Order..!! 21

Romance Series 123857

ENCIK Zaki, Pn Zurin dan Adra masing-masing duduk bersantai di meja luar rumah. Sengaja mereka meletakkan set meja kerusi di bawah pokok di halaman rumah. Tempat yang strategik untuk mereka bersantai.

Jika cuaca elok, mereka suka bersarapan di ruang luar. Sejuk dan nyaman. Ditambah pula dengan angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa. Sihat tubuh badan apabila mendapat udara yang segar tanpa tercemar.

“Makan karipap Mira goreng ni…” ujar Mira yang baru meletakkan sepinggan karipap. Menu sarapan pagi, air teh o panas dan karipap goreng. Walaupun menu tidak semeriah hari-hari biasa, namun mereka berempat masih bersyukur menikmatinya. Ada juga makanan untuk dinikmati.

“Banyak lagi tak dekat dapur..?” soal Pn Zurin. Wajah anak tunggalnya dipandang.

“Banyak lagi, mak buat banyakkan…” balas Mira. Cawan air teh diangkat dan dihirup perlahan. Walaupun banyak, tidaklah dia hendak goreng ke semuanya. Siapa nak makan kalau banyak sangat, itu membazir namanya. Nanti dia goreng kilas sebelum di simpan di dalam peti sejuk.

Ermmm.. Nikmat betul minum air panas dipagi hari. Sejuk di luar, hangat di dalam.

“Kalau banyak lagi, kakak goreng sikit lagi, nanti bagi dekat orang sebelah rumah tu…” sambung Pn Zurin.

“Okey… Nanti kakak goreng…” balas Mira. Malas mahu bertanya kenapa nak bagi. Nanti tak pasal-pasal kena ceramah dengan Pn Zurin. Ayat dia, tak salah pun kita memberi. Kira sedekah. Tak luak pun rezeki kita kalau kita berkongsi. Semakin banyak yang Allah balas nanti jika kita tidak lokek dalam bersedekah.

Jadi setiap kali ada ada tetamu yang menyewa homestay mereka, memang rezeki tetamu itulah mendapat makanan percuma. Jadi, tak perlu bertanya lagi, kita iakan sahaja.

“Nak nanti buat apa, goreng sekarang lah.. Lambat-lambat karang orang dah keluar, tak termakan pula. Nanti kakak tolong hantarkan sekali.” kata Pn Zurin lagi.

“Kakak tolong goreng sahaja, nanti Adra yang tolong hantarkan…” matanya dilirikan kepada kawan yang duduk disebelahnya. Daripada tadi asyik duk mengunyah karipap tanpa henti sahaja. Rasanya selepas dia meletakkan pinggan berisi karipap tadi, sudah lima biji dihabiskan oleh Adra. Berselera betul.

“Kenapa aku pulak…?” tanya Adra senada. Mak suruh dia, dia suruh kita pula.

“Dia kan ‘saudara’ kau. Takkan aku nak hantar pulak…” sangkal Mira. Sengaja dia tekankan perkataan saudara itu pada Adra. Lagipun mak dengan ayah memang belum tahu lagi status sebenar anak angkat mereka. Dia pun malas hendak membuka cerita sedangkan Adra sendiri tidak mahu bercerita.

“Lah…! Saudara Adra ke..? Kenapa tak cakap…? Berapa orang yang datang tu…?” soal Pn Zurin.

“Sorang je mak…” jawab Adra.

Mira dulu melarikan diri setelah mendedahkan hubungannya dengan penumpang di rumah tumpangan mereka walaupun hanya menggunakan perkataan saudara, kononnya nak goreng karipaplah sangat. Tapi mujur jugalah Mira menggunakan perkataan saudara, kalau katanya suami.. Haaa!! Bersiap sedialah bersoal jawab dengan mak. Sudahlah dia sudah lama berkampung di rumah Mira. Sah-sahlah mak akan pelik, dah duduk sini dua bulan lebih, tetiba datang dengan status suami. Kalau secara dasarnya pun orang akan berfikir.

“Datang bercuti ke…? Ke kerja..?”

“Kerja kot..” jawab Adra lagi. Dia sendiri pun tidak tahu kehadiran Ezzaq kerana apa sebenarnya. Kerja atau memang datang untuk mencarinya. Kalau kerja, Ezzaq kerja apa pun dia tidak ambil tahu.

“Kalau macam tu nanti tengahari ajak dia makan sini, mak masak lebih..”

Adra tercengang. Mak ni, terlebih baik pula dia. Pandai-pandai orang tulah mak dia nak makan dekat mana. Entah-entah memang dia kerja. Secara kebetulan sahaja bertemu dengannya di sini.

“Dia kerja kot mak, macam mana nak datang..” Adra mengelat, takkan nak ajak Ezzaq datang sini. Memang tak lah.

“Kerja pun kerja jugak, tengahari kan waktu rehat, nanti suruh dia datang… Ala, Adra ajak sahajalah, mak yang masak. Bukan mak suruh Adra masak.. ” Pn Zurin senyum.

"Mak ni.. Tahulah Adra tak pandai masak..." Adra membuat muka merajuk.

Kali ini ketawa Pn Zurin pula kedengaran. "Mak gurau sahajalah, nanti Adra ajak dia datang ya..." Seronok dia dengan reaksi anak angkatnya yang seorang ni.

“Haa.. Ya..lah…” jawab Adra perlahan-lahan. Bagaimana dia mahu mencari alasan nanti. Mak macam seronok, semakin lebar pula senyuman dia.

Aishhh...

“Okey, dah siap. Pergilah hantar…” Mira muncul dengan pinggan baru berisi dengan karipap.

Mira dipandang dan makcik tu senyum senget. Memang sengaja lah ni. Hal semalam pun belum selesai lagi, hari ini buat hal lain pula. Semalam waktu dia sampai ke rumah Mira sudah diulit mimpi, tak sempat nak balas dendam.

“Kau tolong hantar lah…” tolak Adra.

“Aku ada goreng lagi dekat dapur tu, takkan nak tinggal, kang hangit..”

“Aku tolong tengokkan yang dekat dapur..” tawar Adra.

Mata Mira sengaja dibesarkan. Nak tolong tengok konon.. Haha.. Mira ketawa dalam hati.

Malu-malu kucing pula dia. Semalam keluar berdua boleh pula balik lambat. Siang ni main tarik tali pula. Mira tersengih.

“Dah saudara Adra, Adra pergilah hantar.. Senang sikit, nanti kalau dia nak apa-apa boleh minta tolong dengan kamu.. Taklah segan sangat…” celah Pn Zurin pula apabila melihat ke dua anaknya seperti mahu mengelat. Karang orang tu sudah keluar, tidak sempat hendak merasa.

Mira tersengih menang.

Adra lambat-lambat bangun, akhirnya pinggan bertukar tangan. Lirikan tajam dihadiahkan kepada Mira.

Mira melentokkan kepalanya sambil tersenyum lebar.

“Tak hangit ke dekat dapur tu…?” tanya Pn Zurin apabila Mira hanya duduk setelah Adra berlalu.

“Tak ada pun… Dah habis goreng…” Mira tersengih.

“Tu saudara Adra, nak mak minta Adra kenalkan dengan kakak ke…?”

Mira menjeling. Tak habis-habis Pn Zurin ni. Pantang jumpa lelaki, semua nak kenalkan.

“Saudara Adra tu dah tak available lah mak…”

“Oh dah kahwin ke…?”

“Dah….” Dah kahwin dengan anak angkat mak tu.. Sambung Mira dalam hati.

“Melepaslah mak nak dapat menantu…”

“Mak ni… Macamlah kakak ni dah tua sangat… Kakak muda lagi, takkan nak kahwin sekarang..”

“Mana mudanya kalau umur dah 24 tahun…”

“Abah… Tengok mak ni…” Mira cuba meraih simpati abahnya. Dari tadi abah hanya diam, tersenyum-senyum.

“Awak pun… Ada jodoh karang, kahwin lah budak tu…” Celah En Zaki. Pn Zurin mencebik.

Mira menunjukkan best pada En Zaki. Abah memang sempoi..

**********

ADRA menggaru kepala. Masih di awal pagi, kalau dibuatnya Ezzaq tak bangun tidur lagi macam mana. Dia berkira-kira nak bagi salam atau tak. Ke nak letak kuih kat depan pintu sahaja. Karang ayam pula yang makan.

“Assalamualaikum…” akhirnya Adra memberanikan diri. Hampir lima minit dia berdiri depan pintu. Bertarung dengan fikiran sendiri. Nak masuk ke tak nak.

“Waalaikumusalam, masuklah sayang…” kedengaran suara Ezzaq dari dalam.

Aik. Dah bangun ke? Panggil sayang-sayang pulak, tahu pula dia yang datang. Kalau mak ke Mira yang hantar, mahu tergolek pengsan mereka.

Pintu rumah ditolak perlahan. Ternampak Ezzaq sedang bercakap ditelefon, hanya tangannya menyuruh Adra masuk.

Adra masuk dan kemudian meletakkan pinggan karipap atas meja berdekatan dengan sofa. Memang taklah nak hantar sampai ke dapur. Tidak mahu mengganggu Ezzaq, Adra terus melangkah ke pintu keluar. Mujur Ezzaq tengah bercakap ditelefon, jadi tak perlulah dia berlama-lama di situ.

Belum sempat Adra keluar, tangannya ditarik lembut. Adra berpaling. Tahu memang kerja Ezzaqlah, tiada orang lain dah dalam rumah tu.

“Tunggu sekejap…” bisik Ezzaq dan dia kembali bercakap ditelefon.

Ezzaq menarik Adra ke sofa. Di suruhnya Adra duduk dan dia juga duduk bersebelahan.

“Okey, sekejap lagi update saya balik. Okey.. Bye…” cepat-cepat Ezzaq menghabiskan perbualan.

Wajah Adra direnung dan dia senyum. “Bonus rasa pagi-pagi dapat tengok Adra depan mata.. Kalau hari-hari macam ni kan seronok…” ulas Ezzaq bersahaja. “Adra bawak apa tadi..?” soalnya kemudian. Cepat-cepat ubah topik apabila Adra mula membuat muka.

“Karipap. Mak buat. Awak makanlah. Mak suruh saya hantar sahaja.. Saya nak balik dah..” balas Adra. Adra berdiri, tetapi tangannya tersekat. Ezzaq masih belum melepaskan pegangan.

“Temankan saya sarapan boleh. Sekejap lagi saya dah kena balik KL. Urgent call…” Panggilan dari Atikah tadi merubah jadual percutiannya.

Air muka Adra berubah. Dia terkesan. Bukankah Mira beritahu dia bercuti seminggu. Rasanya belum sampai seminggu lagi. Namun soalan itu hanya berlegar di fikirannya, langsung tidak terkeluar di mulut.

“Saya buatkan air, Adra nak air apa…?” Adra ditarik ke dapur. Kalau dibiarkan takut Adra terus pulang ke rumah. Melepaslah peluang untuk dia menghabiskan masa dengan isterinya sebelum dia pulang.

“Saya dah minum dekat rumah tadi..”

“Okey, kalau macam tu temankan saya makan boleh..?”

Adra menurut. Setelah Ezzaq selesai membancuh air nescafe, Adra membawa pinggan kuih tadi ke dapur.

“Jam sebelas nanti saya dah kena naik flight.. Adra ikut saya balik nak..?”

Jam tangan dikerling, sekarang pukul 7.45 pagi. Tak lama dah sebelum Ezzaq berangkat pulang. Banyak yang ingin ditanyanya, namun mulutnya berat.

“Tak kot…” jawab Adra pendek. Ya.. Maaf, dia masih belum bersedia untuk pulang.

Ezzaq mengangguk. Selebihnya dia tidak mahu terlalu memaksa. Biarlah Adra membuat keputusan sendiri. Apa-apapun dia tahu keberadaan isterinya sekarang. Kalau pun Adra masih belum mahu pulang, dia boleh datang ke sini bila-bila masanya. Lagipun Adra tinggal bersama keluarga yang baik-baik. Kuranglah sedikit kerisauannya.

Sekali lagi telefon Ezzaq berdering. Punat hijau di tekan. Telefon dilekapkan ke cuping telinga.

“Okey, hantar dekat email, saya check sekejap lagi…”

Hanya sepatah ayat dan talian dimatikan. Ezzaq kembali meneruskan suapan hinggalah ke biji terakhir. Semua Ezzaq yang habiskan, Adra hanya peneman.

“Saya balik dulu, awak siap-siaplah apa yang patut.” kata Adra setelah Ezzaq selesai makan.

“Sayang tolong kemaskan baju saya sekejap, boleh? Macam tak sempat sahaja, sebab nak kena prepare email sekejap.. Boleh..?” Ezzaq cuba memancing perhatian Adra. Berharap Adra tidak menolak.

“Okey…” jawab Adra pendek dan senyuman Ezzaq semakin melebar.

"Thanks sayang.."

Adra buat-buat tidak dengar. Dia melangkah ke bilik yang dihuni oleh Ezzaq. Beg Ezzaq dicapai, dan Ezzaq sudah pun menghilang ke ruang tamu. Baju Ezzaq yang berselerak di atas katil dilipat kemas. Sesekali dia mendengar suara Ezzaq berbual ditelefon. Walaupun tidak kuat ataupun jelas, namun dia masih mendengar suara lelaki itu bercakap dengan seseorang.

Selesai memasukkan pakaian ke dalam beg, Adra memandang barang-barang penjagaan diri. Nak campur sekali ke..? Kalau dia punya, dia ada beg khas. Tiada pula beg extra, semata-mata beg lugage pakaian sahaja yang lelaki itu bawa.

Adra menilik barangan Ezzaq, dan yang menarik perhatiannya adalah perfume Ezzaq.

I Am King by Sean John.

Tubir bibir Adra ternaik. Patutlah bau dia wangi. Dari dulu dia memang sukakan wanggian itu. Puncanya, Mira jugalah. Menggedik mencuba wanggian di kedai perfume. Nak beli masa tu macam tak berbaloi. Nak bagi siapa guna…? Takkan nak buat koleksi. Macam tak sesuai pula.

“Adra tengok apa…?” Bisik Ezzaq ditelinga. Badan Adra dipeluk dari belakang. Berani betul tindakannya. Mahunya dapat penampar dari Adra nanti. Nauzubillah. Tapi dia tetap mahu memeluk Adra sebelum dia pulang.

Adra terkaku apabila Ezzaq kejap memeluknya. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju. Hampir terjatuh botol perfume di tangannya ketika suara Ezzaq menerjah ke telinga. Mujur Ezzaq cepat-cepat menyambut botol tersebut dan meletakkannya di atas meja sisi.

Ditolaknya tangan Ezzaq yang sedang merangkul pinggangnya, dia takut dia lemah.

“Please… Sekejap saja.. Sekejap lagi saya nak balik dah…” rayu Ezzaq. Matanya dipejam, tatkala hati lelakinya tergoda apabila tercium rambut wangi Adra.

Adra menarik nafas dalam. Badannya diselesakan. Tanpa sedar jiwanya terasa tenang apabila hatinya merelakan pelukan lelaki itu.

“Thanks…” Ezzaq senyum. Bahu Adra dicium lembut.

Adra dipusing mengadapnya. Wajah Adra dipandang lembut. Dari ubun rambut, ke dahi.. Turun ke mata dan kemudian ke hidung. Matanya menjalar ke seluruh wajah itu.

Dia Isteriku… bisik Ezzaq dihatinya.

“Ikut saya balik nak…?” soalan yang sama diutarakan lagi.

Adra diam. Hanya matanya bersatu dengan anak mata Ezzaq. Dia temui sebuah ketenangan di situ. Tiada rasa marah. Tiada rasa kesal.

Ezzaq tetap dengan senyumannya. Dia memegang kepala Adra dan menghadiahkan satu ciuman di dahi isterinya.

Lama.

Adra memejam mata. Kenapa dia tidak terasa hendak menolak sentuhan Ezzaq..? Dia sudah mula menerima lelaki itu ke..? Tidak sampai dua hari pun mereka bertemu kembali.

“I will miss you again….” Ucap Ezzaq perlahan. Sungguh, dia akan melalui hari-hari seperti biasa semula. Tanpa Adra disisi. Pipi Adra diulas lembut.

Ezzaq mendekatkan wajahnya. Adra tidak bergerak mahupun menolak. Perlahan bibirnya menyentuh bibir Adra. Seketika, Ezzaq gembira walaupun Adra tidak membalasnya.

Ya Allah, kau lembutkan hati isteriku ya Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience