Bab 1 : NJ

Romance Series 174928

Part 1.

~The beginning of our story~

2015.

Tangkak, Johor.

Nia Jasmine.

Itu nama penuhnya. Orang biasa memanggilnya, Nia. Dan ada juga sesetengah orang memanggilnya, Jasmine. Saja nak menggunakan nama yang panjang walaupun ada nama yang pendek, kan? Huh! Tapi apa yang paling best, dia juga ada nama yang lebih manja dari itu... iaitu An-jell.

"Nia, pergi jemur kain!" Tersentak Nia dengan satu arahan dijatuhkan oleh seorang kakak yang bersikap diktator.

Itu kakak nombor dua Nia. Namanya, Lya Jasmine. Suara dia memang lantang bukan main. Boleh cair tahi telinga orang yang mendengarnya. Lya Jasmine, kakak kembar kepada Tya Jasmine. Lya dan Tya tidak sebulu dengan Nia, disebabkan oleh beberapa peristiwa yang Nia tak mahu ingat dan kenang untuk sepanjang hidupnya.

Dengan malas Nia bangun dari tempat studinya dan turun ke dapur, akur dengan arahan itu. Akur bukan bermakna dia mengikut telunjuk tapi kerana malas cari gaduh dengan kakaknya itu. Nia lencong ke ruangan laundry. Segera angkat bakul yang berisi pakaian yang sudah dikeluarkan dari mesin basuh lalu menapak ke laman belakang untuk menjemur.

Rumah Tuan Ahmad Zakri tidaklah terlalu mewah tapi cukup selesa untuk mereka sekeluarga. Tuan Ahmad Zakri, seorang duda yang mempunyai empat orang anak dan kesemua perempuan. Mia Jasmine, Lya Jasmine dan kembarnya, Tya Jasmine dan Nia Jasmine, yang paling bongsu.

Kesemua nama mereka diletakkan nama Jasmine dihujungnya kerana itu idea arwah ibu mereka. Kata Tuan Ahmad Zakri, arwah isterinya Puan Jaslina sangat sukakan bunga jasmin. Jadi anak-anaknya diletakkan nama Jasmine dibelakangnya. Tapi hebat sangat ke dengan bunga tu? Tentulah hebat. Dah nama pun ciptaan Allah SWT, sudah tentulah hebatnya tiada tandingan. Bagi Tuan Ahmad Zakri, bunga itu lambang percintaan antara mereka suami isteri.

"Mia, petang nanti abah kena pergi balai raya. Ada program." Beritahu Tuan Ahmad Zakri sebaik sahaja muncul di ruangan dapur.

Mia Jasmine yang tengah memasak itu menoleh sedikit kepada abahnya. Nia yang sudah kembali dari laman belakang, merapati meja makan.

"Program apa abah?" tanya Mia.

Mia Jasmine selaku anak sulung sedia berkorban apa sahaja untuk keluarganya. Tamat saja pengajiannya di UUM, dia berada di kampung sementara menunggu panggilan kerja bagi jawatan yang dimohon. Lagipun kesihatan abahnya bukan sihat dan gagah seperti dulu. Selalu sangat abah mengadu sakit dada sejak kebelakangan ni.

Tuan Ahmad Zakri merupakan seorang pesara pengetua di sekolah Nia. Sejak pencen, dia cuma berehat dirumah saja. Kalau ada masa terluang dia menjengah ke ladang kepala sawit miliknya tapi mengupah orang untuk mengerjakan ladang itu. Dia sudah tua untuk berkebun walaupun minat masih ada.

"Ada mesyuarat untuk Program Pengambilan Anak Angkat. Dari UPM katanya," jawab Tuan Ahmad Zakri. Kerusi ditarik dan dilabuhkan duduknya di situ. Disebelah Nia.

"Ooo... macam U Mia dulu lah, bah. Best join aktiviti macam tu. Bila program tu abah?" Mia sudah teruja. Terbayang segala aktiviti yang dia sertai dulu di ruangan mata.

"Minggu depan. Itulah... seronok bila ada program macam ni. Teringat zaman abah masuk U dulu. Boleh kenal tempat orang, negeri orang... ikatan silaturrahim cepat saja terjalin walaupun baru saja kenal."

"Abah cakap pasal ni, teringat pulak dekat mak angkat Mia.. Lepas ni Mia nak call diorang lah, nak tanya khabar. Lama sungguh Mia tak contact diorang." Mia sudah senyum-senyum. Tangan ligat mengacau gulai kuning ikan tenggiri dalam periuk.

"Abah terlibat ke dengan program tu? Abah kan tak sihat sangat..." Nia menanya perlahan, tidak puas hati tapi sebenarnya dia lebih kepada risau. Abah tak sihat, kenapa perlu susahkan diri?

"Hishh.. mana ada abah tak sihat Nia. Abah sihat la. Tengok ni, abah masih sado. Abah kuat lagi tahu..." Tuan Ahmad Zakri bengkokkan lengannya. Tunjuk otot-otat lengan kepada anak-anaknya. Mia senyum melebar tapi tidak Nia. Nia tetap begitu.

"Ye lah tu abah kuat. Macam lah Nia tak dengar abah selalu batuk-batuk.." rungut Nia. Cemberut mukanya.

"Morning... Sembang apa ni?" Lya mencelah tiba-tiba. Dia yang baru tiba di ruangan dapur terus tarik kerusi sebelah abahnya.

"Yelah tu morning. Selagi matahari tu tak tegak atas kepala, selagi tu la tak muncul." Mia menyindir adiknya. Geram dia, dia arahkan si Lya menyemur pakaian tengok-tengok Lya mem'passing' arahan itu kepada Nia pula. Pemalas betul!

"Dengki la tuu.." Lya mencebik bibir. Malas pedulikan sindiran kakaknya.

"Mana Tya?" Tuan Ahmad Zakri menyoal mengenai anaknya yang seorang lagi kepada Lya.

"Tidur lagi lah tu." Mia deras menyampuk. Perangai Si Kembar tu sama saja.

"Eleh, akak tu dengki dengan kitorang, kan? Akak kan dah macam Cinderella dalam rumah ni. Cuma bezanya kita tak ada mak tiri je... rasanya kalau ada mak tiri Cinderella yang membongak tu... memang ngam. Dah macam fairytale. Haha. Nasib baik abah tak kahwin lain sampai sekarang." Lya mengekek dengan gurauannya sendiri. Mungkin sedang membayangkan kalau hal itu betul-betul terjadi.

Mia menoleh laju, Lya dipandang besar kecik saja. Cinderella? Mak tiri? Huh dasyat betul bayangan Lya. Nia pula hanya senyap tanpa berniat mahu mencelah perbualan antara kakak-kakaknya itu.

"Tadi... sembang apa, abah?" Lya beralih topik kepada abahnya bila nampak Mia dan Nia tak berminat dengan gurauannya. Kehidupan manusia dua orang ni, memang membosankan betul! Mahu saja dia julingkan matanya ke atas.

"Minggu depan ada Program Pengambilan Anak Angkat dari UPM. Abah pun terlibat dengan program tu."

"Seriously? Ala.. kenapa buat minggu depan... Lya pun nak kenal-kenal jugak dengan anak angkat abah tu..." Lya Jasmine merenggek tak puas hati.

Lagi dua hari dia dan kembarnya akan bertolak pulang ke Jakarta bagi meneruskan pengajian mereka dalam bidang kedoktoran. Sudah pasti dia terlepas peluang untuk berkenalan dengan anak angkat abah itu.

Nia mencebik bibir sebelum menjeling kakaknya. Dari segi ayat kakaknya itu, dia sudah boleh mengagakkan betapa miangnya kakak dia yang bernama Lya Jasmine ni. Tapi bukan Lya saja, Tya pun sama.

'Gediknya!' cemuh Nia dalam hati. Alergik betul dia dengan kegedikkan kakak-kakaknya.

"Dah kau jeling aku kenapa, Minah Jepun celup?"

Minah Jepun celup? Ya, itulah gelaran yang diberikan oleh Lya Jasmine dan Tya Jasmine kepada Nia Jasmine. Mengejek rupa Nia Jasmine yang seakan-akan dengan penduduk di negara matahari terbit itu.

"Aku tak cakap apa-apa pun. Kau terasa tu kenapa?" Nia mencebik lagi.

"Eleh macam aku tak tahu kau tu... Kau nak cakap aku gedik kan?"

Nia tidak menjawab cuma mulutnya sahaja dibuat herot. Menjeling, dah tahu kenapa tanya? Nak saja dia membalas begitu, tapi dia malas nak cari pasal depan abah. Sungguh dia menyampah betul dengan kakaknya yang satu ni. Itu belum lagi kalau bergabung dengan kembarnya, mahu haru biru satu rumah Tuan Ahmad Zakri ni dikerjakan mereka.

"Suka cari pasallah dia ni!" Lya panjangkan tangan mahu ketuk tangan Nia dengan bekas tisu dapur.

Nia cepat-cepat menjauhkan tangannya. Jadikan tubuh abah sebagai perisai dari serangan balas Lya.

"Apa ni Lya, Nia.. dah macam budak-budak," tegur Mia yang selalu bertindak sebagai pendamai kepada adik-beradiknya tatkala mereka bertekak.

"Nia tu buat muka macam tu. Ingat Lya tak tahu la apa maksudnya bila dia buat muka macam tu? Suka sangat cari pasal dengan Lya."

"Dah-dah la tu Lya.. Tadi Nia cuma cakap dia cuma risau kalau abah tak sihat. Abah kan selalu batuk-batuk sekarang ni.." Mia menjawab bagi pihak Nia.

Diantara ketiga-tiga kakaknya, hanya Mia sahaja yang melayan dan menerima baik kehadiran Nia di rumah mereka. Mungkin kerana Mia lebih matang dari dua lagi kakaknya jadi Mia lebih berlapang dada dan terima ajal dan maut ibunya tidak ada kaitan dengan Nia. Sedangkan Nia sendiri juga menderita.

"Abah cuma kesiankan Tok Penghulu. Tak ramai orang nak join, jadi abah join jelah. Lagipun diorang datang dekat kampung kita ni sebab diorang nak belajar. Nak mencari ilmu. Kalau kita tak support diorang, mana lagi diorang nak bermalam sepanjang program tu?" balas Tuan Ahmad Zakri.

Nia diam lagi. Akui sesuatu, kalau bercakap dengan abah bab-bab tolong orang tak pernah anak-anak nak menang. Dalam diam Nia protes sebenarnya. Tak tahu la kenapa, dia tiba-tiba disapa rasa tidak selesa.

"Berapa orang abah pilih?" tanya Mia, langsung tidak membangkang keputusan abah. Lagipun dia juga bergelar mahasiswa suatu ketika dulu.

"Abah pilih dua orang. Perempuan. Jangan risaulah. Diorang pun lebih kurang umur kamu, Mia." Abah membalas sambio pandang anak sulungnya.

Lya disebelah abah ternganga. Langsung kepala dipalingkan ke arah abahnya. Muka tak puas hati.

"Perempuan? Emm... abah tak cukup anak perempuan lagi ke? Dah ada empat nak tambah lagi dua? Emm.. elok sangat la tu abah." Lya menyinis tanda protes dengan keputusan abahnya.

Mia kerling Lya tajam, tak suka betul dengar ayat yang baru lepas keluar dari mulut adiknya. Nampak sangat Lya kurang ajar dengan abah. Nampak jelingan tajam Mia kepada Lya, Nia  mendiamkan diri. Takut salah mencelah, nanti ada yang kena ketuk dengan sudu yang kakaknya guna untuk membancuh air kopi O pekat. Tak ke haru jadinya? Benjol kepala tak pepasal!

"Berapa lama diorang dekat sini abah?" tanya Mia selepas itu sambil tuang air kopi o panas ke dalam cawan yang tersusun di atas dulang.

"Dalam dua minggu juga la." Abah menjawab. Biskut cracker dicapai dan dicicah ke dalam kopi O panas.

'Dua minggu? Dua minggu orang luar akan stay dekat rumah ni? Uishhh lamanya... Tak boleh jadi ni! Tak boleh! Tak boleh! Eh wait... kenapa... kenapa aku rasa tak selesa ni? Rasa macam tak ikhlas pun ada nak terima tetamu abah nanti. Arghh, kenapa perlu rasa macam ni?' Nia mempertikai perasaannya dalam hati, tak terluah di bibir.

*              *             *

Dua minggu kemudian.

Seperti yang diberitahu oleh Tuan Ahmad Zakri tempoh hari, hari ini dia ke Program Pengambilan Anak Angkat Mahasiswa/wi UPM yang diadakan di balai raya. Nia dan Mia hanya menunggu di rumah dan mengemas apa yang patut untuk menerima kunjungan tetamu yang bakal dibawa balik oleh abah mereka sebentar lagi. Memandangkan Lya Jasmine dan Tya Jasmine sudah selamat berada di bumi Jakarta, bilik itu akan dijadikan bilik inap kepada tetamu abah nanti.

Rumah Tuan Ahmad Zakri mempunyai empat bilik. Ngam-ngam untuk mereka empat beradik. Cuma Lya dan Tya sahaja memilih untuk berkongsi bilik. Maklum sajalah kembar kan, mana boleh berpisah. Bilik anak-anak ditempatkan di tingkat atas. Manakala bilik utama dan bilik studi terletak di tingkat bawah.

Dalam debaran menunggu ketibaan tetamu, Nia sempat habiskan sambungan bacaan novel Cinta Buat Yusra Saidah yang masih belum tamat kisahnya. Dia curi-curi baca takut tertangkap dengan Mia. Kalau Mia tahu, habis dia kena bebel.

Bunyi enjin kereta proton Perdana abah masuk ke garaj. Nia meletakkan novelnya ke atas katil. Rambutnya yang panjang paras pinggang itu dirapikan sebelum diikat kemas menjadi satu. Kemudian, Nia memperbetulkan baju kurung yang dipakai agar kelihatan kemas.

'Eh, kejap... bukan ke abah cakap anak angkat abah tu perempuan? Habis tu, dah kenapa aku beria-ria sangat bersiap ni? Siap gosok baju bagai, macam lah yang nak datang tu bakal suami...' Nia tepuk dahi sehabis mengomel sendiri.

'Adoi, aku baru tingkatan 3 lah, ada hati nak fikir pasal 'bakal suami'? Ni confirm aku dah terpengaruh dengan novel ni. Huh!' Sempat novel berkulit seraut muka seorang gadis yang dibayangkan sebagai 'Yusra Saidah' itu dijeling. Tak pasal-pasal dia salahkan novel.

"Assalamualaikum..."

Kedengaran Tuan Ahmad Zakri melaungkan salam bersertakan bunyi pintu kereta dikatup sebanyak tiga kali. Ini bermakna abah bersama dua tetamunya sudah pun sampai.

Nia pantas keluar dari biliknya dan mengatur tapak turun ke ruang bawah. Baru saja dia memasang niat untuk terus ke pintu utama tapi tidak jadi bila dipintas oleh langkah panjang Mia. Sudahnya Nia cuma berdiri di tepi anak tangga menunggu tetamu mereka masuk.

"Waalaikummusalam. Masuk la abah." Mia setelah membuka pintu. Semerta tubuh itu kaku di muka pintu. Tak senyum dan tak juga berganjak dari situ.

Nia yang menonton naik hairan dengan kelakuan Mia yang tiba-tiba itu. Makin tak sabar nak tahu apa punca Mia kejung di situ.

"Meh masuk, ini lah rumah abah. Rumah orang kampung, biasa-biasa je." Suara abah berbunyi lagi, mempersilakan tetamu masuk ke rumah.

"Eh.. tak biasa-biasa ni abah. Cantik rumahnya,"

Ada suara lain membalas. Nia sudah kerut dahi.

'Eh, lelaki? Tapi bukan ke abah cakap perempuan?'

"Ha... Mia, ni abah kenalkan anak angkat abah, Luqman Firdaus. Yang seorang lagi ni Nuh Jazmin. Mana Nia?"

Mia tunduk sedikit kepalanya sebagai salam perkenalan. Tak lama kemudian, Mia melangkah masuk diikuti dengan abah dan dua tetamu istimewanya. Mia terus berlalu ke dapur, sempat dia ingatkan Nia untuk ke ruang tamu, berdepan dengan abah dan tetamunya. Nia hanya angguk saja.
    
Dari jauh Nia memerhatikan dua lelaki itu masuk dengan tertib. Seorang lelaki berkulit sawo matang, berkaca mata, rambutnya kemas dengan potongan nipis mengambil tempat disebelah abah. Bibirnya hanya tersenyum saja dari tadi.

Manakala yang seorang lagi pula, Nia tak dapat nak mengimbasnya dengan elok. Si dia asyik tengok saja kertas di tangannya. Tapi apa yang pasti muka itu nampak serius!

'Kenapa abah ambil lelaki? Kan dalam rumah ni ada dua anak dara. Kalau jadi apa-apa nanti, macam mana?' Nia masih lagi tertanya-tanya. Sungguh dia tidak puas hati selagi tak dapat jawapan.

Tuan Ahmad Zakri pula seakan-akan mengerti dengan pandangan anak perempuan bongsunya, terus mengangkat pandangan. Tangannya mengamit Nia mendekatinya.

Nia senyum sedikit. Walaupun tak suka dengan kehadiran lelaki-lelaki itu, tapi dia selalu ingat pesan abahnya, jangan biadap dengan tetamu. Tetamu itu pembawa rezeki. Betul ke tidak, entahlah. Kakinya mula menapak kepada abahnya.

"Nia, ni abah kenalkan anak angkat abah." Tuan Ahmad Zakri memulakan sekali lagi. Mungkin dia rasa Nia tak mendengarnya ketika dia bagitahu kepada Mia tadi.
 
"Ni, Luqman Firdaus. Dan ni pulak Nuh Jazmin. Mulai sekarang Luqman dan Nuh ni abang Nia. Nuh, Luqman, ni anak bongsu abah, Nia Jasmine." Abah menutur laju tanpa sedar riak terkejut Nia.
    
'Abang? Biar betul abah!' Nia melopong, bebola matanya turun naik, tenung mereka berdua.

'Abang? Seriously abah nak aku panggil diorang ni 'abang'? Memanglah aku tak punya abang tapi untuk gelaran abang kepada seseorang yang baru kenal tu, susah kot. Cukuplah hanya seorang saja 'abang' yang aku ada.' Nia mencemik dalam hati.
  
Mata Nia tertumpu pada jejaka yang ada disebelah yang memakai cermin mata. Lelaki itu sedang asyik tenung kertas putih ditangannya. Kata abah tadi, namanya, Nuh Jazmin.

Ya, Nuh Jazmin. Wajah itu bersegi elok, kulit muka licin tanpa sebutir jerawat pun. Halus dan berkulit sedikit cerah berbanding kawannya. Mata itu cantik walaupun tenungannya nampak tajam. Hidung dia pula, mancung dan elok terletak. Bibirnya, berwarna sedikit merah dan hujung bibirnya sedikit ternaik. Ternaik macam sedang menyinis dan menyindir seseorang dalam diam.

'Eh, wait! Dia senyum atau tengah menyinis seseorang? Seseorang? Siapa? But, why?' Nia tersentak. Baru sedar yang dia sudah terkantoi tengah mengushar anak teruna orang. Oh mai!

'Tapi... eh, kenapa nama kami lebih kurang sama? Nuh-Nia, Jazmin-Jasmine. Eh, lebih kurang la...'

Share this novel

Zahrin Zahra
2021-03-27 06:03:41 

tq update


NovelPlus Premium

The best ads free experience