ADRA bangun pagi seawal yang mungkin, semalaman dia menangis di balkoni. Banyak yang dia fikirkan dan banyak juga menghabiskan air matanya sendiri. Dan pagi ini dia berubah fikiran. Apa salahnya dia mengalah dan inilah permulaan baginya untuk mengenali keluarga Ezzaq. Dia mahu mencuba yang terbaik. Dia mahu berbaik dengan Ezzaq, dan juga keluarga mertuanya. Jika dia pulang ke rumah mama, mungkin hubungan mereka akan menjadi semakin jauh. Jadi apa salahkan, dia mulakan pula pada kali ini.
Adra sudah siap berpakaian ketika Ezzaq selesai mandi. Satu suara pun tiada keluar dari mulut lelaki itu. Adra membiarkan Ezzaq bersiap dan bersolat dahulu. Usai solat, Adra duduk melutut di sebelah lelaki itu. Sengaja dia menunggu lelaki itu menghabiskan bacaan doa selepas solat.
“Saya nak ikut awak... Hantar Angah.. ” kata Adra. Anak matanya melekat pada wajah suaminya.
Ezzaq memandangnya sekilas. “Erm..”
“Saya tunggu awak siap.” kata Adra lagi, namun tiada ayat yang keluar dari mulut Ezzaq.
"Boleh tak..?" tanya Adra lagi.
"Ermmm.."
Adra menarik nafas dalam. Bibirnya diketap. Ezzaq masih merajuk. Jawab pun ermmm.. Errmmm sahaja.
Ezzaq sudah bangun, sejadah diangkat dan digantung di sidaian. Adra masih lagi bersimpuh di situ. Hatinya terasa. Ezzaq tidak mahu melayannya.
Timbul rasa sebak di dalam hati. Hah..! Rasakan sekarang. Dulu ketika dia memberikan layanan acuh tak acuh pada lelaki itu, mesti Ezzaq merasakan perasaan yang sama.
Adra menarik nafas dalam. Hatinya dikentalkan. Dia tidak mahu membiarkan air matanya gugur lagi. Cukuplah semalam dia kesedihan. Langsung tiada pujukan dari lelaki itu. Dia dibiarkan keseorangan. Baiklah Ezzaq, saya akan cuba.
Ezzaq pula menghampiri wardrobe untuk menukar baju dan seluar. Dia mengerling sekilas kepada isterinya yang masih melutut di tempat yang sama. Wanita itu menundukkan wajahnya. Ezzaq mendengus. Baju yang tersarung di badannya ditukar kepada yang baru. Begitu juga seluar.
Kemudian meja solek dihampirinya. "Kenapa tak nak balik rumah mama..?" tanya Ezzaq. Tangannya laju melumur minyak rambut dan kemudian dirapikan rambut dengan sikat. Lalu perfume disembur ke badan dan nadi untuk kekalkan bau yang berpanjangan.
Adra menoleh. Dia senyum sebaris. "Saya nak ikut awak.."
Giliran Ezzaq pula senyum sebaris. Nafas berat dilepaskan. Dia sendiri tidak mahu memaksa Adra mengikut jejak langkahnya. Biarlah wanita itu dengan rela hati untuk bersama. "Bersiaplah, saya nak turun bawah dah.."
"Okey.." baru Adra bangun dan mencapai handbagnya. Dia sudah pun bersiap dari tadi. Hanya menunggu jawapan Ezzaq sahaja. Dia mengekori langkah lelaki itu dari belakang. Bibirnya tersenyum, kesan daripada haruman yang menyerbu ke dalam rongga hidungnya. Wangi dan lembut.
Sampai di bawah. Papa keseorangan, elok pula dia bersantai di sofa
"Tak buka tv ke pa..." tegur Ezzaq.
En Zakwan angkat muka. Wajah anak dan menantunya dipandang.. "Biarlah, tengok berita de handphone ni sahaja.." balasnya. "Cepatnya Adra siap, mama ngan maksu kamu berjam-jam baru siap..Itu nanti belum lagi ada yang tertinggal-tinggal.."
Adra senyum tipis. "Biasalah pa, orang perempuan.."
"Ha yalah.. Tapi kamu perempuan jugak.." mengekek En Zakwan ketawa. "Bagus, jangan bersiap lama sangat, kalau tak nanti Ezzaq jadi macam papa nilah.. Menunggu dengan penuh kesabaran."
Adra tercuit melihat reaksi ayah mertuanya. Memang ada pun jenis orang bersiap lama. Tapi bukan perempuan sahaja, lelaki pun ada.. Mujurlah dia bukan jenis yang itu. Dia tidak suka menghabiskan masa berjam-jam di cermin. Cukuplah sekadar solekan nipis. Tidak perlu tebal-tebal.
“Along naik dengan kami ke…?” tanya papa.
“Tak kot pa. Along bawak kereta sendirilah.. Nanti senang Along nak balik sini. Mana tahu nanti mama nak melencong ke tempat lain.. "ujar Ezzaq.
Papa ketawa senang. Ya, semestinya. Isterinya memang suka menyinggah kalau pergi ke suatu tempat. “Baik..Kita sarapan dekat luarlah ya.." sambung papa
“Mana-mana pun boleh.. Mana yang lain..?”
“Belum turun lagi. Tadi kan papa dah cakap bersiap lama."
. "Mama dengan maksu iyalah, yang dua orang lagi tu..? Tak bangun lagi ke..?" tanya Ezzaq lagi, Tidak nampak pula adik lelaki dia yang lagi dua orang.
"Dah.. Sekejap lagi keluarlah kot.."
"Kalau macam tu Along simpan beg dulu.." kata Ezzaq dan En Zakwan menyerahkan kunci kepada anaknya.
Ezzaq mengangkat beg dan jasadnya menghilang di balik pintu utama rumah. Kemudian terdengar enjin kereta berbunyi.
"Papa dengan mama kamu sihat ke..?"
"Sihat pa.." balas Adra. Dari pandangannya, ayah mertuanya mesti lebih kurang umur papanya. "Papa ambil cuti lama ke..?"
"Ha'ah.. Lagipun papa nak habiskan cuti tahunan. Tahun depan dah nak pencen.."
Pencen?? Kalau pencen bukan umur 55 tahun ke? Umur papa bru 52 tahun. Jadi lebih kurang sahajalah.
"Nanti papa dah pencen, kita pergi bercuti sama-sama. Tak pun papa sponser Adra dengan Ezzaq honeymoon ya.. Nanti pilih sahaja tempat nak pergi mana.."
"Uisshh papa, tak apa.. Papa pergi honeymoon dengan mamalah berdua.."
En Zakwan tergelak. "Yang tu semestinya.. Dah plan pun mama kamu tu, nak pergi sana.. Nak pergi sini.. Tapi yang ni, trip kamu berdua. Pilih tempat sahaja. Okey.."
Adra senyum segan. Tak usahlah. Kalau nak honeymoon pun, dia masih ada duit sendiri.
"Hallo everyone.. We all dah siapppp...!" muncul Maksu Zaria bersama dengan Pn Zati
Mata En Zakwan membulat sambil memandang menantunya. Dan Adra tergelak. Kelakar juga ayah mertuanya.
“Semua dah siap? Jom kita gerak..” laung mama.
"Awak sahaja yang last, anak-anak semua dah siap.." balas En Zakwan.
Pn Zati senyum manja pada suaminya. Mereka melangkah keluar menuju ke kereta masing-masing. Adik-adik Ezzaq juga sudah berada diluar. Bila mereka keluar, dia tidak sedar pun.
Matanya bertembung dengan Ezzaq, Adra hanya senyum tipis dan dia terus masuk ke dalam kereta.
“Mama nak naik dengan Along ke..?”
“Tak payahlah, mama teman papa drive..”
“Baiklah…”
Mereka bertolak ke Port Dickson selepas berhenti bersarapan di restoran berdekatan. Selepas satu jam lebih, mereka sampai di Pusat Latihan Tentera Darat. Agak ramai juga bakal-bakal tentera yang melapor diri pada hari yang sama.
Cuaca yang agak panas, Ezzaq menggunakan payung untuk mereka berdua. Wajah Ezzaq dipandang. Lelaki itu membalas pandangannya dan tersenyum.
“Kenapa senyum…?” tanya Adra pelik. Bukan soalan dia yang pelik, tapi senyuman Ezzaq nampak lain.
“Senyum dah diharamkan ke…?”
Adra mengetap bibir. Jawapan dia selalu membuatkan hati sentap.
“Adra.. Sini jalan dengan maksu…” Panggil maksu Zaria.
“Maksu sibuklah.. Biar Adra jalan dengan Ezzaq.. Kata nak mencari calon, kenalah jalan sorang-sorang.” Ezzaq sudah memegang tangan Adra.
“Allah.. Pinjam sekejap isteri dia pun tak bolehlah..”
Adra senyum tipis.
Kini Ezzaq memegang pinggan Adra pula. “Saya tak izinkan isteri saya bersama dengan maksu. Karang nanti kalau ada orang tackle Adra macam mana..?”
Maksu dan Adra sama-sama tergelak. Apa punya jawapanlah yang dia bagi.
“Menyampah.. Eril, jomlah temankan maksu. Geram pula dengan Along kamu ni..”
Ezzreil turut sama tergelak, namun dia menurut permintaan maksunya. Payung di tangan maksu di ambil. "Meh Eril payungkan maksu.."
Maksu Zaria buat riak terharu.. "Oh so sweettt... Nasib muka jambu, harap-haraplah calon maksu tak tersalah faham nanti ya.."
Ezzriel tersengih mendengar usikan Maksu Zaria.
Ezzaq pula sudah senyum mengejek. Kepalanya digeleng. Pening lah dengan maksu punya perangai. Namun, kerana perangai itulah membuatkan mereka selesa dengan wanita itu.
Hampir satu jam menguruskan kemasukkan Ezzan ke pusat latihan, akhirnya mereka keluar dari pusat latihan. Tinggallah adiknya di situ untuk menjalani latihan sebagai bakal seorang tentera.
********
BARU kereta mereka bergerak keluar, telefon Ezzaq berbunyi. Panggilan daripada mama. Adra hanya mendiamkan diri sementara Ezzaq bercakap di talian.
“Mama ajak singgah rumah nenek..” kata Ezzaq setelah talian berakhir.
“Nenek…?”
“Ya…”
Adra mengangguk. Tak tahu pula Ezzaq ada nenek di Port Dickson.
Yalah.. Macam mana nak tahu, hubungan mereka tak pernah nak pulih pun.
“Nenek sebelah mama ke papa..?”
“Mama.. Sebelah papa dekat Perak..”
“Nenek sorang ke..?” Saja mahu panjangkan perbualan. Sedangkan Ezzaq sekarang memang susah nak bersembang lama dengan dia. Tak macam dulu, ada sahaja mulut dia bertanya itu ini.
“Ha’ah…”
“Atuk…?”
“Dah meninggal sepuluh tahun yang lepas..”
Adra menzahirkan al-fatihah untuk arwah di dalam hatinya. Nenek dan atuk sebelah mama dengan papanya, dua-dua sudah tiada. Dan kerana arwah atuknya juga, dia disatukan dengan lelaki disebelahnya.
“Hope awak selesa, rumah nenek rumah kampung sahaja..”
“Saya okey…”
Ezzaq senyum mendengar jawapan Adra. “Mama cakap kita tidur sana malam ni..”
“Hah! Awak tak kerja ke esok..?”
“Kerja, saya masuk lambat.. Lagipun dah lama tak pergi rumah nenek..”
Adra menggaru belakang leher. Macam mana ni..?
“Saya tak bawak baju extra..” akui Adra. Memang pun. Mereka turun tadi sehelai sepinggang. Mana selesa nak pakai baju sama sehingga nak balik esok. Takkan tak nak mandi.
“Pakailah baju nenek…” jawab Ezzaq.
Amboi…
Yang dalam-dalam tu takkan nak guna yang nenek jugak. Haru hidup kalau macam ni.
Eh..
“Awak ada bawak baju extra ke…?”
Ezzaq menggeleng.
“Dah tu, awak pun nak pinjam baju nenek juga ke…?”
Ezzaq tiba-tiba tergelak.
“Why not…” saja Ezzaq mengusik.
Adra simpan senyum. Macam mana agaknya rupa Ezzaq pakai baju perempuan dengan kain batik. Dekat rumah pun susah nak tengok pakai kain pelikat. Seluar pendek sahaja memanjang. Masa orang datang sopanlah berseluar panjang.
“Orait.. Kita dah sampai..” kata Ezzaq, kereta pun sudah memasuki laman perumahan. Memang rumah kampung, halaman rumah sangat luas. Rasanya kalau buat padang bola pun lepas.
“Ezzaq…” tangan Ezzaq dicapai sebelum Ezzaq keluar.
Ezzaq menoleh.
Adra tidak jadi bertanya. Kepala digeleng. “Tak ada apa…”
Ezzaq mengecilkan mata. “Kenapa, cakaplah…”
“Kita tak ada baju, betul ke nak tidur sini..?”
“Ingat dah setuju pakai baju nenek..” Ezzaq ketawa mengusik. “Petang karang kita keluar beli baju boleh….?”
Mata Adra sedikit bercahaya. Cakaplah awal-awal.
“Okey…”
Mereka keluar kemudian menghampiri Pn Zainun yang berdiri didepan pintu rumah. Yang lain semua sudah lesap ke dalam rumah.
“Apa yang lama duduk dalam kereta, tak kenal rumah nenek ke…?”
Ezzaq tergelak. “Nenek ni…” Badan Pn Zainun dipeluk erat.
“Dah jadi laki orang pun nak peluk nenek lagi..”
“Mestilah… Nenek tetap nenek.. Kan sayang..” Ezzaq berpaling memandang isterinya.
Adra senyum dan mengangguk, tangan nenek dicapai.
“Nenek sihat…?”
“Alhamdulillah.. Macam Adra nampak nilah. Sihat orang tua..” Pn Zainun senyum.”Ezzaq, bawa Adra masuk. Adra tak pernah datang rumah nenek lagi kan..?”
Adra senyum segan. Ezzaq disebelah dikerling.
Bukan setakat rumah nenek, rumah mama dengan papa pun dia tak pernah jejak.
“Cantik rumah nenek.. Banyak pokok bunga…” komen Adra ikhlas.
Pn Zainun ketawa kecil. “Orang tua, tak ada nak buat Adra, berkebunlah. Boleh juga bagi peluh keluar…”
“Adra pun ada kebun pokok bunga nenek..” celah Ezzaq. Teringatkan nursery isterinya.
Mata Pn Zainun bersinar. “Betul ke…?”
Adra mengangguk.
“Nanti petang-petang sikit nenek bawak Adra pusing-pusing. Mana tahu nenek boleh belajar dari Adra lagi.”
“Saya buat kecil-kecilan sahaja nenek.. Kot-kot saya nak belajar petua dari nenek pula..”
Pn Zainun tergelak lagi. Seronok bila berjumpa dengan orang yang kongsi minat yang sama. Hanya orang yang minat bertanam sahaja yang faham perasaannya.
“Hai mak. Seronok sembang dekat luar, tak nak ajak diorang masuk ke…?” tegur maksu Zaria.
“Haa.. yalah, jom masuk. Kita boleh makan sekali. Nenek ada masak banyak, nanti kita makan sama-sama.”
Pn Zainun dulu melangkah masuk.
“Kenapa awak senyum…” tanya Adra hairan. Lama dah pakcik ni tak senyum memanjang macam ni.
“Thanks sudi datang rumah nenek saya..”
Adra juga senyum.
Dia akan cuba yang terbaik. Okey.. Itu janjinya..
Share this novel