Ivy POV
Sebulan telah berlalu sejak kejadian malam itu. Segala persiapan untuk perkahwinan aku dan Jayden telah selesai diatur, dan semuanya telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Sekarang, kami hanya perlu menunggu hari bahagia kami tiba.
Semakin dekat hari perkahwinan kami, semakin aku berharap agar segala-galanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.
Saat aku sibuk dengan sesi photoshoot hari ini, Hanis tiba-tiba datang dengan tergopoh-gopoh, wajahnya kelihatan pucat dan penuh panik. Air mata jelas basah di pipinya, memberi tanda bahawa sesuatu yang serius telah berlaku.
"Hanis, apa yang terjadi? Kenapa dengan kau?" Aku bertanya dengan cemas, hati aku berdebar-debar melihat keadaan Hanis yang tidak seperti biasa.
Hanis menarik nafas panjang, cuba mengumpul kekuatan untuk berkata sesuatu, namun air mata yang terus mengalir membuatkannya terdiam seketika. "Ivy… Hakimi… dia ditahan polis," suaranya tersekat-sekat.
"Apa?" Aku tersentak, terkejut dengan berita yang baru saja didengar. "Macam mana ini boleh berlaku?" Aku masih terkejut, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang terjadi.
Tak lama selepas itu, Jayden muncul menghampiri kami dengan wajah yang serius. "Sweetheart, change now. Kita kena pergi balai polis sekarang," arah Jayden dengan nada tegas.
Aku segera menukar pakaian dengan pantas dan kami bertiga bergegas ke balai polis. Sepanjang perjalanan, Jayden sempat menghubungi peguamnya, mengarahkan mereka untuk segera menyelesaikan masalah yang timbul.
Setibanya di balai polis, aku melihat orang tua aku sedang bertelagah dengan pegawai polis yang bertugas. Suara mereka bergema dengan kemarahan, dipenuhi dengan emosi yang sukar dikawal.
"Daddy, mummy, apa sebenarnya yang dah berlaku? Kimi mana?" Aku bertanya cemas, suara aku bergetar melihat ketegangan yang semakin memuncak di balai polis.
Mummy mengusap wajahnya yang basah dengan air mata, berusaha menenangkan diri sebelum berkata, "Kimi ada dalam lokap. Mereka kata ada jumpa barang terlarang dalam kereta Kimi," jawab mummy, air matanya mengalir deras.
Aku tergamam mendengar apa yang baru mummy beritahu. "Tak mungkin, Kimi tak akan buat kerja-kerja macam ni semua," aku berkata dengan suara yang tersekat-sekat, cuba menafikan apa yang baru aku dengar. Aku memandang pegawai yang bertugas. "Tolong kepaskan adik saya. Adik saya tak akan buat kerja macam tu," suara aku mula meninggi, penuh dengan kebingungan dan kemarahan yang sukar ditahan.
Pegawai polis itu tenang memandang aku dengan mata tajamnya. "Kami ada bukti, cik," katanya, dengan nada yang tidak memberi ruang untuk bantahan.
Aku menepuk meja di hadapan aku dengan kuat dan menjerit, "Adik saya tak akan buat kerja macam tu!" Rasa marah dan kecewa membuak-buak, sukar untuk aku mengawal perasaan.
Jayden menarik dan memeluk aku erat. "Sweetheart, bawa bertenang," katanya dengan nada lembut, cuba menenangkan aku. Namun, dengan kekuatan yang berbaki, aku menarik kolar baju Jayden dan memandangnya dengan penuh harapan.
"Awak tahukan yang Kimi tak akan buat benda-benda ni semua? Awak percaya Kimi kan?" aku berkata dengan nada merayu, berharap Jayden masih percaya pada Hakimi.
Jayden memegang muka aku dengan kedua tangannya, matanya penuh dengan keyakinan. "Jangan risau, saya sangat percaya pada Hakimi. Bertenang, saya dah arahkan peguam saya untuk bebaskan Hakimi," pujuk Jayden dengan lembut, cuba memberikan ketenangan.
Setelah itu, Jayden menoleh memandang pegawai polis tersebut dengan pandangan yang tajam. "Saya rasa peguam saya telah selesaikan semuanya dan sepatutnya adik ipar saya dah boleh dibebaskan, betul tak officer?" Tanya Jayden, suaranya tegas, penuh dengan keyakinan.
Pegawai tersebut memandang Jayden dengan sedikit gugup. "Tapi ini berkaitan dengan barang terlarang, ada beberapa prosedur yang kami perlu ikut," kata pegawai itu, nada suaranya sedikit bergetar, seolah-olah tak mahu menghadapi situasi yang semakin tegang ini.
Jayden tetap tenang, namun matanya tajam memandang pegawai itu. "Saya faham prosedur awak officer, tapi jika tiada bukti yang kukuh, adik ipar saya tidak seharusnya ditahan lebih lama. Kami tak mahu perkara ini berlarutan tanpa sebab yang jelas," jawab Jayden, suaranya semakin tegas.
Pegawai itu mengangguk perlahan, seolah-olah berusaha menenangkan diri. "Kami akan pastikan siasatan dilakukan dengan teliti, Tuan. Kami akan cuba selesaikan secepat mungkin, tetapi kami perlu mengikuti protokol," katanya, memberi penjelasan.
Tak lama selepas itu, Hakimi akhirnya dibebaskan. Kami semua terus memeluknya erat, rasa lega yang teramat sangat. "Daddy, mummy, darling sister, saya tak buat semua ni," kata Hakimi, suaranya penuh dengan kesedihan.
"Sudahlah, mari kita pulang ke rumah dulu, kita bincang nanti," kata daddy, memecah keheningan sambil berusaha menenangkan suasana. Dia memberi isyarat supaya kami segera meninggalkan balai polis.
Kami semua bersedia hendak keluar dari balai tersebut. Don muncul dengan wajah yang tegang. "Boss, kita ada masalah besar. Wartawan ada di luar balai," kata Don, suaranya penuh dengan kebimbangan.
Aku terdiam, darah terasa beku dalam tubuh. Muka aku pucat lesi mendengar berita itu, jantung berdegup kencang, takut memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya.
"Darling sister, aku minta maaf. Sebab aku, nama kau tercalar dan kau kena lalui semua ni," kata Hakimi, suaranya tersekat-sekat, menahan kesedihan.
"Aku tahu kau takut nama baik aku tercemar, Hakimi, tapi jangan biarkan rasa bersalah itu membebankan kau. Sama-sama, kita akan hadapi segala ujian ini," aku berkata.
"Baiklah, semua keluar dulu," kata Jayden dengan suara tegas namun penuh waspada. "Saya dan Ivy akan keluar kemudian, dan saya akan uruskan yang selebihnya. Jangan risau, saya akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar."
Selepas itu, Jayden menoleh dan memandang pegawai polis tersebut dengan pandangan tajam. "Saya harap kes ini disiasat dengan teliti dan dalangnya dapat ditangkap segera. Tolong ambil tindakan dengan pantas," kata Jayden, dengan nada suara yang penuh autoriti.
"Baik, Tuan Jayden, kami akan cuba sebaik mungkin," jawab pegawai polis tersebut, kelihatan sedikit gugup dengan pandangan serius Jayden.
Sebaik sahaja kami melangkah keluar dari balai, satu tangan Jayden pantas memeluk aku erat, manakala tangan yang satu lagi menarik muka aku rapat ke dadanya. Dia melindungi aku, menjaga keselamatan aku dari serangan wartawan dan jurugambar yang semakin menggila.
Don, yang berdiri di sisi kami, kemudian mengambil tempat di hadapan kami, melangkah penuh waspada. Kami mula bergerak keluar dari balai polis tersebut dengan cepat, langkah kami pantas menuju ke kereta yang terparkir di luar.
Walaupun langkah kami tergesa-gesa, aku sempat menangkap beberapa soalan dari wartawan yang bersiap sedia menanti di luar balai. Namun, semua soalan itu hanya dibiarkan sepi tanpa jawapan, kami terus berjalan tanpa menoleh lagi.
Setelah kami selamat melangkah masuk ke dalam kereta, aku menoleh memandang Jayden, hati berperang dengan pelbagai perasaan. "Mesti awak malu dengan saya sekarang, kan?" aku bertanya, suara sedikit terketar-ketar, cuba menyembunyikan rasa gelisah yang menghimpit.
Share this novel