BAB 33

Romance Series 247373

Aku menangis memeluk lutut. Mendakap rapat kedua kepala lutut ke wajahku. Seminggu sudah kejadian yang berjaya meranapkan ikatan antara aku dan Benjamin. Betapa kejamnya manusia yang bertindak menghancurkan segalanya.

Kenapa mesti hubungan kami yang dipertaruhkan? Kenapa mesti cinta kami yang menjadi galang ganti? Kenapa aku dan Benjamin yang menjadi mangsa dendam mereka sedang mereka sendiri yang mencipta segala jenis kebohongan selama ini!

Aku biarkan air mata berlumba-lumba menuruni pipiku yang sudah agak cengkung. Aku menangis teresak-esak. Merebahkan kepala yang tidak bermaya ke dinding bilik.
Segala rasa kini bercampur baur menghentam dada. Menjadikan aku semakin melemah dan lelah.

Mungkinkah bahagia itu cuma seketika? Mungkinkah kami tidak berhak untuk mengecapi bahagia itu?
Cahaya matahari yang menembusi langsir putih yang dipuput angin pagi tidak berjaya menenangkan hati aku yang basah dengan kejadian malam itu.

Sehingga kini, seakan terdengar tenpikan nyaring Benjamin yang berjaya mengejutkanku dari lena. Seakan terbayang wajah bengis menyapa raut wajahku. Betapa aku dapat lihat jelas kekecewaan dan kelukaan yang dialami Benjamin. Jujur, hati aku juga seakan direntap pergi saat menyedari apa yang telah berlaku.

Pintu bilik yang terkuak berjaya mengalihkan kepalaku yang sedari tadi lama tersemban di kedua celah lututku. Perlahan aku angkat wajah. Tersebek-sebek aku menahan esakan saat wajah mummy menyapa seraut wajahku.

"Sayang.." seru mummy bergetar. Aku mengigit kuat bibirku. Menahan esakan yang sekali lagi bakal terlepas.

Mummy menapak perlahan menuju ke arahku yang menyandar lemah di dinding bilik. Aku memandang sepasang kaki putih mummy dengan mata yang kabur dengan air mata.

"Miyyyyy.." seruku lemah.

Perlahan mummy bersimpuh di depanku. Ditarik wajahku tersemban di dadanya. Saat itu, aku mengonggoi kuat di dada mummy. Basah dada mummy dengan tangisanku.

"Mummy. Lia rindukan abang. Tolong mummy, Lia rindukan dia. " tubuh mummy aku goncang kuat. Meluahkan betapa aku memerlukan Benjamin saat ini. Perlukan dia untuk memujukku. Menyelesakanku dengan sentuhannya.

Mummy turut menitiskan air mata melihatkan keadaanku yang tidak ubah seperti ibu kehilangan anak. Aku bangunkan wajah dari dada mummy.

"Abang salah faham. Demi Allah, Lia tak curang dengan dia. Sumpah, hanya dia yang Lia cinta. "

Mummy mengusap wajahku yang basah berjejeran dengan air mata. Diusap wajah pucatku dengan kedua belah tangan. Betapa Remuknya hati seorang ibu saat diberitakan apa uang telah berlaku. Remuk lagi melihatkan keadaan si anak yang seakan lemah dengan bebanan perasaan.

Benjamin pula sejak daripada kejadian tersebut, terus sahaja membuat keputusan untuk menetap di kondonya. Meninggalkan Aulia dengan penyesalan yang berpanjangan. Namun, dia sama sekali tidak menyalahkan Benjamin kerana sedikit sebanyak dia turut memahami perasaan yang melanda Benjamin ketika ini.

"Mummy percayakan Lia kan? Percayalah mummy. Lia tak buat semua tu. Semua ni perangkap semata-mata. " direnung lembut wajah si anak yang sembab. Perlahan, dianggukkan kepalanya perlahan bersama air mata yang turut mengalir.

"Ya sayang. Ya!  Mummy percaya. Sabarlah Lia. Anggap semua ni ujian untuk Lia dengan Ben. Percayalah, satu hari nanti kebenaran pasti akan terbongkar." pujuk mummy mengusap kepalaku yang rebah di ribaannya.

"Lia rindukan abang." rintihku pilu.

"Bersabarlah sayang. Mummy sentiasa ada untuk Lia. Selamanya! " bisik mummy seraya mengucup bertalu kepalaku.

Aku menyembankan wajah ke ribaan mummy. Berharap kalau semua ini adalah satu mimpi ngeri yang akan menghilang saat aku celikkan mata bangun daripada lena.

••••

Aku mencelikkan mata perlahan. Tempikan dan sayup-sayup suara orang bergema nyaring menusuk ke ruang kecil telingaku yang paling dalam.

Tubuh yang terbaring kaku, aku bangunkan perlahan. Sesekali terdengar lagi gegak gempita di bawah. Tidak betah untuk berdiam sahaja, aku pantas menyelak selimut ke tepi.

Tubuh berlari laju menuju keluar daripada bilik. Kaki yang menapak laju terhenti secara mendadak saat telingaku disapa dengan sebuah suara yang aku rindukan sekian lama. Benjamin! Aku tekup mulut. Mata kembali berkaca saat terdengar suara tersebut di ruang tamu. 

"Abang! " seruku perlahan di anak tangga teratas.

Benjamin berpaling deras. Terbias seraut wajah suram milik Aulia. Terasa luruh rindunya saat sepasang mata bundar itu memanah tepat ke matanya. Untuk seketika, mereka saling berpapasan, melepas rindu yang membuak di dada.

Sekilas,kejadian malam itu kembali terlayar di fikiran. Diserang rasa berang dan jijik, pantas dialihkan bebola matanya ke hadapan. Benci dia mahu melihat seraut wajah polos yang bertindak curang di belakangnya. Tidak akan terpedaya lagi dengan kelembutan yang terpamer di wajah itu.

Aku menapak perlahan menuruni anak tangga. Sekalipun mataku tidak lepas daripada merenung seraut wajah bengis milik Benjamin. Jika tidak mengenangkan apa yang berlaku antara kami, sudah aku rangkul tubuh sasa itu erat ke dalam pelukanku.

"Bagitahu kami Akif, perkara sebenar. Uncle merayu. Tolonglah jelaskan perkara sebenar apa yang dah berlaku pada kamu berdua malam itu." nyaring suara daddy memutuskan renunganku terhadap Benjamin.

Pantas aku alihkan ke arah sofa di sisi daddy. Kelihatan Akif menunduk merenung karpet di lantai. Renunganku beralih ke arah wajah mendung Akif. Mataku kembali memberat dengan air mata. Akif lah kini satu-satunya harapan yang aku ada untuk menjelaskan salah faham yang terjadi antara kami.

Benjamin menjeling tajam aku yang berada berdiri tercegat di hujung anak tangga. Aku membalas tatapan tersebut sebelum Benjamin bertindak pantas meleraikan tatapan antara kami. Aku terkedu. Setitis air mata mengalir jatuh ke pipi.

"Akif.." seru mummy perlahan.  Bergetar suaranya menyeru.

Kepala didongakkan perlahan memandang wajah mummy di sisi. Aku menanti dalam debaran hebat. Benjamin turut memanah tajam ke arah Akif yang sedang berperang dengan perasaan.

"Tolonglah nak. Jelaskanlah perkara sebenar apa yang berlaku pada malam tu. Kasihanilah Lia dengan Benjamin. Mereka dah cukup terseksa selama ni. " ucap mummy bergetar.

Benar-benar memohon pengertian daripada Akif. Akif hanya tunduk berdiam diri seolah-olah mengakui kejadian yang berlaku antara kami.

"Abang. Percayalah. Lia tak curang belakang abang. Hanya abang satu-satunya lelaki yang Lia cinta. Lia hanya ada abang selama ni.. " rintihku pilu.

Benjamin merenung ke arahku. Dapat kulihat bibirnya yang bergetar saat mendengar ucapan tulus daripadaku.

Akif pantas panggungkan kepala saat ucapan tersebut terlontar sayu keluar daripada mulutku. Direnung aku tajam yang asyik berpapasan mata bersama Benjamin.

Akif mengepal kuat tangannya di sisi. Entah kenapa, dia benci dengan segala luahan Aulia terhadap Benjamin sebentar tadi. Terasa menusuk pedih menghentam dadanya.

Tulusnya ucapan Aulia sebentar tadi membuatkan dia terasa dadanya dihempap dengan rasa cemburu. Kenapa Benjamin yang harus mendapat kata cinta tulus tersebut?  Kenapa bukan dia?

Nafas disedut dalam. Dia tekad. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Perlahan ditentang Dato Razman dan Datin Rida yang sedang menanti kata pengakuan sebenar daripadanya.

"Ya. Apa yang jadi pada malam itu memang atas kehendak kami berdua. Tiada kena mengena dengan sesiapa." Akif bertindak memanipulasikan kebenaran.

Aku yang terpasak di hujung tangga terbuntang luas. Terasa seakan denyut jantungku berhenti mendengar tiap patah yang terbit daripada mulut Akif.

"Tipu!!!! Kau tipu! Kau tipu! Aku bersumpah apa yang berlaku antara kita bukan kehendak aku sama sekali. Aku diperangkap!" tempikku nyaring. Turun naik nafasku berhembus laju.

Tiga pasang mata serentak beralih merenungku yang menjerit nyaring di hujung anak tangga. Menggigil tubuhku saat ini. Pandangan sayu Akif aku tentang dalam. Hatiku menjerit nyaring menyangkal kebenaran tersebut.

"Mengaku jelah Lia. Memang kehendak kita berdua malam tu. Bukan paksaan atau perangkap daripada sesiapa" ujar Akif lemah.

Aku menggelengkan kepala laju. Seakan tidak percaya dengan ujaran Akif. Kenapa Akif harus memanipulasi keadaan sebenar?  Apa tujuan Akif hingga memaksa dia berkata bohong di depan mereka.

Kenapa Akif tega menjatuhkan maruah dirinya sebegitu rupa sekali? Apa dosa dia?

"Kau? Tak guna! Kau ni memang layak mati!!!! " Benjamin bertindak meluru laju ke arah Akif.

Akif yang menunduk di sofa ditarik kasar. Dicekak kolar kemeja kerja milik Akif kejap. Sebuah tumbukan dilayang tepat ke wajah tidak beriak Akif.

Aku tersentak. Terkejut dengan reaksi Benjamin. Daddy pantas bingkas berdiri. Bertindak meleraikan pergelutan antara Benjamin dan Akif.

"Ben!  Sudah Benjamin. Sudah! " tubuh sasa Benjamin ditarik menjauhi Akif yang sudah pecah bibirnya menerima tumbukan daripada Benjamin.

Benjamin masih tidak endah. Malah masih lagi bergelut ingin melampiaskan rasa berang dan amarah terhadap Akif yang diam membatu di hadapannya.

"Benjamin! Daddy cakap sudah!! " tempik daddy nyaring.

Serentak Benjamin mendengus kasar. Jika tidak mengenangkan daddy yang beria menariknya, memang lunyai dikerjakan Akif. Tidak kisah lah sepupu atau adik beradik sekalipun.

"Kau bernasib baik sebab ada daddy aku! Kalau tidak kau akan rasa penyesalan jadi sepupu aku selama ni! "

Baju yang tertarik dibetulkan kasar. Dipandang bengis wajah Akif yang sedang mengelap darah yang mengalir di bibirnya. Perlahan di rapati Akif yang turut menentang tajam pandangannya.

"Aku tak sangka kalau kau yang aku anggap sahabat aku selama ni sanggup tikam aku dari belakang. " bisik Benjamin keras.

Akif mengalihkan renungannya daripada Benjamin. Tidak sanggup untuk nelihat kelukaan dan kekecewaan yang jelas terbias di sepasang mata hazel itu.

Tidak betah lagi berada di bawah, Benjamin rempuh kasar bahu Akif melangkah laju menuju ke ruang atas. Hampir tersemban ke lantai tubuh Akif.

Aku memaut jemari Benjamin yang melepasiku di hujung tangga. Benjamin terhenti. Aku genggam erat tangan kekar tersebut. Benjamin meluruskan pandangan ke atas. Tegak berdiri kaku seolah tidak langsung terkesan dengan sentuhanku. Sedikitpun tidak rela memandangku.

"Abang. Percayalah cakap Lia. Lia tak curang belakang abang. Semua ni perangkap Melissa. Dia yang perangkap kami berdua. Tolonglah percaya. Lia hanya cintakan abang selama ni. Bukan orang lain. " bisikku merintih pilu.

Benjamin menoleh deras.

"Oh. Kau nak cakap yang semua ni salah Melissa lah? Perangkap Melissa? " tukas Benjamin keras.

Aku anggukkan kepala laju.

"Sekurangnya Melissa lebih baik daripada kau!" tempelak Benjamin kuat.

Benjamin merentap kuat meleraikan genggamanku di tangannya. Dirapati wajahku perlahan.

"Aku tak sangka, selama ni kalau pun tak ada beza dengan Aqeela. Sama-sama curang belakang aku. By the way, thanks to Melissa sebab berjaya tunjukkan belang kau yang sebenar. " ucap Benjamin tertahan. Sedaya upaya ditahan air mata daripada menitis di wajah. Ikutkan rasa rindu di hati, sudah lama ditarik tubuh langsing Aulia ke dalam pelukannya.

Tapi dia sedar kalau ketika ini, mereka bukan lagi sepasang kekasih. Antara mereka kini sudah dipisahkan dengan sebuah batas angkara dendam orang lain terhadap mereka. Malangnya, mereka juga manusia biasa yang diuji kiri dan kanan.

Yang membezakan cuma adakah ujian tersebut berjaya dilepasi atau tidak. Dan ternyata ujian itu makin menjarakkan hubungan antara mereka.

Aku paut sekali lagi jemari Benjamin yang bersedia melangkah mendaki anak tangga.

"Don't you ever touch me! Satu lagi aku nak pesan. Jangan pernah sesekali kau tunjuk lagi muka kau depan aku! " herdik Benjamin lantang seraya merentap kasar jemarinya daripada genggamanku. Langkah dipanjangkan mendaki anak tangga. Meninggalkan aku yang terkaku.

Perlahan, aku teresak. Melorot jatuh tubuhku di lantai marmar. Mummy meluru ke arahku. Pantas, dipeluk erat tubuh longlaiku.

"Abang dah benci Lia mummy. Abang dah benci Lia. " aku meluah sebak.

Mummy menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Dikunci rapat tubuhku. Belakang dan kepalaku diusap lembut.

"Sabarlah sayang. Benjamin masih marah lagi tu. Beri dia masa ya. " pujuk mummy turut dihurung sebak.

"Abang dah buang Lia daripada hidup dia. Lia tak kuat mummy. Tolong Lia!"  rayuku perlahan.

Mummy turut menangis teresak mendengar rayuan pilu dariku.

Daddy hanya mampu memicit kuat pelipisnya yang terasa pening dengan kejadian yang berlaku. Wajahnya diraup kasar. Sebuah keluhan kuat dilepaskan.

"Kamu pergilah balik Akif. Pergilah! " arah daddy perlahan. Terduduk lemah menongkat kepala di sofa. 

Akif menganggukkan kepalanya menerima arahan daripada daddy. Bergerak perlahan menuju ke arah pintu yang terkuak luas daripada dalam. Dihentikan langkahnya sejenak. Memandang sayu ke arahku yang menangis teresak di lantai.

"Maafkan I Aulia. " bisik Akif perlahan sebelum diatur laju langkah keluar daripada rumah agam kami.

••••

Tiga bulan kemudian....

Aku menghela nafas perlahan. Kaca mata yang terpasak kemas di kedua belah mata aku rungkai perlahan. Memicit pangkal hidung perlahan. Leher aku goyangkan ke kiri dan kanan. Merenggangkan urat leher yang terasa sengal. 

Fail yang bertimbun aku tolak ke tepi.  Mengeluh seketika, kerusi aku tolak perlahan ke belakang. Cahaya petang  kelihatan membias masuk di sebalik tirai pejabatku. Tangan aku silangkan ke dada. Menapak perlahan menuju ke bingkai cermin pejabat. Tirai aku selak perlahan. Membiarkan cahaya waktu petang membias terkena di wajahku.

Sekilas, terbayang kembali adegan yang berlaku di hadapan mataku awal pagi tadi. Oh ya, sejak daripada kejadian lalu, aku tidak lagi menggunakan kereta pemberian Benjamin datang ke pejabat. Sebaliknya, aku kembali menggunakan kereta kesayanganku pemberian arwah daddy.

Teringat kejadian pagi tadi di parkir kereta. Hari ini aku agak lewat hadir ke pejabat berikutan terlewat bangun kerana semalam aku diserang cirit birit. Ikutkan hati aku tidak mahu datang bekerja tapi bila mengenangkan waktu yang aku punya makin singkat, maka aku buat keputusan untuk datang bekerja sahaja memandangkan cirit biritku sudah sembuh.

Usai parkir, aku bergerak menuju ke arah pintu masuk pejabat. Namun, tak disangka aku dihidangkan dengan adegan yang menyiat-nyiat sekeping hati milikku. Benjamin sedang asyik bergelak ketawa bersama Melissa menuju masuk ke ruang pintu pejabat. Dan Melissa pula dengan sengaja merangkul lengan Benjamin erat saat. 

Aku terkedu. Pantas mendongakkan wajah memandang ke atas. Mata yang terasa panas berkaca aku kelip-kelip beberapa kali. Cuba untuk menghapuskan rasa sebak yang bertandang. Nafas kusedut dalam sebelum menapak menuju menyoroti langkah mereka dari belakang.

Sehingga kini sedikitpun tidak pernah pudar rasa cinta dan rinduku pada Benjamin. Sejak daripada kejadian tersebut, Benjamin bertindak keluar daripada rumah. Puas aku merayu, namun hanya tempikan yang aku perolehi. Benjamin masih dengan tekadnya untuk keluar dan menetap di kondo miliknya.

Dan saat Benjamin melangkah keluar daripada banglo rumah milik daddy, saat itu jugalah menjadi kali terakhir aku melihat sekujur tubuh Benjamin. Aku pada ketika itu hanya mampu tercegat berdiri di muka pintu menangis teresak-esak melihat kepergian Benjamin.

Sejak dari kepergian Benjamin, ia telah menjadi titik tolak ternoktahnya hubungan cinta antara aku dan Benjamin. Aku dan dia kini tak ubah seperti orang asing. Aku juga turut ditukarkan berada di bawah daddy secara langsung. Kini, tiada lagi pertemuan antara kami. Baik di rumah mahupun di pejabat.

Terdengar juga desas-desus mengenai kemesraan antara Benjamin dan Melissa daripada staf-staf di syarikat ini. Setiap kali mendengar, setiap kali itu juga hatiku disiat-siat pedih. Namun, cepat aku usir rasa tersebut bila menyedari kalau dia bukan milik aku dan aku bukan miliknya lagi.

Tirai yang terselak aku tutup kembali. Membiarkan hanya bias cahaya matahari yang mencuri masuk sebalik tirai. Melepaskan keluhan sekali lagi dan menyambung kembali kerja yang tergendala.

••••

"Kau okay Lia? "

Aku yang asyik bermain dengan straw di gelas pantas panggungkan kepala.

Merenung Tiara yang tunak merenung wajahku.

Aku tersenyum tawar. Sejak berakhirnya hubungan cintaku bersama Benjamin, sejak itulah aku sudah berubah menjadi seseorang yang aku sendiri tidak kenali. Mahal benar senyuman kini menghiasi diriku.

"Aku okay." perlahan aku anggukkan kepala.

Perlahan,Tiara mencapai jemari runcingku. Digenggam dan diramas berulang kali.

Aku jatuhkan renungan ke arah tanganku yang dipaut erat. Aku liarkan bebola mata ke wajah Tiara yang sedang tersenyum sayu.

"Aku tahu kau tak okay, Lia. " ujar Tiara berbisik perlahan.

Aku pantas larikan mata yang mula terasa panas berkaca ke arah lain.  Mengelak dari menjadi tatapan Tiara.

"Kau rindukan dia kan? "

Aku tersentak. Menoleh laju ke arah Tiara di hadapanku.

Sesaat, aku menekup wajah yang terasa hiba. Melepaskan tangis setelah sekian lama aku cuba tahan, berlagak kuat walhal aku selemah-lemah manusia kini.

"Aku rindukan dia, Tia. Rindu sangat-sangat. Sampai sekarang, tak pernah hilang rasa cinta aku pada dia. Ta..tap..tapi dia dah buang aku Tia. Dia dah buang aku! " luah aku sayu bercampur sendu.

Tiara bingkas bangun. Melangkah laju merapatiku yang sudah menunduk teresak menangis melepas perasaan.

Aku sembankan wajah aku ke bahu Tiara. Tiara memeluk tubuhku erat ke dalam rangkulannya. Mujur sahaja meja yang kami duduki ketika ini agak terlindung daripada pelanggan lain. Jadi, agak susah untuk diperlihatkan aku yang menangis teresak ketika ini.

"Maafkan aku Lia. Maafkan aku sebab buat kau menangis. Maafkan aku kalau aku dah buat kau ingatkan dia" Tiara mengeluarkan kata maaf kepadaku. Bahuku digosok bertubi. Menenangkan aku yang dilanda rasa sedih yang teramat.

Aku dongakkan wajah memandang wajah Tiara yang turut memerah menahan sebak melihatkan keadaanku.

"Aku tak curang dengan dia,Lia. Sumpah aku diperangkap. Akif tipu Tia. Dia tipu. Bukan kehendak kami. Dia putar belitkan cerita. Aku benci dia Tia. Aku benci dia! " luahkan sebak.

Tiara mengangguk laju tanda percaya akan kata-kata aku. Dipaut wajahku. Diusap air mata yang berjejeran di kedua belah pipiku.

"Aku percaya Lia. Aku percaya."

"Tapi Benjamin tak percaya. Dia kata aku macam Qeela. Curang belakang dia. Padahal Melissa perangkap kami.." tukas tersedu.

"Lia, dengar sini. Sama ada cepat atau lambat pasti kebenaran akan terbongkar juga suatu hari nanti. Sekarang, kau tak perlu fikir dah pasal tu. Just let it be. Okay? " ujar Tiara memujukku lembut.

"Terima kasih, Tia. Terima kasih sebab percayakan aku. " aku rangkul kembali tubuh Tiara. Kembali menumpahkan air mata di bahu sahabatku. Sedikit sebanyak meminjam kekuatan daripada Tiara.

"Aku akan selalu ada untuk aku dalam apa keadaan sekalipun. "

••••

"Ben.. "

Benjamin yang asyik merenung ke luar jendela tersentak. Ditoleh lambat-lambat ke arah pintu yang terkuak dari luar.

Terpancul wajah Melissa di sebalik pintu biliknya. Tersenyum manis menyapanya yang asyik merenung panoraman petang dari tingkap bilik pejabatnya.

"Mel.." seru Benjamin kembali.

Melissa menutup perlahan pintu pejabat Benjamin. Rindu yang menggunung memaksa dirinya menjengah ke ruang pejabat Benjamin walaupun tanpa sebarang urusan kerja.

Tanpa dipelawa, Melissa melabuhkan duduknya di kerusi berhadapan Benjamin. Kaki panjangnya disilang. Mendedahkan sebahagian betis putih gebu milik Melissa. Benjamin hanya memerhati tingkah Melissa.

Perlahan, tubuh turut dilabuhkan ke arah kerusi empuk miliknya. Disandar santai merenung seraut wajah manis Melissa yang tidak berhenti merenungnya daripada tadi.

"Kenapa Mel? Ada apa you datang jumpa I? " soal Benjamin tenang.

Melissa menguntum senyum.

"Tak ada apa. Rindu you je. " balas Melissa menongkat dagu merenung ke wajah Benjamin.

Benjamin tertawa kecil dengan telatah Melissa. Sedikit sebanyak, hati yang sekian lama walang seakan terusik dengan gelagat spontan Melissa.

Melissa tersengih lebar setelah berjaya mengundang tawa di wajah Benjamin. Terserlah kekacakan di seraut wajah tampan Benjamin. Tawa yang tercetus berjaya menjelmakan rasa senang di hati Melissa. Terasa sedikit lagi usaha dan masa yang diperlukan untuk menakluki Benjamin.

"I happy tengok you ketawa macam ni Ben. " ujar Melissa perlahan.

Benjamin mengendurkan senyuman yang terlakar mekar di bibir. Dihela perlahan nafasnya.

Tubuh dikemaskan. Tubuh dibawa merapati meja kerjanya.

"Oh ya? Kenapa you cakap macam tu?" soal Benjamin tenang. Pen yang terdampar di meja dicapai. Dimainkan dengan jari jemarinya.

"Sebab I tahu kalau you masih terganggu dengan apa yang terjadi dulu. "

Benjamin terdiam. Serentak terbayang seraut wajah milik Aulia di ruang mata. Betapa selama tiga bulan ini dia menipu orang sekeliling dan dirinya sendiri.

Berpura-pura gembira padahal hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang terpendam jauh di lubuk hatinya paling dalam. Demi Allah, betapa dia merindukan Aulia. Sesekali, dirinya dijentik dengan rasa menyesal kerana mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan gadis kesayangannya.

Namun, di satu pihak pula dia merasa puas kerana berjaya membuatkan si gadis untuk merasa kekecewaan dan kelukaan yang dia rasa saat dikhianati dan dicurangi Aulia.

Tapi mengenangkan keadaan kali terakhir dia melihat seraut wajah yang merayu kepergiannya di muka pintu, turut membuatkan hatinya terhiris rasa. Betapa dia juga pilu dengan perpisahan mereka.

"Izinkan I ubati luka di hati you, Ben."  pinta Melissa berbisik lirih di telinganya.

Benjamin terkedu. Asyik tenggelam dengan kenangan lama, tidak sedar Melissa yang sudah tercegat di sisinya. Menyapa lembut bahunya bersama permintaan yang membuatkan dia diserang rasa kelu.

Tiada reaksi yang terpamer, perlahan Melissa bertindak menyapa pula jari jemari Benjamin. Ditarik dan digenggam kejap jemari kasar itu.

"Please. Izinkan I jadi seseorang yang merawati luka yang ditinggalkan Aulia. Bagi I peluang untuk jadi seseorang yang you cinta. " tulus kedengaran suara Melissa menyapa halwa telinganya yang diam kaku di kerusi.

Separuh hati ingin menerima, separuh hati lagi menghalang. Seakan ada benda yang menghalangi dirinya daripada menerima Melissa sebahagia daripada hidupnya. Dia tidak tahu kenapa, kerana jawapannya masih lagi samar-samar.

Namun, untuk menolak permintaan Melissa dia tidak sanggup kerana selama tiga bulan dicurangi Aulia, Melissa lah yang sentiasa berada di sisi walaupun jauh di sudut hati, dia mendambakan kehadiran wanita lain walaupun kelukaan dan kekecewaan yang dihadiahi kepadanya.

"Ben.. " sapa Melissa lembut. Dibawa kerusi milik Benjamin menoleh ke arahnya. Perlahan kedua belah kaki melutut di hadapan Benjamin.

Benjamin terkedu. Direnung tajam Melissa yang sudah melutut di hadapannya. Keadaan tersebut semakin membuatkan Benjamin diserang rasa serba salah yang teramat. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa.

"Mel, please jangan macam ni. I..I..." ujar Benjamin gagap saat Melissa sudah menitiskan air mata lesu.  Semakin menebal serba salah di hatinya.

Melissa menitiskan air mata lagi. Dipaut tangan Benjamin erat. Cuba untuk memujuk Benjamin agar menerima permintaan gilanya.

Tidak betah untuk melihat air mata yang terus menitis di wajah Melissa, satu keputusan drastik terpaksa dibuat. Wajah diraup lama. Didongak wajahnya melenggak merenung ke siling. Bibir digigit kuat. Mencari kekuatan untuk meluahkan keputusan yang bakal diperdengarkan kepada Melissa.

"Mel.. " diseru perlahan nama Melissa.

Melissa bangunkan kepala yang menunduk ke lantai. Air mata diseka perlahan.

"I izinkan you untuk ubati luka I. " sekali nafas diucapkan kata-kata tersebut.

Melissa tergamam. Terkedu dengan bicara Benjamin. Tidak sangka bahawa air mata palsunya berjaya membuahkan hasil yang sekian lama ditunggu selama ini. Betapa terasa mahu bersorak riang. Memberitahu segenap isi alam kalau akhirnya Benjamin menjadi seseorang yang istimewa pada dia.

"Bet...betul? You tak tipu I kan? " soal Melissa dengan suara yang bergetar. Perasaan tidak percaya menyelinap masuk ke dalam hatinya.

Benjamin tersenyum hambar. Perlahan dianggukkan kepalanya. Sejujurnya, dia juga masih tidak pasti sama ada tepat atau tidak keputusan yang dilakukan ini. Namun, untuk membiarkan Melissa dengan kehampaan dia tidak sanggup.

Lagi pula, Melissa sudah banyak membantu dia dalam memulihkan perasaan akibat dicurangi.  Dia tidak mahu menjadi seseorang yang mudah terlupa akan budi dan jasa seseorang.

"Thanks Ben. Thank you so much. I love you Ben. I janji kalau I akan jadi seseorang yang setia dengan you. I janji yang I takkan sesekali cuba curangi you. I janji!  " ucap Melissa bersungguh. Sekali lagi jemari Benjamin digenggam erat.

Benjamin terdiam. Seakan-akan terdengar bisikan cinta Aulia di telinganya. Terbayang-bayang dirinya dbelai dan dimanjai Aulia. Betapa dia merindukan semua kemesraan dan kenangan antara mereka. Arghhh, mengapa mesti nama dan wajah Aulia tidak pernah lekang dari ingatannya. Kenapa? Kenapa?

Kucupan Melissa di kekuranya menghentikan lamunannya yang panjang. Tidak selesa disentuh dan diperlakukan sedemikian rupa, pantas ditarik perlahan jemarinya dari genggaman Melissa.

"So secara rasminya, I kekasih you kan sekarang?" soal Melissa riang. Sekelip mata hilang riak sedih di wajahnya.

Benjamin terdiam kaku merenung meja kerjanya. Seakan mahu tembus meja tersebut akibat ditenung lama.

"Ben.. " bahunya dipaut erat

"Hah, ya? "

Melissa tersenyum.

"I kata sekarang secara rasminya I kekasih you kan? " soal Melissa sekali lagi. Terlukis riak gembira menghiasi wajahnya.

Benjamin merenung lama wajah Melissa di hadapannya. Perlahan, dianggukkan mengiakan soalan Melissa mengenai status perhubungan mereka.

Melissa melompat gembira. Akhirnya, kini sah Benjamin miliknya. Bukan milik Aqeela, bukan juga milik Aulia. Tapi milik dia, Melissa.

••••

drop your comment below. Thankyou. Enjoy reading!

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-08-17 21:33:37 

otak Ben letak kat lutut ke ...sampah yg dah berulat tu la yg dia nk oles bijak niaga tapi bodoh bab cinta katakan sayang sangat kat lia..dasar buaya jugak


NovelPlus Premium

The best ads free experience