BAB 11
Dari kejauhan, Ilham Iskandar memerhatikan Alia Farhana yang sedang rancak berborak dengan seorang lelaki. Entah mengapa hatinya terasa sakit. Dia menjadi tertanya - tanya siapakah lelaki yang bersama gadis itu. Dia menggenggam stereng keretanya dengan kuat. Dadanya terasa sesak dengan pelbagai persoalan. Sudahlah hal gadis itu memanggil Fuad dengan panggilan 'abang' masih belum bertemu jawapan. Kini dia diasak dengan tanda tanya mengenai lelaki yang bersama Alia Farhana itu.
Tanpa berfikir panjang, dia telah mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor Alia Farhana.
Beberapa saat berdering, gadis itu pun menjawab panggilannya.
"Hello. Ya Encik Ilham". Ilham Iskandar senyap. "Hello. Encik Ilham?". Alia Farhana memanggil namanya lagi.
"Saya dalam kereta ni seberang jalan. Datang sini Alia". Klik ! Telefon dimatikan. Alia Farhana mencari kereta bosnya itu. Benar. Ia ada di situ. Alia Farhana bergegas bangun dan sempat dia mengucapkan selamat tinggal kepada Syazwan, kawannya. Dalam fikirannya tertanya - tanya mengapa Ilham Iskandar menelefonnya. Mungkin ada hal yang sangat penting hingga tidak boleh tunggu waktu rehat habis . Tebaknya.
Tok ! Tok !
Cermin pintu di bahagian penumpang diketuk. Ilham Iskandar membukakan pintu dari dalam.
"Masuk". Arahnya. Alia Farhana tanpa banyak soal terus saja masuk ke dalam kereta. Hatinya berdebar - debar tatkala melihat wajah Ilham Iskandar yang masam mencuka. Dahinya berkerut - kerut. Apa pula masalah lelaki ini? 'Aduh ! Aku ada buat salah ke?' Soalnya di dalam hati.
Ilham Iskandar memasuki lebuh raya Duke. Dia memecut laju. Kecut perut Alia Farhana dibuatnya. Takut. Itulah yang terpampang di wajahnya kala itu. Pucat tidak berdarah. Jantungnya berdegup laju. Mulutnya seakan terkunci untuk menjerit meminta lelaki itu memperlahankan kenderaan.
'Allahhh. Kenapa dengan dia ni?'. Entah kenapa air matanya tiba - tiba menitis. Matanya di pejam rapat. Berdoa agar lelaki di sebelahnya memperlahankan kereta. Entah apa yang merasuk lelaki itu. Memandu kereta bagai nak gila. Kalau dia ada buat salah, bagitahulah. Janganlah buat macam ni.
Ilham Iskandar mengerling sedikit ke arah Alia Farhana. Jelas gadis itu ketakutan. Terlihat air jernih mengalir dari mata gadis itu.
'Astaghfirullah al azim. Apa yang aku dah buat ni?'.
Setelah beristighfar beberapa kali dan kembali tenang, akhirnya Ilham Iskandar memberhentikan keretanya di bahu jalan. Perlahan - lahan Alia Farhana membuka matanya. Dilihatnya Ilham Iskandar tertunduk lesu di stereng kereta dengan mata terpejam. Lega rasanya bila lelaki itu sudah bertenang. Dia masih mendiamkan diri. Tidak tahu mahu mula dari mana.
Beberapa minit berkeadaan begitu, tiba - tiba Ilham Iskandar bersandar di kerusi. Dia menoleh ke arah gadis di sebelahnya. Alia Farhana tidak berani untuk memandang bosnya.
Ilham Iskandar berkira - kira mahu bertanya pada gadis itu apa yang bermain di fikirannya. Tetapi dia khuatir akan di salah anggap. Kalau tidak tanya, dia sendiri akan susah hati. Kalau tanya, dia akan malu pula. Huh !
Lama juga dia memandang Alia Farhana. Tidak selesa dibuatnya bila ditenung sebegitu sekali. Hatinya resah dan berdebar.
"Alia". Akhirnya terbit sepatah perkataan dari mulut Ilham Iskandar. Alia Farhana masih tidak memandang. Dia hanya mematung melihat pandangan di hadapannya.
"Alia. Pandang saya". Alia Farhana memberanikan diri membalas pandangan bosnya itu.
"Siapa lelaki tadi tu?". Akhirnya keluar juga soalan yang bermain di fikirannya. Alia Farhana tersentak. Terkejut dengan soalan dari lelaki itu. Perlu ke dia tahu dengan siapa dia hendak berkawan, berkasih atau apa sahaja. Siapa dia pada Ilham Iskandar? Bukan kah hanya pekerja?
"Siapa lelaki tu, Alia?".
"Errr...".
"Siapa dia tu??".
"Kawan saya. Syazwan. Kawan U saya".
"Teman lelaki awak ke? Kenapa awak keluar berdua dengan dia?".
"Tak. Bukan Encik Ilham. Dia cuma kawan. Dia teman lelaki Milah. Milah pun ada juga tadi". Jawab Alia Farhana takut - takut. Baru lega rasa hatinya bila dapat tahu kebenarannya.
"Fuad?".
"Hah?". Makin terkejut Alia Farhana mendengar soalan dari bosnya itu.
"Siapa Fuad pada awak, Alia? Kenapa awak panggil dia 'abang'? Apa hubungan awak dengan dia?".
"Kami tak ada apa - apa hubungan. Saya cuma anggap dia seperti abang. Dan dia anggap saya macam adik dia yang dah meninggal tu. Itu saja Encik Ilham".
"Betul ni?". Ilham Iskandar meminta kepastian.
"Betul Encik Ilham". Lega. Itulah yang dia rasakan ketika itu. Alia Farhana tiada apa - apa hubungan dengan lelaki - lelaki yang disangkanya kekasih gadis itu. Kelakuan Ilham Iskandar itu meninggalkan tanda tanya dalam hati Alia Farhana. Dia pelik dengan soalan yang lelaki itu ajukan. Sepertinya bosnya itu seakan - akan mencemburuinya. Tapi kenapa pula??
× × × × × × × × × × × ×
Ilham Iskandar mengambil angin malam di balkoni biliknya. Bulan tidak kelihatan barangkali mahu hujan. Berputar ligat di fikirannya kejadian siang tadi. Dia meraup wajahnya dengan tangan.
"Alia". Dia berkata perlahan.
'Arghh !!!'. Dia menjerit di dalam hati. Sejak gadis itu bekerja dengannya, sejak dia putus dengan Hana, hatinya entah mengapa sering terusik dengan tingkah dan sikap gadis itu. Ditambah pula dengan kejadian mereka tidur bersama, membuatkan hatinya selalu berdebar - debar bila bersama dengannya. Matanya seringkali mencari raut wajah mulus gadis bernama Alia Farhana itu.
"Aku dah jatuh cinta pada dia ke?". Soalnya pada diri sendiri. Ah tak mungkinlah. "Arghhh !!". Dia menjerit sambil menggenggam rambutnya. Ditarik dan diraup wajahnya berkali - kali.
"Tapi kenapa aku selalu rasa cemburu bila dia dengan lelaki lain? Apa hak aku untuk halang dia dari berkawan dengan mana - mana lelaki?".
Malam itu, Ilham Iskandar tidak dapat lelapkan mata. Fikirannya asyik teringatkan setiausahanya itu. Bagaimana harus dia hadapi hari esok? Berdepan dengan gadis itu? Tentu janggal nanti.
Diluar, hujan sudah mula membasahi bumi. Jam sudah pun pukul 3 pagi. Matanya tetap tidak boleh lelap. Dicapainya telefon bimbit di meja sebelah katil. Dibukanya galeri gambar di dalam telefonnya itu. Semua gambar dia bersama Hana telahpun dibuang. Satu persatu gambar dilihatnya di dalam galeri itu. Matanya tertancap pada gambar dia bersama Alia Farhana semasa di Langkawi dulu. 'Cantik'. Desis hatinya. Dia tersenyum melihat gambar - gambar mereka berselfi. Jauh beza dengan Hana. Sungguh dia buta kerana terlalu mempercayai wanita itu. Akhirnya hatinya juga yang remuk.
Entah pukul berapa Ilham Iskandar terlelap. Sedar - sedar jam sudah pun pukul 6.30 pagi. Dalam keadaan mamai itu, dia gagahkan juga untuk bangun menunaikan solat Subuh.
Selesai menunaikan kewajipan pada yang Maha Esa, dia bergegas siap untuk ke pejabat. Pagi itu dia ingin sampai awal ke pejabatnya. Kalau boleh dia tidak mahu terserempak dengan Alia Farhana. Kerana sikapnya semalam, dia jadi malu untuk bertentang mata dengan gadis itu.
Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi ketika dia tiba di pejabatnya. Alia Farhana masih belum sampai. Mejanya kosong. Cepat - cepat dia masuk ke dalam biliknya.
Lima belas minit kemudian, Alia Farhana pun sampai di pejabat. Seperti kebiasaannya, dia akan meninjau dahulu bilik Ilham Iskandar untuk memeriksa jika lelaki itu telah sampai. Jika bosnya itu telah masuk ke pejabat, dia akan segera menghidangkan Nescafe power tup tup meletupnya buat lelaki itu.
"Owh..dah sampai. Awal hari ni. Baru pukul 8". Alia Farhana segera bangun dan menuju ke pantri untuk membuat air Nescafe kegemaran bosnya itu.
Beberapa minit kemudian, Alia Farhana ke bilik Ilham Iskandar bersama mug berisi Nescafe. Sebelum masuk, dia menulis nota kecil seperti selalu dan menampalnya di bawah mug.
# Slmt pagi En. Ilham.
Jgn terlalu fikirkan apa yg dh berlaku. Takut nt en ilham jatuh sakit. Smoga hari ini dipermudahkn sgala urusan ?#
Tok ! Tok ! Tok !
"Masuk!".
"Assalamualaikum. Morning Encik Ilham. Ni airnya. Minumlah nanti ye". Alia Farhana meletakkan mug tersebut di atas meja. Dilihatnya Ilham Iskandar sibuk menyemak fail. Tidak dipandang langsung wajah gadis itu.
"Encik Ilham ada apa - apa pesanan ke?. Tanyanya.
"Batalkan semua appointment hari ni".
"Okeh Encik Ilham. Saya keluar dulu".
Alia Farhana terus meninggalkan bilik Ilham Iskandar. Dia menyemak senarai urusan pada hari itu. Satu persatu appointment dibatalkan. Mungkin bosnya ada urusan lain yang perlu di selesaikan sebab itu semua appointment hari ni dibatalkan.
Alhamdulillah selesai sudah satu hari bekerja. Sepanjang hari ini, Alia Farhana tidak ada berjumpa dengan Ilham Iskandar pun. Dia tidak mahu diganggu katanya. Sesiapa yang ada urusan dengannya dia minta tangguh pada hari lain.
Alia Farhana berasa hairan dengan sikap bosnya itu. Tidak pernah sebelum ini dia berkelakuan sebegitu. Adakah kerana hal semalam lelaki itu jadi malu sendiri? Dia tidak pasti.
Jam sudahpun pukul 5 petang. Kelibat lelaki itu masih tidak kelihatan. Alia Farhana ingin saja pergi melihat ke dalam bilik lelaki itu adakah dia ada di dalam. Tetapi bila teringatkan pesanan lelaki itu yang tidak mahu diganggu, dia mematikan hasratnya. Akhirnya Alia Farhana pulang dengan pelbagai perasaan terhadap bosnya itu. Risau. Adakah bosnya okeh - okeh saja?
× × × × × × × × × × × × × × × ×
Keesokan harinya, Alia Farhana ke pejabat seperti biasa. Ceria dan sentiasa kemas penampilannya sangat sesuai sebagai seorang setiausaha.
Dia menuju ke mejanya. Melakukan rutin setiap pagi sudah menjadi kebiasaannya.
Dia melihat bilik Ilham Iskandar. Gelap. Mungkin bosnya masih belum sampai. Laju kakinya melangkah ke bilik bosnya itu untuk menyalakan lampu.
Pintu dibuka. Alia Farhana menekan suis lampu di tepi dinding. Serta merta ruang bilik menjadi terang. Dia melihat ke arah meja bosnya itu. Berselerak dengan dokumen dan fail. Terus saja kakinya melangkah ke meja tersebut dan mengemas semua dokumen dan fail yang ada. Geleng kepala Alia Farhana melihatnya.
Ketika dia berpaling hendak menuju ke pintu, alangkah terperanjatnya dia apabila melihat Ilham Iskandar sedang tidur di atas sofa. Perlahan - lahan dia menghampiri bosnya itu.
Alia Farhana teragak - agak untuk mengejutkan Ilham Iskandar. Tetapi, jika dia membiarkan bosnya itu tidur sahaja, tentu kurang manis di pandang oleh staf. Wajah lelaki itu nampak lesu. Kurang sihatkah dia? Tak balik rumahkah semalam? Macam - macam andaian bermain di minda Alia Farhana ketika itu.
Tanpa berfikir lagi, Alia Farhana dengan hati - hati menggerakkan tubuh Ilham Iskandar. Di tepuknya perlahan lengan lelaki itu. Tiba - tiba tangannya berhenti menepuk. Terasa panas lengan bosnya itu. Walaupun berbaju, kehangatan badan lelaki itu terasa hingga menembusi pakaiannya.
'Panasnya !'. Kata Alia Farhana di dalam hati. 'Demam ke Encik Ilham ni?'. Dengan hati - hati Alia Farhana menyentuh dahi dan leher Ilham Iskandar. Berkerut dahinya. Sah ! Panas sungguh badan lelaki itu. Kali ini, dia menggerakkan badan Ilham Iskandar dengan sedikit kuat agar lelaki itu sedar dari tidur.
"Encik Ilham. Encik Ilham. Bangun".
Dengan mata terpisat - pisat, Ilham Iskandar terjaga dari lenanya.
"Encik Ilham demam ni. Panas badan Encik Ilham. Mari saya hantarkan ke klinik".
"Tak payahlah Alia. Sikit je ni".
"Janganlah degil Encik Ilham. Panas sangat ni badan Encik Ilham. Bangun cepat. Kita pergi klinik". Tanpa minta persetujuan daripada Ilham Iskandar, Alia Farhana terus saja menarik tangan Ilham Iskandar agar lelaki itu bangun dari pembaringan. Walaupun kepalanya terasa berat untuk bangun, Ilham Iskandar gagahkan juga untuk duduk. Dia hanya mengikut saja apa yang setiausahanya arahkan.
"Encik Ilham tunggu sekejap. Saya panggil Encik Fuad untuk tolong ya". Laju saja kakinya berlari keluar dari bilik Ilham Iskandar. Sempat lagi dia menghubungi Grab Car untuk membawa mereka ke klinik.
Ilham Iskandar nampak sungguh tidak bermaya. Nak berjalan pun perlu dipapah. Mujur ada Fuad yang membantu membawa Ilham Iskandar turun.
Selesai ke klinik, Alia Farhana menghantar Ilham Iskandar pulang ke rumah dengan menaiki Grab. Doktor telah memberikan beberapa jenis ubat yang perlu dimakan.
Setengah jam perjalanan, akhirnya mereka sampai di hadapan banglo mewah milik Ilham Iskandar. Terbeliak biji mata Alia Farhana melihatnya. Tidak pernah lagi dia menjejakkan kaki ke dalam rumah semewah dan secantik ini. 'Wahh besarnya rumah'. Walaupun dia kagum melihat banglo yang tersergam gah di hadapannya, tetapi tidaklah dia menunjukkan riak 'jakun' di depan Ilham Iskandar. Buat malu aje weh kalau bosnya tengok. Haha !!
Ilham Iskandar menghulurkan kunci rumah kepada Alia Farhana untuk membuka pintu utama. Apabila pintu terbuka, terus saja dia memapah Ilham Iskandar masuk ke dalam rumah. Sekali lagi dia kagum melihat ruang dalam banglo tersebut. Sudahlah besar, cantik, kemas teratur aje susunan perabotnya. Tapi...dia seorang saja ke yang tinggal dalam rumah sebesar ini? Tak takut ke Encik Ilham??
"Bilik Encik Ilham kat mana? Saya hantarkan".
"Kat atas". Alia Farhana sedaya upaya memapah Ilham Iskandar naik ke tingkat atas. Berat juga badan bosnya itu. Mana tidaknya. Dia tu bukannya berbadan besar. Kurus aje. Nak papah seorang lelaki yang berbadan sasa, bayangkanlah sendiri macam mana rasanya. Tak pe lah. Demi bos tercinta. Cewahh !!
× × × × × × × × × × × × × ×
"Encik Ilham baring sini". Akhirnya sampai juga mereka di bilik Ilham Iskandar. Alia Farhana membaringkan Ilham Iskandar di atas katil. Dia berkira - kira mahu membuka butang baju kemeja lelaki itu. Malu dan takut jika bosnya menganggapnya yang bukan - bukan. Tetapi apabila memikirkan bosnya itu belum mandi dan masih berpakaian kerja semalam, dibuangnya perasaan malu itu.
Sebelum dia membuka butang baju kemeja Ilham Iskandar, dia mencari baju t-shirt lelaki itu untuk dipakaikan. Dibukanya almari baju di dalam bilik itu dan mencapai sehelai t-shirt berwarna putih. Dibawanya ke katil. Kemudian dia ke bilik air dan mengambil sehelai tuala bersih dan semangkuk air untuk mengelap badan bosnya itu. Dengan sangat berhati - hati dia membuka kemeja yang tersarung di badan bosnya itu. Diambilnya tuala basah yang diperah dan dilapnya badan dan muka lelaki itu. Selesai mengelap, Alia Farhana menyarungkan pula t-shirt yang diambilnya tadi.
Dilihatnya Ilham Iskandar masih melelapkan matanya. Dia menarik selimut toto untuk menyelimuti tubuh lelaki itu.
"Sejuk". Ilham Iskandar berkata perlahan.
"Hah. Apa Encik Ilham?". Alia Farhana kurang jelas apa yang ditutur oleh bosnya itu kerana dia bercakap terlalu perlahan. Dia mendekatkan telinganya ke mulut Ilham Iskandar.
Tanpa sedar, Ilham Iskandar telah menarik tubuh Alia Farhana ke dakapannya.
"Saya sejuk. Sejuk". Dapat dirasakan pelukan Ilham Iskandar sangat kejap. Bagaimana dia mahu melepaskan diri? 'Ah sudah. Aku tak nak buat dosa. Ampunkan aku Ya Allah'. Rintihnya di dalam hati.
Lebih kurang setengah jam Ilham Iskandar memeluk Alia Farhana. Mungkin ingin menghangatkan badannya yang kesejukan. Pelukan semakin longgar. Barangkali bosnya itu telah betul - betul lena. Alia Farhana bangun dari pembaringan. Dialihnya tangan Ilham Iskandar dengan berhati - hati. Dia tidak mahu mengejutkan lelaki itu. Dia menyelimutkan tubuh lelaki itu dengan toto. Dibiarkannya berehat dengan aman.
× × × × × × × × × × × × × × ×
Ilham Iskandar terjaga dari tidur pada pukul 2 petang. Terlepas sudah dia hendak menunaikan solat Jumaat kerana ketiduran. Dengan kondisi badannya yang sebegitu membuatkan dia tidak sedar langsung.
Ilham Iskandar meraup wajahnya. Memicit sedikit kepalanya yang masih bersisa sakitnya. Dia bangkit dari baringnya. Alangkah terkejutnya dia apabila terpandang sekujur tubuh sedang tidur di tepi katil sambil terduduk. 'Alia?'. Oh. Baru dia teringat yang gadis itu telah menghantarnya pulang tadi.
Dipandang wajah comel milik gadis itu. Ingin saja disentuh pipi itu. Bibir itu. Laju saja jarinya mencuit hidung gadis itu. 'Arghh !!. Kenapa dengan aku ni??'. Tiba - tiba Alia Farhana terjaga. Dia menggosok - gosok matanya. Dia memandang Ilham Iskandar dan cepat - cepat bangun dari duduknya.
"Encik Ilham dah lama bangun ke? Sorry Encik Ilham. Saya tertidur".
Ilham Iskandar tersenyum memandang Alia Farhana.
"Kenapa awak tak balik?". Tanyanya kepada Alia Farhana.
"Err..saya tak sampai hati nak tinggalkan Encik Ilham sorang - sorang. Encik Ilham tunggu jap saya pergi panaskan bubur bawak ke mari". Laju saja kakinya ingin pergi tetapi ditahan Ilham Iskandar.
"Kejap Alia. Awak tunggu kat bawah aje. Saya nak mandi dan solat dulu. Nanti saya turun". Alia Farhana yang mendengar hanya mengangguk. Dia meminta izin beredar dahulu.
Setelah Alia Farhana keluar dari biliknya, dia bangkit dari duduknya untuk mandi dan bersolat. Tiba - tiba pergerakannya terhenti. Dia melihat baju yang dipakainya. Berkerut dahinya. Seingatnya semasa pulang tadi dia masih berpakaian baju pejabat. Tapi kini bajunya telah bertukar. 'Jangan - jangan...'. Ilham Iskandar tersenyum sendiri. Tahulah dia bahawa Alia Farhanalah yang menukarkan bajunya. Semakin lebar senyumannya.
Sementara di dapur, Alia Farhana sibuk memanaskan bubur yang dimasaknya ketika Ilham Iskandar tidur. Dibancuhnya milo panas untuk bosnya itu. Ubat yang diberi doktor tadi pun diletakkan di atas meja.
"Assalamualaikum". Tegur Ilham Iskandar. Dia yang hanya memakai t-shirt lengan pendek dan berseluar track suit menegur Alia Farhana di dapur.
"Walaikumussalam Encik Ilham". Jawab Alia Farhana dengan senyuman.
"Ni Encik Ilham saya masakkan bubur tadi masa Encik Ilham tidur. Maaflah kalau kurang sedap. Saya masak guna apa yang ada kat dapur Encik Ilham ni. Maaf, saya tak minta izin dulu nak masak". Ilham Iskandar hanya tersenyum mendengarnya. Dilihatnya bubur di dalam mangkuk. Nampak sedap !
"Tak pe Alia. Ni pun dah cukup terima kasih awak tolong masakkan untuk saya".
"Encik Ilham makanlah".
Ilham Iskandar membaca doa makan dan menyuap sesudu bubur ke dalam mulutnya.
"Eh. Awak tak makan sekali ke?". Ilham Iskandar hairan melihat setiausahanya yang hanya memerhatikannya makan sedari tadi.
"Err..tak pelah Encik Ilham. Encik Ilham makanlah dulu". Alia Farhana cuba menolak. Sebenarnya dia masak cukup - cukup saja untuk Ilham Iskandar makan. Takkanlah dia nk masak lebih - lebih pula untuk perutnya sekali. Inikan rumah orang. Malulah nak buat macam rumah sendiri.
"Janganlah macam tu. Awak mesti belum makan dari pagi kan? Kalau awak sakit pulak macam mana? Saya sakit. Awak sakit. Sama - sama sakit. Sape nak jaga sape nanti?".
"Tak pe. Tak pe. Lagipun kejap lagi saya nak balik dah. Saya makan kat rumah aje nanti".
"Alia. Jangan degil boleh??". Ilham Iskandar sudah mengeluarkan nada arahannya. Tetapi Alia Farhana masih cuba untuk menolaknya.
"Tapi Encik Ilham, saya masak untuk Encik Ilham tu je. Tak cukup nanti Encik Ilham nak makan".
"Oh ye ke? Kita kongsi. Meh sini".
"Err..". Alia Farhana teragak -agak.
"Laa..meh la sini makan dengan saya".
"Jap saya amik mangkuk". Alia Farhana bergegas hendak bangun untuk mengambil mangkuk tetapi di halang oleh Ilham Iskandar.
"Ehhh...tak payah. Kita makan dalam mangkuk ni je. Tak payah kotorkan banyak mangkuk".
"Tapi...". Alia Farhana serba salah. Selebihnya dia malu. Takkan nak berkongsi makanan dalam satu mangkuk yang sama dengan Encik Ilham. Oii..malunya !!
"Nah". Ilham Iskandar menolak mangkuk berisi bubur di hadapan Alia Farhana. Perlahan - perlahan dia memakan bubur itu. Ilham Iskandar tersenyum memerhati setiausahanya makan. Dia tahu yang gadis itu malu dan tidak selesa. Lagi pulak dia dan gadis itu bukannya ada pertalian darah. Berkongsi makan bersama? Memang tak mungkinlah gadis itu nak buat kalau tidak dipaksa. Sengaja dia hendak mengusik setiausahanya itu.
Selesai makan, Alia Farhana menyuruh Ilham Iskandar memakan ubat yang diberi doktor pula. Lelaki itu hanya menurut sahaja apa yang di arahkan oleh Alia Farhana. Sesudah memberi bosnya makan ubat, gadis itu mengemas dapur pula. Apabila selesai semua kerja, dia meminta izin untuk pulang. Hari pun sudah lewat petang. Takut ibunya risau pula kalau dia sampai lambat nanti.
"Encik Ilham. Dah pukul 6 ni. Saya balik dulu lah ye". Ujar Alia Farhana sambil melihat jam di tangan.
"Hmm..marilah saya hantarkan".
"Eh tak payah Encik Ilham. Saya naik grab aje. Encik Ilham kan masih tak sihat".
"Tak susahkan awak ke tu?".
"Tak susah pun lah Encik Ilham. Saya dah biasa. Encik Ilham jangan risau tau. Tahu lah saya jaga diri". Balas Alia Farhana dengan senyuman. Dia mengemas beg tangannya. Ilham Iskandar menghantarnya hingga ke muka pintu. Serba salah dan susah hati dia kerana membiarkan gadis itu pulang sendiri. Tetapi apakan daya. Kesihatannya masih kurang baik.
× × × × × × × × × × × × × ×
Share this novel