26

Romance Series 3111

Ivy POV

Hari pertama bulan madu kami.

Langit membiru tanpa cela. Angin laut membelai pipi dengan lembut, dan aroma masin dari laut mencipta satu ketenangan yang sukar digambarkan. Suara ombak memukul pantai bagai alunan muzik semula jadi, menyerap terus ke dalam jiwa. Segalanya terasa damai.

Kami tiba di sebuah resort persendirian di hujung pulau tersembunyi dari hiruk-pikuk kota, tersembunyi dari dunia. Jayden pilih tempat ini khas untuk kami. Jauh dari sesiapa. Jauh dari gangguan. Jauh dari bayang-bayang masa silam. Hanya aku dan dia… dalam dunia kecil kami sendiri.

Vila ini bagaikan mimpi. Reka bentuk moden bersatu dengan elemen semula jadi lantai kayu oak, tirai putih yang menari lembut ditiup angin, dan balkoni yang menghadap laut terbentang luas. Ada kolam renang peribadi, dan laluan khas terus ke pantai yang seolah belum pernah dijejak manusia.

Aku duduk di tepi katil bertilam empuk, jari menyentuh cadar putih yang wangi. Pandangan aku jatuh pada Jayden yang sedang membongkok membuka beg pakaian. Raut wajahnya tenang, matanya bersinar saat bertemu pandang denganku.

“Sweetheart…” Jayden senyum, melangkah perlahan ke arahku. “Hari ni, kita mulakan hidup baru. Hanya awak dan saya.”

Aku mengangguk perlahan. Senyuman terukir di bibir, tapi di hati… ada sesuatu yang sukar aku tafsirkan. Rasa yang tak mahu pergi.

Jayden menyentuh daguku dengan hujung jarinya. “You okay?” tanyanya lembut.

Aku angguk lagi. “I’m okay… just overwhelmed. Tapi bahagia sangat, sampai tak tahu nak rasa macam mana.”

Dia ketawa kecil, lalu menarik aku dalam pelukannya. “Well, get used to it. Banyak lagi hari bahagia yang menanti kita.”

Aku bersandar di dadanya, mendengar degup jantungnya yang stabil. Tenang. Tapi…

Entah kenapa… bayangan Alisha muncul di fikiran. Wajahnya semasa majlis kahwin kami. Senyuman sinis. Tatapan mata pada Jayden.

Aku pejam mata, cuba menghalau perasaan yang tak tenang yang hadir.

“Kenapa waktu macam ni pun aku masih fikir pasal dia?” bisik aku perlahan, hampir tak bersuara.

Jayden nampak perubahan aku. “Sweetheart, look at me.” Dia genggam wajah aku dengan dua tangan. “You don’t have to think about anyone else now. Just us.”

Aku cuba senyum. Tapi jauh di sudut hati, ada rasa resah yang aku sendiri belum mampu mengerti.

Petang itu...

Kami berjalan perlahan di tepi pantai, tangan saling berpaut erat. Angin petang meniup lembut rambut aku yang dilonggarkan, dan pasir halus terasa dingin menyentuh tapak kaki. Jayden sesekali menarik aku ke dalam pelukannya, membisikkan kata-kata cinta yang buat aku tersenyum kecil, malu sendiri.

"Awak tahu tak, saya rasa saya lelaki paling bertuah hari ni," bisiknya di telinga aku.

Aku ketawa kecil. “Hari ni je?” mengusiknya.

Dia senyum. “Setiap hari. Tapi hari ni… lebih dari segalanya.”

Namun, senyum aku mula pudar bila aku terasa seperti… sedang diperhati.

Aku berpaling ke arah semak di belakang resort. Ada sesuatu. Bayang-bayang. Tapi bila aku fokuskan pandangan... kosong. Tiada sesiapa. Hanya dedaun bergoyang ditiup angin.

Aku cuba buang rasa tu. Mungkin cuma perasaan. Mungkin aku terlalu letih.

Malam menjelma...

Makan malam kami diatur rapi di anjung vila. Lantai kayu, cahaya lampu kecil, dan bintang bertaburan di langit malam. Jayden pasangkan lagu jazz perlahan, menuangkan jus ke dalam gelas aku. Semuanya terasa sempurna. Terlalu sempurna.

“Untuk permulaan hidup baru kita,” katanya, mata tak lepas dari wajah aku.

Aku senyum dan angguk. “Untuk kita berdua.”

Beberapa minit kemudian, aku bangun perlahan. “Saya masuk bilik sekejap. Nak tukar pakaian.”

Jayden angguk dan mengenyit mata. Tapi sebaik aku melangkah masuk...

Dunia aku berhenti seketika.

Di bawah pintu, terselit satu sampul putih. Tiada nama. Hanya kosong. Tapi menyeramkan.

Dengan jari yang sedikit menggigil, aku capai dan buka.

Sekeping nota kecil:

> “Selamat berbulan madu, Ivy.
Kau nampak cantik sangat bila tak tahu apa yang sedang menunggu.”<

Aku terduduk di hujung katil. Jari jemari mengeletar. Jantung berdegup kencang. Aku cuba ingatkan diri untuk kuat.

"Apa lagi permainan kau, Alisha..." aku berbisik perlahan.

Malam terus berjalan...

Bunyi ombak masih berlagu. Bintang berkelip di langit, dan angin laut menerpa masuk dari pintu kaca yang sedikit terbuka.

Jayden sedang mandi di bilik air. Aku berdiri di hadapan cermin, aku mengenakan baju tidur satin putih lembut menyentuh tubuh jatuh terletak di paras lutut. Aku tersenyum mengoda.

Tak salah, kan... kalau aku nak pikat suami sendiri? Bisik hati nakal yang mula bermain.

Tapi sebaik saja mata aku tertumpu pada sampul putih di meja kecil sebelah katil segala-galanya hilang begitu saja.

> “Selamat berbulan madu, Ivy.
Kau nampak cantik sangat bila tak tahu apa yang sedang menunggu.”<

Ayat itu menusuk. Sinis. Bukan sekadar amaran tapi permulaan permainan. Tulisan itu... tajam, rapi. Tulisan tangan. Dan aku tahu itu Alisha.

Jantung aku berdegup makin laju. Dia… ada di sini?

Aku cepat-cepat simpan nota itu dalam beg tangan. Jayden keluar dari bilik air, wajahnya tenang, senyum manja seperti biasa.

“Sweetheart, you okay?”

Aku paksa senyum. “Ya… cuma penat sikit.”

Dia peluk aku dari belakang, dagunya bersandar di bahu. “Saya masih tak percaya awak milik saya sekarang." Leher aku di cium lembut penuh makna.

"Jom tidur. Dunia luar tu, kita tinggalkan sebentar, okay?”

Aku angguk. Tapi jauh dalam hati… aku tahu dunia luar itu tak akan pernah diam.

2.37 pagi.

Aku terjaga.

Bilik gelap, hanya cahaya bulan menyinar masuk dari tingkap. Jayden masih lena di sebelahku. Tangannya melingkari pinggangku.

Tiba-tiba... aku dengar bunyi pintu kayu. Seperti pemegangnya disentuh perlahan.

Aku bangun senyap-senyap, tak mahu ganggu Jayden. Langkahku ke ruang tamu kecil. Pintu kaca ke kolam renang terbuka sedikit. Angin malam meniup tirai putih yang berombak perlahan.

Di atas meja makan… ada sekuntum bunga ros merah.

Dan kad kecil:

> “Dia tidur lena. Tapi kau… bila-bila masa saja boleh hilang.”<

Tangan aku terketar. Aku berpaling, berlari masuk ke bilik semula dan mengunci pintu.

Pagi keesokan harinya.

Cahaya matahari menyapa wajah aku dari celah tirai. Aku masih dalam pelukan Jayden. Suaranya memecah lamunan.

“Good morning, sweetheart.” Pipi aku diciumnya lembut.

Aku berpusing, menyentuh pipinya perlahan. “Saya lapar. Jom kita pergi makan… lepas tu saya nak shopping,” kataku ceria, menyembunyikan resah yang menebal dalam hati.

Aku bertekad akan lindungi perkahwinan kami. Dan selepas bulan madu ini, aku akan jumpa Hanis dan Hakimi. Aku akan ceritakan segalanya.

Aku takkan biar sesiapa hancurkan kebahagiaan yang baru aku bina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience