Order..!! 42

Romance Series 123857

SUDAH seminggu dia berkursus di Johor. Dan selama itu juga tiada langsung khabar berita daripada Adra. Adakah Adra begitu nekad hendak berpisah dengannya..? Ezzaq mengeluh dan dia sendiri tertekan. Tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Dia tidak sanggup untuk melepaskan Adra pergi. Dirinya sendiri pun tiada kekuatan untuk menghubungi wanita itu sepanjang mereka berjauhan. Dia takut kecewa. Kecewa dengan penolakan daripada isterinya. Bagaimana harus dia menerima takdirnya tanpa Adra di sisi selepas ini. Mampukah..?

Sekali lagi keluhan berat dilepaskan. Barang peribadinya sudah siap dikemas. Ezzaq duduk di birai katil. Kedua belah tangan menutup wajahnya. Dia tidak mahu pulang. Jika dia pulang, Adra akan menuntut cerai daripadanya. Kali ini apa lagi alasan yang dia boleh berikan. I love you... Apa reaksi isterinya jika dia ucapkan kalimah itu..? Entah-entah Adra tersenyum sinis kepadanya..

Tak kisahlah... Apa reaksi Adra pun dia tidak kisah. Ezzaq nekad. Dia akan cuba mempertahankan rumah tangga mereka berdua selagi mampu. Dan kali ini dia mahu meluahkan perasaannya dahulu. Apa yang Adra katakan selepas itu, dia akan cuba terima dengan redha.

Setelah selesai berkemas, Ezzaq membawa beg pakaiannya keluar dari bilik penginapan untuk proses daftar keluar. Hari ini dia tetap akan pulang ke Selangor. Biarlah apa yang akan terjadi, dia akan cuba mengharunginya setabah yang mungkin.

Ezzaq berjalan menuju ke kaunter check out. Fikirannya sarat dengan hal isterinya, tanpa disedari bahunya dirempuh seseorang. Bahu Ezzaq terdorong ke belakang sedikit.

“Auch… Sorry…” kata lelaki yang merempuh badan Ezzaq sambil memegang bahunya. Dia menundukkan badan untuk mengambil kunci kereta yang terjatuh ketika perlanggaran terjadi. Mujur telefon yang berada di sebelah kiri tidak terjatuh sama. Salah dia juga mungkin kerana tidak fokus kepada jalan di hadapan sehingga terlanggar seseorang.

Badannya kembali tegak setelah kunci kereta selamat berada di dalam gengamannya. Sepasang mata mereka bertentangan seketika.

“Ehh…! Ezzaq…?” tegurnya. “Kau buat apa dekat sini…?” Reaksinya nampak terkejut. Terkejut mungkin kerana bertemu dengan orang yang tidak mungkin akan bertemu secara damai dengannya.

Kening Ezzaq berkerut setelah dia mengenali siapa lelaki yang melanggarnya tadi. “Aku ada kursus dekat sini..” jawab Ezzaq sedikit tegang. “Kau pula buat apa dekat sini…?” tanyanya perlahan. Bergetar hatinya menunggu tutur yang keluar dari mulut lelaki itu. Risau jawapannya mampu meruntuhkan jiwa dan perasaannya. Janganlah lelaki ini katakan mereka datang bercuti di sini. Bukannya ke Terengganu.

“Aku pun kursus dekat sini. Dah seminggu dah… Adra tak ikut ke…?”

Wajah Azad dipandang lama. Adra? Reaksi lelaki itu tampak bersahaja. Bukannya riak untuk mengejek atau mempersendakan dirinya.

“Bukan kau pergi ke Terengganu ke…?” tanya Ezzaq untuk kepastian.

Dup... Dap... Dup.. Dap...

Irama jantungnya semakin laju. Terasa seperti mahu pecah menunggu jawapan daripada Azad. Terasa jarum saat terhenti daripada bergerak ke angka yang seterusnya.

“Terengganu…?” tanya Azad sedikit pelik dengan pertanyaan Ezzaq.

“Ya, bukan kau pergi ke sana ke..?”

“Siapa cakap aku pergi Terengganu..? Aku ada dekat sini dari minggu lepas lagi..” jawab Azad. Buat apa dia nak ke Terengganu pula. Sedangkan dia memang ada di sini. Berkursus di sini.

“Kau seorang ke…?” soal Ezzaq lagi.

Azad menggeleng. “Dengan Ofis mate aku lagi tiga orang..” jawab Azad.

“Azad…!” tiba-tiba nama Azad dipanggil seseorang. Mereka berpaling ke arah suara tadi. Memang ada tiga orang lelaki lagi berdiri di situ. Berpakian formal lengkap dan memegang beg kerja masing-masing.

Fikiran Ezzaq mula berputar. Azad tak menipu, memang dia bersama rakan sepejabat. Habis tu Adra pergi dengan siapa ke Terengganu? Seorang atau dengan siapa?

“Yo..! Sekejap. Eh Aku pergi dulu. Kirim salam dekat Adra kalau kau tak kisah..” kata Azad dan langkahnya meninggalkan Ezzaq keseorangan. Dia masih ada program untuk dihadiri dan sememangnya dia tidak mahu terlewat.

Seperti tersedar, Ezzaq menyeluk poket untuk mengambil telefonnya. Terus nombor Adra didail. Matanya jatuh pada jasad Azad yang semakin menjauh bersama rakannya tiga orang lagi. Kenapa Adra katakan dia pergi dengan Azad. Ahh.. Ezzaq mula pening.


Talian senyap.

Sekali lagi dicubanya.

Juga senyap. Langsung tiada ringtone.

Mukanya diraup. Jangan Adra melarikan diri lagi sudah. Selesai urusan mendaftar keluar, Ezzaq terus ke kereta. Mesej dihantar kepada Asrol yang dia akan ke Terengganu. Mereka tidak perlu menunggunya untuk pulang bersama. Untung dia membawa kereta sendiri daripada menaiki kenderaan pejabat. Asalnya dia malas mahu menaiki satu kenderaan dengan Hanis. Jadi dia mengambil keputusan drive sendiri. Dan sekarang, arah tujuannya adalah ke Terengganu. Dia yakin Adra mesti berada di sana lagi.

Kalau Adra tiada di sana macam mana?

Stereng kereta diketuk laju dengan jemarinya.

Tak mengapa. Dia yakin, Adra masih ada di sana. Lagipun Adra tahu dia oustation seminggu. Jadi mungkin isterinya akan berlama di sana.

Sepanjang perjalanan, Ezzaq cuba bertenang. Harapannya agar Adra tidak melarikan diri seperti sebelum ini. Dan semoga tiada apa-apa yang buruk menimpa isterinya.

“Adra tak cakap apa-apa ke..?” soal Azad. Keningnya terangkat. Kenapa riak Ezzaq nampak macam blur. Mereka berdua masih belum selesai ke..?

“Cakap apa…?” soal Ezzaq ingin tahu. Apa yang dimaksudkan oleh Azad..?

Azad tersenyum tipis. Sesekali dia memandang wajah lelaki di depannya. Tak disangka, Adra berubah hati kerana lelaki ini. Apa pun pilihan Adra, dia berharap, pilihan Adra tidak salah. Walaupun hatinya sedikit terguris, namun demi kebahagiaan Adra, dia rela.

“Aku sedia undur diri sebab Adra memang cintakan kau, cuma dia tak tunjuk. Ego Adra terlalu tinggi. Tapi yang aku boleh pastikan hati dia memang bukan untuk aku lagi. Aku cuba nak tarik perhatian dia semula, namun aku gagal sebab dalam perhatian dia hanya ada kau sorang..”

“Aku masih berharap Adra memilih aku, tapi setiap kali kami keluar, kami lebih ke arah kawan baik, bukan pasangan. Aku minta maaf sebab selalu bawa dia keluar tanpa izin kau. Jadi sedangkan aku dah undur diri, aku nak kau jaga Adra sebaik mungkin. Aku tak nak dia kecewa dan menderita. Kalau andai suatu hari nanti, Adra datang cari aku sebab kau abaikan dia, kau tunggulah nasib kau lepas tu... "

Ezzaq menarik nafas dalam. Terngiang-ngiang pengakuan Azad tadi. Andai jika dia tidak bertembung dengan Azad tadi, sampai bila pun mereka akan berterusan seperti ini. Berterusan salah faham antara satu sama lain.

Mengapa Adra seperti mengiakan sewaktu dia bertanya dengan siapa dia pergi ke sana.? Kenapa tidak isterinya berterus terang sahaja…?

Betullah.. Ego isterinya terlalu tinggi. Tidak sesekali pun dia meluahkan apa yang dia rasakan. Habis..? Adra pergi ke Terengganu seorang diri ke..? Ezzaq meraup wajahnya. Kesiannya isterinya memandu keseorangan ke sana.

Semakin kuat pula perasaannya. Dia mahu bertemu dengan isterinya segera

Senyuman Ezzaq terbit walaupun air matanya mula menitis. Akhirnya, dia pasti hati isterinya adalah miliknya. Bukan lagi Azad.

Kenapa tak diucapkan wahai isteriku.?

Kenapa..?

Kenapa mesti kita menyimpan wasangka antara kita. Ezzaq sedar dia juga bersalah dalam hal ini. Tidak pernah dia ucapkan atau meluahkan perasaannya sendiri. Alasannya, dia tidak mahu Adra menerimanya secara paksa, biarlah wanita itu tulus mencintainya. Bukannya kerana perasaannya semata-mata.

Pedal minyak ditekan untuk meningkatkan kelajuan kereta. Yang pasti dia mahu sampai ke Terengganu dengan segera.

**********

JAM sembilan malam lebih baru Ezzaq tiba di hadapan rumah Mira. Memang ada kereta isterinya diparking di depan rumah. Alhamdulillah. Tekaannya tepat sekali. Jika dia pulang ke rumah dahulu tadi, mungkin waktu sekarang dia masih belum tiba di sini. Dan dia bersyukur juga, kali ini isterinya tidak melarikan diri.

Setelah kereta diparking di belakang kereta isterinya. Ezzaq melangkah menghampiri pintu pagar rumah Mira. Pandangannya ditebar ke sekeliling. Manalah tahu kot-kot isterinya duduk bersantai di luar rumah seperti sebelum ini. Senanglah dia menegur. Namun, kosong. Hanya bunyi cengkerik yang kedengaran.

Pintu pagar rumah tertutup. Lantas Ezzaq memberi salam. “Assalamualaikum..”

Tiada sahutan. Lampu depan rumah masih menyala, namun suasana agak sunyi. Tiada bunyi suara daripada televisyen pun. Ada orang ke..? Ke sudah tidur..?

Sekali lagi Ezzaq memberi salam.

“Waalaikumusalam..” jawab seorang lelaki dari belakang.

Ezzaq agak terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu. Tangannya diletak ke dada. Terkejut juga. Dia cuba memberikan senyuman bersahaja. Datang ke kampung atau tempat orang, kita jangan buat sombong. Lagi-lagi waktu malam macam begini, jangan dituduh merompak sudah.

“Pakcik..” Ezzaq menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki tadi. Seorang lelaki yang agak berusia. Berkopiah, agaknya baru pulang daripada masjid.

Lelaki itu menyambut tangan Ezzaq. "Anak ni nak cari siapa..?" tanya lelaki itu.

“Saya datang nak cari Adra Arissa pakcik…”

Jawapan Ezzaq membuatkan lelaki itu memandangnya pelik. “Adra..?”

Ezzaq mengangguk. “Iya, saya suami Adra pakcik. Ezzaq.” Jelas Ezzaq. Biar dia berterus terang. Takut pula dipandang serong jika dia tidak mengaku.

“Oh suami Adra. Ini rumah pakcik. Marilah masuk dulu… Rasanya Adra ada dekat dalam rumah tu...” balas En Zaki. Dia tidak terkejut apabila Ezzaq perkenalkan dirinya suami Adra. Itupun selepas anaknya bercerita tentang status Adra. Barulah dia tahu yang anak angkat mereka rupanya sudah berkahwin. Jika tidak, mahu makan parang juga si Ezzaq. Datang-datang sahaja mengaku suami orang. Tengah malam-malam buta pula tu.

“Terima kasih pakcik..” Ezzaq mengekori langkah En Zaki. Kasut yang tersarung di kakinya dibuka apabila lelaki itu sudah menunggunya di muka pintu.

"Macam tahu-tahu pulak kamu datang waktu ni ya..?" kata En Zaki. Wajah anak muda itu dipandang dengan senyuman.

Ezzaq tersengih. "Kenapa pakcik..?"

"Kita masuklah dulu ya.."

Ezzaq mengangguk.

Pintu rumah dikuak dan mereka melangkah masuk. “Rin, Buatkan air. Kita ada tetamu ni…” kata En Zaki kepada isterinya yang kebetulan baru keluar daripada bilik tidur mereka.

“Eh, abang dah balik.” Tersenyum melihat suaminya dan ada seorang anak muda yang berpakaian agak segak sedang tersenyum di belakang suaminya. “Tetamu mana malam-malam ni bang..?”

“Ini Ezzaq.. Suami Adra katanya, panggilkan Adra sekali..” arah En Zaki. Dia menghampiri sofa di bahagian tepi dan menjemput Ezzaq untuk duduk sama.

“Makcik…” tegur Ezzaq ramah.

“Ya, duduklah, makcik panggilkan Adra sekejap..” Pn Zurin menghampiri bilik anak daranya. Pintu biliknya di buka. Matanya menjamah susuk badan anaknya sedang membaca di meja belajar manakala Adra sedang terbaring. Masih tidur agaknya.

"Kakak..."

Mira berpaling. Wajah ibu menghiasi muka pintu bilik. "Kenapa mak..?"

"Cuba kejutkan Adra, boleh bangun tak..? Ayah cakap suami dia datang.." kata Pn Zurin.

Mulut Mira melopong. "Hah..? Apa mak? Suami?"

Pn Zurin hanya mengangguk.

Mira menggaru kepala. Macam mana Ezzaq boleh datang sini..? Wajah Adra yang sedang lena dipandang. Makcik ni ada mesej suami dia ke..?

"Okey mak... Nanti kakak cuba kejutkan dia. Tak tahulah dia boleh bangun ke tak tu.."

"Yalah.."

Pn Zurin kembali menutup pintu bilik. Dia terus ke dapur untuk menyediakan sedikit kudapan untuk tetamu mereka. Pn Zurin tersenyum. Elok segak juga suami anak angkatnya. Ingatkan siapalah yang suami dia bawa balik
tadi.

Sementara itu, En Zaki mula bersembang dengan Ezzaq. Mira yang baru muncul dari bilik menghampiri mereka berdua.

“Ayah..” tempat disebelah ayah diduduknya.

“Adra tak keluar ke…?” soal En Zaki pula.

Mira menggeleng. “Adra dah tidur. Dia tidak sihat..” jawab Mira namun pandangannya dihalakan kepada Ezzaq. Dalam erti yang lain sebenarnya dia ingin memaklumkan kepada suaminya sendiri. Ayah dan mak sudah dimaklumkan ketika maghrib tadi setelah Adra mengadu badannya terasa semacam.

Dia sendiri terasa pelik dengan kehadiran Ezzaq yang secara tiba-tiba setelah Adra bercerita tentang hubungan renggang mereka. Namun apa-apapun dia sedikit lega apabila Ezzaq datang ketika Adra memerlukannya. Mana tahu hubungan mereka akan pulih. Namun tentang cerita Ezzaq dan sepupunya masih juga berlegar di fikirannya. Dia cuba tidak mahu percayakan seratus peratus apa yang Adra sampaikan. Mungkin Ezzaq ada alasannya sendiri. Apa-apa pun sudah disematkan di dalam fikiran kawan baiknya, nak kepastian.. Tanya.. Jangan buat andaian sendiri.

“Kenapa..? Adra demam ke…?” tanya Ezzaq, air mukanya sedikit berubah. Macam mana Adra boleh demam…?

“Lebih kuranglah…Petang tadi macam elok sahaja..Ajak pergi klinik dia tak nak.” adu Mira. Padahal sepanjang mereka bershopping siang tadi, tidak nampak pun Adra sakit di mana-mana. Balik rumah sahaja, dia terus tidur. Tak larat katanya. Ubat pun tak nak makan. Nak rehat sahaja katanya.

Wajah Ezzaq dipandang sekilas.

“Teruk tak…?” soal Ezzaq lagi. Hatinya semakin gusar. Seminggu dia tidak bertemu muka dengan isterinya. Bila ada depan mata, wanita itu tidak sihat pula.

“Ezzaq masuklah kalau nak lihat keadaan Adra. Deman biasa sahaja tu, lepas rehat insyaallah tiada apa-apa. Alang-alang kamu dah datang, jumpalah isteri kamu dulu.. ” usul En Zaki pula. Melihat pada air muka anak muda itu, terserlah kerisauannya. Yalah, suami mana tidak risau ketika isteri sendiri jatuh sakit.

Ezzaq tanpa berlengah terus bangun. Itulah hajat hatinya, namun disabarkan disebabkan rumah orang. Kang dituduh tidak beradab pula meredah rumah dan bilik orang tanpa kebenaran.

“Boleh ke pakcik…?” soalnya untuk kepastian.

“Boleh.. Kamu sudah siap bangun, tanya pakcik lagi boleh ke tidak ya.." En Zaki tersenyum. Indahkan hubungan antara semua isteri. Sepertinya juga, cuba kalau isteri dia sakit badan ke, demam apatah lagi. Tak senang duduk dibuatnya. "Pergilah... Lagipun dia isteri kamu kan… Kakak, tolong ayah bawa Ezzaq masuk..."

"Baik ayah.." Mira menurut.

Ezzaq sempat tersengih. Nampak sangat ketidak sabaran ya..? Langkah kaki mengikuti Mira ke bilik di tengah rumah. Pintu bilik dikuak dan Mira berdiri memegang tombol pintu.

"Masuklah..."

Ezzaq memberikan senyum kepada wanita itu. Matanya terus tertancap pada sekujur badan milik isterinya. Adra memang sedang terbaring di katil. Matanya terpejam.

"Dari petang tadi dia tidur. Awak cubalah pujuk dia, mana tahu boleh bawa dia pergi klinik.." kata Mira. Dia berdiri di belakang lelaki itu.

Ezzaq berpaling sekilas dan dia mengangguk.

Ezzaq menghampiri tubuh itu. Dia tersenyum. Dia sangat rindukan wanita ini namun mereka berjauhan kerana salah faham yang tidak pernah dirungkai oleh mereka sendiri. Kali ini, biarlah dia cuba untuk menjernihkan hubungan mereka semula. Dia perlukan Adra di sisinya. Bukan hanya sekarang, namun untuk hari-hari yang mendatang. Dia mahu tempuhi masa hadapan mereka bersama tanpa ada salah faham lagi.

Dahi Adra ditekap, panas. Badan Adra sedikit bergerak ketika dahinya disentuh. Dirasa tapak tangan Adra juga berbahang.

“Sayang…” kepala Adra diusap.

Kelopak mata Adra terus terbuka. Sudah lama dia tidak mendengar panggilan itu. Melihat seraut wajah yang dia rindui muncul di depan mata, Adra mengedipkan mata beberapa kali.

Betul ke Ezzaq...?

“Are you okey..?” tanya Ezzaq prihatin. Keningnya berkerut.

Tiba-tiba air mata Adra menitis. Betapa dia rindukan lelaki ini sepanjang seminggu yang lalu. Kenapa mesti Ezzaq muncul di dalam mimpinya..? Teruk sangatkah rindunya..? Namun lelaki itu langsung tidak rindukannya. Langsung tiada call mahupun mesej daripada lelaki itu hatta bertanyakan dirinya walaupun sepatah.

“Sayang.. Kenapa menangis ni..?” air mata Adra dikesat perlahan dengan jemarinya. Dan dahi Adra diciumnya. “Sayang demam, saya bawa pergi klinik ya…”

Adra menggeleng.

“Kenapa..? Kalau tak nak pergi klinik, nanti melarat macam mana..?" pujuk Ezzaq.

Sekali lagi kepalanya digeleng. "Saya nak rehat sahaja..” balas Adra perlahan. Dia risau jika dia bangun, bayangan Ezzaq akan hilang. Jika bayangan Ezzaq hilang, rindunya semakin kuat. Jadi, biarlah dia berbaring, asalkan ditemani bayangan Ezzaq.

“Panas sangat ni badan dia.. Saya bawak Adra pergi klinik sekarang..” kata Ezzaq kepada En Zaki dan Mira yang turut berada dalam bilik yang sama. Dari tadi dua beranak itu memerhati mereka berdua.

“Yalah. Kalau dah kamu cakap macam tu...” balas En Zaki.

"Kakak ikut ya.. Nanti boleh pergi Klinik Azmir terus. Takut Ezzaq tercari-cari klinik pula.." Mira meminta izin daripada ayahnya.

"Yalah. Kakak hati-hati ya..."

Mira terus mencapai handbag Adra. Dompet dibuka untuk mengambil kad pengenalan wanita itu.

Ezzaq pula sudah mengangkat Adra dari pembaringan. Pejar terasa tangannya bila bersentuhan dengan badan Adra yang kepanasan.

“Saya tak nak pergi klinik..” kata Adra lemah.

"Kita pergi klinik sekejap sahaja. Doktor check, dah ambil ubat demam kita balik ya.. Saya temankan, jangan risau. .."

Adra menggeleng lagi.

Ezzaq menarik nafas dalam. Wajah isterinya jelas kemerahan. Bibir juga merah. Air mata masih mengalir. Tidak tahu samada air mata menangis atau disebabkan suhu badan yang tinggi.

"Pleaseeee... Saya nak rehat sahaja.." Rayu Adra lagi.

"Okey baiklah.. Kita tak perlu ke klinik.." putus Ezzaq. Kesian juga melihat isterinya merayu.

Tingkah Mira terhenti. Dia turut memandang wajah kawannya. "Kalau macam tu saya ambil ubat deman sekejaplah..” usul Mira. Dia terus keluar dari bilik. Memang mereka ada menyimpan ubat untuk waktu kecemasan. Jadi ubat deman, ubat wajib ada dekat rumah. Biasa ayahlah selalu guna. Sakit badan sana, sakit badan sini.

Ezzaq mengangguk.

Adra diletakkan di katil semula.

“Saya rindukan awak. Jangan tinggalkan saya…” kata Adra, tangannya memeluk leher Ezzaq erat. Kepalanya disorok di bawah leher Ezzaq. Dia ingin dekat dengan lelaki itu. Dia rindukan bau lelaki itu. Janganlah Ezzaq pergi. Dia cuba bertahan, namun dia tak berdaya. Sememangnya dia sangat.. Sangat rindukan lelaki itu.

Ezzaq tersenyum mendengar luahan hati yang keluar daripada mulut comel milik Adra.. Tangannya automatik berlingkar dibelakang wanita itu. Andai kata pelukan itu dapat menyerap kepanasan dari badan isterinya, dia rela.

“Ya sayang.. Saya pun rindukan awak.. Saya ada dekat sini, tak pergi mana-mana pun. Jangan risau..Tapi awak kena sihat dulu. Awak demam ni..”

Mira berdehem sebelum masuk. Segan pula melihat Adra di dalam pelukan lelaki itu. Biarlah.. Mereka laki bini. Opss..! Saya belum berkahwin ya, pemandangan seperti ini bukan perkara biasa bagi saya. Jadi baik dia memberi signal sebelum dia masuk.

“Ezzaq…” panggil Mira. Ubat dan air dihulurkan kepadanya.

“Thanks…" ucap Ezzaq setelah ubat bertukar tangan. "Sayang makan ubat dulu…” di usapnya belakang Adra yang masih kejap memeluknya.

Adra mengikut. Pelukan dilepaskan. Ezzaq menyuap ubat kemulutnya dan disusuli dengan air. Pahit terasa apabila ubat melepasi anak tekak. Cukup dua biji ubat demam di telan.

"Sayang nak air lagi..?"

Adra menggeleng. Dia mahu tidur, kepalanya berpusing. Badannya dibaring di tilam semula. Namun dia tidak mahu bayangan Ezzaq pergi. Tangan Ezzaq dicapai dan dipeluknya erat.

Ezzaq senyum lagi. Tidak disangka manja betul isterinya ketika sakit. Semasa sakit di hospital dulu bukan main garang. Nak jumpa pun tak dapat sampai ke sudah.

“Saya dah sediakan air suam untuk tuam Adra..” Mira meletakkan besen kecil di depan Ezzaq bersama tuala bersih. Bibirnya tersengih melihat kelakuan Adra. Siap kau esok makcik..! Mira mengekek ketawa di dalam hati. Tak berani nak gelak di depan Ezzaq walaupun dia melihat ada senyuman di bibir lelaki itu.

“Nanti saya tuam.. Thanks again..”

Mira senyum. “Sama-sama. Ayah cakap, awak tidur sinilah malam ni. Adra pun tak sihat. Awak nak cari hotel takut jauh pulak.. "

“Saya tak menyusahkan ke…?”

“Taklah.. Lagipun Adra tak sihat. Mungkin dia lagi memerlukan awak dari saya.. Tengok sekarang pun dah tahu.." balas Mira.

Ezzaq senyum mengerti. Ya.. Alhamdulillah, syukur sangat isterinya berada di kalangan orang yang baik-baik.

Setelah Adra kembali tidur, Ezzaq menarik tangannya perlahan. Tidak mahu lena wanita itu terganggu. Ezzaq meminta izin daripada tuan rumah untuk membersihkan diri dan bersolat. Usai bersolat, Ezzaq berbaring disebelah Adra. Wajah itu direnungnya. Satu ciuman dihadiahkan di dahi wanita itu. Sudah berkurang panasnya berbanding mula-mula tadi. Ezzaq tersenyum. Ada tak orang sukat suhu badan guna bibir sahaja. Adalah kot.. Dialah..

Jemari halus Adra digengam. Matanya dipejam perlahan. Baru terasa kepenatan. Kelopak matanya dibuka semula. Kemerahan pada wajah isterinya juga semakin surut. Sepasang matanya asyik meneliti wajah kecil itu, tidak disedari bila masanya dia terlena.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience