Completed
24247
Buat pertama kali dalam tahun-tahun perkahwinan mereka, Aiman dan Alisa tidak tidur sekatil dan sebilik.
Keesokan harinya apabila Alisa turun untuk bersarapan, Aiman tidak kelihatan.
“Tuan sudah ke pejabat puan.” Ain memberitahu kepada Alisa.
Alisa diam, tidak berkata apa-apa.
Ain hanya mampu mengeluh kecil melihat ragam tuan dan puannya itu. Sememangnya pasangan ini ambil berat terhadap diri masing-masing tetapi masih lagi jangal mengekspresikan diri mereka.
Pada hari itu juga, Alisa mendekorasi semula setiap sudut rumah secara besar-besaran. Apa sahaja yang bukan kesukaannya, barang-barang itu akan dibuang keluar.
“Puan betul nak buang semua ini?” Ain bertanya sambil memandang kesemua barang-barang berharga yang Alisa minta untuk dibuang.
Semalam, semua barang-barang yang ada di dalam almari mahu dibuang, sekarang yang dalam seluruh rumah juga mahu dibuang.
Perkara ini, Ain beritahu kepada Aiman.
Aiman hanya berkata, “Buat saje apa yang puan kamu mahu.”
Di petang hari, bila Aiman pulang ke rumah, keseluruhan rumah kelihatan baru. Dari langsir, karpet, dan perabot semua sudah ditukar. Ruangan rumah sekarang kelihatan lebih bercahaya dan dekorasi ada sedikit sentuhan keanggunan.
Aiman terkejut melihat semua ini.
Semasa makan malam, untuk mengambil hati Alisa, Aiman mengambil sayur kangkung dan diletak di pinggan Alisa.
Tetapi reaksi Alisa tidak indah seperti yang Aiman harapkan. Melihat sahaja lauk sayur itu, raut wajah Alisa berubah muram.
“Saya dah kenyang. Awak teruslah makan.” Alisa terus bangun dari meja makan.
Melihat perlakuan ini, Aiman kebingungan.
Ain yang melihat kekecewaan Aiman berkata, “Tuan, puan tak suka makan sayur kangkung.”
Selepas makan, Aiman duduk di dalam bilik bekerjanya, termenung. Kata-kata Alisa semalam tergiang-giang di dalam kepalanya.
“Apa yang saya suka awak tak pernah tahu pun…”
Pada malam itu, Aiman memikirkan isu itu. Aiman cuba untuk mengingat apa yang disukai oleh Alisa. Kenapa apa yang dia fikir kesukaan Alisa bukanlah apa yang Alisa suka?
Pada tengah malam, Ain yang sedang tidur menerima panggilan dari Aiman.
“Apa yang puan kamu suka makan?” Tanya Aiman dari hujung talian.
Ain terus bangun dari tidurnya, “Apa puan suka?” Ain berfikir sebentar, dalam separa sedar Ain menjawab, “Puan makan tak cerewet sangat tapi puan sangat suka makan makanan berasaskan mee. Mee bandung puan paling suka. Kalau western, puan lebih suka makan pasta bolognese yang ada meatball tu….”
Panjang lebar Ain bercakap di telefon dengan Aiman pada malam itu. Selepas hampir 1 jam baru panggilan di tamatkan. Ain hanya mampu mengeluh. Nampaknya perang antara tuan dan puannya ini, dirinya akan menjadi mangsa.
Tetapi hati Ain tetap girang kerana dia nampak usaha tuannya untuk memujuk puannya.
Pada keesokan harinya, Aiman yang sepatutnya bekerja di pejabatnya, sekarang sedang berada di dalam satu kedai kek, sedang belajar membuat kek. Kedai kek ditutup khas untuk mengajar bos besar membuat kek.
Kamal yang datang menghantar dokumen kepada Aiman melihat bosnya itu sedang memakai apron dan dengan kekoknya membancuh kek.
Kamal seperti tidak percaya yang ini adalah bosnya.
Kamal yang sudah lama bekerja untuk Aiman serba serbi tahu yang bosnya itu punya kekasih yang dia kenal sejak dari kecil lagi. Kamal juga tahu yang isteri bosnya mempunyai wajah yang sangat mirip dengan kekasih itu sepertinya mereka adalah kembar.
Sebelum ini, Kamal fikir yang bosnya menganggap isterinya sebagai pengganti kepada bekas kekasihnya itu tetapi tidak sekarang, melihat yang isteri bosnya itu mampu memberi kesan kepada emosi bosnya, sesuatu yang bekas kekasih bosnya tidak mampu buat.
ada 'spoiler' untuk bab akan datang... cuba teka...
Share this novel