Completed
24247
Pada hari di mana Alisa dibawa semula ke rumah mereka, Aiman seperti orang gila.
Pada hari itu, Alisa tahu betapa menakutkannya Aiman bila dia naik gila.
Pada hari itu, Alisa dibelasah teruk oleh Aiman.
Alisa berasa sedih. Orang yang dia percaya boleh membantu akhirnya menolong Aiman dan bukan dirinya kerana Aiman boleh beri mereka banyak wang.
Selama ini Alisa cuma rasa yang ibu dan ayahnya hanya pilih kasih antara dirinya dan adik lelakinya tetapi tidak sangka yang orang tuanya adalah manusia yang mata duitan.
Sakit yang Alisa rasa bukan sahaja pada tubuhnya malah hatinya bila Aiman memukulnya dan mengherdiknya kerana percaya yang orang tuanya akan menolong.
Mulai dari hari itu, Alisa tidak lagi dibenarkan keluar dari bilik. Kaki dan tangannya dirantai.
Makanan harian Alisa juga diletakkan ubat supaya badan Alisa akan lemah tidak bertenaga.
Hari-hari dimana Alisa dikurung, jika Alisa tidak mengikut permintaan Aiman atau tidak berlagak seperti Khaleesa, Alisa akan dipukul. Setelah puas memukul, Alisa akan dibelai lembut walaupun Alisa tidak mahu.
Apa yang dihadapi oleh Alisa bukan sahaja dari segi fizikal malah mentalnya juga.
Setiap hari diseksa membuatkan Alisa secara langsung takut akan Aiman dan ini juga membuatkan Aiman tidak berpuas hati kerana Khaleesa tidak berkelakuan seperti itu, takut padanya.
Hari berganti hari, sedar bersilang tidak sedar, Alisa sudah dikurung, dirantai, diberi ubatan selama hampir 3 bulan.
Mental Alisa makin rapuh.
Apakah ini memang nasibnya?
Pada malam ini, Alisa terasa yang kesan ubat yang diberikan agak lemah dimana dia tidak berasa mengantuk saat ini.
Alisa mengelamun mengenang nasibnya apabila terdengar kunci pintu dibuka. Alisa terus berpura-pura tidur kerana dia pasti yang akan masuk adalah Aiman.
Alisa terasa Aiman naik ke atas katil apabila tilam terasa tenggelam di sebelahnya dan satu tangan merangkul pinggangnya.
Alisa dipeluk oleh Aiman.
Alisa tidak mampu mengawal dirinya menggigil ketakutan pada saat itu. Seluruh tenaganya Alisa cuba untuk berlagak seperti dia sedang tidur.
Alisa cuba tidak mengeraskan badanya di dalam pelukan Aiman itu.
Nasib baik Aiman tidak perasan apa-apa dan tidak melakukan apa-apa. Dia hanya memeluk Alisa.
Kemudian kedengaran sayup-sayup suara Aiman di telinga Alisa.
“Jangan tinggalkan saya….”
Ayat yang kedengaran seperti satu rintihan.
Alisa berasa sangat sedih sekali.
Alisa tidak menafikan yang dirinya sayang akan Aiman dan tidak akan pernah meninggalkan Aiman.
Sedih sekali hatinya kerana orang yang Aiman harapkan bukanlah dirinya.
‘Orang yang awak harapkan jangan tinggalkan awak bukan saya Aiman.’
Alisa mula terfikir, mungkinkah dia patut sahaja menerima nasib ini? Jadi seorang pengganti agar hidupnya tidak merana sampai macam ini?
Untuk Aiman bahagia dan untuk dirinya bebas.
Malam itu, Alisa bermimpi.
Bila Alisa bangun di pagi hari, rantai di tangan dan kakinya sudah tiada.
Aiman tidak lagi mengurung atau mengasari Alisa.
Alisa kini menjadi ‘Khaleesa’ yang sempurna.
Mereka berdua hidup bahagia semula.
Kemudian Alisa disahkan mengandung.
Kehidupan mereka bertambah bahagia menanti cahaya mata pertama mereka.
Selepas 9 bulan, anak lelaki lahir dari Alisa.
Anak itu membesar sehingga ke umur 1 tahun, kemudian satu jamuan diadakan bagi menyambut hari kelahiran anak itu.
Kek hari jadi dibawa keluar.
Tetapi saat lagu hari jadi mahu dinyanyikan, pintu masuk dibuka dan kelihatan satu susuk tubuh seorang wanita berjalan masuk.
Wanita itu mempunyai wajah yang mirip Alisa.
Dengan wajah yang tersenyum lebar, wanita itu berkata, “Saya sudah pulang Aiman.”
Aiman yang tadinya merangkul Alisa terus melepaskan Alisa dan bergerak menghampiri wanita itu lalu memeluknya, “Leesa.”
Khaleesa kembali semula.
Kini, kedudukan Alisa berubah. Alisa kini berdiri di luar pintu melihat Aiman bersama Khaleesa yang sedang menggendong anaknya meraikan jamuan hari kelahiran tersebut.
Aiman melihat ke arah Alisa dan berkata, “Saya dah tak perlukan awak lagi sekarang Leesa dah kembali.”
Khaleesa melihat ke arah Alisa dan berkata, “Awak dah tak diperlukan lagi. Saya adalah isteri dan ibu kepada anak Aiman.”
Dengan itu pintu tertutup di hadapan Alisa.
Saat itu juga Alisa sedar dari mimpi ngeri itu.
Di depan mukanya, kelihatan muka Aiman yang sedang tidur. Mimpi tadi seperti menyedarkan Alisa semula.
Akhirnya, Alisa hanyalah pengganti seseorang, yang palsu bukan yang benar. Adakah Aiman akan memegang Alisa selamanya jika dia jadi pengganti Khaleesa?
Hati Alisa penuh rasa kebencian dan dendam.
Share this novel