18

Romance Series 3111

Malik POV

“Macam mana sekarang ni, Papa?” Alisha membentak. Nada suaranya tinggi, sarat dengan kemarahan yang tertahan.

Aku mengetap rahang, cuba menahan geram. “Kau jangan tambah peningkan kepala Papa lagi. Ini semua kerja kau! Kan Papa dah cakap, kawal ketagihan kau tu—jangan minum sesuka hati!”

Alisha mencebik. “Ala, orang minum sikit je. Lagipun, orang masih sedar lagilah.” Santainya menjengkelkan.

“Sikit?” Aku ketap gigi. “Kau sendiri pun tak tahu apa yang kau buat semalam. Kalau bukan budak Papa yang bawa kau balik, dah lama kau tersadai kat kaki lima tu!”

Dia diam. Tapi mata dia masih mencabar.

“Habis sekarang ni macam mana?” soalnya lagi, seperti mahu mencabar keputusan aku.

Aku pejam mata seketika, tarik nafas. “This time, do it my way. Papa akan beritahu kau nanti.”

Alisha mengangguk, namun nada suaranya tidak hilang nada berharap. “Bila, Papa? Bila kita mula?”

“Bukan sekarang. Kalau kita gerak sekarang, mereka akan tahu ini semua rancangan kita. Kita kena tunggu masa yang betul.”

Tanpa menunggu jawapan dia, aku memandu pergi. Aku perlukan tenang. Hanya ada satu tempat yang boleh bagi aku ruang untuk bernafas—dan satu orang yang boleh buat aku rasa semuanya masih dalam kawalan.

Sebaik tiba, aku parkir kereta dan terus melangkah masuk. Dia sedang menunggu aku, seperti selalu. Senyumannya menyambut aku dengan damai yang aku rindukan. Dia peluk aku erat, seolah mahu menyerap semua beban aku.

“Macam mana?” suara dia lembut, penuh tanda tanya.

Aku menggeleng perlahan. “Tak berjaya. Aku kena fikir jalan lain.”

Satu tepukan kuat singgah di bahu aku. “Malik, macam mana sekarang? Berapa lama lagi aku nak tunggu?”

Aku menoleh. Tony.

Aku hela nafas panjang. “Aku tengah uruskan. Sikit masa lagi.”

Tony mendengus. “Kau fahamkan, kalau syarikat aku dapat gabung dengan syarikat abang kau, kau juga untung besar?”

“Aku tahu. Tapi sekarang anak dia yang uruskan semuanya, bukan abang aku.”

Tony mengangguk. “Baik. Tapi cepat. Kita tak ada banyak masa.”

Belum sempat aku balas, Alisha muncul dengan senyuman yang menyakitkan hati aku. “Mama buatkan air macam biasa,” katanya, manja.

Aku pandang dia tajam. Api dalam dada aku makin marak.

“Cukup, Alisha! Sebab kau lah rancangan kita gagal!”

“Maksud awak apa?” tanya ibu Alisha, bingung.

“She was drinking last night,” aku jawab, nada tegang. Aku picit batang hidung, cuba tahan marah yang dah meletup.

“Ala… orang minum sikit je…” Alisha menjawab, gelisah, cuba berlindung di sebalik ibunya.

“Dan sebab ‘sikit’ tu lah semua musnah! Mereka tahu apa yang kau buat malam tu, Alisha!”

Aku jarang naik suara pada dia. Tapi kali ini dia melampau. Terlalu melampau.

“Kali ini, kita ikut rancangan saya pula,” aku berkata tegas. “Tapi saya harap anak awak tak rosakkan lagi macam sebelum ni.”

Tony ketawa kecil. “Malik… aku rasa aku tahu apa yang patut kau buat.”

Sebelum aku sempat bertanya, telefon aku berdering. Bibik.

“Hello?”

“Tuan, tolong balik sekarang,” suaranya cemas.

Satu lagi masalah. Aku mengeluh.

“Dia buat hal lagi ke?” tanya ibu Alisha.

“Ya. Saya kena balik sekarang. Maaf, sayang. Saya tak dapat temankan awak malam ni.”

Tony hulurkan satu bungkusan kecil. “Macam biasa. Kita bincang lepas ni pasal ‘dia’ juga.”

Aku angguk perlahan. “Terima kasih, Tony.”

---

Sampai rumah, bibik sudah menunggu di depan pintu.

“Apa dia buat kali ni?” aku menyoal kasar.

“Tadi saya bawa makanan untuk Puan. Dia tiba-tiba meluru nak keluar dari bilik Tuan, tapi saya sempat kunci balik.”

“Muaz ada?”

“Tak ada, Tuan.”

Aku terus melangkah masuk. “Kau boleh pergi sekarang,” aku arahkan bibik.

Sebaik pintu bilik aku buka, Latifah meluru memeluk aku erat, tubuhnya menggigil.

“Abang… tolong lepaskan saya. Saya dah tak sanggup lagi dikurung macam ni…” dia merayu, air mata deras mengalir.

Aku pandang dia lama. Hati aku perit, tapi aku tiada pilihan.

“Nanti. Lepas kerja aku selesai. Aku janji,” aku berdusta lagi. Penyakit dia tak membenarkan aku ambil risiko.

“Abang… saya tak tahan dah,” suara dia tersekat, wajahnya penuh luka dan keliru.

“Kalau kau nak keluar, kau ikut semua arahan aku. Faham?” Aku ambil air dan bungkusan kecil dari meja. Hulurkan kepadanya.

Dia pandang aku, ragu.

“Apa ni?”

“Untuk kebaikan kau. Jangan tanya banyak.”

“Saya tak sakit! Saya tak perlu semua ni!” dia menjerit, tolak ubat dari tangan aku.

Aku tarik nafas dalam-dalam. “Aku cuma mahu kau sihat. Itu saja.”

Akhirnya dia mengalah. Dengan tangan menggigil, dia telan juga ubat yang aku beri.

Aku duduk di sisi dia, membuka baju dan membelai rambutnya.

“Kau tahu aku tak suka tengok kau macam ni. Kena sentiasa cantik untuk aku. Jangan selekeh, walau aku tak ada.”

Latifah tunduk, lemah. “Dah dua hari abang tak balik…”

Aku diam. Bila dia mula layu, aku bangun dan pakai semula baju. Tanpa kata, aku keluar dan kunci semula pintu bilik dari luar.

---

Di bilik bacaan, aku segera hubungi Tony.

“Ceritakan tentang rancangan kau nak jatuhkan syarikat Ghaffar,” aku berkata terus-terang.

Tony mula bercakap. Aku dengar dengan teliti, hati aku makin yakin. Satu demi satu strateginya masuk akal. Wajah aku tenang, bibir aku meleret senyum.

Aku tahu. Masa yang sesuai hampir tiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience