuakan ke arahku sambil tangan Benjamin menahan belakang kepalaku. Aku teguk sehingga habis.
"Good girl.." puji Benjamin. Digosok-gosok kepalaku yang tidak berlapik.
Diletakkan gelas ke dalam dulang. Benjamin mengemaskan alatan makanan sebentar tadi. Disusun kembali dengan cermat ke dalam dulang. Aku hanya diam memerhati tingkahnya.
Aku sudah mulai merasai kesan ubat yang kutelan sebentar tadi. Pandangan mataku mulai menjadi berbalam-balam. Kelibat Benjamin mulai menjadi satu, dua dan tiga di pandangan.Tidak lama, lena menjemputku pergi.
Benjamin yang ralit dengan bekas makanan menoleh ke sebelah. Sejenak, dia terpaku melihatkan Aulia sudah terlentok lena sambil menyandar. Alahai, kesian. Polos sekali kelihatan.
Pantas, dengan gerak perlahan dipangku kepala milikku. Rambutku yang mengurai menutup sebahagian muka diselitkan tepi telinga. Kedengaran halus dengkuranku menampar wajah Benjamin.
Kedudukan bantal dibetulkan sebelum dengan cermat kepalaku dipangkuannya dibaringkan perlahan-lahan di atas bantal. Selimut yang melorot ke pinggang ditarik sehingga ke paras dadaku. Diusap-usap rambutku.
"Get well soon, baby girl.." didekatkan bibirnya ke dahiku namun segera dia tersedar. Serta merta dijauhkan bibirnya daripada menyentuhi dahi licinku. Apa yang tengah kau cuba buat ni Benjamin, bisik Benjamin dalam hati. Wajah diraupkan. Sekali lagi selimutku dibetulkan agar lebih kemas.
"Ben.." seru daddy.
Aku menoleh ke belakang. Terjengul wajah daddy dan mummy di muka pintu yang terbuka luas.
Mummy menapak diikuti daddy dari belakang. Laluan Benjamin berikan. Keduanya melabuhkan duduk di birai katil.
"Dia makan tak Ben?" soal mummy. Diusap-usap rambut anak gadisnya yang sedang terlena.
Aku tersenyum.
"Makan. Puas juga Ben pujuk. Nasib dia nak jamah juga sikit. Itu pun lima sudu sahaja yang ditelannya.." omel Benjamin.
"Takpa lah. Sekurangnya nak juga dia makan. " sahut daddy.
"Terima kasih, Ben.." ucap mummy lembut sambil menggenggam kemas tangan Benjamin.
Lama dibiarkan sebelum genggaman tangan mummy Benjamin balas berserta sebuah anggukan.
"Abang.." panggil mummy.
"Malam ini kalau saya tidur dengan Aulia boleh ? Kesian juga, takut dia meracau ke apa tengah malam nanti. Panas dia pun tak berapa kurang lagi.." pinta mummy.
Benjamin yang dari tadi duduk bersebelah kananku berdehem. Keduanya serentak menoleh ke arah Benjamin.
"Mummy,daddy. Kalau tak keberatan biar Ben je yang jaga Lia malam ini. Mummy pun mesti perlukan rehat juga. Jangan risau, nanti apa-apa Ben panggil. " cadangan dilontarkan Benjamin.
Seketika, mummy dan daddy saling berpandangan. Mungkin masih menimbang tara usul tersebut. Riak keduanya tidak dapat dibaca oleh Benjamin. Hanya mampu sabar menanti jawapan daripada mereka.
"Tak menyusahkan Ben ke ? Esok Ben kerja. Ben pun mesti nak rehat.." tukas mummy. Daddy di sebelah hanya diam tidak bereaksi.
Kepala Benjamin gelengkan.
Seminit berlalu, akhirnya kata putus diberikan..
"Kalau macam tu, takpa lah. Mummy dan daddy izinkan Ben jaga Lia malam ni. Nanti kalau apa-apa jangan lupa panggil kami ya.." persetujuan diberikan. Benjamin tersenyum. Lega diberikan keizinan. Bukan apa, debar juga hati Benjamin semasa dilontarkan kata-kata tersebut.
Mummy kelihatannya tidak keberatan cuma daddy yang seperti agak berat untuk memberikan persetujuan. Mungkin mengenangkan lelaki dan perempuan tanpa ikatan persaudaraaan. Jadi, oleh itu daddy agak keberatan.
"Ben..remember! She's your stepsister.. I trust you young man.." bisik daddy rapat di telinga Benjamin. Ditepuk-tepuk bahu anak lelakinya sebelum langkah diatur keluar daripada bilik anak tirinya.
Dijulingkan bebola matanya ke atas. Ahh, daddy ini terlalu berfikir yang bukan-bukan. Seperti buruk benar perangainya selama ini.
Yeah..my stepsister..not more than that, bisik Benjamin.
Keluhan lemah dilepaskan sebelum diheret tubuhnya ke sofa berhampiran katil. Tubuh direbahkan. Kepala dijengah merenung adik tiri yang lena dibuai mimpi sebelum Benjamin turut memejamkan mata. Bersedia untuk beradu.
best ke scene kali ni ?
Share this novel