Bab 47 : NJ

Romance Series 199134

"Aku terima nikahnya Nia Jasmine binti Ahmad Zakri dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai." Bagaikan mimpi, lancar sahaja Nuh melafazkan akad itu dengan bersaksikan beberapa orang keluarga terdekat. Maka dengan ini rasmilah ikatan suami-isteri di antara Nuh dengan Nia.

Nia tersentak, hujung telinganya dengar tidak dengar saja apa yang baru dilafazkan oleh Nuh. Dia terpinga-pinga melihat Nuh bangun dan bersalam dengan abah dan papanya. Bukan hanya bersalam malah tubuh Nuh juga dipeluk oleh keduanya. Abangnya juga berbuat hal yang sama. Luqman serta beberapa orang yang tidak dikenali juga berjabat tangan dengan Nuh.

'Kenapa bersalam-salaman ni? Hari raya ke hari ni? Puasa dah habis ke?' Nia yang masih kebingungan mula membuat rumusan sendiri. Matanya masih tidak beralih dari terus memandang gelagat manusia-manusia di hadapannya.

Nia tersentak bila terasa lengannya dicuit seseorang. Dia pandang ke sebelah, dia tersenyum bila lihat raut jelita mama. Mama mengisyaratkan sesuatu dengan lirikkan matanya tapi Nia berkerut kening. Tak faham dengan isyarat daripada mama.

"Pandang depan. Nuh dah ada depan Nia," bisik mama, Nia terus pandang depan dan dia kaget. Tak sedar bila Nuh duduk di hadapannya. Bukankah tadi Nuh ada dengan abah dan papa? Bila dia datang sini? Nia perhatikan wajah Nuh. Lelaki yang selalu tampak berkeyakinan ini nampak sedikit muram. Bagaikan ada kekesalan yang ditanggung tapi apa?

Nuh mengorak senyuman nipis tatkala mereka bertentangan. Senyuman itu sedikit hambar tidak tulus seperti selalu. Nuh Jazmin menghulurkan tangannya kepada Nia, menanti Nia menyambutnya.

Kening Nia bertaut lagi, tergamam dengan huluran Nuh.

'Kenapa Nuh hulur tangan? Untuk apa Nuh bagi aku tangan dia?' Nia tertanya-tanya sendiri sambil mata tidak lepas dari terus merenung tangan berurat itu.

Mama sekali lagi mencuit lengan Nia, Nia sekali lagi menoleh pada mamanya.

"Salam tangan Nuh, Nia. Nuh kan dah jadi suami Nia," ujar mama. Nia melopong, lambat-lambat dia pandang Nuh yang masih menanti hulurannya disambut.

"Su... suami?" aju Nia perlahan dan kali ini soalan itu memang diajukan khas kepada Nuh.

Lihat Nuh jatuhkan kepalanya sekali, Nia terasa dunia ini berpusing. Kepalanya yang sedia ada pening, kembali menyengat. Tubuhnya yang tidak segar sepenuhnya, mula terasa lemah semula. Tak lama menanti, Nia rebah di sisi mama.

"Nia!" Hanya terdengar namanya dijerit oleh lelaki yang baru sahaja bergelar suami kepadanya sebelum segalanya hilang.

*            *            *

Sebelum itu.

"Abah..." Nuh berdesis, spontan dia tegak berdiri. Liur diteguk kesat, risau. Khalil di sebelah juga ikut berdiri dengan kemunculan bapa saudaranya itu bersama Luqman dan Mia yang sedang mendukung anak kecilnya. 

"Pak long..." tegur Khalil setibanya lelaki itu di hadapan mereka berdua. Sejujurnya dia agak terkejut dengan kemunculan pak long seawal ini sedangkan jarak antara Johor dengan Terengganu bukannya dekat. Khalil kerling Luqman di sisi pak longnya, tahulah dia yang Luqman bukan sekadar memandu tapi siap lakukan aksi lasak formula driff lagi.

"Apa dah jadi sekarang ni Khalil, Nuh?" Tuan Ahmad Zakri terus mengasak Nuh dan Khalil. Dia sudah tidak sabar lagi mahu dengar apa yang berlaku daripada keduanya. Tidak seberapa jelas kalau hanya bercakap di telefon sahaja. 

"Sebenarnya pak long...," belum sempat Khalil bercerita, pintu utama sekali lagi ditolak dari luar. Datuk Seri Andrew dan Datin Seri Roslina pula muncul. Mereka berdua baru sampai dari Kuantan. 

"Abang..." Datin Seri Roslina terus mendekati abangnya. 

Datuk Seri Andrew pula mendapatkan pegawai JHEAT yang masih menanti di rumah mereka untuk berbincangkan kes penangkapan ini. Kalau boleh Datuk Seri Andrew tidak mahu berita yang mengaibkan ini sampai ke telinga orang luar dan seterusnya akan sampai ke pengetahuan pihak media. Nama dan reputasi mereka juga yang akan tercalar. Dan yang paling penting dia mahu elakkan adalah kalau terpalit nama Nuh di media. Nuh bukan orang kebanyakkan. Nama Nuh tidak boleh ada di mana-mana platform media yang membolehkan nama Nuh sampai ke pengetahuan 'orang Sabah' sana. 

"Lil, Nia? Mana Nia? Kenapa boleh jadi macam ni Nuh? Khalil?" Dia terus mengasak Nuh dan Khalil. Jantungnya bagaikan mahu gugur setelah mendapat panggilan kecemasan dari Khalil seawal 2 pagi. Terus sahaja dia dan suaminya bergegas pulang. 

"Nia tak bangun lagi. Dia ada dalam bilik tamu." Khalil menjawab bagi pihak Nuh. Dia tahu Nuh sudah kepenatan. Penat dan lelah bertekak dengan pegawai JHEAT tadi masih belum hilang.

"Kenapa boleh jadi macam ni? Apa sebenarnya jadi Nuh?" Mama bertanya lagi, dia toleh pada Nuh, menanti penjelasan dari pemuda itu pula. 

Nuh hanya berdiamkan diri. Bukan tidak mahu membela diri, cuma dia penat. Pandangan abah dan mama, seolah-olah dia pesalah besar dan iya, dia bersalah kerana berada pada waktu dan tempat yang salah. 

"Nuh?" Tuan Ahmad Zakri pula menyeru Nuh. Hati tuanya yakin ini semua bukan salah Nuh tetapi sedikit sebanyak terselit juga rasa kecewa. Kenapa Nuh boleh ada di rumah adiknya pada waktu-waktu begini? Dia sudah dengar cerita dari Khalil tapi dia mahu Nuh sendiri yang mengeluarkan penyataan itu.

"Ini semua fitnah. Nuh tak buat macam apa yang pegawai tu bagitahu. Nuh tahu, Nuh salah tapi Nuh masih jaga maruah dan nama Nuh serta nama keluarga abah dan mama. Nuh masih ingat Tuhan dan Nuh sayangkan agama Nuh." Nuh akhirnya bersuara.

Bibir Tuan Ahmad Zakri terkoyak dengan senyuman yang merangkumi rasa syukur dengan penjelasan Nuh itu. Bahu Nuh dia tepuk sekali sebelum dia memutar tubuh, tuju ke bilik yang menjadi tempat anak bongsunya 'tidur'.

Pintu bilik dibuka. Nia masih lena seolah-olah tiada apa yang berlaku di sekelilingnya. Cerita Khalil, Nia dijumpai tidak berbaju dengan sempurna dan hanya diselimuti dengan comforter tebal. Air mata tuanya bertakung, hatinya pedih. Dia cukup yakin yang ini semua adalah satu fitnah. Dia percayakan Nuh dan dia juga percayakan Nia. Mungkin ada yang cuba perangkap mereka, tapi siapa?

"Abang..." Datin Seri Roslina menyentuh belakang abangnya. Abangnya berpaling dan merangkul tubuhnya. Hatinya cukup terluka dengan berita penangkapan ini. Nia, anaknya yang disayangi manakala Nuh pula anak angkat yang dikasihi. Mereka dituduh melakukan maksiat. Hati ibu mana yang tidak terguris? Sepanjang perjalanan tadi dia menangis mengenangkan nasib anak perempuannya.

"Hati abang hancur Ina. Siapa yang sanggup buat anak kita macam ni," lirih Tuan Ahmad Zakri di bahu adiknya. Berharap dengan cara itu dia mampu menenangkan kesedihannya.

"Ina tak tahu abang. Hati Ina juga rasa hancur abang. Nia anak Abang, Nia juga anak Ina," gumam Datin Seri Roslina. Seketika pelukan mereka dilepaskan, dia mencari anak sulungnya. 

"Khalil, nanti tolong angkat Nia bawa masuk bilik dia. Mama nak salinkan cadar bilik tu dan mama nak gunakan cadar tu sebagai bukti. Lagipun mama tak nak nanti dia sedar, dia pelik bila  dia tidur di bilik bawah," pinta mama pada anak bujangnya sambil mengesat air mata. Khalil hanya mengangguk. 

"Mia, bagi Mikael dekat abang. Mia tolong tengokkan abah dengan mak ngah ya," ujar Luqman seraya mengambil Mikael dari pangkuan isterinya lalu di bawa masuk ke bilik tamu yang ke dua. Anaknya yang sedang lena itu perlu diletakkan ke katil sebelum terjaga.

*          *          *    

''Nuh..'' Luqman menepuk paha Nuh sembari mengambil tempat di sebelah Nuh. Nuh yang kelihatan sugul itu mengangkat muka. Sekilas dia toleh pada Khalil yang juga lebih kurang sugulnya dengan Nuh.

"Mana Mika?"

"Dah letak dalam bilik. Kesian dia dari tadi tidur tak lena. Kau okey?" Luqman menyoal, lebih kepada berhati-hati.

"Kesian Mika. Semua sebab aku." Nuh kembali menekur lantai. Sesekali dia menhempus keluh berat.

"Nuh..."

"Sumpah Luq. Demi Allah, aku tak buat semua tu..." ungkap Nuh seraya mengeleng. 

"Nuh, aku tahu bukan kau yang buat semua ni. Aku yakin bukan kau. Tapi ada orang nak kenakan Nia. Tu yang aku pasti." Itu yang dia yakin sejak dari dia dengar apa yang diceritakan oleh Khalil dalam telefon. Ada orang cubakan Nia tapi yang terkenanya Nia bersama Nuh.  

Nuh angkat muka. Dalam dia tenung Luqman dan Luqman mengangguk. Khalil yang turut terdengar pendapat Luqman itu membetulkan duduknya, menompang siku di lutut. Mendekatkan tubuhnya ke arah Luqman dan Nuh.

"Kau tak rasa macam tu Nuh?" soal Luqman. Nuh dan Khalil berpandangan. Nuh berkerut kening.

"Ada orang nak kenakan Nia? Orang tu... kau nak kata 'diaorang'?"

Luqman jongket bahu, faham siapa yang dimaksudkan oleh Nuh tapi dia juga tidak pasti adakah telahannya benar ataupun tidak. Bukti masih samar-samar. Luqman berkalih pada Khalil pula.

"Lil, CCTV?" 

''Dah periksa tapi tak ada record. CCTV kebetulan rosak semalam. Aku tak sure rosak sebab ada orang sabotaj atau sebab kilat. Kebetulan memang kilat kuat betul semalam."

Luqman menepuk tangan ke pahanya. Teorinya sudah hampir mengena.

"Bingo! CCTV rosak, pintu rumah tak berkunci, Nia pengsan dalam keadaan macam tu... so, apa lagi bukti yang kau nak? Kau tak rasa semua ni sebenarnya dah di plan dari awal dan kau sebenarnya muncul pada masa yang tepat. Kau rasa apa yang akan jadi pada Nia kalau bukan kau yang muncul?" 

Nuh terbungkam. Dia hampir terlupa untuk on suis detektifnya! Khalil pula melongo, bukti yang dikemukakan oleh Luqman itu sudah cukup mengesahkan yang ada orang cuba buat onar terhadap adiknya. Kepalnya dikemaskan.

"Aku akan report polis, mintak diaorang siasat kes ni. Macam yang kau cakap Luq, memang ada orang dah ceroboh masuk rumah aku dan cuba buat onar dekat adik aku. Dia cuba main dengan maruah adik aku!" Khalil menderam. 

"Lil, kau jangan nak buat hal. Fikir maruah papa dengan mama. Kalau kau report, media tahu... Mana kau nak letak muka papa dengan mama?" Nuh menempelak, tak setuju kalau Khalil melibatkan pihak polis dalam hal ini.

"Habis tu kau nak buat apa? Nak biarkan diaorang pijak maruah kau dengan Nia macam tu saja?" Khalil pula berang dengan Nuh.

"Lil, aku ada cara...," Tak sempat Nuh mengemukakan rancangannya, papa dan abah mendekati mereka bertiga.

"Papa dah berbincang dengan diaorang. Diaorang boleh settlekan hal ni dekat sini. Dengan syarat, Nuh dengan Nia kena kahwin selepas Nia bangun nanti." 

"What? No papa, tak boleh macam tu!" Inilah yang paling ditakutkan oleh Nuh sejak dari dia ditangkap berdua-duaan dengan Nia. Kahwin dengan Nia? Memang dalam perancangannya tapi bukan sekarang!

"Kenapa tak boleh Nuh?" celah abah pula. Mereka berpandangan seketika.

"Abah, memang Nuh sayang Nia. Nuh dah janji dengan abah tapi bukan ini caranya untuk Nuh dapatkan Nia. Kalau Nia tahu, dia akan bencikan Nuh."

"Habis tu, Nuh tak nak bertanggungjawab?"

"Bertanggungjawab apanya abah? Nuh tak buat apa-apa  pun dengan Nia. Ini bukan dalam plan kita, abah!" Nuh mendengus. Abah sengaja menduga dia padahal sudah berkali-kali dia beritahu abah yang dia tak buat apa-apa dengan Nia!

"Nuh..." Luqman menegur bila suara Nuh sedikit kuat daripada biasa. Khalil tepuk bahu Nuh minta Nuh bertenang. Nuh meraup muka.

Nuh pejam mata, tarik nafas dalam. Satu yang dia risaukan, dia risau kalau Nia tidak mempercayainya lagi. Nia tidak sedar dan tidak tahu apa yang berlaku. Macam mana kalau tiba-tiba Nia tuduh dia lakukan sesuatu yang dia tidak pernah buat?

"Abah, papa, Nuh memang sayangkan Nia. Nuh memang nak jadikan Nia isteri Nuh tapi bukan sekarang dan bukan juga dalam keadaan aib macam ni. Nuh sanggup tunggu Nia sempai dia habis belajar. Ada kerjaya dan hidup dia sendiri. Nuh sanggup tunggu asalkan Nia ikhlas terima Nuh. Nuh dah janji dengan abah dan papa dan Nuh tak akan mungkir janji Nuh."

"Abah tahu niat Nuh ikhlas dengan Nia tapi boleh jadi Tuhan memakbulkan niat Nuh untuk memperisterikan Nia dengan cara yang macam ni. Nuh tak rasa macam tu?"

"Abah... Nuh cuma...,"

"Atau Nuh sebenarnya tak yakin dengan Nia? Nuh takut kalau anak abah tu dah jadi bekas orang?" Agak logik kalau Nuh menolak bila Nia dijumpai dalam keadaan begitu aib. Siapalah Nia kalau nak digandingkan dengan Nuh yang serba serbi ada itu.

"Astagfirullah-al-azim. Abah, Nuh tak pernah fikir macam tu. Nuh yakin Nia tak diapa-apakan."

"Kalau macam tu, Nuh sudi terima Nia sebagai isteri sah Nuh?"

"Abah..."

Tuan Ahmad Zakri mendengus. Dalam keadaan macam ni, Nuh masih mahu berdolak dalih? Nuh suka Nia, jadi apa masalahnya sekarang ni?

"Abah tak kira, abah nak kamu kahwin dengan Nia. Ini soal maruah kita. Maruah Nia. Maruah Uncle Andrew." Akhirnya dia bertegas. Susah sangat pujuk Nuh, biarlah dia gunakan kuasa vetonya sebagai 'abah' kepada Nuh dan Nia. Dia yakin keduanya tidak akan berani membangkang lagi keputusannya.

"Saya cuma datang sini sebab Khalil yang minta tolong. Tiba-tiba saya ternampak Nia dalam keadaan macam tu. Saya cuma tolong Nia je abah. Itu je!" Nuh membangkang lagi. Boleh gila dia malam ini dengan permintaan abah dan papa.

"Abah tahu itu tujuan kamu datang sini tapi orang lain tak tahu Nuh..." Suara abah pula kedengaran tapi kali ini dengan sedikit mengendur.

"Abah, Nia tu cuma adik Nuh abah. Tak kan Nuh tergamak nak buat macam-macam pada Nia." Sekali lagi Nuh cuba, berharap abah tarik balik permintaannya.

"Adik, tapi tetap bukan adik kandung, kan?" Datuk Seri Andrew pula mencelah.

Nuh senyap. Dia sudah kekeringan idea untuk menungkas lagi. Khalil dan Luqman juga diam membisu. Kebisuan Nuh itu Tuan Ahmad Zakri menganggap Nuh akur dengan permintaannya. Dia memutar tubuh, mengatur tapak ke tingkat atas. Dia inginkan masalah ini diselesaikan secepat mungkin. Badan dan otaknya sudah penat bahana tidak dapat rehat secukupnya. Bimbang meninggalkan kesan pada bacaan tekanan darahnya pula. 

"Nia dah bangun, ngah?" Tuan Ahmad Zakri bertanya. Nia toleh padanya, nampak muka itu sedikit pucat. Kesian anak abah!

Datin Seri Roslina sekadar mengangguk sebagai jawapan.

"Nia, pakai baju elok-elok. Tukar baju. Kita bincang kat luar." Tuan Ahmad Zakri memberi arahan sebelum menutup pintu bilik anaknya. kembali. Dia kembali turun ke tingkat bawah.

"Sekarang ni, macam mana abang?" Datuk Seri Andrew segera bertanya, ketika itu Nia sudah berada di bawah bersama Mia dan isterinya.

Nia yang berada di tengah-tengah mama dan Mia mengangkat muka tatkala mendengar soalan daripada papanya. Dia memakukan wajah pada abahnya. Entah kenapa dia rasakan saat ini, abah umpama seorang hakim yang sedang mengadili hukuman pesalahnya. Tapi siapa pesalahnya? Abah sedang merenungnya, membalas pandangannya. 

Walaupun Nia masih blur dengan apa yang terjadi, tapi entah kenapa dia merasakan keputusan yang bakal keluar dari mulut abahnya itu merupakan satu keputusan yang sangat besar impaknya kepada seluruh kehidupannya nanti. Dia bagaikan pesalah sedang menunggu dijatuhi hukuman. Bibir abahnya bergerak perlahan dan telinga Nia dapat menangkap jelas apa yang dituturkan oleh abahnya itu 

"Kita kahwinkan saja Nuh dengan Nia." Pendek, ringkas dan padat ayat abah.

Alhamdulillah skli lagi dpt publish. tq utk semua yg drop komen. terima kasih msih support cerita sy.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience