Ivy POV
Tangan aku diikat kemas ke belakang. Tubuh aku tidak lagi terbaring atas lantai dingin, tetapi dipaksa duduk di atas kerusi kayu yang keras. Pergerakan sedikit pun buat tali itu mencengkam pergelangan tangan hingga perit. Nafas aku pendek dan terputus-putus. Ruang ini gelap. Bau hapak dan lembap. Seperti stor lama yang ditinggalkan.
Lampu neon berkelip-kelip di atas kepala, menambah rasa seram yang mula membunuh rasional dalam diri. Aku cuba ingat kembali… apa yang berlaku. Aku sedang tidur. Rumah. Bilik. Baju tidur satin. Bau lilin aromaterapi. Kemudian—
Suntikan. Suara.
Perlahan-lahan, aku angkat muka. Bayangan tubuh lelaki berdiri tak jauh dari aku. Tegap, tapi bukan seperti Jayden. Aku tak kenal dia. Bukan orang-orang Jayden. Atau pun Don. Matanya tajam merenung aku tanpa emosi.
Dia berpeluk tubuh sambil bersandar pada dinding berkarat.
“Siapa… siapa kau?” suara aku serak.
Lelaki itu hanya menjongketkan kening. “Tak penting. Aku cuma... pekerja.” Suaranya garau, mendatar. Senyuman senget di hujung bibir dan matanya merenung aku buatkan aku tak keruan.
Aku telan air liur. “Apa yang kau nak?”
Langkah kaki dari belakang lelaki itu buat jantung aku berdegup kencang. Aku tahu suara itu. Wangian itu.
“Dia tak nak apa-apa, Ivy,” suara perempuan itu menyusup masuk seperti racun. “Dia cuma ikut arahan aku.”
Aku memalingkan wajah ke kiri. Dan berdirilah dia. Dalam jaket kulit hitam dan jeans ketat. Rambut disanggul tinggi. Bibir merah menyeringai.
Alisha.
Darah aku terasa membeku.
Dia datang menghampiri, membelai sedikit rambut aku dengan hujung jarinya. Aku cuba menepis, tapi terhalang dengan ikatan di belakang.
“Rasa pelik ke, Ivy? Tak sangka kan kau akan ‘honeymoon’ dengan aku?”
“Alisha… tolonglah. Lepaskan aku. Jayden akan—”
Dia ketawa kecil. Ketawa yang menyakitkan telinga. “Jayden? Jayden takkan datang cari kau. Dia sibuk uruskan drama keluarga dia dengan si Muaz tu. Lagipun… dia dah tak kisah sangat pasal kau. Lelaki macam dia, cepat bosan.”
“Itu tak benar,” aku berkata perlahan, cuba menahan air mata. “Dia sayang aku. Dia akan cari aku sampai dapat.”
Alisha tunduk, wajahnya tiba-tiba hampir ke muka aku. Aku boleh nampak kesan solekan yang sedikit comot di bawah mata, mungkin kerana terlalu lama berjaga. Tapi apa yang lebih jelas — matanya penuh dengan kebencian.
“Kenapa bukan aku, Ivy? Aku yang lebih seksi. Aku yang lebih cantik. Aku yang boleh buat Jayden ketawa. Tapi dia pilih kau… si model sopan bajet bidadari!”
Zaf bergerak sedikit, nampaknya tak selesa dengan emosi Alisha yang makin meluap-luap. Tapi dia diam. Dia tahu tempatnya.
Aku cuba tenangkan nafas. Aku perlu masa. Aku perlu cari ruang untuk lari, walaupun seminit. Mata aku liar meninjau. Ada satu kipas siling tua, satu tingkap kecil tinggi di dinding kiri. Dan besi panjang tergantung — mungkin paip.
“Jayden akan cari aku, Alisha,” aku bersuara lagi, lebih tenang kali ini. “Dia akan cari sampai dapat. Dan bila dia jumpa… kau akan hilang segalanya.”
Alisha terdiam. Tapi bukan kerana takut. Dia senyum perlahan.
“Aku tak perlukan segalanya. Aku cuma perlukan satu benda. Aku nak kau tahu rasa… hilang. Macam mana aku hilang segalanya bila dia lamar kau. Bila kau pakai gaun putih tu. Bila semua orang tepuk tangan untuk ‘perkahwinan impian’ korang. Yang sepatutnya aku berada disitu”
Tiba-tiba, Alisha mencengkam rambutku dan merentapnya ke belakang dengan kasar. Kepala aku terdongak ke atas, tengkuk terasa tegang dan pedih. Sakitnya mencucuk sampai ke belakang mata.
Zaf kelihatan menoleh ke arah lain saat rambut aku direntap. Seolah dia pun tahu, ini dah melampau.
“Sakit? Baru sikit tu, sayang,” bisiknya tajam ke telinga aku. “Aku nak kau rasa sikit je daripada neraka yang aku rasa tiap kali tengok senyum kau dalam gambar kahwin tu.”
Kemudian dia menolak dan melepaskan rambut aku dengan kasar. Dia berpaling, melangkah pergi. Sebelum keluar dari bilik, dia sempat berpaling ke arah Zaf.
“Pastikan dia tak mati. Bukan sekarang. Aku belum puas lagi.”
Pintu besi ditutup kuat. Hembusan angin dari bawah pintu satu-satunya pengubat rasa sesak. Zaf masih berdiri di situ, seperti patung. Tapi kali ini… dia menunduk sedikit, mungkin kerana tak sanggup tengok wajah aku yang penuh luka dan air mata.
Aku genggam jari kuat-kuat walaupun pergelangan aku mula berdenyut. Aku takkan kalah. Jayden akan cari aku. Aku tahu dia akan.
Dan bila dia sampai… Alisha akan dapat apa yang dia patut rasa dari dulu.
Tapi aku tahu, masa tak berpihak pada aku. Dan jika Jayden lambat, aku tak pasti berapa banyak lagi yang mampu aku tanggung.
Share this novel