9

Romance Series 3111

Ivy POV

Masuk saja ke dalam rumah, wajah-wajah yang aku kenali sejak kecil tersenyum menanti. Masing-masing penuh tanda tanya dan harapan. Tanpa berkata apa-apa, aku hanya mengangkat tangan, menunjukkan cincin di jari manis yang masih terasa hangat dengan sentuhan Jayden.

Ruangan itu sunyi untuk seketika, sebelum daddy bersuara, memecah kesunyian dengan nada penuh lega.
"Baiklah… nampaknya semuanya telah pun jelas. Jadi apa rancangan kita selepas ini?"

Uncle Muhsin tersenyum. "Kalau macam tu, kita aturkan satu majlis. Kita umumkan tarikh pertunangan mereka secara rasmi. Apa pendapat engkau?"

"Aku ikut saja apa yang terbaik untuk anak kita," jawab daddy tanpa ragu.

"Kami akan bantu uruskan apa yang perlu," tambah aunty Jayanti. Mummy di sisi hanya mengangguk, senyumannya cukup menenangkan aku.

Aku duduk, memerhati. Hati aku seolah dipeluk bahagia. Cinta yang selama ini aku sembunyikan kini terbuka dan diterima. Namun dalam senyum itu, ada satu kerisauan yang membelit hati.

Bagaimana aku nak beritahu Hanis?

Jayden tiba-tiba datang, menghulurkan segelas air. Suaranya lembut menembusi gelora fikiran aku.
“Awak nampak muram...”

Aku menyambut air itu perlahan. “Saya tak tahu nak beritahu Hanis macam mana... pasal kita ni.”

Jayden diam sebentar. "Kalau awak nak, kita boleh beritahu dia bersama."

Aku menggeleng perlahan. “Saya rasa saya kena buat sendiri. Saya tak nak dia salah faham.”

Jayden meletakkan tangannya di atas tangan aku. “Saya percaya Hanis akan faham. Dia sahabat awak, dan dia tahu hati awak.”

---

Keesokan harinya

Aku bangun awal pagi ni. Entah kenapa, hati rasa rajin luar biasa. Jadi aku siapkan sarapan – bukan untuk aku saja, tapi untuk Hanis juga. Hari ini aku nekad, aku akan beritahu dia semuanya.

Mummy menyedari gerak-geri aku.

“Awal bangun? Nak ke mana?” tanyanya sambil memandang bekas makanan yang aku bawa.

“Pergi rumah Hanis... Ivy nak beritahu dia tentang ni juga.” Aku tunjukkan cincin di jari aku.

Mummy tersenyum, menarik aku duduk di sebelahnya. “Hanis seorang yang baik. Mummy percaya, dia akan gembira untuk Ivy. Jangan risau.”

Aku memeluk mummy. Kata-katanya seperti pelindung hati aku yang sedang bergetar ini.

Namun, tak semena-mena Hakimi muncul. “Aku nak ikut boleh, darling sister?”

Aku menjeling. “Sibuklah engkau ni. Tak sah hidup kau kalau tak kacau aku, kan?”

Mummy hanya geleng kepala. “Cepat pergi jumpa Hanis tu. Kesian dia nanti.”

---

Di rumah Hanis

“Hai Hanis, selamat pagi,” sapa Hakimi ceria.

Hanis pandang aku, kemudian Hakimi. Aku cepat-cepat jelaskan. “Aku tak ajak dia. Dia ikut sendiri.”

Aku letak makanan di atas meja, menuju ke dapur ambil pinggan. Tapi mata aku sempat menangkap sesuatu—renungan Hakimi pada Hanis. Pandangan yang tak seperti biasa. Pandangan... yang mungkin awal untuk aku tafsirkan sebagai cinta.

Kami duduk makan. Aku mencari kekuatan untuk mulakan bicara.

“Semalam keluarga Jayden datang…” Aku mulakan.

Hanis berhenti menyuap. “Oh? Kenapa?”

“Mereka datang meminang aku.”

Suapan Hanis terhenti. Matanya membulat. “Serius?!”

Aku hanya angguk, dan tunjukkan cincin di jari. Tapi tak sangka—Hanis terus peluk aku erat.

“Kenapa kau menangis pula ni?” tanya Hanis cemas.

“Sebab kau tak marah…”

“Kenapa aku nak marah?”

“Kita janji nak berjaya sama-sama...”

Hanis tersenyum, lalu tepuk bahu aku.

“Kau kahwin pun kita masih boleh berjaya. Kau tetap kawan aku, Ivy.”

Sekali lagi aku peluk dia. Kali ini, dengan hati yang lebih ringan.

Tiba-tiba Hakimi menyampuk. “Aku nak peluk juga boleh?”

Serentak kami jawab, “Tak boleh!”

Dan untuk seketika, dunia kami terasa ringan dengan tawa.

---

Jayden POV

Malam Majlis

Malam ini, segalanya menjadi nyata. Di sebalik gemerlapan lampu kristal dan deruan muzik lembut, majlis yang papa rancang bukan sekadar pelancaran koleksi terbaru syarikat kami — ia juga pengumuman rasmi tentang pertunangan aku dan Ivy.

Aku melihat Ivy dari jauh. Dia tampil memukau, mengenakan gaun rona champagne pink yang menonjolkan kelembutannya, namun masih memancarkan keyakinan dan anggun yang tiada tandingan. Rambutnya disanggul kemas, namun beberapa helai sengaja dibiarkan jatuh mengikut pipi, melunakkan wajahnya yang sudah cantik itu. Mata kami bertaut, dan untuk sesaat, dunia seolah berhenti.

Aku melangkah menghampirinya, menghulurkan tangan dan mencium lembutnya. Malam ini, dia milik aku — bukan sahaja di depan semua yang hadir, tetapi juga dalam setiap hela nafas dan detik hidup aku.

Papa mula berucap dengan suara yang tenang dan jelas. “Malam ini bukan hanya pelancaran koleksi. Malam ini juga saya ingin umumkan — Ivy Aurora bukan sahaja model terbaru kami... tetapi bakal menantu saya.”

Senyuman terukir di wajah Ivy, tetapi aku dapat mengesan satu kerlip kegelisahan yang cuba disembunyikannya. Aku meraih tangannya sekali lagi, mengusap lembut. Dia menoleh, pandang mata aku, dan aku tahu — kami sama-sama berdepan dengan harapan dan ketakutan yang belum terungkap.

Ivy menarik nafas panjang dan berbisik, “Saya tak percaya ini semua benar-benar berlaku…”

Aku membalas dengan senyuman yakin, “Percayalah. Ini baru permulaan, awak dan saya — kita akan tempuhi segala-galanya bersama.”

Namun jauh di sudut hati aku, ada bisikan kecil yang menggamit perasaan tidak tenteram. Aku tahu, bukan semua perkara akan berjalan lancar seperti malam ini. Ada bayang-bayang lama yang belum pudar, dan badai yang menanti di hadapan.

Tapi untuk malam ini, kami milik satu sama lain — dan itu sudah cukup untuk aku pegang erat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience