"Tak guna! Kau memang sial lah perempuan! Dua-dua tak guna! Menyusahkan aku!" punggung dihenyak kasar ke kerusi. Rambut yang beralun cantik diserabutkan.
Dikerling sekilas barang di meja yang bertaburan akibat ditolak sebentar tadi. Kembang kempis hidungnya menahan rasa amarah yang membara di dada.
Gigi diketap rapat. Kedengaran giginya yang berlaga. Bergesel sesama sendiri seakan mahu patah. Dada yang berombak turun naik kelihatan jelas.
Dipandang cermin solek yang retak seribu dilempar dengan telefon bimbit miliknya. Saat mendengar perkhabaran yang berlaku, dia seakan dirasuk syaitan.
Habis bertaburan barang dilemparkan ke sekitar biliknya. Ikutkan hati yang membara, meja kerusi solek mahu diterbalikkan.
Sati demi satu wajah-wajah tersebut terbayang di wajahnya. Setiap satu wajah yang terbias di ruang fikirannya kian membangkitkan kemarahan dan kebencian yang ada.
Mengingatkan seorang, makin laju nafasnya. Tidak disangka betapa liciknya si gadis memanipulasi keadaan hingga berjaya mendapatkan apa diinginkan. Lari jauh daripada rancangannya.
Teringat sebelum kejadian yang berlaku. Kejadian yang berjaya memisahkan pasangan sejoli tersebut. Patutlah beria-beria si gadis meminta dia untuk menjalankan misi tersebut seorang diri, rupanya ada udang di sebalik batu. Dasar gunting dalam lipatan!
Sebijak dan selicik dia juga bisa ditipu oleh perempuan itu. Salahnya juga terlalu mempercayai si gadis itu hinggakan akhirnya memakan dirinya sendiri. Mengenai kejadian tersebut, adalah rancangan mereka berdua sahaja.
Daniel, entah lah. Tetiba sahaja lelaki itu menarik diri di saat akhir. Tidak mahu terlibat dalam rancangan licik mereka. Sungguh mereka dilanda hairan, entah apa yang merasuk Daniel juga tidak tahu.
Dan sekarang, Daniel seakan lenyap. Tidak tahu mana letak duduknya. Lantaklah! Bukan menjadi urusan utama dia sudah ketiadaan Daniel. Sekarang ini, apa yang menjadi
Keutamaannya ialah Melissa. Ditambah dengan desas-desus mengatakan Benjamin akan melangsungkan pertunangan dengan Melissa semakin tidak senang duduk dia dibuatnya.
Kalaulah dia tahu bahawa Melissa selicik ini, malah lebih licik daripada dia, dia tidak akan sesekali melibatkan Melissa dalam rancangannya.
Namun, satu hal yang dia lupa kalau Melissa juga seorang wanita yang punya hati dan perasaan. Pasti mudah sahaja jatuh cinta dengan lelaki sekacak dan sebijak Benjamin. Tambahan dengan aura dan karisma lelaki tersebut mudah sahaja dirinya terpaut.
Kini, dia mahu biarkan dulu. Mahu lihat setakat mana liciknya si gadis.
Tapi dia seakan dapat mengagak kalau Benjamin bukanlah seorang yang mudah untuk ditipu kerana dia tahu betapa bijaknya Benjamin Luthfias.
Jika tidak kerana kebijakannnya mana mungkin dia bisa dipilih sebagai Top Young Bussinessman. Benjamin,bukanlah lelaki yang semudah disangka. Kebijaksanaan yang dimiliki oleh lelaki itu kadangkala tidak terjangkau dek akal fikiran seseorang.
••••
Aku memerhati tubuh yang masih berkemban dengan kain tuala. Memerhati sekujur tubuh yang berada dalam cermin meja solek. Sekilas, aku teringatkan kejadian semalam.
Bila aku fikirkan kembali, terasa kejadian yang berlaku semalam seolah-olah sebuah mimpi. Mimpi indah yang kalau boleh aku mahu nikmati selalu. Masih terasa kehangatan bibir kami bersatu sekaligus mengundang merah di wajahku.
Sungguh, tidak kusangka tindakan Benjamin semalam. Dikucupku seolah aku lah perempuan yang paling dia cinta. Namun, memikirkan dia sudah menjadi tunangan orang, cepat sahaja aku usir jauh anggapan tersebut.Â
Aku kembalikan semula fikiran ke realiti hari ini. Hari ini merupakan hari ternoktahnya pekerjaan ku di syarikat Megah Jaya Holding, syarikat milik daddy. Maka, untuk hari terakhirku di syarikat, aku mahu tampil yakin di tempat yang terselit seribu satu kenangan.
Sepasang sut pejabat berwarna dusty pink aku sarungkan ke tubuh. Rambut aku gayakan sanggul tinggi. Wajah aku tatarias agak luar biasa hari ini berbanding hari-hari biasa. Biar tampil lebih yakin dan semangat untuk hari terakhir ini meskipun dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa rapuhnya aku.
Sehingga kini, Benjamin masih belum dikhabari akan kepergianku untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Biarlah, kalau boleh biar diketahui ketika aku sudah terbang di awan biru.
Kerana, aku tidak sanggup untuk melihat apa reaksinya. Namun, aku yakin pasti dia bergembira dengan kepergian kerana selepas ini tiada lagi kelibatku yang akan menyapa ruang matanya. Sudah tentu dia mahu bahagia tanpa merasa terganggu dengan adanya aku.
Aku melepaskan sebuah keluhan panjang. Sebuah senyuman aku ukirkan kepada diri sendiri. Menoleh ke belakang, aku menapak ke birai katil. Tangan mencapai sebuah sampul surat yang mengandungi surat peletakan jawatanku.
Bibirku ketap perlahan. Sejujurnya, dalam hidup ini memerlukan pengorbanan. Untuk mencapai sesuatu yang kuinginkan, aku harus berkorban akan sesuatu. Sesuatu yang kadangkala berat untuk kita lakukan.
Aku menapak turun ke ruang makan. Berjalan perlahan menuruni anak tangga satu persatu. Dari pintu masuk dapur, sudah terdengar sayup-sayup suara orang bergelak ketawa.
Aku mengerutkan dahi. Masing-masing seolah bergembira. Mungkin meraikan majlis pertunangan Benjamin bersama Melissa semalam. Aku melepaskan deheman.
Pantas serentak tiga pasang mata memanah tepat ke wajahku yang tercegat di pintu masuk.
"Sini sayang. Sarapan. " ajak mummy mesra.
Aku gariskan sebuah senyuman. Kepala aku anggukan sebelum bergerak menuju mengambil tempat di sebelah mummy.
Aku perhatikan Benjamin yang ralit menilik aku dari atas ke bawah. Mungkin agak hairan dengan penampilanku yang sedikit luar biasa hari ini. Namun, aku beriak biasa. Seakan tidak terkesan dengan renungan membunuh daripada dia.
Aku labuhkan dudukku di sebelah mummy. Kot yang tertarik aku betulkan. Benjamin masih memerhatikan aku dalam diam. Aku perasan kalau sekalipun renungan tidak beralih dariku.
"Lia nak makan apa? Mummy ambilkan. " soal mummy lembut.
Aku memerhati hidangan di atas meja pagi ini. Ada nasi lemak, bihun goreng, karipap dan juga sandwich telur. Aku unjukkan tangan ke arah bihun goreng yang ditaburi telur dadar.
Pantas, disendukkan ke dalam pingganku. Dituangkan pula air neslo untukku. Aku tunduk menyuap perlahan sarapan memasuki ruang mulut. Aku kunyah perlahan.
Ikutkan hati rasa tak tertelan makanan di dalam mulut mengenangkan renungan tajam Benjamin. Tapi memandangkan perut yang bakal masuk angin kelak angkara tidak diisi, aku gagahi suapkan ke mulut jua.
"Cantik anak mummy hari ni. Macam bidadari. Patutlah orang tu pandang tak lepas.. " mummy sengetkan tubuh menyendeng di sebelahku. Dibisikkan kata-kata tersebut di telingaku.
Aku menoleh ke sisi. Merenung mummy yang mengenyitkan mata ke arahku. Perlahan, aku tukarkan renungan ke arah Benjamin.
"Lia dah buat keputusan? " soal daddy tiba-tiba.
"Keputusan apa? " soal Benjamin kalut. Kedengaran kuat suaranya mengajukan soalan.
Aku yang menunduk menekur menjamah makanan tercengang. Aku panggungkan kepala. Tiga pasang mata kini menanti jawapanku dengan riak yang berbeza. Paling ketara sekali adalah riak wajah Benjamin yang terbias rasa ingin tahunya.
Aku berdehem. Membetulkan peti suara. Menghabiskan kunyahan dalam mulut. Sudu aku letakkan ke tepi pinggan.
"Dah, daddy. " balasku ringkas. Daddy menganggukkan kepala.
"Dah muktamad? "
Sekali lagi, aku berikan anggukan.
Mummy meraih jemariku di atas meja bersebelahan dengan jemarinya. Digenggam erat jemariku.
"Goodluck, sayang. " ucap mummy tersenyum manis.
"Wait. Keputusan apa ni? Mummy? Daddy? Did anyone mind to tell me? " soal Benjamin hairan. Berdeting bunyi sudu dilepaskan dari genggamannya. Dipandang setiap satu wajah yang berada di hadapannya. Mencari jawapan pada soalan yang diajukan.
Aku diam. Mummy dan daddy juga turut mendiamkan diri. Malah, dengan selamba meneruskan sarapan pagi seolah-olah soalan Benjamin sebentar tadi tidak kedengaran langsung menyapa halwa telinga mereka.
"Aulia! " seru Benjamin dingin.
Aku pantas panggungkan wajah. Menentang seraut wajah tampan di hadapanku.
"Do you mind to tell me? " soal Benjamin tidak bernada.
Aku pantas menoleh ke arah mummy dan daddy yang dalam diam menanti jawapan balas daripadaku untuk Benjamin.
Aku mengeluh perlahan. Sesaat, aku kembali menyuapkan kembali makanan ke dalam mulut.
Benjamin tertawa sinis.
"What's wrong with you all? " tukas Benjamin keras. Keluhan kuat dilepaskan.
"Lia dah siap makan?" soal daddy mengubah topik perbualan.
Aku anggukkan kepala. Daddy tersenyum dengan balasanku.
"Jom gerak. Hari ini biar daddy yang bawa Lia pergi pejabat. " usul daddy.
Aku terdiam. Terharu dengan pelawaan daddy di hari terakhirku bekerja di syarikatnya. Perlahan, senyuman manis bersulamkan rasa terharu aku ukirkan.
Daddy bingkas berdiri. Aku turut berbuat demikian. Sut aku betulkan. Perlahan, aku melangkah menyoroti derap langkah daddy dari belakang.
Tidak betah melihat aku yang berjalan melepasi belakang tubuhnya, Benjamin turut bingkas berdiri. Dibetulkan kemeja kerjanya yang sedikit renyuk sebelum turut melangkah laju mengikutiku dari belakang.
Mummy hanya mampu menggelengkan kepala melihat ragam kami.
Aku yang terasa derap langkah kaki panjang milik Benjamin di belakangku yang semakin mendekati, segera kulajukan langkah yang agak pincang gara-gara Benjamin.
Namun, dilelarkan pergelangan tanganku dari belakang. Ditolak tubuhku ke dinding yang agak terselindung daripada dapat diperhatikan oleh penghuni rumah ini.
Aku terpana. Benjamin bertindak mengepungku dengan kedua belah tangan kekarnya. Dirapati wajahku yang mendongak memandangnya. Aku menahan kedua tangan di dadanya. Mengelak daripada kejadian semalam berulang kembali.
"Tell me. Keputusan apa? " tegas Benjamin menyoal. Sekali sekala dilirik matanya ke luar. Mencari kelibat daddy.
Aku merenung Benjamin. Turun ke dadanya yang bidang. Bibirku gigit perlahan.
"Tell me, Aulia. " desak Benjamin lagi.
Aku diam. Bergetar bibirku saat ini. Namun, aku cekalkan hati untuk tetap dengan keputusanku agar tidak memberitahu tentang hal aku melanjutkan pelajaran ke Australia.
"Tak ada apa. " balasku perlahan.
Benjamin berdecit perlahan. Ketawa sinis meletus daripada mulutnya.
"Please. Just tell me the truth Aulia." keras Benjamin berbisik di telingaku.
Aku menggelengkan kepala. Menggenggam sisi baju kuat.
"Tak ada sebab untuk abang tahu. " bidasku.
"Ada! Sebab I ni... "
"Sebab abang ni abang Lia? Itu yang abang nak kata? " cantasku kuat. Tatapan tajam aku berikan kepada Benjamin.
Giliran Benjamin pula diam. Hanya bebola matanya sahaja tunak merenungku. Perlahan, dihela nafasnya panjang.
"Tak kisah lah apa yang I nak kata. Apa yang I nak tahu sekarang adalah mengenai keputusan apa yang you dah buat. " ulas Benjamin tidak bernada.
Aku hembus nafas dalam. Bibirku kemam. Tidak betah dengan keadaan sebegini, aku tolak tubuh Benjamin ke tepi. Terinjak tubuh sasa itu dengan tolakanku.
Sekejap aku hentikan langkah yang aku orak. Menoleh ke arah Benjamin yang terpasak merenungku dengan riak tidak puas hati.
"Antara kita sekarang ada batas. Lia harap abang masih tahu batas abang sebagai tunang Melissa. One more thing, you're not my blood brother. It's over between us. " ucapku tegas dengan mata berkaca.
Benjamin kulihat terkedu dengan kata-kataku. Hanya bibirnya sahaja yang bergerak ingin mengatakan sesuatu kepadaku. Serentak aku pusingkan kembali tubuh menuju ke arah kereta yang sudah dipanaskan enjinnya oleh daddy. Hanya menunggu untuk aku loloskan diri.
"Jom. " ajak daddy lembut.
Aku hanya berikan daddy anggukan sebelum bergegas masuk ke kerusi penumpang.
••••
Aku liarkan pandangan ke sekitar ruang pejabat milikku. Sesaat tidak lepas mata menilik setiap penjuru ruang. Terbayang seketika kenangan antara aku dan Benjamin.
Saat ketika aku dipujuk oleh dirinya akibat daripada salah faham tentang Akif. Tidak kutahu kalau puncanya adalah kerana cemburu dia terhadap Akif. Mengenangkan itu aku tersenyum sayu. Tidak sangka kalau bahagia itu sekejap benar mengetuk hatiku.
Laci yang tertutup rapat aku tarik perlahan. Terbias sepucuk sampul surat yang terisi dengan surat peletakan jawatan ku pada hari ini. Lama renunganku jatuh pada surat tersebut.
Keluhan lemah aku lepaskan. Panggungkan kepala ke atas, aku raup seketika wajah. Mencari titik kekuatan untuk menamatkan segalanya hari ini. Jam tangan yang tersangkut di pergelangan tangan, aku tilik.
Tepat pukul tiga petang. Hanya tinggal lebih kurang dua jam sahaja lagi masa yang aku ada untuk ketika ini. Aku tolak kerusi ke belakang. Bingkas berdiri. Aku betulkan letak duduk baju yang tersarung.
Aku menundukkan wajah. Merenung sekali lagi sampul yang terdampar di dalam laci meja kerja milikku. Seketika, bunyi interkom mengejutkanku.
"Ya Kak Mona. Ada apa? " soalku perlahan dengan mata masih lagi merenung sampul surat di laci.
"Dato suruh Cik Lia ke bilik dia. " disampaikan pesanan daddy kepadaku.
Aku menepuk perlahan dahiku. Terlalu larut dengan perasaan hingga aku terlupa akan pesanan daddy sewaktu dalam perjalanan menuju ke syarikat.
Dititipkan pesanan kepadaku agar aku datang ke pejabatnya sekitar pukul tiga untuk menyerahkan surat peletakan jawatan. Nafas kusedut dalam. Mencari kekuatan yang masih sedikit tersisa.
Aku capai perlahan sampul surat yang terdampar. Aku angkat perlahan sebelum kugenggam erat. Aku menapak menuju ke arah pintu pejabat milikku. Kupulas perlahan tombol pintu tersebut. Mata segera terpandangkan seraut wajah Kak Mona sebaik sahaja kaki menapak keluar daripada ruang pejabat.
Suram wajah Kak Mona menjentik tangkai hatiku yang sudah sedia dihambat rasa pilu. Kak Mona tersenyum bersulamkan sedih di bibirnya. Aku membalas senyuman kak Mona.
"Cik Lia.." perlahan Kak Mona memanggilku. Kak Mona bangunkan tubuhnya yang berisi.
Dijatuhkan renungannya ke surat di tanganku.
"Dah tiba masanya ke? " soal Kak Mona dengan mata berkaca.
Aku merapati Kak Mona. Kedua belah bahu kak Mona aku paut kejap. Perlahan, aku anggukkan kepala.
"Jangan lupakan Kak Mona ya. " pesan kak Mona sudah tersebek-sebek ingin menangis.
"Saya takkan lupakan Kak Mona. Terima kasih untuk segalanya. " ucapku lembut seraya membawa tubuh Kak Mona ke dalam pelukanku.
Kak Mona membalas kejap pelukanku. Terdengar esakan Kak Mona. Terinjut-injut bahunya menahan esakan. Aku mengusap perlahan belakang tubuh Kak Mona.
Kak Mona pantas meleraikan pelukan di tubuhku. Air mata yang membasahi pipinya diseka kasar. Kak Mona termalu sendiri saat menyedari tindakan di luar kawalannya.
"Maaf Cik Lia. Kak Mona emosi pula. Cik Lia pergilah jumpa Dato. Dato dah tunggu Cik Lia. " ujar Kak Mona masih dengan nada sebak.
"Tak apa. Saya faham. Nanti ada rezeki kita jumpa lagi. "
Aku tersenyum sebelum bergerak menuju ke arah bilik daddy.
Pintu yang sememangnya sudah sedia renggang aku tolak perlahan. Sejenak, terbias sekujur tubuh tua milik daddy dari belakang yang ralit menghadap suasana petang yang masih sibuk dengan hal duniawi sebalik tirai jendela.
Aku tercegat di tengah-tengah ruang pejabat mewah milik daddy. Memberi ruang seketika kepada daddy melayani panorama petang.
"Dah sampai masanya ke? " soal daddy perlahan. Hanya suara sahaja yang kedengaran menyapa diriku sebaliknya tubuh masih lagi memandang ke langit cerah.
"Dah daddy. " balasku perlahan.
Daddy memusingkan tubuhnya lambat-lambat ke arahku. Direnung sekujur tubuhku dengan renungan mendung.
"Memang Lia kena pergi ke? " soal daddy sekali lagi.
Aku terdiam dengan soalan yang cukup berat untuk aku jawab. Perlahan aku rapati daddy.
"Daddy tahu kan jawapannya? " soalku berbalas dengan soalan.
Daddy mengeluh.
"Tak tahu lah Lia. Daddy rasa macam tak boleh nak terima Lia resign. Mungkin sebab dah biasa nampak Lia datang kerja di pejabat. Dah biasa ada Lia di rumah kita yang sebelum ni sunyi sepi. " luah daddy tertawa kaku.
Aku diam. Hanya memasang telinga mendengar luahan daddy yang selama ini jarang diperkatakan.
"Sungguh daddy akan terasa dengan kepergian Lia. Betapa kehadiran Lia di rumah kita membahagiakan kami. Tapi jika ini yang terbaik, daddy terima keputusan Lia dengan hati terbuka."
Aku tersenyum sayu. Rasa sebak yang bertandang kini makin kuat menghentam dada. Kenapa daddy harus wujudkan rasa serba salah dalam diriku ini?
"Lia akan pulang semula kan satu hari nanti? "
Aku mengangguk laju. Daddy tersenyum. Digenggam erat jemariku. Aku membalas genggaman tersebut.
"Terima kasih atas kasih sayang daddy selama ni pada Lia. Terima kasih seban dah jadi seorang ayah yang baik pada Lia. In shaa Allah, suatu masa nanti Lia tetap akan pulang. " ucapkan menyimpul janji.
Aku akan pulang juga ke Malaysia bila tiba saatnya nanti. Cuma, bila masanya aku sendiri tidak tahu dan tidak yakin. Mungkin selepas habis belajar, mungkin juga beberapa tahun selepas habis belajar.
Entahlah, aku sendiri tidak punya jawapan. Doaku, agar kedua orang tuaku dipanjangkan umur agar aku masih berpeluang untuk menemui mereka ketika sudah tiba masanya untuk aku kembali.
"Mana surat peletakan jawatan, Lia? "
Sampul surat yang hampir renyuk aku genggam sebentar tadi, aku unjukkan ke arah daddy. Dengan perasaan sebak yang menjalar aku hulurkan. Menggigil tangaku saat sampul surat itu aku hulurkan.
"Daddy.." seruku.
"Hurmmm.. "
"Abang tak tahu kan pasal Lia sambung belajar? " soalku teragak-agak.
Daddy tersenyum seraya menggelengkan kepala.
"Jangan risau. Dia tak tahu. "
Belum sempat sampul surat tu dicapai oleh daddy, tangan seseorang terlebih dahulu menyambutnya. Aku terpana. Daddy terkesima.
Mataku membuntang besar saat sekujur tubuh lampai milik Benjamin sudah terpasak di tengah-tengah antara kami. Aku merenung tajam matanya yang turut merenung ke mataku.
Bergetar bibirku saat ini. Tidak kusangka akan keberadaan Benjamin di saat aku serahkan surat ini kepada daddy.
"Su... Su.. Surat apa ni? " surat yang direngkuh dari tanganku di angkat tinggi gaya seolah sedang berikrar. Bersilih ganti renungan diberikan kepadaku dan daddy yang turut tercengang dengan kehadiran Benjamin.
"Daddy. Ben tanya, surat apa ni? " ditoleh ke arah daddy dengan riak wajah tegang. Serasa mahu meletup dadanya saat sebuah sampul surat dilayangkan ke arah daddy.
Bukan niatnya untuk menceroboh masuk ke dalam bilik daddy. Kebetulan dia punya urusan di aras ini, maka alang-alang dia berfikir untuk menjenguk sebentar daddy di bilik. Sambil itu mana tahu dapat melihat seraut wajah cantik kesayangan hatinya.
Sejak Aulia dihantar berada terus di bawah daddy, dia dihambat rasa rindu. Silap dia terlalu lancang berkata-kata. Terlalu melulu dalam menjatuhkan hukuman. Akhirnya, diri sendiri yang nanar.
Pintu bilik yang sedikit renggang membuatkan dia dipagut rasa hairan. Tidak disangka pula saat dia menolak daun pintu, dia dihidangkan dengan adegan sebabak antara kedua anak beranak tersebut.
Daddy mencapai laju surat yang berada di tangan Benjamin. Digenggam kuat sebelum dimasukkan ke dalam poket seluar slack miliknya. Benjamin terkedu. Kenapa tiada seorang pun antara kami yang menjawab soalannya sebentar tadi.
Aku diam. Menunduk menekur merenung kasut di kaki. Terasa kelu lidahku untuk menjawab soalan daripada Benjamin. Dari ekor mata, aku perhatikan tapak kasut Benjamin yang menghampiriku. Dekat dan semakin dekat dan akhirnya hanya berjarak selangkah sahaja antara kami.
Aku perhati kaki lampai milik Benjamin yang hanya selangkah berjarak dariku. Dipaut lembut daguku mendongak ke wajahnya.
"Tell me Aulia Natasha. Surat apa tadi? " soal Benjamin tertahan.Â
Aku meramas jemariku. Wajah daddy yang serba salah di meja kerjanya aku renung. Meminta pertolongan dalam diam.Â
"Please. I beg you, jangan senyap macam ni. I need to know. " bisik Benjamin bergetar. Mendung sebening mata milik Benjamin memohon jawapan dariku.
Aku menggigit bibir kuat.
"Jom. Kita ke bilik mesyuarat.. " daddy bertindak meleraikan ketegangan antara kami apabila aku yang sedang terkulat-kulat berhadapan dengan Benjamin.
Benjamin pantas menoleh ke arah daddy. Mengerutkan dahi. Bilik mesyuarat? Setahu dirinya hari ini tiada sebarang mesyuarat yang diadakan. Tiada memo juga yang dikeluarkan.
Atau dia terlepas pandang? Kak Mas merangkap setiausaha dia juga tidak memaklumkan atau memperingati dia tentang agenda mesyuarat hari ini.
Ahh, dia sudah buntu. Berkecamuk perasaannya ketika ini. Wajah daddy yang suram serta wajah menunduk Aulia dipandang silih berganti.
"Mesyuarat apa? Kenapa Ben tak tahu? " soal Benjamin cemas.
Daddy tidak memberi sebarang jawapan. Sebaliknya maju ke arahku dan meraih jemariku sebelum diheret keluar daripada bilik pejabatnya menuju ke arah bilik mesyuarat.
Benjamin yang tercengang mendongak wajah ke atas. Meraup kasar wajah. Dihela nafas kuat sebelum langkah daddy dan Aulia dituruti dari belakang. Derap langkah kaki di belakang aku biarkan.
Dari kejauhan sudah kelihatan pintu bilik mesyuarat yang terbuka luas. Aku merenung belakang tubuh daddy yang menapak di hadapanku. Hampir tiba saatnya.
Setibanya di hadapan pintu bilik mesyuarat, ia sudah dipenuhi dengan para pekerja syarikat kami. Tidak kusangka begini sekali penghormatan terakhir yang diberikan untukku. Aku liarkan pandangan ke sekeliling ruang lingkup bilik mesyuarat.
Sesaat mata terpandangkan dua raut wajah yang menjadi kepada ranapnya hubungan aku dan Benjamin. Wajah Melissa ketat seperti biasa. Manakala Akif pula memandangku dengan pandangan mendung. Sebuah senyuman hambar diukirkan kepadaku. Aku turut tersenyum tawar.
"Come. Masuk,Lia.." arah daddy perlahan.
Benjamin terngadah di muka pintu. Hati makin dipagut rasa hairan. Kenapa boleh dikatakan semua pekerja syarikat mereka berada dalam mesyuarat kali ini. Lagi satu, kenapa seolah-olah bilik dilanda dengan garuda.
Hening, sepi, sayu dan suram. Seakan mereka sekarang lagi sedang berkabung. Menangisi sesuatu hal. Lain benar dengan mesyuarat yang berlangsung pada kebiasaannya, terdengar riuh rendah celoteh masing-masing sebelum miting bermula. Bila tiba kehadiran dia atau daddy baru keadaan jadi senyap sunyi.
Aku memerhati Benjamin yang melepasiku masuk ke dalam bilik. Diambil tempat sebelah kanan daddy. Aku turut menapak perlahan. Mengambil tempat di sisi kiri daddy. Kami saling mendepani antara satu sama lain.
Daddy berdehem. Mengemaskan kut di tubuh. Menarik kerusi lebih rapat ke arah meja. Aku pula menunduk menekur ke meja mesyuarat. Tidak berani untuk bertentang mata dengan renungan Benjamin.
"Mesti kamu semua tertanya-tanya kan kenapa kita semua berada dalam bilik mesyuarat pada hari ini?" soal daddy memulakan mukadimah pada petang ini.
Aku diam. Meramas jari-jemari di ribaan sendiri. Benjamin mengalihkan renungan kepada daddy di hujung meja.
Kelihatan kesemua para pekerja menganggukkan kepala. Mengiakan pertanyaan yang diajukan daddy.
Daddy turut mengangguk faham. Perlahan dibawa renungannya ke arahku yang menekur di sisi kirinya. Dihela keluhan kecil sebelum kembali meneruskan pandangan ke hadapan.
"Mesyuarat pada kali ini bukanlah sebetulnya mengenai agenda mesyuarat tapi ia lebih kepada memberi penghargaan terakhir kepada pekerja kita." ucap daddy kuat.
"Jadi, untuk tidak membuang masa, saya menjemput Cik Aulia Natasha, selaku pegawai pengurusan perniagaan antarabangsa untuk memberikan sepatah dua kata. " daddy mengunjukkan tangan kepadaku.
Memberi laluan kepadaku untuk memulakan bicara. Sekilas aku renung Benjamin yang sudah seratus peratus riak wajahnya. Aku berdehem. Menghilangkan debar di hati.
"Selamat petang dan salam sejahtera." ucpaku di awalan permulaan ucapan.
"Pertama kali, terima kasih kerana pada petang ini anda semua sudi untuk meluangkan masa berada dalam mesyuarat ini. "
Kesemua pekerja hanya tersenyum.
"Terima kasih banyak-banyak. First of all, saya amat berbesar hati dan berbangga kerana diberi ruang dan peluang untuk menjadi salah seorang tenaga pekerja di sini. Menjadi pekerja di sebuah syarikat gergasi begini, adalah impian semua orang. Tidak terkecuali juga saya."
Aku menghela nafas. Mengambil ruang untuk bertenang seketika.
"Berada dalam persekitaran kerja yang kondusif di syarikat ini membuatkan saya gembira dan selesa walaupun ada juga orang yang cuba untuk sabotaj saya. " ujarku memberitahu hal yang sebenar.
Melissa yang berada di bersebelahan Benjamin berubah riak. Ketara benar seraut wajah itu ketakutan dan serba salah. Aku renung tajam ke dalam matanya.
Para pekerja lain juga tidak melepaskan peluang saling berbisik sesama mereka mengenai orang yang bertanggungjawab sabotajku.
Daddy hanya tersenyum tenang. Benjamin kulihat mengerling sekilas ke arah Melissa di sebelahnya.
"Kepada orang tersebut, I wish goodluck in your future. Saya harap semoga awak berdoa supaya tidak lagi bertemu dengan saya di masa depan. Kerana, saya sendiri tidak pasti apa yang akan saya lakukan kalau kita bertemu. Jadi, daripada mengelakkan awak menyesal, maka lebih baik awak berdoa daripada sekarang! " tegasku sambil tersenyum sinis ke arah Melissa.
Kelihatan para pekerja masing-masing bersorak dan bertepuk tangan dengan ketegasan yang aku pamerkan. Benjamin kulihat turut bertepuk tangan.
"Kepada yang pernah berkerjasama atau bekerja di bawah saya, saya minta maaf jika ada salah dan silap saya selama ni. Saya selesa dan seronok berkerja dengan anda semua. Untuk mentor saya, Kak Mona terima kasih atas segalanya. Semoga Kak Mona lebih berjaya di masa hadapan." ucapku kepada Kak Mona yang asyik mengelap tubir mata.
Aku mengeluh perlahan. Mata mulai berkaca bila mengenangkan sudah hampir masanya aku untuk mengumumkan peletakan jawatanku.
"Berat untuk saya ambil keputusan ini. Berat untuk saya tinggalkan anda semua. Tapi saya harus mengorbankan apa yang saya ada sekarang demi sesuatu yang lain. Yang mana sesuatu bagi saya yang lebih penting. "
Benjamin kulihat sudah gelisah di tempat duduknya. Jari jemari seksinya di atas meja kulihat meramas sesama sendiri. Direnung akj tidak berkelip.
Sekali lagi kusedut nafas dalam.
"Saya dengan ini mengumumkan bahawa saya meletak jawatan dengan notis dua minggu sebagai pegawai pengurusan perniagaan antarabangsa di syarikat Megah Jaya Holdings.." dengan senafas aku umumkan peletakan jawatanku.
Semua terkesima. Akif yang menunduk membutangkan matanya. Melissa kulihat kaku di tempat duduknya. Keadaan sunyi sepi seketika sebelum perlahan-lahan mulai kedengaran riuh rendah pekerja bercakap.
Ada yang mengeluh, ada yang sudah menitiskan air mata, tidak kurang ada juga yang terkejut besar.
"Saya tahu tindakan peletakan jawatan saya ini sangat drastik tapi percayalah bahawa keputusan saya ini tidak didorong oleh mana-mana pihak dan ianya datang daripada diri saya sendiri. Terima kasih untuk semuanya. Semoga kita semua berjumpa lagi. Sekian. " aku mengakhiri ucapan.
Aku membongkokkan badan. Tanda hormatku kepada mereka. Seketika, kesemua yang ada serentak bangun turut menunduk hormat ke arahku.
Benjamin terkedu. Pantas tubuhnya dibangunkan. Berdiri seiring denganku.
"Seriously Aulia Natasha? " soal Benjamin kuat.
"You know the answer Benjamin. No need to ask twice! " tukas daddy dingin.
"You ikut I! " pantas dilelar tanganku menuju keluar daripada ruang lingkup bilik mesyuarat yang sudah riuh rendah dengan gosip hangat mengenai peletakan jawatan olehku.
Daddy hanya mampu menggeleng. Doanya semoga Benjamin matang untuk membenarkan Aulia ke luar negara.
Sampai sahaja di pintu bilik pejabatku, dihumban aku ke sofa empuk yang tersedia berdekatan rak yang tersusun pelbagai jenis fail dan dokumen.
Aku membetulkan duduk. Diam tanpa sepatah kata. Lebih selesa menunduk daripada menentang seraut wajah yang menyinga di hadapanku.
"Kenapa tiba-tiba? " Benjamin memecahkan suasana tegang antara kami.
Tubuh dibelakangiku. Tali leher yang membelit kemas di lehernya pantas dirungkai kasar sebelum dicampak ke sayap sofa. Lengan baju kemeja kerja disinsing. Kedua belah tangan mencekak sisi pinggang.
"Tell me Aulia Natasha! " bentak Benjamin kuat.
Aku dongakkan wajah yang sedari tadi menunduk. Bingkas berdiri merapati Benjamin dari belakang.
"Abang tahu jawapannya.. " ujarku perlahan.
Benjamin bingkas menoleh ke arahku.
"No. I tak tahu jawapannya. So tell me! " desak Benjamin masih lagi tidak mahu memahami.
"Tapi Kenapa tiba-tiba macam ni? " soal Benjamin perlahan setelah menenangkan diri seketika.
"Lia akan ke Australia.." kataku berterus-terang.
Benjamin terdiam. Hanya bebola matanya bergerak menilik seraut wajahku yang sudah merah menahan perasaan. Matanya membuntang memandangku.
"Au..s.. Australia? " soal Benjamin gagap.
Aku anggukkan kepala lemah.
"Bila? Buat apa pergi sana? "
"Awal bulan depan Lia ke sana. Sambung belajar.." balasku lantas terus menceritakan tujuan aku ke sana.
Aku mengalihkan renungan ke arah tirai bilik yang memaparkan keindahan panorama petang. Tidak betah untuk merenung seraut wajah yang aku cintai dihurung rasa sedih.
"Berapa lama you ke sana? " soal Benjamin sayu.
"Empat tahun.."
"Empat tahun? " Benjamin terjerit kuat.
Aku anggukkan kepala.
"Kenapa perlu pergi sejauh ni sayang?" keluh Benjamin lemah.
Aku terkedu. Kaku dengan gelaran sayang yang diberikan kepadaku.
"Sebab ini peluang untuk Lia. Lagipun, Lia tak nak ganggu hubungan abang dengan Mel. Mel pun dah jadi tunang abang. Lia taknak dengan keberadaan Lia di sini buat korang rasa terganggu. " jelasku akan keputusan yang kubuat.
"Kenapa perlu pergi sejauh ni dari abang, sayang. Kenapa? " bisik Benjamin bergetar.
Aku turut dihentam sebak.
"Macam yang Lia cakap, Lia rasa ini yang terbaik untuk kita. Hati Lia dah cukup terluka dengan semua ni. Lia dah penat. Lia tak nak jadi penghalang antara abang dengan Mel lagi. " tukasku.
Benjamin diam. Bibirnya diketap rapat. Dia sudah berjanji, mana mungkin dia mungkiri.
"Tak. You dah salah faham. I dengan Mel.. "
Aku angkat tangan. Tepat di hadapan wajah Benjamin yang belum sempat habisi kata-katanya.
"Cukuplah abang. Cukup! Lia dah tak nak dengar apa-apa lagi dah. Lia rasa ini yang terbaik untuk kita semua. Sekarang, Lia cuma minta supaya relakan Lia pergi. Cuma itu yang Lia minta. " ucapku sebak.
Benjamin merapatiku yang sudah mulai teresak membelakanginya Perlahan, dirangkul tubuhku erat ke dalam pelukannya. Disembankan wajahnya ke leherku. Aku yang sememangnya lemah dan lelah hanya membiarkan tindakan Benjamin.
Dikucup bertalu-talu kepalaku. Kejap pelukannya seolah memberitahu kalau dia tidak rela akan kepergianku. Semakin deras air mata yang berlumba menuruni pipiku.
Perlahan dipusingkan tubuhku mendepaninya. Ditarik aku ke dalam pelukan. Aku yang teresak menyembankan wajah ke dada Benjamin. Aku rangkul erat pinggangnya. Teresak-esak aku melepaskan perasaanku di dadanya.
Benjamin turut mengalirkan air mata. Menitis lesu membasahi pipinya saat ini. Merelakan seseorang yang disayangi, dicintai untuk pergi jauh meninggalkan dirinya, bukanlah satu perkara yang mudah. Tapi untuk menjadi seseorang yang pentingkan diri sendiri, bukanlah sikapnya.
Makin kuat aku melagukan tangisan. Pelukan di tubuh Benjamin kemaskan. Perlahan aku dongakkan wajah. Merenung wajah Benjamin yang turut dibasahi air mata jantannya.
"Izinkan Lia,pergi. " bisikku bersama tangisan.
Perlahan direnung aku dengan sayu bersama sebuah senyuman tawar tidak bergula. Sebuah kucupan diberikan di kedua belah pipi dan dahiku sebelum di akhiri kucupan tersebut di seulas bibirku. Aku memejamkan mata.
"Pergilah sayang. Kalau itu yang dapat membahagiakan you. Maafkan I.. " ucap Benjamin sebak. Tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan sebak yang bertandang hebat menghentam pelusuk dadanya saat ini.
Sesaat, dileraikan pelukan antara kami sebelum Benjamin melangkah lesu keluar daripada bilik pejabatku. Aku melorot jatuh ke lantai. Menangisi kepergian Benjamin.
'Abang! ' rintihku pilu.
Saya update satu lagi chapter. Drop your comment. So, Saya boleh cuti seminggu!!!! Enjoy reading. lol
Share this novel