Dua minggu berlalu…
“Assalamualaikum…” salam dihulur namun tidak bersambut, pintu bilik dikuak luas. Bilik kosong, tiada siapa di dalam. Ezzaq melangkah perlahan. Beg pakaiannya diletak ditepi dinding. Kali pertama dia memasuki bilik Adra. Dia tahu Adra tidak menerimanya sepenuh hati. Tengok sajalah wajah dia sepanjang majlis, senyum tawar dan paksa semuanya.
Badannya agak kepenatan, terasa ingin mandi untuk menyegarkan badan, namun dia risau tindakannya akan mengundang marah Adra. Jadi lebih baik dia dapatkan izin isterinya dahulu. Dia tidak mahu hubungan mereka akan menjadi lebih tegang jika dia membuat keputusan sendiri.
Langkahnya menuju ke balkoni dan sememangnya Adra ada disitu. Baju pengantinnya sudah pun bertukar, mekap pun sama. Semuanya sudah menjadi normal. Pandangannya jauh ke depan, namun tiada segaris senyuman pun di wajah itu. Hanya hujung rambut yang lepas menari ke depan ke belakang dek hembusan angin petang.
Ezzaq serba salah, hendak tegur atau tidak..?
Dia akhirnya mengambil keputusan untuk keluar semula. Tumpang mandi di bilik Aidan sahajalah untuk petang ini. Rasanya, mungkin itu adalah idea yang terbaik buat masa sekarang. Emosi Adra pun masih tidak menentu. Dia sanggup berikan ruang kepada isterinya.
“Awak nak mandi, mandi lah dulu…”
Langkah Ezzaq terhenti tatkala mendengar suara Adra. Walaupun perlahan, namun masih jelas kedengaran ditelinganya. Ezzaq berpusing kembali. Matanya melirik pada sisi wajah Adra, namun pandangan wanita itu tetap sama, masih ke depan. Mungkinkah kehadirannya sebenarnya sudah disedari oleh Adra..?
“Awak ok ke kalau saya mandi dekat bilik awak…?” soal Ezzaq kemudian. Matanya masih bertumpu pada tepi wajah Adra namun wanita itu langsung tidak menoleh. Memandangnya apatah lagi. “Maaf masuk bilik awak tanpa izin..” Sengaja dia mahu memulakan perbualan namun harapannya sia-sia sahaja apabila Adra tetap dengan dunianya sendiri. Tiba-tiba Ezzaq hilang idea untuk bercakap.
“Okey.. Saya mandi sekejap.. Terima kasih..” kata Ezzaq perlahan. Biarlah dia beredar dahulu. Masa mereka masih panjang. Tidak perlu terburu-buru.
Adra menarik nafas dalam setelah Ezzaq beredar. Teringat saat mereka bertentang mata ketika acara pembatalan air sembahyang tadi, kening Adra berkerut.
“Is it you…?”
Ezzaq hanya senyum lebar. Dia faham apa yang Adra maksudkan. Dia mendekati tepi pipi Adra.
“Yes.. It’s me…. Awak dah kahwin dengan saya, jadi haraplah saya takkan peningkan kepala awak selepas ini..”
Semakin berkerut wajah Adra, bibirnya diketap perlahan.
Yaa… Dialah lelaki yang dia terjumpa di taman sebelum ini. Lelaki yang mengacaunya ketika dia berjoging di taman berdekatan dengan rumahnya. Orang yang sama juga yang bergambar dengan abang Aidan ketika majlis pertunangan mereka berlangsung. Ezzaq rupanya.
Patutlah sibuk-sibuk bagi nasihat untuk pilih pilihan keluarga. Kalau tahu, awal-awal dia hempuk Ezzaq suruh pergi cari calon lain. Hari itu juga dia settlekan dengan Ezzaq.
Adra mengeluh lagi, namun biarlah siapa pun Ezzaq. Dia tidak ambil kisah sekarang. Yang paling penting, misi seterusnya perlu dilaksanakan.
*****
Keluar dari bilik air, Ezzaq sudah siap berpakaian. Matanya menangkap susuk badan Adra sudah pun bersila di atas katil dan sebuah senyuman dihadiahkan kepada wanita itu.
Adra memandang wajah Ezzaq yang baru keluar. Dia sengaja menunggu Ezzaq selesai mandi. Walaupun lelaki itu senyum kepadanya, namun bibirnya berat untuk membalasnya. Lantas hanya pandangan kosong diberikan kepada lelaki itu. Ada hal yang perlu dia selesaikan. Selama dia berada di luar balkoni tadi, dia berfikir dalam. Dia timbang baik dan burukya. Rasanya inilah masa yang paling sesuai untuk dia berterus terang dengan lelaki itu. Dia tidak mahu hubungan mereka melangkah jauh tanpa ada manisnya. Lagipun bukan itu yang dia harapkan. Bukan Ezzaq yang dia perlukan sebagai lelaki yang akan menemani kehidupannya selepas ini.
“Saya nak cakap sikit dengan awak. Duduk lah..” kata Adra dan tempat dihadapannya ditepuk.
“Wait a minute…” pinta Ezzaq lantas membawa tuala yang digunakannya ke ruang balkoni. Dia nampak tuala Adra disidai di situ, jadi itu adalah tempatnya.
Ezzaq kembali dengan rambutnya masih belum bersikat. Lantas jemarinya mengatur rambutnya ke belakang agar lebih tersusun. “Ya…?” Ezzaq memilih untuk duduk dihujung katil. Nafasnya diatur perlahan. “Awak nak cakap apa..?”
Wajah Ezzaq dipandangnya. Memang Ezzaq hensem orangnya, kulitnya cerah, rambutnya yang tidak tersikat betul pun masih tampak kacak dengan wajahnya, namun bukan itu yang dia perlukan. Bukannya soal kesempurnaan. Tetapi ini semuanya soal hati. Hatinya sendiri.
Adra menarik nafas dalam. “First of all, awak tahu dan sedar situasi kita kan..?”
"Maksud awak?" soal Ezzaq kembali.
Mendengar soalan Ezzaq, mata Adra menikam tajam sepasang mata lelaki di depannya.
Memang betul tak faham ke sengaja buat-buat tak faham ni..? Namun Adra cuba mengawal amarahnya kerana apa yang akan dia akan minta selepas ini melibatkan Ezzaq. Kang Ezzaq menolak, lagi parah.
"Kitaaa..." balas Adra. "Saya dengan awak kahwin bukan atas dasar cinta. Saya tak cintakan awak dan saya pasti awak pun takkan cintakan saya.." urai Adra dengan lebih jelas. Dia tidak mahu ada maksud tersembunyi. Biar dia faham dan biar Ezzaq pun faham apa yang dia hendaki sekarang. Apa yang dia maksudkan.
Ezzaq mengangguk.
Ok..
Keningnya diangkat. Menunggu Adra menghabiskan hujahnya.
“Saya nak berterus terang, saya tak nak teruskan ikatan perkahwinan ni.. Wasiat arwah atuk cakap saya kena kahwin dengan awak, then saya dah kahwin dengan awak. Tapi sekarang saya tak nak teruskan lagi. Saya nak awak…”
Tot!! Tot!!!
Kata-kata Adra terhenti.
Mata mereka berdua sama-sama bertapak ke arah pintu bilik.
Ezzaq menarik nafas lega. Siapakah penyelamatnya dikala tuan puteri ingin menjatuhkan hukuman kepada puteranya…?
“Let me check…” tawar Ezzaq dengan senang hati.
Adra memejam mata geram, siapalah pemusnah rancangannya…!
Pintu bilik dikuak daripada dalam. Wajah Pn Ainun sedang tersenyum menyapa pandangan Ezzaq. Mama..? Ezzaq turut tersenyum melihat ibu mertuanya yang muncul.
“Jom turun ke bawah, saudara Adra baru sampai. Mereka nak jumpa Ezzaq dengan Adra..” sapa Pn Ainun.
“Kejap ya ma..” balas Ezzaq. Kepalanya di gerak ke belakang sedikit agar melepasi pintu yang dipegangnya. Wajah Adra dipandang. “Mama ajak turun bawah…”
Adra menggeleng. Tak nak…!
“Adra. Mak usu datang nak jumpa Adra..” celah Pn Ainun pula apabila tidak mendengar suaranya anaknya daripada dalam.
“Mama kirim salam sajalah pada maksu..” laung Adra daripada dalam.
“Boleh, nanti mama sampaikan. Tetapi Adra jomlah turun sekali.. Dia nak jumpa Adra dengan Ezzaq..”
“Adra tak berminat…” putusnya. Biarlah nak cop dia sombong ke apa. Apa yang terjadi bukan masanya untuk dia bersuka ria. Lainlah kalau dia kahwin dengan Azad. Mungkin ketika ini, dia yang sibuk kenalkan Azad dengan semua orang.
Pn Ainun pula mengeluh. Degil sungguh anak perempuannya ini. “Ezzaq jomlah turun sekali dengan mama..”
Ezzaq memandang Adra sekali lagi selepas mendengar ajakan ibu mertuanya. Akalnya berputar, jika dia tidak turun, mungkin hukuman tadi akan bersambung. Jadi baik dia mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri. Turun…!
“Saya turun bawah dulu ya.. Awak rehatlah…” ujar Ezzaq.
Pintu bilik ditutup kemas.
Adra mendengus melihat Ezzaq dengan senang hatinya mengikut mama turun ke bawah. Takkan dia hendak menjerit menyuruh Ezzaq duduk di dalam bilik ini pula. Terpaksalah ditunda rancangannya.
Masih ada lagi saudara Adra yang belum pulang ketika Ezzaq turun. Dia cuba membalas mana-mana saudara yang menegurnya. Dia keluar ke ruang laman luar, Aidan dan ayah mertuanya sedang bersembang. Ezzaq mendekati mereka berdua. Tidak betah berada dikalangan makcik-makcik Adra, lainlah kalau Adra ada sekali bersamanya.
“Adra tak turun…?” duga Aidan.
“Dia rehat dekat bilik…” jawab Ezzaq, namun bapa mertuanya ketawa kecil.
“Lama-lama lembutlah Adra tu, Ezzaq bersabar lah sikit ya..” kata En Asyraff. Semoga Ezzaq dapat melembutkan hati anak bongsunya.
Ezzaq tersenyum dan mengangguk. Dia sudah sedia maklum dengan situasi perkahwinan mereka. Semuanya sudah diceritakan oleh Aidan.
“Papa masuk dulu, kamu berdua sembanglah dulu ya…”
Aidan dan Ezzaq mengangguk serentak.
“Ada adik aku bagi kejutan apa-apa tak…?” soal Aidan setelah kelibat papanya hilang dari pandangan.
“Maksud kau…?”
“Anything.. Apa-apa pemintaan yang pelik ke…?”
Ezzaq tergelak mendengar soalan Aidan.
“Kau memang betul abang dia… Tahu-tahu sahaja apa adik kau nak buat..” balas Ezzaq.
“Ada lah ni…” Aidan pun sama sambung gelak.
“Hampir-hampir, tapi nasib mama menyelamatkan keadaan. Kalau tak aku tak tahu nak jawab apa dekat Adra.” sambungnya setelah ketawanya reda.
“Aku pun harap yang terbaik untuk korang berdua.”
“Aku pun harap hubungan aku dengan dia sampai bila-bila…”
Sedikit sebanyak Ezzaq cuba selidik tentang Azad daripada Aidan. Terbit cemburu dihatinya juga, namun dia sedar yang dia sendiri masih belum layak untuk merasa cemburu. Akan dia cuba untuk pikat hati Adra untuk menerima dirinya dengan sepenuh hati.
Share this novel