17

Romance Series 3111

Jayden POV

Pagi itu, aku memandu ke rumah Ivy dengan tekad yang tidak pernah serapuh semalam. Wajahnya, air matanya, semuanya masih menghantui ingatan. Tapi satu hal aku pasti—aku takkan biarkan dia rasa bersendirian lagi.

Aku sudah arahkan beberapa orang pengawal untuk memerhati dari jauh. Ivy takkan tahu, tapi keselamatannya kini keutamaan aku.

Sampai di rumah, aku lihat Hakimi dan Hanis bersiap-siap mahu keluar.

“Eh, korang nak pergi mana?” Ivy bertanya dengan dahi berkerut.

“Mereka keluar dulu. Awak ikut saya,” aku menjawab tenang, sambil melemparkan senyuman kecil.

“Tapi… saya tak ganggu masa awak ke?” tanyanya, keliru.

Aku menariknya dalam pelukan. Tubuhnya yang kecil terasa begitu rapuh dalam dakapanku.

“Awak tak pernah ganggu saya. Jom, kita sarapan dulu,” aku membisik lembut sambil mengusap rambutnya. Aku mahu dia rasa selamat—dengan aku.

Usai bersarapan, kami bertolak ke studio. Dalam perjalanan, telefon aku berdering nyaring. Nama papa tertera di skrin.

“Ya, papa? …Baik, saya datang sekarang.”

Ivy memandang aku. Matanya mencari jawapan.

“Papa call. Kalau awak dah selesai nanti, tunggu saya di ofis,” ujar aku, cuba menyembunyikan keresahan yang mula mencengkam.

Dia mengangguk perlahan. Aku sempat mencium dahinya sebelum beredar.

---

Pintu pejabat papa aku ketuk perlahan. Sebaik dibuka, sesuatu melayang ke arah aku.

Beberapa keping gambar jatuh bertaburan di kaki. Wajah papa merah menahan marah. Mama berdiri di sisi, diam, tapi jelas kebingungan terpancar di wajahnya.

Aku membongkok, mengambil gambar-gambar itu.

Alisha.

Dalam satu gambar, dia memeluk aku. Dalam satu lagi, tangannya menyentuh pipi aku.

Degupan jantung aku makin laju.

“Apa semua ni, Jayden?” soal papa, tajam dan dingin.

Aku memandangnya, cuba tenang walau darah di kepala rasa menyirap.

“Mana papa dapat semua ni?”

“Malik. Dia datang pagi tadi dan beri semua ni,” ujar mama, suaranya serak dan penuh tanda tanya.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Ternyata… ini semua sudah dirancang. Satu lagi perangkap dari Malik dan Alisha.

“Papa, mama… saya mohon dengar penjelasan saya dulu,” aku meminta.

Mereka diam.

“Semua ni berlaku lepas majlis malam tadi. Saya tak jangka Alisha akan datang dalam keadaan macam tu. Dia mabuk, dan mula bertindak melampaui batas. Gambar-gambar ni diambil ketika saya cuba menjauhkan diri, bukan sebaliknya.”

Aku ceritakan segalanya, tanpa selindung. Setiap detik, dari saat Alisha mengekori hingga Ivy muncul dan melihat segalanya.

Mama menggeleng perlahan. “Macam mana dengan Ivy sekarang?”

“Saya nampak dia lebih tenang pagi ni. Saya janji akan lebih berhati-hati lepas ni. Ivy terlalu berharga untuk saya.”

“Baik,” kata mama dengan nada keras. “Tapi dengar sini. Kalau ini terjadi lagi, kami takkan pertahankan kamu. Ingat tu.”

Aku tunduk hormat, menahan rasa malu dan sesal yang menggigit dari dalam.

Papa mendengus. “Tak sangka Alisha ikut perangai Malik…”

Aku mengangguk. “Saya dah arahkan Don siasat lebih lanjut. Saya tahu, Uncle Malik takkan berhenti di sini.”

Belum sempat papa membalas, telefonnya berdering. Dia menjawab, dan nadanya segera berubah tegang.

“Aku sedang siasat hal ni, Malik,” katanya dingin. Kemudian, suaranya makin keras, “Aku takkan langgar perjanjian yang aku dan Ghaffar dah setuju. Kalau kau ada masalah, jumpa aku malam ni. Kita bincang.”

Papa menamatkan panggilan dengan muka yang merah menahan marah.

---

Malam itu tiba lebih cepat daripada yang aku harapkan.

Di ruang tamu, semua sudah berkumpul. Papa, mama, Uncle Malik, dan Alisha. Suasana tegang, udara seolah-olah membeku.

Uncle Malik duduk dengan wajah berang. Alisha berdiri di sisinya, wajahnya mencuka. Aku tahu perbincangan malam ini bakal menentukan segalanya.

“Gambar semata-mata tak cukup untuk tuduh Jayden buat sesuatu yang tak sepatutnya. Ivy ada dengan dia malam tu,” kata papa tenang tapi tegas.

Alisha tersenyum sinis. “Itu lepas dia datang. Sebelum tu, siapa tahu apa berlaku?”

Aku dah mula hilang sabar. “Tolong hormat sikit, Alisha. Kau sendiri pun mabuk malam tu.”

“Aku tak nak dengar alasan kau! Jangan cuba buruk-burukkan anak aku!” jerkah Uncle Malik, bangkit dengan suara membingitkan ruang.

“Saya tetap dengan apa saya katakan. Saya tak buat apa-apa. Dan saya rasa, Uncle, dah sampai masa hentikan semua ni.”

“Perkara ni belum selesai!” ugut Uncle Malik, matanya membara. Dia capai tangan Alisha dengan kasar, menariknya keluar dari ruang tamu. Langkah mereka bergema berat, penuh dendam yang belum padam.

Aku duduk semula. Nafas aku berat.

Takkanlah musuh aku… pak cik aku sendiri?

Mampukah aku lindungi Ivy dalam dunia yang semakin menyesakkan ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience