"Dengar kata syarikat ada anjurkan Makan Malam Gala"
Maria panggungkan kepala. Seraut wajah Siti yang rakus meneguk air di depannya ditenung tanpa kelip.
"Bila kau dengar? " Maria mengajukan soalan. Dimainkan jarinya di sekeliling bibir mug.
"Tadi. Masa aku masuk bilik Dato. Zetty minta tolong aku hantarkan sofy copy apa benda entah. Jadi, masa masuk tu Dato tengah berborak dengan Encik Benjamin. Jadi aku terdengar lah. " jelas Siti ringkas.
"Kau curi-curi dengar eh? " tebak Maria.
"Haish. Kau ingat aku ni tak ada akhlak ke apa? Aku tak sengaja lah. Dah timing elok masuk hantar tu diorang tengah borak. Nak buat macam mana. Aku dengarlah. " cantas Siti kalut.
Sampai hati cakap dia pasang telinga. Dia masih punya adab yang tinggi dalam diri. Tadi pun dengan izin Dato Razman dia masuk.
Maria menganggukkan kepala. Macam seronok juga Makan Malam Gala. Masa-masa begitulah yang boleh dimanfaatkan oleh mereka. Melaram, bergaya suka hati. Mana tahu boleh nampak kelibat jodoh. Harap-harap bukan bodoh lah.
"Kau asal tersengih-sengih? " tegur Siti saat melihat Maria yang sedang tersengih-sengih seorang diri.
Maria menggaru kepala yang tidak gatal. Segan pula tertangkap ketika sedang berceloteh dalam hati seorang diri.
"Tak ada apa lah. Cuma harapnya menjadi lah makan Malam Gala tu. Boleh melaram cantik-cantik. Mana tahu boleh dapat jodoh" tukas Maria tersipu.
Siti menjulingkan mata ke atas. Setiap tahun begitulah kata-kata yang didengari daripada Maria. Tahun berganti tahun, masih tidak nampak juga kelibat jodohnya. Jangan kata kelibat, bayangnya juga tiada.
"Aku rasa kata-kata kau tu sama je tiap tahun Maria. Tapi sampai sekarang pun tak ada jodoh kau tu. " tempelak Siti bersahaja.
Maria mengherotkan mulut.
"Nak buat macam mana jodoh tak sampai lagi. " mudah Maria membalas.
"Aku rasa kan, kau ni kena mandi bunga tujuh hari tujuh malam. Baru nampak jodoh kau" Siti melepaskan tawa kecil.
Maria mendengus kecil. Siti yang masih tertawa dijeling tajam.
"Kau ni memang tak sayang mulut kan. Cakap aku konon, kau pun samalah Siti. Kalau aku mandi bunga, kau mandi apa? Air tujuh telaga? " bidas Maria geram.
Siti terdiam. Bergurau pun tak boleh. Betul lah kan, bab jodoh ni hal yang sensitif. Siapa sahaja tak nak berkahwin, beranak pinak tapi sudah tersurat belum sampai jodoh mereka.
"Apa-apa jelah Maria oii. Asalkan kau bahagia sudah. " ujar Siti malas.
Maria mencebik.
"Tapi kan Siti, tak sabar aku. Dah boleh start survey dah nak pakai baju apa. Nak mekap kat mana. Uishhh, excitednya aku, Siti! " Maria terjerit kecil. Tangannya ditepuk berkali-kali. Seperti kanak-kanak diberikan gula-gula.
Siti menggelengkan kepala melihat lagak Maria yang tidak ubah seperti kanak-kanak tadika diberikan coklat.
"Mana-mana jelah Maria. Entah jadi entah tidak tapi kau punya teruja macam esok event dia " selar Siti.
Tepi mug dibawa ke bibir. Dihirup air nescafe buatan Maria. Terasa hilang kantuknya yang beraja di mata sebentar tadi.
Maria tersengih lebar.
"Mestilah. Bukan selalu nak melaram. Mana tahu boleh dapat anak dato sorang. "
Siti membuntangkan mata. Rasa nak ketawa terbahak-bahak dengan kata-kata Maria. Aduhai Maria, level berangan kau kalah cinderella.
"Dato dah bercucu boleh lah Maria. " sindir Siti selamba.
Maria menjuihkan bibir. Siti ni memang tak support member langsung lah. Malas bertelagah, dihirup air yang masih tersisa dalam mugnya.
"Hai gais. " muncul Melissa tiba-tiba.
Serentak keduanya mendongakkan wajah. Dipandang wajah cantik Melissa.
"Hai cik Melissa" balas Maria kembali.
Tidak mesra, tidak juga dingin.
Diliarkan matanya ke arah Siti yang turut memandangnya. Seakan berbicara tanpa suara keduanya. Namun, masing-masing saling memahami apa yang ingin disampaikan.
"Minum" Siti bertindak mempelawa. Terasa tidak enak pula kalau mempamerkan kedinginan yang terasa kepada Melissa.
Melissa tersenyum.
"Borak apa? Rancak bukan main I dengar. Sampai ke depan bunyinya.." soal Melissa ramah sambil menuju ke kabinet pantry.
Sebiji mug bertulis Milo dicapai. Sepaket milo 3 in 1 dikoyak dan dituang ke dalam mug. Sudu kecil dicapai sebelum air panas dicampurkan dengan sedikit air sejuk sebelum dikacau sebati.
"Borak pasal Makan Malam Gala Cik Mel. " ujar Maria berterus terang.
Siti yang mendengar pantas melayangkan sepakan ke betis Maria.
"Aduhhh! " Maria terjerit kuat. Pantas digosok kuat betis yang terasa sengal. Dijeling tajam Siti yang menjegilkan mata ke arahnya disertai isyarat diam di mulut sambil ditundingkan jarinya ke arah Melissa yang sedang membelakangi mereka.
Siti berdecit perlahan. Pelipisnya dipicit kuat. Memang tak pandai simpan rahsia betul lah si Maria ni. Otak tu kadangkala tak function langsung minah ni.
Bukan apa, dia tidak mahu dilabel radio buruk. Belum apa lagi, sudah dicanang satu pejabat. Nanti tidak memasal sahaja namanya yang dipetik kerana menyebarkan hal yang belum terjadi. Walhal, dia hanya sembang kosong bersama Maria. Aduhai Maria! Bikin gawat saja loh!
Tapi salah dia juga, tidak ingatkan Maria supaya tidak sampaikan hal yang belum ada kesahihannya pada orang lain. Tapi sudah terlajak kata, tidak boleh diundur lagi. Keluhan lemah dilepaskan.
Melissa mengambil tempat di meja bersebelahan kedua sahabat tersebut. Sebuah senyuman diberikan kepada Maria dan Siti.
"Makan Malam Gala? Bila tu? " soal Melissa berminat. Milo diteguk perlahan.
Maria diam.
"Tak tahu lagi bila cik Melissa. " jawab Siti tersengih kaku.
Melissa menganggukkan kepala. Macam menarik sahaja acara tersebut di pendengarannya. Dihirup lagi milo yang suam-suam kuku.
"Erm, okay lah Cik Melissa. Kami pergi dulu. Lama pula melepak kat sini. " Siti meminta diri. Lebih kepada mengelak dari beramah mesra bersama Melissa.
Janggal pula hendak bersembang memandangkan Melissa ada bersama. Serasa tidak bebas untuk bersembang topik apa-apa. Paling ditakuti takut tersalah topik. Diisyaratkan mata ke arah Maria supaya menghabiskan minuman yang masih bersisa.
Maria yang perasan dengan pandangan Siti meneguk rakus minumannya dalam mug hingga ke titisan terakhir.
"Okaylah Cik Mel. Kami pergi dulu. Enjoy your drink. " segera tubuh bingkas bangun sebelum kedua sahabat tersebut terkocoh-kocoh membawa langkah ke meja mereka kembali.
Melissa mendengus kasar. Giginya diketap rapat. Ditoleh ke belakang melihat kedua rakan itu berjalan laju meninggalkan dirinya.
Bukan dia tidak tahu, kalau kehadirannya tidak disenangi dua sahabat tersebut. Tangan yang berada di atas meja dikepal kuat. Geram! Dihirup rakus minumannya sebelum mug tersebut dihempas kasar ke meja. Berkocak milo tersebut.
"Makan Malam Gala. Ermm, sound nice.. " Melissa berbisik perlahan. Tersungging sebuah senyuman sinis sambil dijungkitkan keningnya. Pandangan diluruskan ke depan. Seakan mahu tembus dinding putih pantry tersebut.
••••
"You dah serahkan invois tu pada department kewangan? " soal Akif perlahan. Aku yang tunduk membelek dokumen di tangan menganggukkan kepala.
"Dah. Tinggal mereka nak check sama ada tally atau tidak kewangan tu. "
"Oh, okay. Baguslah kalau macam itu." ujar Akif kembali.
Sesaat, suasana sepi berlingkar antara kami. Aku masih lagi khusyuk menunduk menilik beberapa helai dokumen di meja.
"Lia.. " seru Akif lembut.
"Hurmm.." suara sahaja yang aku keluarkan menyahut panggilan Akif. Pandangan masih lagi terarah ke dokumen di meja.
"Boleh I tanya you sesuatu? " Soal Akif teragak-agak.
Aku memberhentikan bebola mata yang ralit membaca bait patah perkataan yang tertulis di dokumen. Bila melibatkan hal urusan perniagaan antarabangsa,aku harus membaca dan membelek dengan teliti. Bukan semberono dalam menguruskannya. Takut ada kecuaian yang berlaku.
Aku dongakkan wajah. Lambat-lambat aku panggungkan kepala menentang seraut wajah Akif yang berada di hadapanku.
"Tanyalah.." ucapku sekaligus memberikan kebenaran kepada Akif.
Aku tolak perlahan fail ke tepi. Tubuh yang menyandar aku tegakkan. Mencantumkan kedua belah jari-jemari di atas meja.
"You dengan Benjamin ada apa-apa hubungan ke? " soal Akif.
Dalam kedengarannya nada suara Akif saat soalan tersebut terluncur laju daripada mulutnya.
Aku terdiam. Kaku dengan soalan yang diajukan Akif. Namun, hati dipagut rasa pelik kenapa soalan tersebut boleh terlontar daripada lelaki ini.
"Hubungan?" soalku sepatah.
Akif menganggukkan kepalanya.
Aku berdehem. Cuba memerah idea dan ayat yang terbaik untuk merungkai persoalan yang diajukan Akif.
"Awak pun tahu kan dia abang saya. Maksud saya, my step brother. So itu lah hubungan saya dengan dia. " ujarku perlahan. Sebutir-sebutir perkataan terluah daripada mulutku.
Akif diam. Tidak lama, kedengaran tawa sinis meletus daripadanya.
"I rasa you sendiri boleh faham hubungan apa yang I maksudkan,Lia." renungan tajam dipanahkan ke wajahku.
Aku pantas larikan tatapan. Fail yang kutolak ke tepi aku capai semula. Berpura-pura tunduk membelek kembali fail tersebut.
Geram dengan reaksiku, Akif bertindak merentap fail tersebut daripada tanganku.
Aku terkedu. Mata terjegil luas dengan reaksi tak disangka daripada Akif. Renungan aku jatuhkan ke wajah Akif yang beriak tidak puas hati dengan jawapanku.
Aku menarik nafas dalam. Cuba untuk bertenang dan tidak melenting.
"Okay fine. Apa yang awak nak tahu sebenarnya? " tukasku bernada serius.
Akif rapatkan tubuh ke meja. Menjarakkan wajah kami yang hanya dipisahkan oleh meja kerjaku.
"You sendiri jelas dengan soalan I sebentar tadi Aulia. Apa hubungan you dengan Benjamin.. "
Aku diam. Merenung wajah Akif tanpa kelip.
"Saya dah bagitahu kan. Saya dengan Benjamin.. "
Dihentak kuat tangannya ke meja. Aku terngadah. Terinjut bahuku dengan tindakan spontan daripada Akif.
"Benjamin kekasih you kan? " tebak Akif keras.
Aku tergamam.
"Kenapa awak cakap macam tu? " soalku gagap. Terasa getaran suaraku.
"Just tell me the truth Aulia. I belum buta untuk lihat semua kemesraan antara korang selama ini. Kejadian di kafe baru ni buktinya. " bentak Akif kuat.
Aku menghela nafas kuat. Turun naik dadaku menahan debar.
"Hanya dengan kejadian tersebut awak terus dengan tuduhan awak mengatakan Benjamin kekasih saya? " tukasku dingin.
Akif berdecit kuat.
"Orang bodoh pun tahu menilai Lia. Dan kalau betul Benjamin bukan kekasih you, kenapa you tak tunjukkan kemesraan yang sama pada I atau lelaki lain? "
"He is my brother, Akif! Salah ke kalau I bermesra dengan abang I sendiri? Salah ke? " tempelakku kasar.
Akif tertawa sinis dengan ujaranku.
"Sebaik atau serapat mana pun adik beradik, takkan semesra itu Aulia. Masih ada batasnya. Tambahan lagi adik beradik tiri" selar Akif sinis.
"Ikut awak lah. Tak penting untuk saya jelaskan hubungan saya dengan Benjamin pada awak. Saya juga masih tak nampak kepentingan untuk saya menjawab soalan awak. " ujarku sarkastik.
"Alasan! Kenapa you still nak nafikan Benjamin kekasih you? I tak rasa kemesraan you all selama ni atas dasar adik beradik tiri semata. " bidas Akif kuat.
Buat seketika, aku terdiam. Bagaimana harus aku jelaskan perhubungan aku dan Benjamin kalau Benjamin tidak pernah mengungkapkan kata cinta kepadaku.
Hanya sekadar kemesraan dari segi perbuatan yang sering dipamerkan. Boleh jadi kemesraan tersebut hanya sekadar kemesraan seorang abang kepada adik?
Ya, tidak dinafikan aku mempunyai perasaan yang mendalam kepada Benjamin. Aku cintakan Benjamin sepenuh hati aku, tapi aku juga masih punya rasa malu. Masakan perigi cari timba. Walaupun Benjamin katakan aku calonnya, tapi entahlah. Aku sendiri masih lagi samar-samar.
Sukar untuk menjelaskan hubungan antara kami. Aku perlukan ungkapan daripada Benjamin untuk membuatkan aku yakin kalau dia juga turut berkongsi rasa yang sama denganku.
"Then, what? Awak expect saya kena bersikap tidak mesra dengan dia? Macam tu? " selarku kembali.
Akif diam. Mengambil masa beberapa minit untuk kembali bersuara.
"I'm asking you Aulia. Benjamin kekasih awak? " sekali lagi diajukan soalan tersebut.
"Ya, aku kekasih dia. "
Aku bingkas berdiri. Tertolak kerusiku ke belakang. Mata membuntang luas melihatkan Kehadiran Benjamin yang santai melangkah masuk dengan kedua belah tangannya diseluk ke dalam saku seluar.
Aku terkedu, terkelu dan tergamam. Akif yang sedari tadi beradu pandang denganku pantas berpaling deras ke belakang. Seperti aku, Akif juga kelihatan terkedu dengan pengakuan Benjamin.
Benjamin menapak masuk selangkah demi selangkah ke dalam pejabatku. Pintu ditutup rapat. Menghampiri Akif yang sudah seratus peratus berubah riaknya.
Aku diam tidak berkutik. Memerhatikan kedua lelaki tersebut yang saling beradu pandang. Renungan tajam saling berpadu antara mereka.
"Aku kekasih dia. Jadi, ada masalah ke? " soal Benjamin perlahan. Tapi masih kedengaran dingin nada suaranya.
"Dia adik kau Ben. "
Benjamin tertawa kecil. Dikerling sekilas aku yang masih terkaku berdiri. Namun, dalam diam menanti butir bicara yang bakal diucapkan.
"Memang dia adik aku. Tapi hanya adik tiri. Bukan adik kandung. Halal untuk aku nikahi. So, rasanya tak ada masalah tentang tu. " tukas Benjamin bersahaja. Tiada rasa gentar dengan hal tersebut. Apatah lagi jijik.
"Kau tak rasa jijik ke ada perasaan dengan adik tiri sendiri? "
Aku menoleh pantas ke arah Akif. Terasa lancangnya mulut Akif saat mengeluarkan pertanyaan tersebut. Gigi kuketap rapat.
"Watch your mouth Akif!" aku bersuara keras. Menahan rasa sabar yang makin menipis. Hina sangatkah jatuh cinta sesama saudara tiri?
Benjamin angkat tangan ke arahku. Meminta aku untuk tidak masuk campur antara mereka.
"Kalau kau tanya aku jijik ke tak, jawapannya tidak sama sekali. Malah aku bersyukur sebab Tuhan kurniakan aku seorang perempuan yang sangat baik seperti dia. So untuk apa aku perlu rasa jijik?" selar Benjamin perlahan.
Akif mendengus kasar.
"Tapi dia tetap adik kau!"
Benjamin mengeluh.
"Ya, tapi hanya sekadar adik tiri aku. Bukan adik kandung. Benda tu tak menjejaskan apa-apa. "
"Tapi di mata orang, kau dengan dia tetap adik beradik. "
Benjamin tertawa sinis.
"Pedulilah dengan orang. Aku yang bercinta. Aku yang berkahwin. Bukan orang. Selagi aku bahagia, pandangan orang tak menjadi masalah pada aku."
"Aku tahu kau sukakan Lia,Kif. Sebab itu kau beria-ria mempertikaikan hubungan kami.." ujar Benjamin selamba.
Benjamin tarik kerusi di sebelah. Dilabuh duduknya santai dengan kaki bersila panggung manakala tangan disilangkan ke dadanya.
Aku terkedu dengan bicara Benjamin. Aku tentang Benjamin yang turut memusatkan pandangannya ke arahku. Perlahan, aku jatuhkan renungan ke wajah Akif yang jelas tergamam dengan tebakan Benjamin sebentar tadi.
"Ya. Aku sukakan Aulia. Baguslah kalau kau tahu. " Lama terdiam, akhirnya diakui perasaannya kepadaku.
"I like you Aulia Natasha. I cintakan you Lia. " diucapkan pula kata-kata tersebut kepadaku.
Aku serasa mahu pitam dengan luahan Akif tersebut. Tepi meja aku paut erat. Benjamin yang turut mendengar mengepal kejap tangannya.
"See? Betulkan apa yang aku cakap? Sebab tu kau marah bila tahu hubungan sebenar antara kami sebagai kekasih. " provok Benjamin tertahan.
"Kalau kau tahu aku sukakan Lia kenapa kau masih jadikan Lia kekasih kau? Kenapa kau mesti jadi penghalang? " provok Akif kembali.
"Sejak bila aku jadi penghalang? Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi lah Kif. Aku dan Lia saling suka. Jadi, tidak salah kalau kami jadi kekasih sekalipun.." bidas Benjamin.
Tidak betah hanya diam memerhati ketegangan antara kedua jejaka tersebut, aku bertindak menyampuk.
"Akif. Stop! Maaf, saya hanya anggap awak sebagai kawan. Tapi percayalah, saya sukakan awak tapi hanya sebagai kawan. Tidak lebih daripada itu. Saya harap awak faham." tekanku perlahan. Cuba menjernihkan keadaan tegang antara kami.
Serentak kedua menoleh pantas ke arahku. Akif terdiam. Lama diperhatikan aku dan Benjamin silih berganti.
"Maaf kalau keramahan saya pada awak selama ni buatkan awak dah salah anggap. Maafkan saya. Tapi sungguh saya suka berkawan dengan awak. " bertalu ucapan maaf terluncur laju dari bibirku.
Kedengaran dengusan kasar dilepaskan daripada mulutnya. Sesaat, dicapai kasar fail yang berada di atas meja kerjaku.
"The best man win, Ben! " bisik Akif keras. Rapat di wajah Benjamin.
Sejurus itu, terus dibawa langkahnya ke arah pintu bilik pejabatku. Kedengaran berdentum pintu tersebut ditutup. Menjadikan pintu yang tidak bersalah sebagai mangsa.
"Abang.." seruku lemah.
Benjamin mengeluh. Bingkas berdiri lalu dibawa tubuh lampainya menghampiriku yang sudah terduduk lemah ke kerusi.
Benjamin mampir ke sisiku. Dipaut rapat kepalaku ke pinggangnya. Aku memeluk erat pinggang Benjamin. Melepaskan ketakutan di situ.
Aku dongakkan wajah. Terbias seraut wajah Benjamin di mataku yang berkaca.
"Lia takut. " bisikku perlahan.
"Don't worry. Everything is gonna be alright as long as we are together.." digosok lembut kepalaku yang masih tersemban di perut ketaknya. Aku diam, semakin mendalamkan pelukanku di tubuh Benjamin.
••••
"Sayang.."
"Baby.. "
"Hurmm.. "
Aku tersentak. Pantas ku menoleh ke tepi. Merenung Benjamin yang tenang memandu di sebelahku.
"Sayang okay? " bisik Benjamin perlahan.
Aku bawa pandangkan ke luar cermin. Memerhati suasana di luar kereta yang sibuk dengan orang yang berlumba-lumba pulang ke rumah.
"Okay.." balasku tidak yakin dengan keadaan diriku sebenar.
Benjamin capai perlahan jemariku di ribaan. Dibawa bersulam dengan jemarinya. Diusap perlahan. Menghantar kekuatan sekaligus menenangkan keresahan di hatiku kerana kejadian di pejabat tadi.
"Tell me. Apa yang mengganggu fikiran sayang sekarang? "
Aku geleng kepala perlahan. Membalas genggaman Benjamin.
"Lia takut.." ucapku bergetar.
Benjamin lepaskan keluhan kuat. Wajahku diusap lembut.
"Sayang takut apa? " bisik Benjamin lembut.
Aku tunduk. Menekur pandangan ke arah tangan kami yang bersulam erat di ribaanku. Jari jemari Benjamin aku mainkan.
"Lia takut kehilangan abang. " ujarku perlahan bercampur sebak.
Benjamin tercengang. Terkesan dengan ketakutan buah hatinya.
"Kalau sayang takut kehilangan abang, I seribu kali lagi takut kehilangan you sayang. You pun tahu kan semua tu? " tutur Benjamin meluahkan hal yang sama kepadaku.
Aku diam tanpa gelengan mahupun anggukan.
Tidak tahu kenapa, hatiku dihurung rasa tidak sedap sejak daripada tadi. Seakan dapat aku rasakan bahawa akan ada sesuatu perkara buruk yang akan berlaku. Namun, cepat kuusir rasa tersebut.
"Lia masih lagi takut abang.. " ujarku lagi.
"Sayang, listen. Tak ada apa yang perlu sayang takutkan. I'm here with you. Always with you"
"Macam mana kalau Akif tetap sukakan Lia? Tetap cuba untuk dapatkan Lia? " soalku kalut.
Benjamin ketap rapat rahangnya. Berbulu telinganya tadi bila Akif dengan beraninya mengakui perasaan terhadap Aulia depan diri dia sendiri. Ikutkan hati yang dilanda cemburu, sudah lama dilayangkan sebuah penumbuk ke muka sepupunya itu.
"No, he won't !" bidas Benjamin lantang.
"Itu kata abang. Bukan dia. " bentakku.
Benjamin menarik tubuhku rapat. Laju nafasnya menampar wajahku.
"You are mine, Aulia Natasha! Only mine! " bisik Benjamin keras di pendengaranku.
"Yes, Lia tahu tapi Lia still takut. Takut dengan ugutan dia pada abang.. " bisikku sayu.
Benjamin menampar stereng kereta. Aku tersentak. Kecut dengan reaksi Benjamin tiba-tiba.
"Sorry sayang. Lia jangan risau. Tak ada apa yang akan berlaku. Okay baby? " dibawa jemariku ke bibirnya. Dikucup bertalu jemariku. Memujukku dalam diam.
Aku diam. Membiarkan sentuhan Benjamin kepadaku. Kembali meluruskan pandangan ke hadapan. Doaku, supaya ugutan Akif hanya sekadar ugutan semata-mata.
"Apa yang penting sekarang, kita kena saling percaya antara satu sama lain. Sayang kena percayakan abang, and I kena percayakan you. "
Aku menoleh sekali lagi ke sisi. Memandang tunak wajah Benjamin yang tampan.
Perlahan aku mengangguk.
"Yes. Abang kena percayakan Lia juga walau apa pun yang terjadi nanti. " pintaku perlahan. Belakang tangan Benjamin aku kucup lembut. Menyalurkan rasa kasih dan cintaku padanya.
Giliran Benjamin pula memberikanku sebuah anggukan. Tanganku digenggam dan diramas kejap. Seolah-olah sebagai tanda kalau saling tidak mahu kehilangan antara satu sama lain.
••••
Direnung jauh kelam kepekatan malam yang sibuk dengan hiruk pikuk manusia yang sentiasa dilanda kesibukan dunia.
Sesaat, terlintas di fikiran kejadian siang tadi. Saat dia sedang berjalan balik dari pantry menuju ke biliknya.
Flashback
Akif melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya dengan tergesa-gesa. Fail yang dijinjit kejap sebentar tadi dihempas kasar ke meja. Punggung dihempas kuat ke kerusi. Bergeser bunyi roda kerusi bercium dengan lantai pejabatnya.
Turun naik nafasnya menahan amarah yang membuak-buak di dada. Memerah wajahnya disimbahi peluh walaupun pendingin hawa terpasang kuat.
Meja kerjanya ditumbuk kuat. Berdentum kedengaran bunyinya. Sungguh, sukar sekali untuk dia menerima Aulia berpacaran dengan Benjamin. Kerana perasaan yang bercambah dalam hatinya kini semakin menambahkan keinginan dia untuk memiliki Aulia.
Bunyi ketukan di pintu biliknya mematikan bayangan kejadian sebentar tadi. Wajah yang memerah diraup kasar sebelum arahan masuk diberikan.
Seketika,muncul wajah Melissa di sebalik pintu. Keluhan kuat dilepaskan. Cuba untuk menaturalkan kembali riak muka daripada diketahui Melissa.
"You okay Akif? "soal Melissa curiga. Mana tidaknya, saat berselisih sebentar tadi, tegang sekali riak wajah Akif di ruang matanya. Setahunya, Akif merupakan seorang yang sentiasa happy go lucky. Murah dengan senyuman dan mesra dengan semua orang.
Akif mendengus kasar. Kembali dihambat bayangan kejadian tadi. Serta-merta kembali memuncak amarahnya.
"Akif. You dengar tak apa yang I tanya you tadi? " sekali lagi diajukan soalan.
Melissa santai melabuhkan duduknya di kerusi meja Akif walaupun tanpa dipelawa. Kaki panjangnya disilang. Menyerlahkan gaya anggun seorang Melissa.
Akif bertindak untuk tidak menjawab soalan tersebut, malah ditarik fail yang dihempas kasar sebentar tadi ke arahnya. Dibelek rakus satu persatu.
Melissa tertawa kecil dengan gelagat Akif. Perlahan, ditarik lembut fail tersebut daripada genggaman Akif. Ditolak ke tepi. Menjauhi Akif.
"Hey! What's wrong with you Akif? Tell me. What's the matter? "
"Aulia. " sepatah sahaja yang keluar daripada mulut Akif.
Melissa terdiam. Mendengarkan sebuah nama tersebut semakin menarik minatnya untuk lebih mengetahui apa yang berlaku hingga Akif berubah penampilan sebegini rupa.
"Kenapa dengan dia? " soal Melissa perlahan. Tidak mendesak namun dilontarkan gaya suaranya seakan orang yang hanya beriak biasa. Walhal dalam hati sudah dilambung rasa teruja.
Akif menghela nafas kuat. Wajah Melissa yang sedang tersenyum manis di hadapannya ditenung lama.
"Dia kekasih Benjamin. "
Melissa tidak terkejut. Kerana dia sudah mengetahui hal itu lebih awal.
"Then?" soalan mudah diberikan.
"Then, I tak boleh terima! " tempelak Akif kuat. Melengking suaranya bergema.
Melissa tersenyum senget.
"Why you tak boleh terima kalau mereka pasangan kekasih? " soal Melissa.
"Sebab I cintakan Aulia. I sukakan dia. " ujar Akif lemah.
Melissa terdiam. Kali ini dia terkedu. Tidak pernah terlintas di fikirannya kalau selama ini Akif menaruh perasaan kepada Aulia. Fikirnya, Akif melayani Aulia sama seperti dia melayani perempuan-perempuan lain namun anggapannya meleset sama sekali.
"So, apa tindakan you bila you dah tahu benda ni?"
Akif menjungkitkan bahu. Dia juga buntu untuk melakukan cara apa untuk mendapatkan Aulia. Tapi, mengenangkan apa yang dikatakan Aulia sebentar tadi yang hanya menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan mengundang rasa pedih di hati.
Betapa dia berharap selama ini dia diberikan peluang oleh Aulia untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius. Namun, belum lagi menyulam harapan, awal-awal lagi sudah diputuskan tali harapan tersebut.
"I rasa you patut ikut kata you untuk dapatkan Aulia. Lagipula, Benjamin abang tiri Aulia. Tak mungkin kedua orang tua mereka akan restu. Betul tak? " pancing Melissa perlahan.
"Bukan soal restu yang menjadi masalahnya sekarang Mel. "
"Dah tu? "
"Masalahnya, I bertepuk sebelah tangan. Masakan berbunyi. Aulia dan Benjamin saling cinta antara satu sama lain. Mana mungkin semudah tu cinta Aulia akan beralih arah pada I? " tutur Akif kasar.
Melissa berdeham. Ada benar juga kata Akif. Kalau dia jadi Aulia, pasti juga dia memilih Benjamin yang cukup segala pakej. Lengkap sebagai material husband.
Mengenangkan Benjamin yang sudah menjadi kekasih Aulia menjentik rasa cemburu di hatinya. Betapa dia juga selama ini berusaha untuk mengabaikan perasaannya pada Benjamin. Kalau tidak kerana janji, sudah lama Benjamin itu ditakluki.
"Tak semestinya satu cara sahaja untuk dapatkan dia. Mesti ada banyak cara lagi. Betul tak? "
Akif terdiam. Memanggungkan kepalanya lambat-lambat saat mendengar kata-kata Melissa. Entah kenapa, dia dihambat rasa kurang senang dengan ayat tersebut. Seolah-olah ia punya maksud yang tersirat dan tersurat.
"Maksud you?" soal Akif berbisik perlahan.
Melissa tersenyum senget.
"Tak ada maksud apa-apa. Cuma, dalam hidup ni kalau nak dapatkan sesuatu ada pelbagai cara. Sama ada cara elok atau cara halus. " perlahan disampaikan kata-kata itu menyapa halwa telinga Akif.
Akif terngadah. Cuba sebaik mungkin untuk menghadam kata-kata Melissa sebentar tadi. Walaupun dia kurang jelas dengan maksud Melissa, tapi dia seakan-akan dapat mengagak apa yang cuba disampaikan kepadanya.
Cara halus? Maksud Melissa adakah dia perlu dapatkan Aulia dengan cara yang tidak elok? Ahh, dia belum tega sampai ke tahap itu.
"Okay lah. I keluar dulu. Renung-renungkanlah apa yang I cakap kat you tadi. " serentak kerusi ditolak perlahan ke belakang.
Baju yang tersarung kemas di tubuh dibetulkan. Rambut dialunkan lembut sebelum langkah penuh gaya dibawa menuju keluar daripada bilik Akif bersama sebuah senyuman manis menghiasi bibir seksi miliknya.
Bunyi hon di jalan mengembalikan fikirannya yang terbang melayang menjelajah kejadian siang tadi. Sesuatu mula terlintas di fikirannya. Kali ini dia nekad untuk mendapatkan apa yang diingini.
Nafas dihembus kuat sebelum menapak masuk ke dalam rumah menuju ke ruang kamar biliknya. Harap apa yang diinginkan terlintas masuk ke dalam mimpinya agar tidurnya malam ini dibuai mimpi indah.
Lepas ni nak cuti update seminggu boleh tak? hahaha. Get ready! Manis2 dah nak habis.
Share this novel