BAB 13
Sedar tidak sedar jam sudah pun menunjukkan pukul 6.30 minit petang. Setelah puas berjalan ke tempat - tempat menarik di Cameron Highlands, mereka bercadang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Perut pun sudah diisi dan solat juga telah dilaksanakan. Nanti di lebuh raya dalam perjalanan pulang mereka akan menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak pula.
"Jom Encik Ilham. Petang dah ni. Takut lambat sampai KL pulak nanti". Kata Alia Farhana kepada Ilham Iskandar. Mereka beriringan menuju ke kereta setelah selesai membeli cenderahati.
Mereka masuk ke dalam kereta. Ilham Iskandar menghidupkan enjin keretanya. Beberapa kali dia cuba menghidupkan enjin keretanya tetapi tidak berjaya. Berkerut dahinya. 'Ah sudah..kenapa pulak ni?'.
"Kenapa Encik Ilham? Hah..jangan cakap kereta tak boleh hidup pulak". Alia Farhana sudah mula panik.
"Nampak gaya memang tak boleh hidup kereta ni". Jawab Ilham Iskandar.
"Hah?? Aduhh..macam mana ni Encik Ilham. Boleh betulkan tak tu?".
"Kalau tanya saya...saya tak pandai nak repair kereta. Kalau tukar tayar tu boleh lah. Hmm..ni pun dah petang. Tak ada kedai betulkan kereta yang bukak dah ni".
"Habis tu macam mana ni Encik Ilham? Risau mak saya ni karang. Dahlah kita jauh ni".
"Hmm..jap saya fikir. Hahh...company ada homestay kat sini. Kita bermalam kat sana je lah. Awak call mak awak dan bagitahu dia kita kat sini".
Alia Farhana termangu. Sebenarnya dia tidak tahu mahu cakap apa pada ibunya. Sedangkan selama dia berada di Cameron Highlands ni pun ibunya tidak tahu. Tentu terkejut beruk ibunya nanti. Kena bebel dah tentu dah tu.
"Laa..kenapa termenung pulak ni. Call lah mak awak. Bagitahu dia. Kesian dia nanti risau awak tak balik - balik".
"Err...sebenarnya saya tak tahu nak cakap macam mana kat mak saya Encik Ilham. Mesti kena marah nanti".
"Bak sini handphone. Saya cakapkan pada mak awak. Semua ni salah saya kan. Tak bagitahu awal - awal nak bawak awak ke mari. Kereta pun tak sempat nak servis. Tak pasal kena bermalam kat sini".
"Eh tak pe lah Encik Ilham. Saya cakap sendiri aje dengan mak saya". Alia Farhana mengambil telefon bimbitnya di dalam beg tangan. Di dailnya nombor telefon ibunya. Beberapa saat berdering, kedengaran ibunya menjawab. Alia Farhana teragak - agak untuk bercakap. Dia takut ibunya akan salah faham. Berduaan dengan lelaki bukan muhrim di tempat yang jauh dari keluarga, macam - macam boleh berlaku. Nauzubillah ! Mintak jauhlah.
"Ye mak. Okeh. Mak janganlah risau. Apa - apa nanti adik bagitahu mak ye". Sedang Alia Farhana bercakap dengan ibunya, Ilham Iskandar meminta untuk bercakap dengan ibu gadis itu. Dia tidak mahu ibu Alia Farhana menganggapnya yang bukan - bukan. Dia mesti bertanggungjawab kerana semuanya berpunca daripadanya.
Titt.. Telefon bimbit di matikan. Ilham Iskandar memulangkan telefon bimbit kepada Alia Farhana setelah selesai bercakap dengan ibu gadis itu. Dia juga meminta maaf kerana tidak merancang lebih awal untuk ke Cameron Highland. Mujur ibunya tidak marah dan memintanya untuk menjaga Alia Farhana sebaik mungkin. Ibu gadis itu juga sempat berpesan agar tidak melakukan sesuatu yang dilarang agama.
"Okeh. Sekarang saya nak call Pak Hamid nak beritahu yang kita nak tidur kat homestay". Ilham Iskandar terus mencari nombor telefon Pak Hamid pada senarai contact di dalam telefonnya. Pak Hamid adalah orang yang telah diamanahkan untuk menjaga rumah tumpangan milik Syarikat Jaya Holdings, Villa Casandra. Dia ditugaskan untuk menerima tempahan pelanggan jika ada yang ingin menggunakan rumah tumpangan tersebut. Disamping menjaga segala keperluan Villa Casandra.
"Sekejap lagi Pak Hamid sampai. Nanti dia bawakan kita ke sana". Ilham Iskandar memberitahu Alia Farhana.
"Siapa Pak Hamid tu Encik Ilham?". Tanya Alia Farhana ingin tahu.
"Pak Hamid tu company gajikan untuk jaga rumah tumpangan tu. Kalau ada guest nak sewa rumah tu, Pak Hamidlah yang akan arrangekan. Then nanti segala pembayaran guest akan transfer terus ke akaun company. Lepas tu nanti Pak Hamid akan isi form melalui emel dan send ke emel company". Panjang lebar Ilham Iskandar menerangkan kepada Alia Farhana. Gadis itu mengangguk tanda faham.
"Ooh..macam tu".
"Hah tu Pak Hamid dah sampai". Ilham Iskandar menunjukkan ke arah lelaki berusia lingkungan 50 tahun kepada Alia Farhana. Mereka keluar dari kereta dan mendapatkan Pak Hamid.
"Assalamualaikum Pak Hamid". Ilham Iskandar bersalaman dengan Pak Hamid.
"Waalaikumussalam. Encik Ilham apa khabar? Nampak makin segak ni". Seloroh Pak Hamid.
"Haish Pak Hamid ni. Saya macam ni jelah dari dulu pun tak pernah berubah. Pak Hamid sihat? Mak Ina apa khabar?".
"Sihat alhamdulillah. Mak Ina pun sihat. Baru sebut - sebut pasal Encik Ilham lama tak datang Cameron. Hari ni terjengul dah. Hmm.. makwe Encik Ilham ke tu?". Pak Hamid memperlahankan suaranya apabila bertanyakan tentang Alia Farhana. Sedari tadi gadis itu hanya senyap dan tersenyum saja. Manis sungguh wajahnya.
"Eh Pak Hamid ni. Tak da lah. Setiausaha saya ni. Alia, ni Pak Hamid. Pak Hamid, ni Alia". Ilham Iskandar memperkenalkan mereka antara satu sama lain.
"Cik Alia sihat?". Tanya Pak Hamid.
"Sihat alhamdulillah, Pak Hamid". Jawabnya sambil tersenyum.
"Eh kita ni duk borak kat sini aje bilanya nak sampai ke Villa. Tentu penat ni. Dah - dah jom kita geraklah. Tengok langit pun macam nak hujan tu".
× × × × × × × × × × × × × × × × ×
Perjalanan yang mengambil masa 15 minit itu akhirnya sampai juga di Villa Casandra. Dari kejauhan terlihat Mak Ina berdiri di hadapan pintu menyambut kedatangan mereka. Nasib juga pada hari itu tiada pelanggan yang menyewa. Kalau tidak tentu mereka akan bermalam di hotel.
"Assalamualaikum. Lamanya tak jumpa Mak Ina. Mak Ina sihat?". Tanya Ilham Iskandar setelah turun dari kereta. Alia Farhana pula hanya tersenyum memandang mereka berdua.
"Waalaikumussalam. Mak Ina sihat aje. Ya Allah. Lama betul tak jumpa Encik Ilham. Baru je sebut pada Pak Hamid dah pun muncul". Jawab Mak Ina.
"Hah Mak Ina ni saya kenalkan Alia Farhana, setiausaha saya. Alia. Ni Mak Ina isteri Pak Hamid". Alia Farhana dan Mak Ina bersalaman.
"Lawa orangnya". Kata Mak Ina sambil memegang tangan Alia Farhana. Gadis itu sudah tertunduk malu.
"Tak de lah Mak Ina. Saya biasa - biasa aje. Janganlah cakap macam tu. Malu saya".
"Apa nak malunya. Betul apa Mak Ina cakap. Kan Encik Ilham?". Encik Ilham yang terkejut dengan pertanyaan dari Mak Ina itu hanya mengangguk - anggukkan kepalanya tanda mengiakan kata - kata Mak Ina itu.
"Eh apa lagi dok borak kat luar ni? Ina bawaklah dia orang masuk ke dalam. Senja dah ni. Gelap dah langit tu nak hujan. Hai la awak ni. Dah - dah mari masuk. Mak Ina ni kalau dah start berborak payah nak berhenti".
"Eleh awak ni pandailah cakap saya macam tu. Awak tu pun sama lah". Mak Ina sudah memuncungkan mulutnya. Dia tahu benar perangai suaminya yang suka mengusik itu. Ada saja ideanya nak mengenakan dirinya. Walaupun begitu dia tidak pernah berasa hati. Bergurau antara satu sama lain adalah resepi kebahagiaan hidup mereka.
× × × × × × × × × × × × × × ×
Selepas membersihkan diri dan bersolat, Alia Farhana bercadang untuk tidur saja kerana badannya berasa amat letih. Mujurlah Mak Ina memberi pinjam sehelai kain batik dan baju t-shirt kepadanya. Kalau tidak terpaksalah dia memakai baju kerjanya tadi. Tentu tidak selesa.
Hujan diluar amat lebat membasahi bumi Cameron Highland. Kesejukan berkali ganda dirasa. Cepat - cepat dia menarik selimut tebal menyelibungi tubuhnya.
Sesekali pancaran kilat dan dentuman guruh kedengaran. Alia Farhana sudah mula ketakutan. Memang sedari kecil lagi dia takut akan kilat dan guruh. Selimut yang menyelibungi tubuhnya ditarik hingga menutupi kepalanya. Matanya dipejam rapat. Tidak mahu langsung melihat sinaran kilat yang terang itu. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat - ayat suci al-quran.
"Aduhai...bila lah nak berhenti hujan ni? Mak...adik takut ni...". Dalam kerisauan Alia Farhana itu, tiba - tiba...'pap!!' Bekalan elektrik terputus!. Serta merta matanya terbuka luas di bawah selibungan selimut itu. Ditariknya selimut separas lehernya. Terkebil - kebil matanya melihat sekeliling. Gelap! Tak nampak apa. 'Aduhhh...macam mana ni?'. Terasa mahu menangis saat itu. 'Ni mesti balasan aku tak bagitahu kat mak aku pergi sini. Ya Allah..ampunkan aku. Aku janji tak buat lagi. Mak..maafkan adik, mak'. Sempat lagi dia berdoa.
"Mana telefon aku ni?". Alia Farhana meraba - raba meja kecil di sebelah katilnya. Syukur telefonnya ada di situ. Dihidupkannya lampu suluh di telefon bimbitnya. Seluruh ruang bilik serta merta terang. Alia Farhana berasa lega.
Tit..tit..
"Alamakkk..bateri nak habis ke ni? Aduduu..apa nak buat ni?". Alia Farhana melihat skrin telefonnya. Bateri yang tinggal hanya 10 persen saja lagi. Dia berfikir sejenak.
''Hah! Encik Ilham. Mintak tolong dia lah". Alia Farhana sudah pun mengangkat punggungnya untuk bangun tetapi tidak jadi.
"Tapi nak mintak tolong apa pulak kat dia? Aduhh..macam mana ni? Hahh..lilin!! Mesti Encik Ilham tahu kat mana lilin ada. Tak pun dia bole tolong tanyakan pada Mak Ina. Yess!!". Alia Farhana bangun dan menuju ke arah pintu. Melangkah saja kakinya keluar bilik, tiba - tiba guruh berdentum dengan amat kuat sekali. Alia Farhana terkejut dan tercampak telefonnya ke lantai.
"Allah...mana pulak telefon aku ni tercampak?". Alia Farhana menunduk dan meraba - raba ke lantai mencari telefon bimbitnya. Air matanya sudah mula bergenang. Dadanya sudah tidak keruan. Sedang dia mencari telefon bimbitnya itu, tiba - tiba ada sesuatu memegang bahunya dari belakang. Alia Farhana terkejut bukan kepalang. Dia menjerit sekuat hati. Dan....terus pengsan tidak sedarkan diri.
"Allah! Alia. Alia. Bangun". Ilham Iskandar menepuk beberapa kali pipi Alia Farhana agar gadis itu bangun. Tetapi gadis itu langsung tidak bergerak. Dirasanya nadi gadis itu. Masih bernyawa. Takut juga dia kalau terjadi apa - apa pada setiausahanya itu. Dalam kegelapan yang hanya bercahayakan lampu kecemasan itu, Ilham Iskandar mengendong tubuh Alia Farhana hingga ke sofa di ruang tamu. Dia membaringkan gadis itu di atas sofa. Kemudian dia menuju ke dapur untuk mengambil lilin.
Tiba - tiba langkahnya mati kerana lampu suluh di telefon bimbitnya terpadam.
"Oh god!! Bateri pulak habisss". Ilham Iskandar berpatah semula ke ruang tamu. Dalam keadaan yg gelap itu, bagaimana pula dia hendak mencari lilin di dapur. Hujan diluar masih lagi membasahi bumi. Kilat dan guruh masih sabung menyabung lagi. Dipandangnya Alia Farhana yang terbaring di atas sofa. Masih pengsan lagi gadis itu. Dia tidak berniat hendak mengejut setiausahanya itu. Kalau dikejut takut bertambah panik bila nampak dia di situ. Biarlah dia terjaga sendiri.
Entah bila masa Ilham Iskandar tertidur dia sendiri tidak sedar. Dengan badan yang letih seharian berjalan di Cameron Highland, bila - bila masa saja matanya boleh terlelap jika ada peluang.
Terkebil - kebil mata Alia Farhana memandang sekeliling. Jadi keliru sekejap bila menyedari dirinya berada di ruang tamu. Pantas dia mencari telefon bimbitnya. Tiada!!
Lantas dia bangun dari pembaringannya di sofa itu dan berjalan menuju ke bilik tidurnya. Dari jauh dia sudah ternampak telefon bimbitnya yang berada di atas lantai. Dicapainya telefon itu dan dilihatnya skrin telefon. Dia mencuba menghidupkan telefon bimbitnya tetapi hanya sia - sia. Ternyata bateri telefonnya benar - benar sudah habis.
Dia bercadang mahu masuk ke dalam biliknya tetapi tidak jadi. Dia berpaling ke ruang tamu. Kelihatan bosnya itu sedang tidur bersandar di sofa. Alia Farhana berkerut dahi. Sungguh dia tidak ingat apa yang berlaku malam tadi. Kenapa dia di ruang tamu bersama lelaki itu?
Kali terakhir yang dia ingat adalah malam tadi hujan sangat lebat dan dia takut dengan bunyi guruh ditambah lagi bekalan elektrik yang terputus. Dia keluar ingin mencari bosnya tetapi kerana telefon bimbitnya yang jatuh ke lantai, membuatkannya tercari - cari di mana jatuhnya telefon tersebut. Dalam keadaan yang gelap itu agak sukar dia mendapatkan semula telefon kesayangannya itu. Hinggalah dia terkejut macam nak tercabut nyawa a.k.a terkejut beruk apabila ada sesuatu yang memegang bahunya. Dan dia menjerit sekuat hatinya lalu..... Pengsan bagai tiada nyawa. Hah!! Pengsan!! Pengsan rupanya dia malam tadi.
Siapa yang memegang bahunya?? Mungkinkah..... Owhhh... Encik Ilham rupanya!! Ya Allah... Alia Farhana menepuk dahi.
Dia memandang Ilham Iskandar yang sedang tidur itu. Dikemaskan tuala yang menutupi kepalanya. Dia menarik nafas dalam - dalam sebelum mengejut lelaki di hadapannya itu.
"Encik Ilham. Encik Ilham. Bangun. Subuh dah nak habis ni". Ilham Iskandar tersedar dari tidurnya. Dia mengurut perlahan tengkuknya. Membetulkan urat - urat yang menegang kerana tidur bersandar begitu.
"Eh. Alia. Awak okeh tak ni? Malam tadi awak pengsan. Maaflah buat awak terperanjat hingga pengsan macam tu". Kelam kabut Ilham Iskandar bertanya kepada setiausahanya.
"Saya okeh Encik Ilham. Saya minta maaflah sebab dah menyusahkan Encik Ilham. Saya betul - betul terperanjat malam tadi. Dengan letrik tak adanya.. Kilat guruh berdentum - dentam.. Pulak tu tiba - tiba ada yang pegang bahu saya. Maunya saya tak terkejut beruk". Walaupun mulutnya dan wajahnya seperti tidak ada apa yang berlaku, namun di hatinya terdetik debaran yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu ungkapkan apabila bersama lelaki di hadapannya itu.
Lega hati Ilham Iskandar kerana setiausahanya tidak ada apa - apa. Dia bingkas bangun dari sofa yang menjadi katil tidurnya malam tadi. Masing - masing menuju ke bilik untuk menunaikan solat Subuh yang sudah hampir habis waktunya. Mujurlah bekalan elektrik sudah ada. Entah pukul berapa agaknya elektrik ada malam tadi mereka pun tidak sedar. Namun di hati Alia Farhana tertanya - tanya di manakah Pak Hamid dan isterinya? Bukankah mereka tidur di villa itu juga? Mengapa villa itu seakan - akan hanya dia dan bosnya sahaja yang menghuni.
× × × × × × × × × × × × × × × ×
Share this novel