Prolog 2 : NJ

Romance Series 173919

~The best love story is when you fall in love with the most unexpected person at the most unexpected time.~

2019.

Kuala Terengganu, Terenganu.

Nia buka mata perlahan-lahan. Sakit dan perit bila cahaya putih menerjah masuk ke dalam mata. Telinga menangkap sayup-sayup bunyi bising, makin lama makin jelas di telinganya. Bercakap dengan nada tinggi persis menjerit dan marah.

'Apa dah jadi ni? Aduhh sakitnya kepala ni,' Nia mengaduh sambil tangan picit pelipis kepala. Sesekejap dia curi pandang di mana keberadaannya.

"Abah tak kira, abah nak kamu kahwin dengan Nia. Ini soal maruah kita. Maruah Nia dan maruah kamu. Maruah uncle Andrew juga!"

Lagi suara itu menerpa masuk ke telinga Nia.

'Eh, itu... abah? Bila abah datang sini?' Nia tertanya-tanya sendiri setelah mengecam itu suara milik orang tuanya.

Nia celik mata sepenuhnya. Dari berbaring dia bangkit tegakkan duduk. Dia mengamati tempat da berada dan ternyata tiada yang pelik. Seperti biasa dia  ada di bilik tidurnya. Bilik yang dia guna semenjak dua tahun berpindah ke rumah mama.

"Tapi abah... kami tak buat apa-apa pun!" Kedengaran ada suara lain membalas mempertahankan diri sendiri dari dakwaan abah.

Nia mengerut kening, macam pernah dengar suara tu. Nia menajamkan lagi deria pendengarannya, cuba fokus untuk menangkap setiap butir bicara abah dengan lelaki itu.

"Saya cuma datang sini sebab Khalil yang minta tolong. Tiba-tiba saya ternampak Nia dalam keadaan macam tu. Saya cuma tolong Nia je abah. Itu je!" lantang lelaki itu bersuara membela diri. Boleh dikatakan agak kuat juga lelaki itu membalas sampaikan dia yang berada di tingkat atas ini boleh dengar dengan jelas.

'Tapi, siapa lelaki tu? Kenapa suara itu macam... tolong jangan cakap dia tu.. Nuh Jazmin!' Nia gigit bibir bawahnya. Tiba-tiba rasa tidak tenang.

"Abah tahu itu tujuan kamu datang sini tapi orang lain tak tahu Nuh.." Suara abah pula kedengaran tapi kali ini dengan sedikit mengendur.

Nia langsung membulatkan mata sepetnya.

'Nuh? Abah sebut nama Nuh tadi, kan?'

"Abah, Nia tu cuma adik Nuh abah. Tak kan Nuh tergamak nak buat macam-macam pada Nia." Suara itu juga kedengaran mengendur, terkilan. 

'Sah, itu Nuh!' Nia makin tidak sedap hati. Lain macam topik yang dibahaskan itu.

"Adik.. tapi tetap bukan adik kandung, kan?" Kedengaran papa pula mencelah.

Nia sudah keresahan, tak boleh jadi ni! Baru selak comforter, dia perasan sesuatu yang pelik. Dia memakai baju yang berlainan dari yang biasa dipakai untuk tidur. Keningnya tambah berkerut lagi tatkala melihat dia berkain batik.

'Sejak bila aku pandai berkain batik ni? Ahh pedulilah!' Tak mengendahkan persoalan itu, dia terus berdiri mahu dapatkan penjelasan tentang apa yang dibincangkan di bawah sana. Dia yakin tentu topik itu ada kaitan dengannya bila namanya disebut-sebut.

'Aduh, sakit kepala...' Terus tangan picit kepala bila kepala berdenyut semula impak dari dia bangun secara mendadak macam tu.

Nia kembali duduk di birai katil. Ulang kali tarik nafas dan hembus perlahan. Pintu dikuak dari luar, segera dia toleh ke arah pintu itu. Mama dan Mia Jasmine muncul di sebalik pintu lalu mendapatkannya.

"Nia... Nia okay ke?" tanya mama, risau. Dia duduk di katil bersebelahan Nia. Mia pula hanya tegak berdiri dihadapan adik kesayangannya.

Nia angkat muka pandang mamanya dengan kerut seribu terpeta di dahinya. Sekejapan dia pandang Mia.

'Bila mama ada kat sini? Bukan ke siang tadi mama pergi ke Kuantan? Kata mama dia bermalam dekat sana kan? Bila mama balik? Kak Mia pun ada sekali? Tentu kak Mia datang dengan abah kan?' Nia termangu sendiri. Kebingungan.

'Kalau kak Mia ada, pasti abah dan abang Luq pun ada sama. Tapi pelik, bila abah dan kak Mia sampai sini?' Soalan muncul lagi tapi satu jawapan pun tidak muncul di benaknya. Kepalanya terasa kosong. Macam baru lepas dicuci bersih.

"Nia, okay tak ni?" soal mama kali kedua bila Nia hanya diam, tidak menjawab soalannya. Bahu Nia dielus sayang.

"Nia... Nia okay mama cuma Nia sakit kepala," adu Nia. Sakit yang tak dibuat-buat. Tangannya memicit pelipis kepala lagi.

"Nia dah bangun ngah?" Tuan Ahmad Zakri menjenguk anak bongsunya di dalam bilik. Anak mata tuanya terus melekat pada wajah anak bongsunya. Riak wajahnya yang sedikit muram dan terkilan tidak mampu disembunyikan lagi.

Melihat kepada wajah abahnya muram begitu, membuatkan dada Nia yang berdebar tadi terasa makin kencang. Dia dapat menghidu ada sesuatu yang tidak enak sedang berlaku kepadanya.

"Nia, pakai baju elok-elok. Kita bincang dekat luar. Pakai tudung sekali." Tuan Ahmad Zakri memberi arahan seraya menutup kembali pintu bilik anaknya.

Usai bersiap, Nia turun ke tingkat bawah bersama Mia dan mamanya. Dia mengambil tempat di hujung kerusi. Semua mata tertumpu ke arahnya, Nia menunduk bagaikan pesalah biarpun tidak tahu apa salahnya.

Disebelahnya, Mia Jasmine menggenggam erat tangannya bagaikan sedang menyalurkan kekuatan kepada dia yang tidak tahu apa-apa itu.

Nia angkat muka, pandang umat manusia yang ada di ruang tamu rumah mamanya, Nia pandang satu persatu. Semuanya berpakaian orang warak persis orang masjid. Berjubah putih, berserban dan berkopiah.

'Kenapa ramai sangat orang malam ni. Ada kenduri tahlil ke apa ni?'

"Sekarang ni, macam mana abang?" tiba-tiba Datuk Sri Andrew bertanya kepada abang iparnya memecah kesunyian yang mengisi ruang.

Dengar soalan dari papa, terus Nia talakan matanya kepada abah. Menanti sebarang keputusan dari abah. Walaupun dia dilanda kebingungan tapi entah kenapa dia dapat merasakan keputusan yang bakal keluar dari mulut abahnya itu merupakan satu keputusan yang sangat besar impaknya kepada seluruh hidupnya nanti. Dia diibaratkan pesalah sedang menanti dijatuhi hukuman.

"Kita kahwinkan saja Nuh dengan Nia." Pendek, ringkas dan padat ayat abah.

'Apa? Aku kahwin dengan Nuh? Nuh? Tidakkk!'

*           *             *  

"Aku terima nikahnya Nia Jasmine Binti Ahmad Zakri dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai."

Lancar sahaja Nuh melafazkan akad nikah itu bersaksikan keluarga yang ada. Maka dengan ini rasmilah ikatan suami-isteri di antara mereka Nuh dan Nia.

Selesai mengaminkan doa, Nia tersentak. Dia bagaikan baru tersedar dari mimpi. Terpinga-pinga dia melihat Nuh yang sedang bersalam dengan abah dan papa. Abangnya juga sama.

'Kami dah kahwin? Kami... suami-isteri? Tak-tak ini semua tak betul! Ini semua mimpi! Mengarut!'

Nia segera bangun, mahu membawa diri jauh-jauh dari sini. Terasa sesak dadanya berada di ruangan ini. Tapi dia dihalang oleh mama dan kak Mia. Nia cuba meronta tapi tak berdaya. Akhirnya dia mengalah duduk semula ditempatnya. Hanya mata sahaja yang bergenang. Tidak percaya dia turut menjadi sebahagian daripada kisah klise yang selalu dipertontonkan di kaca tv.

'Kenapa? Kenapa semua jadi macam ni? Inikah pengakhiran hidup zaman anak dara aku? Jadi isteri kepada Nuh? Tidak!' batinnya membentak.

"Kak Mia..." Nia melirih. Air mata di pipi dikesat dengan belakang telapak tangan.

"Ye Nia?" Mia menyahut perlahan, dia turut bersimpati dengan apa yang menimpa adiknya tapi apa yang dia boleh buat? Mereka langsung tiada bukti yang membuktikan mereka berdua tidak bersalah. Jadi ini satu-satunya jalan supaya 'nama' keduanya tidak membusuk. Keputusan abah sebagai wali kepada Nia Jasmine sebulat suara mahu keduabya dinikahkan pada malam ini juga.

"Apa yang jadi sebenarnya ni? Kenapa... kenapa tiba-tiba Nia kena kahwin dengan Nuh?" tanya Nia, dia berhak mahukan jawapan. Ini soal maruahnya juga!
  
"Nia tak ingat apa yang jadi?" tanya Mia, juga berbisik. Ibu jarinya naik seka air mata Nia yang masih tak berhenti menitis.

Nia mengeleng. Betul, dia tak ingat apa yang dah jadi. Dia tak tahu apa yang berlaku sepanjang dia tidur tadi.

'Tapi, betul ke aku tidur? Atau aku sebenarnya pengsan?' terbesit itu di dalam hati.

Nia tersentak bila mama cuit lengannya, dia pandang mama disebelah. Mama bagi isyarat supaya Nia pandang ke hadapan. Lalu Nia angkat kepala, melihat kepada Nuh Jazmin yang sedang menyusun langkah ke arahnya lalu merebahkan lutut di hadapannya.

Air muka Nuh yang selalu tampak berkeyakinan kini nampak sedikit kemuraman. Ada kesalan di wajah itu. Nuh senyum hambar bila mata mereka bertentangan sekejap.

Nuh Jazmin menghulurkan tangan kanannya kepada Nia, Nia  tidak segera menyambut malah ditenung tangan berurat itu bagaikan nak tembus. Dia termangu sendiri.

'Kenapa Nuh hulur tangan? Mahu apa? Aku kena buat apa dengan tangan tu?'

Mama sekali lagi mencuit lengan Nia, Nia segera kalih matanya kepada mama.

"Salam tangan Nuh, Nia. Nuh dah jadi suami Nia." Beritahu mama tentang sebuah hakikat. Sekali lagi Nia tersentak, tersedar dari temenungnya.

'Nuh suami Nia.' Berdengung ayat ini benaknya. Nia teguk liur. Sukar untuk dia terima hakikat yang ikatan antara mereka sudah terjalin dengan satu status baru.

Tiada lagi abang dan adik angkat, tiada lagi cikgu dan pelajar. Yang ada hanya Nuh Jazmin, suami Nia Jasmine. Dan Nia Jasmine, isteri Nuh Jazmin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience