Completed
24247
Khaleesa dengan hati-hati masuk ke restoran itu dan duduk berhampiran Alisa bersama wanita tadi.
Alisa sekarang ini sedang bersama dengan ibunya, Puan Salimah.
“Kamu kena tolong adik kamu tu. Ini kali terakhir. Dia janji dah lepas ni dia tak akan berjudi lagi. Kamu boleh kan tolong dia.” Pinta Puan Salimah.
Alisa melihat wanita pertengahan umur yang sedang duduk di hadapannya, yang sudah dimamah usia.
Selepas perkahwinannya bersama Aiman, keluarganya mengambil kesemua duit hantaran perkahwinannya. Kehidupan ibu dan bapa Alisa boleh dikatakan penuh keselesaan selepas Alisa berkahwin dengan Aiman. Bapanya naik pangkat dan disebabkan itu, ibunya berhenti kerja, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Sayangnya, semua itu tidak kekal lama kerana adik lelakinya. Kerana kuat berjudi, kesemua wang habis dan akhirnya mereka semua datang kepada Alisa untuk meminta wang.
“Kali terakhir? Sebelum ni pun ibu kata kali terakhir.” Jawab Alisa.
Muka Puan Salimah terus berubah, “Alisa, kamu takkan nak biarkan adik kamu kena belasah!”
“Biar dia kena belasah. Biar dia rasa sakit. Biar dia belajar sikit, belajar berhenti berjudi.” Jawab Alisa.
Dengan amarah, Puan Salimah menghentak meja, “Kamu ni! Kamu ni kejam betul!”
Alisa diam,memandang ke arah Puan Salimah dengan tenang.
Puan Salimah pun memandangkan ke arah anak perempuannya itu dan dia dapat rasakan yang Alisa sekarang ini sangat berbeza dari selalunya.
Akhirnya Puan Salimah cuba mengalah seketika dan berkata, “Alisa, tolonglah adik kamu tu. Kali ni je… Dia dah tau kesalahan dia. Lepas ni ibu akan pantau dai betul-betul dan larang dia berjudi lagi.”
“Ibu, sebelum ni pun ibu kata kali terakhir. Macam mana ibu nak jamin ini kali terakhir?” Alisa tetap menolak.
Puan Salimah terkaku seketika, “Betul, kali ni kali terakhir.”
“Ibu, sebelum ni, masa Alisa tolong adik jadi penjamin, Alisa pun cakap itu adalah kali terakhir Alisa tolong. Jadi Alisa serius bagi tahu pada ibu, itulah kali terakhir Alisa akan tolong adik.” Kata Alisa.
“Kamu betul tak nak tolong adik kamu ni?” Puan Salimah bertanya.
“Ibu, bukan Alisa tak nak tolong tapi Alisa tak mampu. Kalau tak dibagi pengajaran, adik tak akan berubah.” Jawab Alisa.
Puan Salimah tahu yang Alisa serius, “Betul kamu tak nak tolong?”
“Kalau ibu dan ayah nak adik berhenti berjudi, ibu dan ayah jangan ambil peduli lagi hutang dia tu.” Jawab Alisa.
Mendengar jawapan Alisa, Puan Salimah terus bangun dan memarahi Alisa, “Bagus. Bagus. Kamu ni memang anak yang kejam. Tak pe, tak pe kamu tak nak tolong adik kamu tu. Biar ibu ni pergi cari duit. Jual organ-organ ibu ni, dapatkan duit.”
Puan Salimah pun terus berjalan keluar dari restoran. Puan Salimah hanya berpura-pura sahaja kerana selalunya bila dia berbuat begini, Alisa akan mengejarnya dan memujuknya lantas setuju menolong adiknya.
Tetapi Alisa tidak berbuat begitu. Nampaknya Alisa memang serius tidak mahu menolong. Puan Salimah curi-curi menjeling ke arah Alisa dan kelihatan Alisa tidak bergerak walau seinchi pun. Dia pun beredar dalam keadaan marah.
Alisa tidak cemas sikit pun. Dia sudah muak mengikut segala kehendak ibu dan bapanya yang sangat memanjakan adik lelakinya, Azim. Beberapa minit kemudian Alisa pun beredar dari restoran itu.
Kemudian, Khaleesa pula keluar sambil memandang tajam ke arah Alisa dengan senyuman yang sangat sinis. Satu rancangan bermain di fikiran Khaleesa. Satu rancangan yang akan memberikan kejutan besar kepada Alisa.
Share this novel