Completed
24247
Kebelakangan ini, pandangan Aiman tidak pernah lekang dari menjeling ke telefonnya kerana kebelakangan ini, Alisa tidak menelefonnya meminta apa-apa darinya.
Wajahnya yang menakutkan, semakin menakutkan.
Begitulah juga hati setiap penyelia yang sedang memberi laporan tahunan jabatan mereka. Semakin mereka memberikan laporan mereka, semakin menakutkan muka pengarah mereka itu. Semakin takutlah mereka.
Tiba-tiba kedengaran telefon berdering. Semua orang di dalam bilik mesyuarat mula panik.
Tetapi apabila menyendari yang berdering adalah telefon pengarah mereka, semua orang berasa lega.
Walaupun begitu, selepas pengarah mereka itu menjawab telefon tersebut, raut wajahnya yang menakutkan bertambah dua kali ganda menakutkan.
Aiman memutuskan panggilan dan melihat mesyuarat terhenti, berkata dengan nada yang dingin, “Teruskan mesyuarat!”
Aiman terus menunggu tetapi Alisa tidak menelefonnya.
Aiman tidak mahu mengusutkan kepalanya dan cuba tidak memikirkan panggilan dari Alisa itu. Dia sehinggakan menyimpan telefonnya di dalam laci meja.
Namun Aiman hanya bertahan selama 15 minit sebelum dia mengeluarkan semula telefonnya dari dalam laci.
Hari ini juga, Aiman pulang awal ke rumah.
Semasa Ain menghidangkan makanan, Alisa berkata, “Hari ini saya minta Ain masak lebih jadi jangan ambil makanan saya.”
Aiman memandang ke arah makanan yang dihidang, hatinya seperti mahu menyakat Alisa, “Tengoklah.”
Alisa merenung tajam ke arah Aiman, “Jangan ambil makanan saya.”
Aiman ketawa kecil. Alisa tidak suka berkongsi makanan.
‘Kenapa aku tak tahu sebelum ni?’
Melihat Alisa yang seperti seekor anak kucing menjaga makanannya, Aiman rasa sangat comel.
Makan malam berjalan dengan harmoni.
Selepas dari hari itu, setiap hari Aiman pulang berkerja, tanpa diminta, dia akan bawa pulang sesuatu untuk Alisa, kebanyakannya adalah makanan.
Aiman banyak belajar perihal mengenai Alisa yang sebelum ini dia tak pernah tahu. Alisa suka makanan masam, warna ungu warna kesukaannya, suka baca novel-novel yang tidak memanfaatkan minda dan kuat makan makanan ringan.
Sampailah satu hari semasa mereka berdua sedang makan malam, tiba-tiba Alisa berhenti makan dan memandang ke arah Aiman, wajahnya kelihatan serius.
Aiman tahu yang Alisa inginkan sesuatu dan bertanya, “Awak nak saya belikan awak apa-apa ke?”
Alisa kelihatan teragak-agak untuk menyatakan permintaannya.
“Cakaplah…”
Alisa mengetap bibirnya kelihatan agak cemas, “Saya takut awak tak setuju…. hmm…. takpe lah….”
“Apanya tu?” Tanya Aiman.
“Awak janji dulu dengan saya yang awak takkan marah walaupun awak tak setuju…Awak kena janji dengan saya.” Kata Alisa.
“Ya, saya janji. Asalkan awak tak tinggalkan saya saya boleh janji apa pun.” Jawab Aiman.
“Boleh tak awak lepaskan rantai-rantai ni dari saya.”
Keluar sahaja ayat-ayat itu dari mulut Alisa, riak muka Aiman terus berubah suram.
Alisa sudah boleh agak akan reaksi Aiman akan begini tapi dirinya masih berasa takut akan Aiman yang begini, seperti orang naik gila.
Semua makanan di atas meja habis ditepis marah oleh Aiman yang kemudiannya bangun dan memegang, mencengkam kedua lengan Alisa dengan kuat.
“Akhirnya awak masih nak tinggalkan saya!” bentak Aiman.
Menahan sakit, Alisa berkata, “Awak dah janji tak kan marah!”
“Saya juga cakap awak tak boleh tinggalkan saya!”
“Tanggalkan rantai-rantai ni tak bermaksud saya akan tinggalkan awak.” Alisa cuba untuk memberi penjelasan, “Saya juga teringin makan di luar. Kita berdua makan bersama di restoran luar sana banding dengan makan dalam rumah saja.”
“Akhirnya awak akan tinggalkan saya!” Fikiran Aiman tetap tidak berubah.
“Tak akan awak nak kurung saya macam ni selama-lamanya?” Tanya Alisa.
“Saya akan buat macam tu untuk pastikan awak tak tinggalkan saya sampai mati.” Jawab Aiman.
“Kenapa awak tak boleh percayakan saya? Kan saya kata saya takkan tinggalkan awak.” Alisa berkata.
Aiman mendengus, “Peluang tu saya dah bagi.”
“Itu tak kira. Bagilah saya satu peluang lagi. Kalau saya mungkir, awak kurunglah saya sampai bila-bila pun. Di kurung sampai mati pun saya rela.”
Tapi melihat wajah Aiman yang tidak mahu merubah fikirannya, mata Alisa mula berlinangan dengan air mata, “Dekat mata awak, saya ni begitu tak boleh dipercayai ke?” tanya Alisa.
Melihat Alisa yang penuh dengan kesedihan, Aiman mula rasa goyah. takut dirinya akan berubah fikiran, dia terus keluar dari rumah itu.
Share this novel