Bab 13 : NJ

Romance Series 174928

~The saddest moment is went the person who gave you the best memories, becomes a memory.~

Datin Seri Roslina menemani Nia berehat di bilik tidur Mia Jasmine. Selimut di hujung kaki ditarik sehingga sampai ke paras dada Nia. Nia tersenyum senang dengan perlakuan mamanya. Sungguh dia rindukan kasih sayang mama.

Dulu sebelum tidur, mama selalu bacakan kisah cerita pendek untuk didendangkan kepadanya dan adiknya. Ada kalanya kalau mama sibuk dengan kerjanya, papa yang akan mengambil alih tugas itu sampailah mereka tertidur.

Nia tersenyum nipis mengingatkan kenangan lama itu. Sungguh dia rindu pada kenangan lama. Banyak yang ingin dibualkan dengan mama tapi tubuhnya penat dan perlukan rehat selepas menelan ubat yang dibekalkan.

''Nia berehat dulu ya. Bengkak lagi mata anak mama ni. Ni kalau abang tengok mata Nia bengkak macam ni, mesti dia marahkan mama,'' pujuk Datin Seri Roslina sambil mengelus lembut wajah anak perempuannya. Tenung anak itu penuh kasih. Pelupuk mata Nia yang bengkak itu diusap perlahan.

Nia mengangguk perlahan. Matanya yang sedia ada bengkak itu semakin membengkak gara-gara banyak menangis dengan kemunculan mamanya. Tapi tidak dinafikan, tubuhnya masih lemah dan memerlukan rehat yang secukupnya.

''Mama keluar sekejap. Nanti mama datang temankan Nia lagi. Ye sayang?''

Nia mengangguk lagi. Matanya terasa berat semakin memberat, menanti saat tertutup sepenuhnya.

Datin Seri Roslina menapak keluar bila pastikan Nia betul-betul sudah tidur. Kesian anaknya. Di luar bilik, dia terserempak dengan dua orang anak angkat abangnya. Lebih kurang sebaya anak sulungnya kalau diikutkan dengan pengamatan matanya.

''Assalamualaikum aunty..'' Luqman Firdaus memberanikan diri menegur.

Kalau nak diikutkan wajah serius wanita itu, dia tidak berani nak menegur tapi bimbang pula kalau dicop sebagai kurang sopan dengan orang lebih berusia. Seperti biasa, Nuh hanya lebih selesa memerhati.

''Waalaikummusalam. Ni anak angkat abah Nia?''

''Ya kami, Aunty. Saya Luqman Firdaus dan ini kawan saya, Nuh Jazmin," ujar Luqman penuh sopan.

Datin Seri Roslina senyum dengan tingkah laku pemuda dihadapannya.

''Nama Aunty, Roslina. Ibu saudara Nia. Adik kepada abah Nia.''

Keduanya mengangguk, sudah sedia maklum tentang itu.

''Duduk sini sampai bila?''

''Insya-Allah kalau tak ada masalah dengan jadual program kami, lagi 5 hari kami kat sini." Luqman membalas lagi.

Nuh masih membisu, hanya angguk bila ditanya. Sengaja dia bagi Luqman untuk menjawab pertanyaan dari wanita di hadapan mereka. Sebenarnya Nuh masih dihimpit rasa bersalah kerana telah menyebabkan Nia ditimpa masalah sekarang.

''Oo... best bila ada aktiviti ni. Aunty dulu pun suka join aktiviti macam ni. Enjoylah dulu dengan uni life korang ya, sebelum korang sibuk dengan dunia pekerjaan pulak nanti. Okaylah, aunty turun bawah dulu. Nanti kita sembang lagi.'' Datin Seri Roslina meminta diri.

Keduanya mengangguk.

*                      *                    *

"Mama, mama datang ni mama nak bawa Nia balik rumah kita, kan?" tanya Nia pada malamnya sebaik sahaja mereka sekeluarga usai makan malam.

Ketika itu mereka berdua sedang menikmati angin malam di ruang terbuka di tingkat atas. Yang lain bagaikan mengerti, memberikan ruang untuk mereka berdua berbincang dari hati ke hati.

''Nia nak ikut mama balik?''

Nia laju mengangguk.

''Nia tak suka tinggal kat sini?''

''Suka tapi rasa tak lengkap. Mama tak ada, papa tak ada. Abang dan adik tak ada.''

Datin Seri Roslina senyum nipis. Dia turut merasakan hal yang sama sejak Nia tiada disisinya.

''Mama tahu perasaan Nia. Mama pun rasakan benda yang sama. Rasa kosong sejak Nia tak ada di sisi mama. Lama mama ambik masa untuk pulihkan balik semangat mama, susah untuk mama nak terima kenyataan yang Nia dah tak ada di sisi mama lagi. Bukan mama saja rasa kosong tu,  abang dengan adik pun sama. Abang dan adik demam mengejut lepas berpisah dengan Nia. Adik murung sebab rindukan Nia.'' Jeda sekejap.

''Tapi mama minta maaf, sayang. Mama dah bincang dengan abah Nia, Nia kena stay dulu dekat sini, habiskan sekolah. Dah habis sekolah, Nia akan ikut mama dan kita akan tinggal bersama dalam satu keluarga macam dulu.'' Datin Seri Roslina genggam erat tangn Nia.

Seperti yang diduga, Nia berkerut dahi. Tak faham apa yang cuba disampaikan oleh mamanya.

''Kenapa bukan sekarang mama?''

Datin Seri Roslina tenung dalam wajah anaknya sebelum menjawab pertanyaan itu.

''Sekarang, Nia stay dengan abah dulu. Abah Nia perlukan Nia. Mama minta maaf sebab tak boleh bawak Nia balik ke rumah kita lagi. Mama tahu mesti Nia, Papa, abang dan adik kecewa dengan keputusan mama hari ni tapi mama tahu abah dan Mia lebih perlukan Nia buat masa sekarang.''

Nia diam.

''Bila mama tahu Nia sakit, mama takut. Mama takut kalau apa-apa jadi pada Nia. Mama sangat sayangkan Nia lebih dari anak mama sendiri. Nia tetap anak mama sampai bila-bila dan mama tak pernah lupakan Nia.'' Datin Seri Roslina tarik tubuh Nia ke dakapannya.

Belakang Nia dielus-elus perlahan. Sungguh, dia sangat sayangkan Nia.
  
*                   *                   *

Datin Seri Roslina tenung wajah polos anaknya yang sudah enak dibuai mimpi indah. Sudah semakin cantik anaknya sekarang. Dada terasa sebak, bila mengenangkan dia terlepas untuk melihat perkembangan Nia dari Nia berumur 10 tahun hingga ke sekarang.

Walaupun Nia itu cuma anak saudara yang sudah diangkat sebagai anak susuan, kasih dan sayangnya pada Nia tidak pernah berubah. Sejak dari kecil Nia Jasmine ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh mereka sekeluarga.

Hadirnya Nia dalam keluarga kecilnya memberikan seribu makna. Kalau bukan disebabkan wasiat arwah kakak iparnya, tak mungkin dia akan serahkan Nia kembali ke keluarga kandungnya.

Teringat kisah 20 tahun dulu, ketika dia membawa diri ke negara orang bagi meneruskan pengajiannya di London. Di sana dia berkenalan dengan Andrew, seorang lelaki beragama Islam dan berwarganegara di sana. Setahun sebelum berakhirnya pengajian, mereka mengutuskan untuk mendirikan rumah tangga dan menetap di sana memandangkan suaminya berkerja di sana. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Khalil Fayyad.

Sejak dulu, Roslina dan suami mengimpikan sebuah keluarga yang besar dan harmoni dengan kehadiran anak-anak. Terkesan dengan kehidupannya yang cuma dua beradik dengan Tuan Ahmad Zakri dan suaminya pula anak tunggal, jadi mereka tidak mahu Khalil Fayyad turut merasai kesunyian yang dirasai oleh mereka.

Kadang-kadang timbul perasaan cemburu dengan rumah tangga abangnya yang sudah memiliki 3 orang cahaya mata dan kesemuanya perempuan. Dia juga teringin merasai kehadiran anak perempuan.

Tatkala usia Khalil Fayyad sudah memasuki umur 6 tahun, dia masih tidak direzeki untuk mengandung lagi walaupun sudah banyak kaedah sudah dicuba. Rezeki masih tidak menyebelahinya. Tapi itu tidak mematahkan semangat Roslina untuk terus mencuba dan terus menunggu dengan sabar.

Suatu hari, abang hubunginya. Dihujung talian abangnya menangis teresak-esak. Dengar tangisan yang sangat meruntun jiwa wanitanya, dia dapat merasakan abangnya dalam kekecewaan. Abang menceritakan tentang keadaan kakak iparnya yang telah disahkan mengidap kanser payudara tahap ke dua.

Kanser itu kembali menyerang kakak iparnya setelah berjaya sembuh buat kali pertamanya ketika si kembar berusia 4 tahun. Terduduk Roslina mendengarnya.

Kata doktor, arwah Jaslina masih ada harapan untuk sembuh dengan mendapatkan rawatan susulan segera tetapi ada sesuatu yang Jaslina perlu korbankan memandangkan Jaslina sedang mengandung anak ke empat mereka. Jaslina dinasihatkan supaya mengugurkan kandungan itu untuk mengelakkan sebarang kesan terhadap perkembangan janin jika Jaslina mahu meneruskan sesi rawatannya. Tapi Jaslina berkeras tidak mahu menggugurkan kandungannya dan menangguhkan sesi rawatannya.

Sebagai seorang adik, dia dan suaminya mencadangkan kakak iparnya untuk mendapatkan rawatan di tempatnya memandangkan disana ilmu perubatan lebih meluas jika dibandingkan dengan di Malaysia. Selepas mendapat persetujuan dari seluruh ahli keluarga, Tuan Ahmad Zakri membawa mereka sekeluarga berhijrah ke London bagi mendapatkan rawatan sehingga Nia Jasmine selamat dilahirkan.

Keadaan Jaslina semakin teruk bila kandungannya semakin sarat dan dinasihatkan supaya bersedia untuk melahirkan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya jika berlaku beberapa komplikasi. Roslina yang bertanggungjawab menjaga dan merawat kakak iparnya itu sehingga tiba saatnya waktu pembedahan.

Suatu hari, sebelum tarikh pembedahan untuk menyambut kelahiran Nia, Jaslina memanggil Roslina untuk menemani dia di dalam bilik rawatan sementara menunggu kepulangan suaminya membawa nasi lemak yang dia pinta semalam.

"Ros, boleh tak kalau Ros janji dengan kak Lina sesuatu?"

"Janji apa kak?" tanya Roslina sambil meneruskan kerjanya mengelap tubuh kurus Jaslina.

"Janji dengan akak, Ros akan jaga anak-anak akak dengan elok. Akak tahu abang Arie marah bila akak pilih untuk teruskan kandungan akak dalam keadaan akak yang macam ni. Tapi akak sayang semua anak-anak akak. Tak terlintas pun di hati akak untuk gugurkan kandungan akak." Jeda sebentar mencari nafas.

Roslina hanya mendengar, dia tahu ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh kakak iparnya itu.

"Kalau anak akak ni perempuan, akak nak namakan dia dengan nama, Nia Jasmine. Kecantikan bunga jasmin." Perlahan saja suara Jaslina kedengaran di halwa telinga Roslina.

Ada mengah dalam nafas itu, mungkin terlalu penat. Sedikit tercunggap-cunggap. Roslina menghentikan kerja, dia pandang Jaslina.

"Nia Jasmine?"

Jaslina mengangguk perlahan.

"Nia Jasmine." Sekali lagi Jaslina ulang.

Bibir Roslina terbentuk satu senyuman kecil. Cantik nama bakal anak saudaranya. Nia Jasmine. Nia Jasmine. Tergiang-giang nama itu di kepalanya. Dia sambung mengelap tangan kakak ipar pula.

"Ros, kalau jadi apa-apa pada akak semasa operation akak nanti, Ros jagalah Nia. Jagalah dia macam Ros jaga anak Ros sendiri." Sambung Jaslina.

Perbuatan Roslina berhenti. Angkat matanya pandang wajah pucat kakak iparnya.

"Akak serahkan anak ini pada Ros. Akak tahu Ros dah lama tunggu nak pregnant lagi. Cuma rezeki Ros belum ada lagi. Sudi tak kalau Ros terima anak akak ni sebagai anak Ros?"

Roslina terkedu. Tak tahu apa yang patut dia katakan.

"Abang Arie macam mana?"

"Akak dan bincang dengan abang Arie. Abang Arie mulanya tak setuju tapi bila akak terangkan keadaan akak... Abang Arie terpaksa setuju juga. Kata abang Arie kalau Ros dan Andrew sudi terima Nia, jaga Nia dan didik Nia selayaknya, dia izinkan."

Terbungkam Roslina.

"Ros tak berani nak buat keputusan sekarang. Ros kena bincang dengan Andrew dulu."

Jaslina senyum payah, dia lega sudah sampaikan hasratnya.

"Janji dengan akak, Ros. Akak tak tenang setiap kali fikirkan tentang Nia. Akak tak nak dia rasa kurang kasih sayang dari seorang ibu. Ros pun tahu, dalam keadaan akak macam ni, akak tak akan mampu nak jalankan tanggungjawab akak sebagai ibu kepada Nia." Jaslina teresak.

Roslina turut sayu. Matanya juga bergenangan fikirkan nasib anak saudaranya kelak. Tangan Jaslina digenggam erat.

"Akak akan sembuh. Percayalah akak, akak akan sembuh. Akak akan jaga Nia sampai dia besar. Akak jangan fikir yang bukan-bukan. Fikirkan tentang anak-anak akak, diorang perlukan akak."

Jaslina cuma tersenyum kelat. Harapan cuma tinggal harapan. Hakikatnya mereka semua tahu, keadaan dia tidak akan sembuh seperti dulu. Dia redha kalau itu sudah tertulis untuknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience