35

Romance Series 3111

Muaz POV

Dua minggu aku bawa mama lari dari rumah jahanam itu, mama banyak tidur, termenung, dan kurang makan. Kini, hampir sebulan berlalu, aku perhatikan ada perubahan pada mama.

Tapi bukan perubahan yang baik.

Kadang-kadang mama bercakap lembut seperti selalu, kadang-kadang dia boleh jadi terlalu agresif. Perwatakannya sering berubah-ubah. Bila aku nak ajak dia ke hospital, dia selalu mengelak.

— Flashback —

“Ini semua salah kau, Muaz! Sebab kau bawa aku keluar dari rumah tu! Laki aku dah tak sayang aku lagi. Semua ni berpunca dari kau!” Mama menengking, matanya merah menahan marah.

“Mama, dia dah tak sayangkan mama lagi. Mama dah lupa ke dia kurung mama, bagi dadah, bagi mama lalok... supaya dia boleh simpan mama dalam rumah tu? Tapi apa yang dia buat, dia bebas keluar, berfoya-foya dengan perempuan lain, sampai ada anak. Itu yang mama panggil sayang?” Aku bersuara lantang, marah dan sedih bercampur.

“Kau tak faham, Muaz! Semua yang dia buat tu adalah untuk kebaikan aku! Kau yang hancurkan semuanya! Tengok sekarang ni, kau yang kurung aku! Lebih baik kau bawa aku balik!” Mama menjerit lagi.

“Kita pergi hospital, ya, mama?” Aku cuba memujuk dengan suara paling lembut.

“Kau ingat aku gila, ya? Kau ingat aku sakit?” Mama membentak garang.

Tapi tiba-tiba nadanya berubah.

“Mama tak sakitlah, Muaz… mama sihat. Kenapa mama kena pergi hospital lagi?” Suaranya lembut, seperti biasa. Seolah-olah tak pernah berlaku apa-apa pun sebentar tadi.

— Flashback tamat —

Hari ni, aku berdiri di hadapan rumah Uncle Muhsin. Dah tak tahu ke mana lagi nak tuju. Aku tahu, aku kena beritahu Uncle tentang semua yang sedang berlaku.

Aku kumpulkan kekuatan sebelum keluar dari kereta. Aku ketuk pintu rumah, tangan menggigil.

Pintu dibuka. “Muaz!” suara Aunty Jayanti kedengaran terkejut.

“Aunty… uncle ada? Boleh saya jumpa dia?” Aku bertanya, sedikit teragak-agak.

“Boleh... Masuklah,” Aunty menarik tangan aku perlahan.

Aunty Jayanti memang sangat baik dengan keluarga kami. Tak pernah sekalipun dia melayan kami buruk. Tak seperti Papa... Keluhan kecil terlepas dari mulut aku. Rasa malu menyelubungi diri.

Uncle Muhsin muncul di ruang tamu. Pandangan matanya menangkap wajah aku.

“Muaz.”

“Uncle… saya minta maaf sebab ganggu uncle sekarang ni,” kata aku perlahan.

“Tak ada sebab untuk kau minta maaf. Kau boleh datang bila-bila masa ke rumah ni,” kata Uncle Muhsin ikhlas.

Aku tarik nafas, masih sukar untuk memulakan.

“Saya datang sebab nak beritahu pasal papa…” aku akhirnya berkata.

Wajah uncle sedikit berubah. Tapi dia menunggu dengan tenang.

“Saya dah bawa mama lari dari rumah tu…” Dan di situlah aku mula ceritakan semuanya tentang penderitaan mama, tentang penyakitnya yang baru aku tahu, tentang bagaimana aku sendiri rasa bersalah kerana selama ni terlalu ikut kata Papa.

“Muaz…” suara Uncle Muhsin perlahan, sarat penyesalan. “Uncle pun bersalah. Kalau uncle tak terlalu tegas dengan Malik dulu… mungkin semua ni tak jadi.”

“Tapi uncle terpaksa… sebab janji keluarga.” Dia tunduk, kelihatan berat menanggung rasa.

“Uncle, saya faham. Saya pun salah. Saya pernah ikut semua cakap papa, sebab saya nak ambil hati dia… Saya cemburu, sebab papa terlalu lebihkan Alisha. Walaupun Alisha layan mama teruk… papa tak pernah marah dia.”

Air mata aku mengalir perlahan.

“Sehinggalah saya bawa mama lari. Baru saya tahu kebenarannya.”

Aku mengesat mata. “Dan lagi satu… mama ada gangguan emosi. Kenapa tak ada sesiapa pun beritahu saya?”

“Tak mungkin… penyakit Latifah sepatutnya dah lama sembuh…” Uncle Muhsin kelihatan tergamam.

“Tak, uncle. Saya dah pernah bawa mama ke hospital. Doktor cakap penyakit mama kembali sebab trauma dari papa. Dan kali ni, mungkin... penyakit tu akan kekal.” Suara aku bergetar, dada terasa sesak.

Uncle Muhsin pegang bahu aku. Cuba tenangkan aku. “Sekali lagi, uncle minta maaf, Muaz.”

“Tak, uncle tak perlu minta maaf. Uncle satu-satunya harapan yang ada untuk hentikan semua ni.”

Aku bersuara penuh tekad. “Tender-tender yang papa submit tu semua dia dah rancang dengan kawan baik dia, semata-mata nak kaut untung cepat. Saya harap uncle tak terpedaya.”

“Jangan risau. Uncle dan Jayden dah tahu muslihat dia. Jayden pun dah hantar orang untuk siasat Malik,” jawab Uncle Muhsin.

“Kalau macam tu, kenapa kamu tak bawa Latifah tinggal sini?” tanya uncle lagi.

“Tak boleh… nanti papa dapat kesan kami. Saya tak sanggup biar dia ganggu mama lagi,” jawab aku cepat, panik.

“Habis tu, nak biarkan mama kamu terus macam tu?” soal uncle.

“Buat masa sekarang, mama masih boleh di kawal lagi. Saya masih boleh lagi jaga dia. Cuma saya minta uncle rahsiakan semua ni buat sementara.”

“Kalau macam tu… kamu tinggal di mana sekarang?”

Aku pandang uncle. “Maaf, uncle. Itu pun saya tak boleh beritahu.”

“Habis macam mana, kalau uncle nak cari kamu nanti?” wajah uncle risau.

“Uncle tak perlu cari saya. Saya yang akan datang sendiri bila perlukan bantuan.”

Uncle menghela nafas berat tapi akhirnya angguk perlahan. “Baiklah.”

“Muaz, kamu dah makan?” tanya Aunty Jayanti dari arah dapur.

Aku geleng kepala. “Saya lebih pentingkan mama dari diri saya sendiri, aunty.”

“Kamu tak boleh cakap macam tu, Muaz. Kalau kamu sakit, siapa nak jaga mama kamu nanti?” Nada suara Aunty sedikit tinggi.

“Aunty akan bekalkan makanan untuk kamu,” ujarnya sebelum terus ke dapur.

Aku tunduk, malu. Kadang-kadang aku rasa kecil sangat, sebab mereka layan aku dengan penuh kasih sayang walaupun aku bukan siapa-siapa.

---

Hari makin gelap bila aku sampai ke rumah sewa kecil yang kami duduki sekarang. Lokasinya jauh dari bandar, dikelilingi ladang getah dan semak samun. Tempat ini terpencil sengaja aku pilih supaya susah untuk papa jejaki kami.

Aku buka pintu perlahan-lahan. Lampu ruang tamu masih tertutup. Bunyi televisyen tak kedengaran. Rumah senyap… terlalu senyap.

“Mama?” Aku panggil perlahan.

Tiada sahutan.

Aku terus ke bilik mama. Pintu sedikit terbuka. Dalam samar cahaya dari tingkap, aku nampak mama duduk di penjuru katil, meringkuk seperti anak kecil. Rambutnya kusut. Matanya menatap kosong ke arah dinding.

“Mama…”

Dia tak menyahut. Aku duduk perlahan di sebelahnya, cuba menghulur tangan.

Tapi tiba-tiba dia menepis kuat.

“Jangan sentuh aku! Jangan sentuh aku!” Mama menjerit, matanya membulat penuh ketakutan. “Dia akan marah! Malik akan marah!”

“Mama! Ini Muaz… mama tak apa-apa kan?” Aku cuba pegang bahunya, tapi dia melarikan diri ke sudut lain bilik. Menekup telinga.

“Dia dalam rumah ni! Dia ada kat sini!” Mama menangis.

Aku kaku. Hati aku hancur melihat mama jadi begini.

Aku bangun dan tutup semua langsir. “Mama, tengok sini… tiada siapa dalam rumah ni. Kita selamat. Mama selamat dengan Muaz, ya.”

Perlahan-lahan aku duduk semula di sebelahnya. Kali ini, dia hanya teresak perlahan.

“Muaz… kau anak aku ke? Atau kau orang suruhan Malik?”

Soalan itu menikam jantung aku. “Mama… mestilah Muaz anak mama. Muaz takkan biar mama terseksa lagi…”

Dia menatap aku lama… dan untuk seketika, aku nampak sinar sayang dalam matanya. Tapi hanya seketika.

“Mama haus…” katanya perlahan.

Aku bangun, ke dapur, tuang air dalam gelas. Aku kembali ke bilik, hulurkan air.

Namun saat mama terima gelas tu… dia buang ke lantai.

Air tumpah. Kaca berderai.

“Ni dadah! Kau nak racun aku! Kau sama macam dia! Kau orang semua nak bunuu aku!” Mama menjerit lagi. Suara dia bergema dalam dinding rumah sempit ni.

Aku berdiri terpaku. Air mata jatuh tanpa sedar.

Sakit… sungguh sakit tengok insan yang paling aku sayang jadi begini.

---

Lewat malam, mama akhirnya tertidur selepas hampir sejam aku duduk di sisinya, sambil membelai rambutnya yang kusut.

Aku duduk di lantai, sandarkan kepala ke dinding. Mata aku tak mampu pejam. Hati aku berkecamuk. Sampai bila aku mampu hadapi semua ini sendiri?

Aku tahu aku perlu cari bantuan profesional. Tapi kalau aku hantar mama ke hospital lagi, takut papa dapat kesan lokasi kami. Aku tak sanggup...

Tiba-tiba telefon dalam poket aku bergetar. Satu mesej masuk.

Jayden: "Aku dah terima laporan penuh pasal Malik. Aku akan datang cari kau bila masa sesuai. Kau kena kuat, Muaz. Kau tak bersendirian."

Aku genggam telefon erat. Mesej itu buat dada aku rasa lapang sedikit.

Aku bukan sendiri.

Untuk mama, aku akan terus bertahan.

Terima kasih banyak sebab sudi baca cerita ni! Korang memang terbaik! Harap korang enjoy, dan jangan lupa tunggu sambungan next time ya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience