Completed
24247
Di hari berikutnya, Alisa seperti biasa membawa makan tengah hari untuk Aiman dan Alisa perasan suasana di dalam syarikat agak berlainan dari sebelumnya.
Sikap pekerja-pekerja di situ terhadap Alisa tidak seperti sebelum ini yang melihat Alisa dengan penuh penghinaan tetapi sekarang penuh dengan rasa kagum dan hormat.
Nampaknya kedudukan Alisa penting di hati Aiman berbanding Khaleesa.
Alisa menemani Aiman dengan hati yang gembira.
Semasa Alisa selesai menemani Aiman dan mahu pulang ke rumah, sebuah kereta berhenti di sebelahnya dan seorang wanita menyapanya, “ Cik Alisa, saya ibu Khaleesa. Boleh kita berdua berbual sebentar. Sekejap saja.”
Alisa berfikir sebentar lalu bersetuju. Alisa masuk ke dalam kereta dan meninggalkan perkarangan syarikat Aiman.
Di satu kafe, kelihatan Alisa dan Puan Hameeda duduk berhadapan.
“Saya agak malu sikit mengajak cik Alisa kesini. Saya ada benda mahu bincang dengan cik.” Kata Puan Hameeda.
Tak perlu tanya pun Alisa tahu apa yang mahu di bincangkan.
“Saya dah berkahwin. Walaupun saya masih muda, lebih baik panggil saya puan atau orang akan salah faham.” Alisa berkata.
Senyuman Puan Hameeda terus kaku namun dia tetap cuba mengawal perasaannya, “Saya rasa awak mesti tak tahukan hubungan sebenar anak saya dengan Aiman.”
Alisa menjawab, “Hal itu, Aiman dah beritahu pada saya. Saya tak kisah pun, yang dah lepas biarlah lepas. Sekarang ini, kita hanya perlu bergerak ke hadapan. Tak begitu puan?”
“Jadi awak tahu yang Aiman dulu memang taksub sungguh dengan anak saya tu?” tanya Puan Hameeda.
“Saya tahu.” Jawab Alisa.
Puan Hameeda memandang dan memerhatikan perlakuan Alisa yang nampak tenang. Dia tidak percaya yang Alisa tidak rasa cemburu walau sikit pun. Dia menganggap yang kalau dirinya tidak bertindak ganas, Alisa tidak akan bergerak.
“Kalau awak dah tahu, tak perlu saya sembunyikan apa-apa. Dulu Khaleesa dan Aiman ada rancang nak berkahwin. Cuma Khaleesa jatuh sakit, dia terpaksa tinggalkan Aiman. Aiman dulu hampir-hampir nak ikut Khaleesa. Nasib baik sempat dihalang. Hubungan mereka ni sangat dalam sampaikan Aiman cari orang yang sama macam Khaleesa. Aiman cuma anggap kamu ni pengganti anak saya sahaja.”
“Mungkin apa yang saya cakap ni tak masuk akal tapi itulah kenyataannya. Sekarang anak saya dah pulang dengan selamat, saya harap awak boleh ambil langkah undur diri dari hubungan awak dengan Aiman. Pihak kami akan beri pampasan pada awak. Kami akan pastikan awak tak hidup susah, cukup makan dan minum.”
“Awak sendiri perlu fikir. Adakah awak mahu hidup dalam satu hubungan sebagai pengganti seseorang?”
Melihat Puan Hameeda yang akhirnya habis berbicara, Alisa tersenyum sinis, “Kalau saya nak faham apa yang cuba puan katakan, maksud puan sekarang anak puan dah balik jadi saya perlu pergi, lepaskan Aiman?”
“Puan tak rasa apa yang puan cakapkan ni mengarut? Puan harap saya bercerai dengan Aiman? Puan tak terfikir ke sama ada Aiman masih cintakan lagi anak puan? Tak terfikir ke yang Aiman cintakan saya?” kata Alisa.
“Aiman mestilah cintakan Khaleesa. Tanya semua orang, semua orang tahu tentang perasaan Aiman pada anak saya.” jawab Puan Hameeda.
Alisa ketawa, “Puan ni sangat naif. Lagi pun puan, puan ni ibu kepada Khaleesa dan bukan ibu saya. Apa layaknya puan tentukan untuk saya bila saya kena bersama dengan Aiman atau pun tak?” Alisa membalas.
“Daripada puan kat sini nasihatkan saya, lebih baik puan nasihatkan anak puan tu sendiri supaya tak jadi pihak ketiga dalam perkahwinan orang lain dan malukan diri dia sendiri. Wanita terpelajar jadi penzina, tak ke malukan keluarga puan nanti.”
“Jaga mulut awak!” Puan Hameeda sentap.
Alisa terus mengapi-apikan lagi api kemarahan Puan Hameeda, “Puan jangan marah-marah. Saya cakap ini pun untuk kebaikan anak puan juga.”
Puan Hameeda terasa seperti darahnya memuncak tinggi dan kepalanya mula pening menahan kemarahan.
Alisa yang melihat Puan Hameeda yang sudah tak tahan berkata lagi, “Puan tak apa-apa ke? Puan nak pengsan ke?”
Ya, Puan Hameeda seperti nak pengsan.
Alisa menyambung lagi, “Daripada puan habiskan tenaga nasihatkan saya, baik puan nasihatkan anak puan saja. Jangan kacau suami orang. Saya tak akan ceraikan Aiman ataupun anak puan nak jadi isteri kedua. Walau saya tak bole halang tapi tuan punya badan tak pastilah…”
Belum sempat Alisa menghabiskan ayatnya, tanpa amaran, muka telah disimbah dengan teh panas.
Share this novel