Completed
24247
Pada waktu ini, Alisa sampai di syarikat Aiman membawa bekal makanan tengah hari untuk Aiman.
Kemunculan Alisa mengejutkan pekerja di meja penyambut tetamu. Dari atas ke bawah Alisa diperhatikan.
Dalam situasi ini, Kamal yang tetap tenang dan tahu apa yang telah berlaku. Semasa Alisa masuk ke pejabat Aiman, Kamal cuba menjeling melihat keadaan di dalam pejabat.
Sebaik sahaja pintu dibuka, dua orang yang berada di dalam pejabat melihat ke arah pintu.
Dari sudut pandangan Alisa, Khaleesa kelihatannya sedang duduk di peha Aiman, kelihatan mereka berdua sungguh intim sekali.
Aiman yang melihat kelibat Alisa dengan segera menolak Khaleesa jauh dari dirinya. Dengan cemas dia bangun dan bergerak menghampiri Alisa.
Khaleesa jatuh akibat ditolak oleh Aiman. Dia kemudiannya bangun dan memandang tajam ke arah Alisa.
Aiman memegang tangan Alisa dengan cemas dan cuba untuk menjelaskan apa yang terjadi tetapi saat itu Aiman tidak mampu berkata apa-apa.
Tetapi Alisa pula tenang sahaja dan bertanya, “Siapa ni?”
Ketenangan Alisa ini membuatkan Aiman bertambah cemas. Tanpa Aiman sendiri sedar, kalau dulu Alisa bertanya soalan seperti ini, Aiman mampu menjawab tanpa rasa apapun namun sekarang, Aiman tersangatlah gelabah.
Khaleesa berjalan menghampiri Alisa dan Aiman lalu memperkenalkan dirinya, “Saya Khaleesa, teman wanita pertama abang Aiman.”
Khaleesa menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Alisa. Semasa mereka bersalaman, Alisa sengaja menggenggam tangan Khaleesa dengan kuat.
“Apa khabar Cik Khaleesa.” Kata Alisa.
Khaleesa cuba berlagak baik, menahan sakit di tangannya, terus tersenyum.
Alisa kemudian memegang lengan Aiman, badannya betul-betul dirapatkan ke Aiman, “Abang betul-betul tak baik. Saya tak pernah dengar pun pasal kewujudan cik Khaleesa ni.” dalam masa yang sama, Alisa mencubit kuat-kuat pinggang Aiman.
Aiman menahan sakit dan hanya tersenyum, “Ya,ya. Abang silap sebab tak bagi tahu Lisa.” Aiman terus merangkul tubuh Alisa.
Khaleesa yang melihat kemesraan ini depan matanya sendiri penuh dengan rasa marah.
Alisa kemudian seperti teringat sesuatu, “Owh, lupa nak perkenalkan diri. Saya Alisa”, kemudian memandang ke arah Aiman, “Siapa saya pada abang?”
Aiman faham dan berkata kepada Khaleesa, “Alisa isteri abang.”
Khaleesa tersenyum memandang pasangan di hadapannya tetapi hatinya sekarang sedang panas membara. Dia tahu yang sekarang Aiman bersama dengan Alisa tetapi hanya tahu berbanding melihat di depan matanya sendiri sangatlah berbeza rasanya.
Khaleesa tidak mampu berada di sini lagi, “Nampaknya kamu berdua sibuk sekarang. Saya minta diri dulu. Abang Aiman, kita lain hari ya.”
Apabila Khaleesa keluar dari pejabat Aiman dan syarikat Aiman, pekerja-pekerja yang tadi terserempak dengan Khaleesa yang mula-mula disangkakan Alisa sedar, ada dua orang muka seiras.
Khaleesa berasa sungguh tidak puas hati. Dia menghantar satu mesej kepada pengintipnya Fara. Memandang ke arah bangunan syarikat Aiman, Khaleesa berfikir, ini semua, patut jadi miliknya.
Dulu dia lepaskan semua ini, sekarang pun dia mampu dapatkannya semula.
Kembali ke pejabat Aiman, Alisa sedang menghidangkan bekal yang di bawanya untuk Aiman sambil direnung tajam oleh Aiman.
Alisa yang perasan bertanya, “Abang dah kenapa?”
“Lisa tak marah?” Pertanyaan yang Aiman mahu tanya ke Alisa.
Alisa gelak kecil, “Abang nak Lisa marah ke?”
Aiman dengan cepat menggelengkan kepalanya.
“Dah tu? Jangan fikir bukan-bukanlah. Lisa bukannya orang yang tak masuk akal pun.” Jawab Alisa.
“Ya, ya… Lisa abang seorang yang wajar.” Aiman berkata.
Melihat Alisa yang tenang dan tidak terkesan dengan kehadiran Khaleesa membuatkan Aiman rasa lega.
Pada Alisa pula, sudah semestinya dia tidak terkesan. Mungkin pada awalnya dia agak terkejut yang Khaleesa masih hidup tapi setelah melihat Aiman yang cemas mahu menjelaskan keadaan sebenar membuatkan hatinya gembira.
Ini kerana Alisa yakin, di hati Aiman, dia lebih penting dari Khaleesa.
Sudah tiba masanya dia mulakan rancangan untuk tinggalkan Aiman.
Share this novel