Completed
24247
Di satu restoran, Aiman duduk menunggu dengan hati yang berdebar. Setelah sekian lama, akhirnya dia akan berjumpa semula dengan Alisa. Hatinya berdebar, cemas bercampur teruja.
Semalam selepas mendapat saman cerai, Aiman berjaya menghubungi Alisa dan Aiman meminta mahu berjumpa dengan Alisa, membincangkan hal mereka ini.
Nasib baik Alisa bersetuju untuk berjumpa.
Setelah beberapa minit menunggu, kelibat orang yang ditunggu akhirnya muncul. Aiman tidak mampu membendung perasaannya lagi. Dia terus bangun dan mahu terus memeluk Alisa tetapi Alisa mengelak.
Tanpa menghiraukan tindakan Aiman itu, Alisa terus duduk di kerusi. Aiman hanya mampu mengeluh dan duduk di kerusi berhadapan dengan Alisa.
Tanpa membuang masa, Alisa berkata, “Awak dah dapatkan surat dari mahkamah tu. Saya harap awak boleh datang ke mahkamah pada hari yang ditetapkan.”
Aiman hanya terkebil-kebil melihat Alisa, “Kenapa?”
Alisa menjawab, “Kenapa? Sebab saya dah tak cintakan awak lagi.”
Aiman tidak boleh menerima jawapan Alisa itu, “Lisa berguraukan? Lisa tipu!”
Alisa berkata dengan tenang, “Pada saat awak cakap yang saya ni hanya pengganti Khaleesa, saya dah tak cintakan awak lagi. Pada saat awak kurung saya tanpa kerelaan saya, dera saya, perasaan cinta itu terus hilang. Awak fikir bila awak sendiri, keluar dari mulut awak sendiri yang saya ni hanya seorang pengganti, awak fikir apa yang saya akan rasa?”
Alisa menunjuk ke arah dada kirinya, “Dekat sini, sakit, sangat sakit. Dulu bagi saya, awak seorang lelaki yang sangat baik, satu-satunya untuk saya. Saya bagi seluruh hati, cinta saya pada awak tapi itu semua awak buat macam sampah.”
Aiman teringat akan kelakuan Alisa sebelum ini. Aiman sangka, semua benda yang terjadi sudah lepas dan Alisa telah melupakan semua yang terjadi tetapi, nampaknya Alisa terus menerus mengingat perkara itu, dan memendam di dalam hatinya.
Aiman menyesal dengan perbuatannya, “Maafkan abang Lisa. Abang tahu abang dah buat salah. Berilah abang peluang. Apa yang Lisa nak abang akan ikut. Tolong jangan tinggalkan abang.”
“Dah terlambat,” Alisa berkata, “Saya hanya gunakan awak. Gunakan untuk musnahkan keluarga Khaleesa, musnahkan keluarga tak guna tu. Saya perempuan yang macam ni. Saya jadi macam ni semua sebab awak.”
Ya. Alisa tidak mahu menjadi orang yang kejam tapi dia pun tak mampu nak lepaskan mereka yang menyakitkan dirinya.
Semasa Khaleesa merancang menggunakan Azim dan merancang untuk membuang dirinya ke laut, Alisa sudah sedia tahu. Dia telah pun mengupah orang untuk mengekori Khaleesa dan mengintip setiap panggilan keluar masuk telefon Khaleesa.
Orang yang Khaleesa upah untuk buang Alisa ke laut sudah Alisa beli. Jadi langkah keselamatan sudah diambil. Ada orang di bawah laut akan menyelamatkan dia selepas Alisa dibuang ke laut.
Cuma Alisa tak sangka ada rahsia yang lebih besar dia ketahui semasa insiden buang laut itu.
“Aiman, saya sangat bencikan awak.”
Saat ini Aiman seperti layang-layang yang putus tali. Perasan gila mula menjelma di hati Aiman.
“Tak! Tak boleh! Aku tak bole biarkan kau tinggalkan aku.” kata Aiman sambil memegang lengan Alisa.
Alisa tersenyum sinis, “Jadi awak nak kurung saya? Nak dera saya lagi?”
Aiman tersentap, “Tak, tak, tak…”
Alisa berkata lagi, “Awak nak atau tak, itu bukan kuasa awak. Saya ada cukup bukti dan saya akan dapatkan perceraian ni.”
Alisa bangun dan terus berlalu pergi. Aiman pula masih terpinga-pinga. Bila Aiman tersedar, Aiman bingkas bangun dan mengejar Alisa.
Fikiran Aiman bercelaru. Tiada apa di fikirannya selain dari tidak mahu kehilangan Alisa.
Waktu itu hujan turun dengan lebatnya. Alisa waktu itu sedang menuju ke kereta sewanya. Dia mahu segera pergi dari tempat ini, jauh dari Aiman.
Mungkin saat itu, kerana hujan, penglihatan tidak berapa jelas. Alisa tidak perasan sebuah kereta semasa melintas jalan.
Apa yang Alisa tahu, dia terasa seperti dirinya ditolak oleh seseorang. Kemudian kelihatan susuk tubuh seseorang terpelanting dilanggar oleh sebuah kereta.
Alisa terkejut. Dia terduduk terdiam kaku. Tersedar, Alisa terus bangun dan meluru ke badan tersebut.
Kelihatan Aiman terbaring di atas jalan raya, di atas genangan darahnya. Melihat Alisa disisinya, risau akan dirinya, Aiman berkata, “Jangan risau. Abang bersyukur, Alisa nak jumpa abang.”
Alisa melihat mulut Aiman berdarah, Aiman muntah darah yang sangat banyak. “Jangan cakap lagi. Tunggu ambulan sampai. Awak takkan apa-apa.” Suara Alisa terketar-ketar.
Aiman tersenyum, “Lisa masih kisahkan abang.” Aiman muntah darah lagi. “Abang salah, maafkan abang ya.”
“Jangan cakap lagi.” Alisa tidak mampu membendung perasaannya.
Menggunakan kudrat yang ada lagi, Aiman mengangkat tangannya dan mengusap pipi Alisa. “Abang sayang Alisa. Maafkan abang.”
Alisa menutup matanya. Air matanya gugur bersama air hujan yang turun. Alisa terasa tangan AIman di pipinya tiada lagi.
Orang ramai melihat seorang wanita memeluk seorang pemuda sambil berulang-ulang berkata sesuatu.
“Abang, Lisa maafkan abang.”
-TAMAT-
Share this novel