Bab 51 : NJ

Romance Series 208049

Sejak Khalil bercerita apa yang sebenarnya yang berlaku pada malam itu, Nia berasa malu dan segan untuk bersua muka dengan Nuh. Dia sedar, dia sudah bertindak keterlaluan dalam menghukum Nuh. Kerana malu, Nia mengelak daripada bertemu Nuh. Dia lebih suka berada di dalam kamarnya sepanjang keberadaan Nuh di rumah keluarganya.

Malamnya, Nia menghabiskan masanya dengan Mia dan Mikael kerana esok abah, Luqman, Mia dan Mikael akan bertolak pulang ke Johor kerana cuti abang iparnya sudah berakhir. Lebih seminggu mereka berada di bumi Terengganu.

"Akak betul ke nak balik esok ni?" tanya Nia sambil mengagah Mikael yang sedang berbaring di atas tilam.

Mikael mengekek dengan agahan mak sunya. Datin Seri Roslina yang baru muncul di bilik Nia juga teruja melayan kerenah satu-satunya cucu saudaranya.

"Iya Nia. Dah lama sangat Abang Luq cuti kali ni. Dah sampai masanya dia kena masuk pejabat." Mia membalas sambil melipat pakaian Nia. Biasanya kerja melipat ini tugas Mak Som tapi sejak Nia lancarkan kempen mogok tempoh hari, kerja Mak Som jadi tergendala. Bahananya, banyak pakaian Nia tidak berlipat. Nak harapkan Nia, Nia baru sahaja pulih dari perasaan terkejut akibat kejadian itu.

Nia memuncungkan bibirnya. Tak puas lagi dia melayan satu-satunya anak saudaranya.

"Jangan risau Nia. Nanti cuti sekolah, ajaklah Nuh balik sana." Dera Mia memujuk adiknya bila nampak bunga-bunga rajuk Nia keluar.

Nia mencebik bibir bila nama Nuh meniti di bibir kakaknya.

"Tapi... Nia tak puas lagi melayan Mikael, akak dah nak balik. Dah la Mikael je tempat Nia menumpang kasih sayang." Nia mencebik bibir sambil mengelus pipi tembam Mikael. Pipi Mikael di kucup-kucup. Anak kecil itu ketawa lagi.

"Nanti Kak Tya ada baby, Nia boleh layan baby dia pula," pujuk Mia lagi sambil tangan sibuk melipat. Tiba-tiba dia pegun, baru tersedar yang dia sudah terlepas cakap. Mia angkat muka, pandang adiknya. Datin Seri Roslina turut berbuat demikian, mahu melihat reaksi Nia. Tapi Nia masih ralik mengusik Mikael seolah-olah apa yang dikatakan oleh Mia tadi tidak terkesan padanya.

''Nia.. akak minta maaf.''

Nia angkat muka, bibirnya melekung nipis.

''Tak ada apa yang nak dimaafkan kak. Betullah apa yang akak cakap tu, kalau Kak Tya dan Abang Zaen ada baby nanti, baby tu pun anak saudara Nia juga," tutur Nia tenang tanpa sekumit rasa marah dengan keterlanjuran kakaknya. Hatinya benar-benar rasa kosong dan lapang.

''Nia dah redha?'' Mama pula bertanya, mahukan kepastian dari Nia sendiri. Kalau dulu bukan main lagi anak gadisnya bersedih bila dapat tahu mama Zaen meminang Tya.

"Alhamdulillah ma. Nia okay je. Lagipun buat apa Nia nak berdendam dengan dia, tak ada faedahnya pun. Nanti Nia juga yang tak tenang, tak bahagia. Eloklah  macam ni. Lepaskan seseorang yang bukan milik kita, itu lebih baik. Dan Nia juga tak lupa yang Nia dah jadi isteri orang. So, fair and square," ujar Nia. Satu hakikat yang perlu ditanam dalam hati yang dia sudah bersuami.

Datin Seri Roslina melakar senyum. Lega dan lapang hatinya dengan jawapan Nia.

''Alhamdulillah. Mama lega dengan jawapan Nia. Mama bangga dengan Nia." Datin Seri Roslina mengelus rambut Nia.

Selang beberapa waktu, bunyi pintu bilik diketuk dari luar. Mereka bertiga menoleh ke pintu.

''Masuk.'' Mama melaung, pintu di tolak dari luar. Terjengul wajah Nuh dan Luqman di muka pintu. Nia terus menekur sebaik terpandangkan Nuh, mengelak dari bertentangan dengan Nuh.

"Kenapa Luq? Nuh?" Mama menyoal.

''Emm... Luq nak ajak Mia balik bilik.'' Luqman menjawab sambil menanti Mia keluar bersama anak mereka. Sengaja dia bagi peluang kepada Nuh untuk berbincang dengan Nia.

"Kalau macam tu Mia keluar dulu ya mak ngah, Nia. Kesian Mikael ni dah mengantuk dia." Mia mengangkat Mikael dari tilam lalu dibawa ke dukungannya. Mikael sudah beberapa kali menguap sambil menenyeh kelopak matanya.

''Iyalah tu Mikael yang mengantuk. Cakap je ayah Mikael yang mengantuk," sampuk Datin Seri Roslina. Mia tersipu-sipu malu dengan usikan Mak Ngahnya.

''Nuh ada nak bincang sikit dengan mama dan Nia." Nuh menapak masuk sebaik sahaja Mia berlalu. Ada beberapa perkara yang ingin dibincangkan dengan ibu mentuanya dan Nia.

"Nak bincang pasal apa?" Datin Seri Roslina terus bertanya, tidak jadi menyusul Mia.

"Pasal Nia dengan Nuh."

Nia panggung wajah pada mamanya. Keduanya berpandangan sebelum menyoroti Nuh yang sudah berlabuh di sebelah Nia.

"Permintaan Nuh mudah. Nuh tak nak perkahwinan kami dihebohkan kepada orang lain termasuk Lya dan Tya. Perkahwinan kami mesti dirahsiakan dan keadaan kami akan kekal begini sehingga Nia habis belajar."

Nia kerut kening. Fikirannya mula mentafsirkan yang Nuh tidak sudi memperakuinya sebagai isteri lelaki itu.

"Jangan fikir yang bukan-bukan Nia. Nuh letakkan syarat macam tu untuk keselamatan Nia. Nuh tak nak kalau ada pihak lain cuba mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Tentang Lya dan Tya, rasanya Nuh tak perlu jelaskan dengan panjang lebar sebab mama dan Nia sendiri tahu yang diaorang suka cari pasal dengan Nia. Kalau kejadian ni sampai ke telinga diaorang, rasanya makin teruk diorang akan kenakan Nia," jelas Nuh.

"Ya, mama faham. Mama pun tak nak orang tahu pasal kamu berdua. Maruah kamu berdua yang akan tercalar. Lepas Nia tamat belajar, baru kita hebohkan."

"Ya, itu yang Nuh harapkan mama."

Mereka senyap sekejap.

"Nuh, alang-alang kita berbincang topik ni boleh mama bagi Nuh dan Nia satu syarat?"

"Syarat apa ma?"

Nia selesa menelinga tanpa sebarang celahan.  

"Macam yang Nuh tahu, Nia masih sekolah. Ada 8 bulan lagi Nia nak STPM. Dan mama tak nak  apa-apa pun berlaku dalam tempoh 8 bulan tu," amaran keras daripada mama di sambut dengan kerutan di dahi Nia. Nuh mengangguk, faham maksud ibu mentuanya.

"Mama tak nak kamu bersekedudukan. Terutama sekali satu bilik. Kamu faham maksud mama, Nuh, Nia?"

Nia ternganga, wajahnya terasa pijar setelah menangkap apa maksud yang tersirat disebalik syarat yang dikemukakan oleh mamanya.

"Mama tak kisah kalau Nuh nak bawa Nia balik ke rumah Nuh sekali sekala tapi kalau boleh jangan berkongsi bilik. Macam yang Nuh bagi tahu tadi, keadaan kamu berdua biarlah kekal begini sehingga tiba masanya. Lagipun mama tak bersedia lagi dengan gelaran nenek. Mama masih muda." Datin Seri Roslina mengenyit matanya kepada Nuh.

Tawa Nuh terlepas manakala Nia menerkup mukanya dengan bantal. Mukanya meruap panas dengan topik yang dibincangkan. Pecah juga tawa mamanya dengan reaksi Nia. 

"Mama jangan risau. Kalau 3 tahun saya boleh tunggu tak kan 8 bulan saya tak boleh tunggu?" kias Nuh dalam tawanya.

Nia membaling bantal ke dada Nuh. Dia menjeling geram dengan Nuh yang masih ketawa. 

"Mama, tengok Nia ni... dia baling bantal pada suami dia..." adu Nuh. Nia menjeling lagi. Mengada!

"Itu lain Nuh. Dulu haram, sekarang halal. Yang halal ni lebih banyak dugaannya daripada yang haram," giat mamanya pula.

"Mamaa..." Nia merenyek. Sungguh dia malu. Tambah pula dengan hilai tawa Nuh yang makin galak mengusiknya.

"Okeylah Nuh, Nia, mama keluar dulu. Dah lewat ni, mesti papa dah cari mama. Papa mana boleh hilang mama kalau balik sini. Kalau balik sana, elok je berbulan tak jumpa mama. Emm nanti Nuh dengan Nia pun, mesti macam tu." Sempat lagi mama membahan Nia dengan Nuh sambil melangkah ke pintu. 

"Okey mama. Mama keluar dulu, ya? Nuh masih nak duduk sini dengan Nia."

Datin Seri Roslina berpaling. Lirikan matanya berubah tajam sekelip mata.

"Jangan risau ma, Nuh ada hal nak berbincang dengan Nia. Nanti selesai bincang, Nuh balik ke bilik Nuh. Nuh ingat syarat mama. Nuh cuma minta masa sekejap saja nak berdua-duaan dengan 'wife' Nuh ni." Cepat-cepat Nuh betulkan soalannya sebelum Datin Seri Roslina menyemburnya.

***

"Suka?" lontar Nia pada Nuh sebalik sahaja kelibat mama hilang di sebalik pintu. Nia bangkit dari birai katil dan bergerak ke wardrobe sambil membawa pakaian yang dilipat oleh kakaknya tadi. Dia mahu menyusun pakaiannya. Tanpa Nia sedar, Nuh turut mengekori sambil membawa pakaian Nia ke wardrobe.

"Mesti la suka." Nuh menghulurkam baju yang dibawa kepada Nia. Bebola mata Nia turun pada tangan Nuh.

"Kenapa suka?" Nia menyambut huluran Nuh dan menyusunnya ke bahagian masing-masing.

"Salah satu daripada berpuluh-puluh impian aku dah tercapai, of course la aku suka," jelas Nuh lalu bersandar belakang tubuhnya di sebalik wardrobe Nia, kedua tangan menyeluk kocek seluarnya. Matanya tidak terlepas daripada Nia yang sedang menyusun pakaian mengikut katogeri masing-masing. Nia langsung tidak nampak kekok. Dia tahu isterinya itu lebih suka menguruskan keperluannya sendiri walaupun itu tugas Mak Som. 

"Berpuluh-puluh impian? Wow, boleh tahan banyak impian yang awak nak. Boleh saya tahu impian mana awak yang dah tercapai tu?" Nia menyoal sambil menutup pintu wardrobe.Kini dia berdiri, bertentangan dengan Nuh.

Nuh menggigit pipi dalamnya. Selangkah dia mendekati Nia dan memegang kedua belah bahu isterinya. Nia kaku, terkejut dengan sentuhan Nuh di bahunya.

"Impian aku cuma satu."

Nia angkat keningnya.

"Aku nak kau dan aku dah dapat."

Nia terbungkam. Semerta warna wajahnya berubah. Teringat kata-kata Khalil, wajahnya makin bertambah pucat. Dia tidak pasti sama ada ini masa yang tepat dan sesuai untuk Nuh ungkapkan 'frasa' itu sedangkan baru sebentar tadi mama melemparkan amaran keras buat mereka berdua. Tubuh Nia seram sejuk lebih-lebih lagi dengan status mereka, kedudukan mereka. Nia takut! Dia takut dekat-dekat begini! Dia tidak selesa!

"Eeii, apa pegang-pegang ni! Tak sukalah." Nia menolak tangan Nuh di bahunya lalu berlalu ke meja belajarnya.

Nuh menggeleng kecil. Kakinya mengekori Nia. Dia tahu Nia malu dan tidak selesa dengannya. Cukuplah dengan muka Nia yang sudah bertukar warna itu sebagai buktinya.

"Salah aku pegang?" Nuh melabuhkan punggungnya di kerusi almari solek, dekat dengan Nia.

"Tak salah tapi saya tak suka. Tak selesa." Nia mengerling Nuh sekilas. Dia berharap sangat yang Nuh faham dengan apayang cuba dia sampaikan.

"Tak selesa? Mungkin lepas ni kau akan selesa kut. Kan?" gasak Nuh. Tubuhnya dicondongkan ke arah Nia. Nia menolak kerusinya sedikig menjauh daripada Nuh.

"Nuh... tolonglah. Awak dah dengar apa yang mama cakap tadi kan?"

Nuh ketawa. Nia mengerut kening, hairan dengan Nuh yang terlihat lebih 'happy' pada malam ini.

"Aku pegang kau sebab kau tu dah jadi isteri aku. Isteri aku yang sah."

Nia berdecit.

"Iya, saya tahu Nuh tapi awak dah janji dengan mama. Awak kena tepati janji awak kalau tak saya akan bagitahu mama," ugut Nia yang makin geram dengan Nuh yang makin bebas melepaskan tawanya.

Nuh angkat kedua tangannya tanda mengalah.

"Nia... Nia... takut sangat kau ni dengan aku. Ok lah, i'm sorry."

Nia kelegaan bila Nuh menegakkan kembali duduknya.

"Tadi awak cakap ada perkara nak bincang dengan saya. Apa dia?"

"Oh, aku pun dah hampir lupa pasal apa. Ini semua kau punya pasal."

Nia ternganga, sesenang itukah Nuh menyalahkannya?

"Hah, aku dah ingat! Aku nak bincangkan pasal kita. Macam yang kau tahu, status kita bukan macam dulu. Kalau dulu kita hanya sebatas abang dengan adik angkat tapi sekarang ni hubungan kita tiada batas. Kau isteri aku dan aku suami kau. Walaupun tiada batas, aku tak nak kita bebas buat apa yang kita suka lebih-lebih lagi di sekolah. Aku tak nak sesiapa pun tahu status kita. Di sekolah, kau Nia Jasmine dan aku Cikgu Nuh Jazmin. Kita kekalkan dulu status abang dan adik untuk tempoh 8 bulan ni. Dan kita akan stay di rumah masing-masing sehingga tiba masanya nanti, aku sendiri akan bawa kau balik ke rumah aku. Kau setuju dengan cadangan aku?

Nia pantas mengangguk. Dia tiada masalah dengan segala syarat itu kerana dia juga bersependapat dengan Nuh.

"Lagi satu, buat masa ni aku nak kita kekalkan panggilan kita macam ni."

Kali ini kening Nia mengerut.

"Aku bukan apa... aku takut kau tersasul je."

Muka Nia berkerunyut lagi. Dia tidak faham apa maksud Nuh.

"Kalau tiba-tiba kau tukar panggil aku hubby ke, abang ke, baby ke... Aku risau kalau dekat sekolah, kau tersasul panggil aku dengan nama tu. So better, macam ni je dulu... kan sayang?"

Nia tersentak, terus tangannya naik pukul bahu Nuh. Tak habis-habis lagi Nuh kenakan dia.

"Awak jangan nak mengada sangat boleh tak?"

Nuh tergelak. Muka Nia sudah cemberut.

"Aku suka tengok kau macam ni. Rasa nak kunyah-kunyah je pipi ni." Nuh curi-curi sentuh pipi Nia.

"Nuh!" Sepantas itu juga Nia menepis.

"Awak jangan nak mengada Nuh! Sejak bila awak jadi ulat bulu macam ni? Ingat sikit pesanan mama," marah Nia, sengaja dijegilkan mata.

"Aku bertukar jadi ulat bulu macam ni sejak aku ada kau."

Nia menjulingkan mata.

"Sweet talker memang akan cakap macam tu! Ni, malam ni awak tidur mana?" Nia tukar topik, makin dilayan makin melalut perginya Nuh nanti.

"Dengan kau je aku boleh sweet talker macam ni. Dengan orang lain? Dah tentu-tentunya tak boleh kan?" giat Nuh sambil menanti reaksi Nia.

"Suka hati awak lah Nuh nak sweet-sweet  dengan sesiapa pun, saya tak kisah."

Nuh tergelak kecil. Dia mendorong tubuhnya ke pada Nia. Nia menarik tubuhnya ke belakang.

"Sayang, come on lah. Last aku jadi sweet talker dengan orang lain, aku hilang kau. Bukan setahun tapi tiga tahun kau lari dari aku. Kau ingat aku akan ulang balik sejarah tu? Never sayang, never! Kali ni, aku akan pastikan aku tak akam kehilangan kau lagi. Remember that!"

Nia terkebil-kebil. Nuh masih ingat kejadian itu?

"Emm... apa-apa jelah Nuh. Ni, awak tidur mana?" Nia ubah topik lagi. Kali ini dia bangkit dari duduknya dan berlalu ke pintu bilik

Nuh melepas keluhan kecil. Dia turut bangun dari duduknya dan mendekati Nia.

"Aku tidur di bilik sebelah. Nanti kalau mama tahu aku tidur sini, macam-macam mama siasat aku esok. Kau dah betul-betul okay? Kau dah ready nak pergi sekolah esok?" tanya Nuh dengan muka yang sedikit serius, dia tidak main-main bila melibatkan emosi Nia.

Nia mengangguk. Kepalanya sudah memberat, mengantuk. Mulut pun sudah tidak tahu berapa kali menguap.

"Emm... aku keluar dulu. Kau tidur elok-elok, jangan kunci pintu. Kalau ada apa-apa, call aku." Nuh sempat titipkan pesanan sambil tangan menerkup pipi Nia. Matanya merenung Nia. Dia risaukan keadaan Nia yang masih lagi trauma selepas kejadian itu. Nia mungkin tidak sedar yang sebenarnya dia kerap kali meracau dalam tidur.

"Baik."

Nuh mendekat, dia mendaratkan bibirnya di ubun-ubuh Nia. Tubuh Nia kaku, terkejut dengan tindakannya. Sebelum isterinya itu mengamuk, Nuh segera keluar dari bilik itu.

Share this novel

Misz Nurin
2026-01-07 11:21:14 

Sweet


NovelPlus Premium

The best ads free experience