“ADRA tak nak…!” putus Adra sekian kalinya. Jenuh, dari tadi ayat sama sahaja yang dilontarkan namun keputusannya seperti tidak memberi kesan kepada Pn Ainun, mamanya.
Pn Ainun mengeluh, wajah suaminya dipandang. Memberi isyarat untuk suaminya masuk campur pula. Sudah berbuih juga mulutnya dari tadi, berkisar perkara yang sama. Namun kedegilan anak mereka lagi payah.
“Adra kena terima juga, ini berkaitan dengan wasiat. Dah nama pun wasiat, wajib kita ikutkan.” sambung En Asyraff, papanya pula.
“Kenapa Adra yang kena berkorban, abang Aidan kan ada.” Dia tidak mahu mengalah. Jika kata penerimaan yang diberi, pasti dia sendiri perjudikan hidup dan matinya.
Seriously. Memang tak naklah.
Pap!
Adra menggosok kepala. “Abang ni, sakit tahu tak..” dijelingnya Aidan. Suka-suka hati dia nak ketuk kepala orang.
“Itu baru sikit, adik ni kan… Kalau abang cakap bengap kan marah. Cuba fikir, Ezzaq tu lelaki, abang ni lelaki. Mana ada sama lelaki boleh kahwin, nak kena laknat dengan Allah ke…?” tegur Aidan pula. Dia yang baru sampai tadi terdengar sedikit perbualan mereka. Namun Pn Ainun telah dulu memaklumkan cerita sebenar sebelum dia diarah pulang ke rumah. Segalanya terjadi sekelip mata.
“Mama beranak lagi sorang lah kalau macam tu.. Bagi kami adik perempuan seorang lagi. Adik kecil pun tak apa. Kita minta diorang tunggu sampai adik besar. Tak jadi dengan si Ezzaq, dengan adik Ezzaq pun boleh kan? Wasiat atuk tak ada cakap yang Ezzaq dengan Adra yang kena kahwin. Jadi tak timbul isulah kalau macam tu kan ma..?” usul Adra lagi. Dia sendiri pening, bagaimana arwah Atuk suka-suka membuat perjanjian dengan kawan baiknya. Macam kolot, macam cerita dulu-dulu. Kahwin kena ikut wasiat. Masuk dek akal ke dengan zaman digital sekarang ni.
Come on…!
Kita zaman digital kot.
Takkan nak jadi macam kisah dalam cerita korea tu, cerita Princess Hour. At least yang tu kahwin dengan anak raja. Menariklah sikit.
Arrgghhh…
Tetapi kalau betul mama beranak seorang lagi, kesian juga dengan adiknya nanti. Lahir-lahir je jodoh sudah ditetapkan. Tak sempatlah adik nak bercinta dulu.
Parah.. Kesian juga..
Itu kalau dapat adik perempuan, kalau lelaki juga..?
Uishh.. Masak.
“Mama dah expired, nak beranak macam mana lagi. Tinggal kamu sahaja anak perempuan mama.” tukas Pn Ainun sekaligus memusnahkan impian Adra. “Minggu depan mereka sekeluarga nak datang. Kira majlis merisik terus..” Jelas mama lagi. Tegas seperti kata putus sudah dikeluarkan. Mengharapkan tiada bantahan dari Adra lagi.
“Oh my God…mama…” Adra bangun. Dia melutut didepan Pn Ainun “Mama kan tahu, Adra dengan Azad sekarang… Mana boleh macam ni. Apa Adra nak cakap dengan Azad. Kesian Azad, Adra pun kesian.”
“Mama tahu, tapi wasiat atuk kena tunaikan juga. Mama percaya, mesti Azad boleh terima penjelasan Adra. Terang elok-elok dekat dia..” Pn Ainun juga serba salah. Namun Wasiat arwah ayahnya harus ditunaikan.
“Mana Adra sampai hati nak cakap…”
“Kalau tak sampai hati, mama boleh tolong terangkan kepada dia.”
“Cara mama ni macam tak suka sangat nak bermenantukan Azad.. Macam tak bersungguh nak pertahankan cinta adik. Pedih tau hati ni..” Adra membuat muka. Wajah papa dipandangnya. Namun papa hanya senyum sebaris.
“Bukan isunya mama suka ke tak, isunya sekarang, Adra kena ikut wasiat atuk.. Siapa pun pilihan Adra, pilihan mama.. Jawapannya tetap sama. Kahwin dengan Ezzaq..”
“Adra tak cintakan Ezzaq masalahnya. Kenal pun tak… Macam mana Adra nak kahwin dengan diaaaa…” sengaja dia leretkan sebutannya. Haraplah mama berpihak padanya.
“Apa tak kenal pula, masa kecik dulu kan selalu Adra main dengan dia.” celah papa.
“Pa… itu masa kecik, dah besar ni tak kenal, macam mana Adra nak hidup dengan dia. Entah macam mana orangnya. Mahunya gemuk macam Rikishi tu..?” Seloroh Adra mengundang tawa papa dan abang Aidan.
Betulkan..?
Kalau betul macam Rikishi WWF dulu tu, ampun! Sanggup dia melarikan diri sampai bila-bila. Sanggup tak kahwin.
Macam mana dia kenal mamat Rikishi tu, ini semua kerja papa dan abang Aidan yang selalu ajak dia menonton rancangan WWF tu. Sebab tu mereka berdua boleh tergelak, mama sahaja yang muka ketat. Mama tahu apa, dia selalu tonton cerita masak-masak sahaja.
“Ezzaq tak gemuk. Mama dah jumpa pun Ezzaq tu. Bercinta lepas kahwin, Insyaallah… Lebih berkat, lebih mulia. Kalau dah bercinta sekarang pun belum tentu orang tu jodoh kita. Kahwin dengan kita. Lagipun dari dulu lagi mama suruh Adra dengan Azad kahwin. Tetapi Adra asyik mengelat. Tak sedialah, belum masanya lah, muda lagilah. Tup tup hari-hari keluar berdua. Hati mama pun tak senang tahu.” Leter Pn Ainun. Muka Adra bosan mendengar jawapan mama.
“Tak adalah hari-hari Adra keluar dengan Azad..” balas Adra mendatar. Mulut dimuncungnya.
“Itulah kalau mama cakap, ada sahaja yang nak dibalasnya. Ini dah ada jalan dan restu. Adra kahwin sahajalah dengan Ezzaq. Bukan susah pun, semua papa dengan mama tanggung..” Wajah Pn Ainun ditenung. Betul-betul macam cerita drama zaman dulu-dulu. Ingat dalam drama atau novel sahaja ada kisah macam ni, rupanya boleh jadi dekat realiti juga.
Pening..!
“Mana tahu si Ezzaq tu dah ada buah hati, nanti beratakan hubungan diorang sebab Adra. Kang kena serbu dengan buah hati dia. Mana tahu dia cakap Adra ni perampas. Tak mahulah Adra. buruk nama nanti tau.” Adra mencuba lagi. Aidan disebelah sudah tergelak-gelak. Biarkan. Itu sahaja dia tahu dari tadi. Gelak-gelak. Bukan nak tolong adik yang terdesak ni.
“Parent dan Ezzaq dah setuju, so maksudnya tiada isu dengan buah hati Ezzaq ke apa ke… Tak ada isu jadi perampas ke tidak. Sekarang ini tinggal pihak kita sahaja. Dan mama pun bukan ada anak perempuan lain. Adralah yang akan tolong mama tunaikan wasiat atuk.” balas Pn Ainun cekap. Memang itulah yang dikhabarkan kepadanya. Ezzaq sudah bersetuju.
Semua diam, Adra bengang. Nampaknya tiada jalan untuk dirinya lagi. Wajah abang kesayangan dipandang, namun tiada tanda-tanda Aidan mahu memihaknya. Papa pun sama. Dari tadi pun hanya dia bertingkah dengan mama.
Ezzaq pun satu. Menyusahkan betul. Kenapalah dia tak kahwin awal-awal dengan Azad. Kalau tidak, tidaklah menjadi isu sekarang.
“Kalau macam tu bagi Adra kahwin dengan adik Ezzaq… Mesti adik dia muda lagi kan.. Boleh jadi anak ikan…”
“Astagfirullahalazim….” Mengucap panjang Pn Ainun. Manakala papa dan abangnya sudah ketawa besar. Macam mana Adra boleh terfikir idea yang kelakar semata-mata untuk mengelakkan diri.
“Apa ke situ pula fikirannya. Perkahwinan tu kan perkara elok, jangan jadikannya sebagai dosa. Lagipun adik Ezzaq semua masih belajar lagi..Tak layak nak kahwin lagi pun..”
Adra mendengus.
Arghh.. Sudah terlambat!
Adra bangun.
Baiklah..!
“Wasiat atuk nak Adra kahwin kan…Baik, Adra kahwin. Then mama dengan papa jangan salahkan Adra apa yang akan terjadi selepas itu.” habis ayat terakhir, Adra melangkah terus ke biliknya. Malas mahu bertekak lagi, pastinya dia akan kalah juga. Dia tiada pembela ketika ini. Berjuang keseorangan yang memang menunggu masa dijatuhi hukuman.
Kedengaran mama memanggilnya, namun dibiarkan. Tiada apa perlu dibincangkan lagi. Keputusan sudah muktamad. Muktamad sebab mama dan papa yang tentukan, bukannya pilihannya sendiri.
Bosan betul..!
Atuk!!!
Jerit Adra dalam hati. Adra sayang atuk, tetapi kenapa atuk buat Adra macam ni. Keluhnya dalam diam. Janji nak keluar dengan Azad petang itu ditangguhkan. Dia tiada perasaan mahu keluar bersuka ria sekarang. Hatinya parah dah pasrah. Berita tentang perkahwinannya belum dikhabarkan kepada Azad. Agak-agak apa kata Azad jika tahu dia akan berkahwin, tetapi bukan dengan dia. Kahwin dengan orang yang tidak dikenali. Kahwin atur ok, bukan kahwin rela.!
Share this novel