Bab 21

Romance Series 3581

Azim yang sejak tadi memerhatikan dari jauh. Dia bangun dari tempat duduknya dan menghampiri Qistina yang sedang melangkah ke arah jurulatih kelab.

“Qis! Baik kau pergi tengok latihan budak junior kelab kita. Kau kan pengurus, kerja kau bukan asyik ikut Luth ke sana sini!” Nada suaranya jelas mempamerkan rasa tidak puas hati.

Kaki Qistina terhenti dan dia menoleh ke arah Azim, wajahnya berubah merah padam. Namun sebelum dia sempat berkata apa-apa, Rahim pula menyampuk.

“Betul cakap Azim tu. Kalau kau sibuk sangat nak kejar Luth, baik kau bagi orang lain sandang jawatan pengurus tu,” sindir Rahim.

“Kau tu senior, Qistina. Baik kau fokus SPM daripada sibuk benda yang tak penting.”

Noah hanya diam di tempat duduknya, tidak menyampuk perbualan Azim dan Rahim. Matanya sekadar memerhati dengan riak yang wajah yang kosong. Tidak berniat mahu masuk campur.

Qistina yang menahan rasa malu bercampur marah akhirnya membuka mulut.

“Aku tahulah kerja aku! Tak payah nak menyibuk hal aku"! bentaknya dengan suara yang agak lantang.

Azim hanya mengangkat kening sambil menyilangkan tangan ke dadanya, tidak langsung terkesan dengan reaksi itu. Rahim pula tertawa kecil, namun tidak berkata apa-apa.

Qistina tidak betah di situ, terus berpaling dan melangkah ke arah jurulatih mereka yang sedang sibuk menyusun jadual latihan.

Luth yang sudah melangkah keluar, matanya liar mencari kelibat Nuha dan Zara. Kebetulan pula, dua gadis itu sedang mengatur langkah ke arahnya dari arah yang berlawanan. Luth tersenyum lega dan berlari kecil menghampiri mereka.

"Korang pergi mana? Puas tau aku cari," soal Luth dengan riak wajah yang risau. Nuha memandang wajah Luth.

Nuha ingin bertanya sesuatu pada Luth, tetapi dia tidak mampu untuk membuka mulut. Luth memandang Nuha dan Zara silih-berganti menantikan jawapan.

Nuha masih cuba menahan rasa cemburunya bila fikirannya asyik mengulang tayang tentang kejadian Luth dan Qistina tadi, dia cuba mengukir senyuman yang tampak terpaksa. Senyumannya tidak sampai ke mata, tetapi Luth tidak menyedarinya.

Zara, yang menyedari perubahan di wajah Nuha, cepat-cepat menjawab dan memberi alasan.

"Kita orang pergi tandas lah, rilekslah Luth. Nuha tak larinya dari kau. Baru pergi tandas sekejap dah rindu." usik Zara. Zara cuba menjernihkan suasana yang janggal.

Nuha segera menjeling tajam ke arah Zara sambil mencubit perlahan lengannya.

"Zara!" tegur Nuha, cuba menyembunyikan rasa malunya. Dahlah dia sedang berperang dengan emosi cemburu dalam diam.

Luth tersenyum nakal, bila lihat Nuha sudah tidak keruan.

"Mestilah aku rindu Nuha. Kalau boleh, aku nak tengok muka comel dia ni 24 jam." Dia melihat wajah Nuha yang sudah berubah merah itu.

"Eee..gross. Geli lah aku dengan kau Luth. Boleh tahan sweet talker jugak kau ni." meremang bulu roma Zara saat mendengar ayat yang keluar dari mulut sahabatnya itu.

Luth kemam bibir, cuba menahan tawa. Geli hati pula dia melihat reaksi Zara. Pijar muka Nuha menahan malu.

Luth melangkah menghampiri Nuha sambil tersenyum kecil.

"Jom, Nuha kita balik sekali. Lepas tu, kita singgah makan. Aku belanja."

Nuha menggigit bibirnya, cuba mencari alasan. Dia tak sanggup pulang berdua dengan Luth, apatah lagi perasaan cemburu masih menguasai dirinya sejak melihat Luth dan Qistina bersama tadi. Akhirnya, dia terpaksa menipu.

"Maaf, Luth. Aku rasa tak jadi nak balik dengan kau. Tiba-tiba aku rasa sakit kepala. Zara cakap dia boleh tumpangkan aku balik," ujar Nuha, cuba menyakinkan Luth dia bukan sengaja mahu menipu tetapi terpaksa.

Luth mengerutkan dahi, seolah-olah mahu menyoal lagi, tetapi Zara segera mencelah.

"Tak apa, Luth. Biar aku tumpangkan Nuha balik. Dia nampak letih sangat."

Riak wajah Luth berubah agak sedikit kecewa dan juga risau setelah mendengar jawapan mereka.

"Ohh yeke....tak apalah kalau macam tu. Next time ya kita keluar berdua." katanya, sebelum tangannya perlahan-lahan mengelus pipi Nuha dengan penuh kelembutan.

"Jangan lupa makan ubat nanti."

Nuha kaku, terkejut dengan tindakan Luth yang begitu spontan. Wajahnya terus memerah, dan dia hanya mampu mengangguk perlahan tanpa suara. Zara, yang menyaksikan adegan itu, hanya mampu tersenyum nipis. Matanya tertumpu pada wajah Luth yang kelihatan begitu ikhlas mengambil berat fasal Nuha.

Kalaulah dia boleh bertanya pada Luth tentang Qistina, mungkin dia boleh membantu menjernihkan keadaan. Namun, dia sudah berjanji pada Nuha untuk tidak menyebut langsung nama Qistina. Janji itu terasa seperti beban buatnya, tetapi Zara akur dia perlu menunaikannya demi menjaga perasaan Nuha.

Dan pada masa yang sama puas Nuha berfikir, siapa sebenarnya Qistina? Namun nampaknya, lelaki itu memilih untuk berdiam diri. Nuha mengeluh dalam diam. Dia tidak suka lelaki itu berdiam diri dan tak berterus terang padanya, membuatkan dia rasa kecewa. Akhirnya Nuha memberanikan diri.

"Luth....kau tak ada apa-apa ke nak cerita dekat kita orang?" Zara tergamam dengan soalan Nuha. Tetapi cuba dikawal riak wajahnya.

Luth mengerutkan dahi. Mata dikerdipkan beberapa kali. Dia cuba memproses soalan yang ditanya oleh Nuha.

"Well, aktiviti hari ni luar biasa, kau nampak sendiri kan betapa kacaknya aku waktu jaringkan bola tadi." ujar Luth dengan bangga.

Nuha menggulingkan mata. Zara cuba menahan tawa.

"K, lah bye."

Nuha menarik tarik tangan Zara dan biarkan Luth berdiri sendirian di situ.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience