BAB 21

Romance Completed 43587

BAB 21

Ilham Iskandar mundar mandir di dalam biliknya. Keningnya berkerut dan wajahnya sangat marah ketika itu. Tangannya setia menggenggam telefon bimbitnya. Dia menunggu panggilan daripada Alia Farhana namun tiada jawapan.

“Ke mana Sayang pergi ni Sayang?.” Ilham Iskandar mendail lagi nombor telefon Alia Farhana. Berbunyi tetapi tidak berjawab. Ilham Iskandar mendengus geram. Dalam kepalanya sudah berfikir yang bukan – bukan. Hatinya mula risau.

Masakan dia tidak risau. Petang tadi, dia turun ke lobi pada jam 4.45 petang. Dia ke bilik yang menempatkan Faris dan Alia Farhana bermesyuarat tetapi bilik itu sudah kosong tiada berpenghuni. Dia jadi hairan dan telah bertanya staf di situ ke manakah perginya mereka.

Dia bertambah hairan apabila diberitahu oleh pihak hotel bahawa mesyuarat tersebut telah selesai dari jam 3 petang lagi. Sekarang sudah pukul 7 malam tetapi gadis itu masih menyepi. Panggilan dan mesejnya langsung tidak berjawab. Mesej juga langsung tidak dibaca. Ada apa – apa yang tidak baik ke berlaku pada gadis itu? Hatinya bimbang.

Hujan sungguh lebat di luar. Hatinya bertambah risau dengan kesenyapan Alia Farhana. Dia menunggu gadis itu di lobi. Acapkali dia melihat telefon bimbitnya kalau – kalau gadis itu ada menelefon. Namun hampa.

Ilham Iskandar bersandar di sofa sambil matanya tidak lekang memandang pintu masuk hotel tersebut. Dia takut terlepas pandang jika Alia Farhana sudah pulang ke hotel.

Sedang dia memerhati orang yang keluar masuk hotel itu, tiba – tiba dia terpandang seorang gadis yang sedang berlari tergesa – gesa. Bajunya basah kuyup. Diamati gadis yang sedang menunggu lift itu. Keningnya berkerut dan hatinya berdebar. ‘Alia!.’

Ilham Iskandar bingkas bangun dengan segera dan berlari menuju ke Alia Farhana yang berada di hadapan lift.

“Sayang!.” Ilham Iskandar menyentuh bahu Alia Farhana. Gadis itu menoleh.

Ilham Iskandar terkejut melihat keadaan gadis itu yang kebasahan dan sedang menangis. Apa yang sedang berlaku ni?. Matanya melilau mencari figura Faris. Tiada!. Ke mana lelaki itu?.

“Encik Ilham.” Tangisnya semakin kuat. Dia menggigil kesejukan.

Pintu lift terbuka dan Ilham Iskandar memimpin tangan Alia Farhana masuk ke dalam lift. Mereka menuju ke tingkat bilik mereka.

Sementara di dalam lift, Ilham Iskandar tidak melepaskan tangan Alia Farhana. Digenggamnya kuat tangan gadis itu. Dia juga menyimpan pelbagai soalan untuk gadis itu. Dia mahu bertanya apabila sudah sampai di bilik nanti.

“Sayang. Masuk bilik saya.” Ilham Iskandar menarik tangan Alia Farhana apabila mereka tiba di hadapan bilik Ilham Iskandar. Alia Farhana menghentikan langkahan kakinya. Dia berpaling memandang lelaki di belakangnya. Tangan masih tidak dilepaskan oleh Ilham Iskandar. Dengan perlahan dia berjalan ke arah lelaki itu dan mengikut lelaki itu memasuki biliknya.

Ilham Iskandar menutup pintu perlahan. Dia menghulurkan Alia Farhana tuala bersih dan sehelai t-shirt bersama seluar track suit. Alia Farhana membersihkan dirinya di dalam bilik mandi.

Lima belas minit kemudian gadis itu keluar dengan memakai pakaian yang diberikan oleh Ilham Iskandar. Kepalanya hanya dilitupi dengan tuala kerana tudungnya sudah habis basah dek air hujan.

“Sayang. Mari sini. Duduk kat saya.” Ilham Iskandar memanggil Alia Farhana agar duduk di sebelahnya di atas katil. Wajahnya tiada senyuman langsung. Alia Farhana juga perasan wajah serius lelaki itu walaupun suaranya masih lembut bertutur.

Alia Farhana melangkah perlahan menuju ke katil. Dia duduk berjauhan sedikit dari Ilham Iskandar. Kepalanya ditunduk memandang lantai. Dia tahu lelaki itu mahu bertanya pelbagai soalan padanya. Hatinya berdebar.

“Sayang ke mana?.” Setelah beberapa minit berdiam, akhirnya Ilham Iskandar mengajukan soalan pertamanya kepada Alia Farhana.

Gadis itu diam tidak menjawab.

“Sayang ke mana tadi? Kenapa Sayang basah kuyup?. Sayang dari mana?.”

Alia Farhana masih mendiamkan diri.

“Sayang? Jawab soalan saya ni Sayang. Kenapa diam? Tolong jangan buat saya macam ni.”

“Errr… Saya…” Baru sahaja Alia Farhana mahu membuka mulut untuk menjawab semua soalan yang diajukan oleh Ilham Iskandar, tiba – tiba mereka terdengar bunyi ketukan pintu dari luar. Tetapi bukan ketukan di bilik Ilham Iskandar. Ia datangnya dari bilik Alia Farhana. Mereka berpandangan.

Jelas terpancar wajah ketakutan di muka Alia Farhana apabila mendengar ketukan yang bertubi – tubi itu. Kedengaran juga namanya dipanggil. Alia Farhana sudah menggelabah. Ilham Iskandar berlari menghampiri pintu. Dia merapatkan telinganya di pintu. Jelas kedengaran suara Faris memanggil nama Alia Farhana dan mengetuk pintu bilik gadis itu.

Ilham Iskandar mendekati Alia Farhana semula dan berdiri di hadapan gadis itu dengan wajah yang penuh dengan tanda tanya.

“Sayang jadi macam ni semuanya berpunca daripada lelaki tu kan?.” Ilham Iskandar bertanya serius. Alia Farhana mengangguk perlahan. Dia menggenggam jari jemarinya.

“Damn!!.” Ilham Iskandar mengepal penumbuknya menahan amarah.

“Dia buat apa kat Sayang? Dia… ‘sentuh’… Sayang ke?.” Ilham Iskandar teragak – agak bertanya. Dia sebenarnya takut untuk mengetahui kebenarannya. Alia Farhana yang mendengar soalan itu terus menangis teresak – esak.

“Allah!!! Sebab tulah saya tak percaya pada dia. Lelaki tak guna!” Ilham Iskandar meraup wajahnya dengan kedua telapak tangannya.

“Saya… Saya minta maaf Encik Ilham.” Matanya sudah mula memerah kerana banyak menangis.

“Saya tak sepatutnya ikut dia tadi. Saya tak sangka dia boleh buat macam tu pada saya. Dia… dia…” Alia Farhana tidak dapat meneruskan kata – katanya apabila teringatkan peristiwa yang berlaku tadi.

“Dia… Dia cuba perkosa saya, Encik Ilham.” Semakin kuat tangisannya. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana rasa takutnya dia tadi.

Hari pula hujan lebat. Entah syaitan apa yang merasuki lelaki itu sehingga dia boleh berkelakuan seperti itu tadi.

Selepas turun dari Gunung Mat Cincang, mereka terus pulang ke hotel. Dalam perjalanan pulang itu hujan telah turun selebat – lebatnya sehingga tidak nampak jalan. Jadi mereka mengambil keputusan untuk berhenti seketika di bahu jalan. Ketika itulah Faris cuba memperkosanya.

Pada mulanya lelaki itu hanya memegang tangannya namun dia menepis. Kemudian lelaki itu cuba mencium wajahnya pula. Beberapa kali dia cuba mengelak tetapi tenaga lelaki itu melebihi daripada tenaga perempuannya. Sedaya upaya dia cuba mempertahankan maruahnya. Ditolak sehabis kudratnya dan akhirnya dia dapat melarikan diri dengan keluar daripada kereta itu sebelum sempat mahkotanya diragut. Syukurlah ada orang yang sudi menumpangkannya pulang ke hotel. Sebab itulah dia basah kuyup tadi.

Ilham Iskandar yang mendengar cerita Alia Farhana itu turut simpati dengan gadis itu. Syukurlah dia tidak apa – apa. Dan apa yang penting mahkota gadis itu terselamat daripada lelaki durjana bernama Faris!.

Ilham Iskandar menghampiri Alia Farhana yang sedang tertunduk selepas menceritakan segalanya. Dia memegang bahu gadis itu dan memintanya untuk berdiri. Ilham Iskandar meraih dagu gadis itu dan menaikkannya perlahan. Dilihatnya pipi gadis itu sudah kebasahan dengan air mata.

Dia menatap lama ke dalam mata Alia Farhana. Perlahan – lahan dia menarik tubuh gadis itu ke dalam dakapannya. Digosok lembut belakang kepala gadis itu. Erat pelukannya sehingga dia dapat merasakan detak jantung gadis itu berdegup.

“Dah Sayang. Jangan menangis lagi. Jangan takut. Saya akan sentiasa ada dengan Sayang. Lepas ni saya nak Sayang berhenti kerja.”

Alia Farhana hanya menganggukkan kepalanya. Tangisannya juga sudah semakin reda. Ketukan dan jeritan Faris di luar bilik Alia Farhana juga sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin lelaki itu sudah masuk ke biliknya.

Ilham Iskandar meleraikan pelukan. Dia memegang kedua belah sisi bahu Alia Farhana.

“Terima kasih, Encik Ilham. Saya balik bilik dulu.”

“Hey. Sayang tidur sini je malam ni. Kalau Si Faris tu tunggu Sayang kat luar tu macam mana?.”

“Err… Tapi Encik Ilham.”

“Kenapa? Sayang tak selesa ye? Sayang takut?.” Alia Farhana menggangguk kepalanya perlahan.

“Sayang jangan takut. Saya akan tidur kat lantai.” Alia Farhana semakin serba salah apabila mendengar yang lelaki itu mahu tidur di atas lantai. Terasa sudah menyusahkan lelaki itu pula.

“Tak apa. Satu malam aje saya tidur atas lantai tu. Saya tak kisah. Asalkan Sayang selamat.”

Akhirnya Alia Farhana akur. Dia juga sebenarnya takut jika Faris mencarinya. Sekurang – kurangnya jika dia bersama Ilham Iskandar dia merasa selamat sedikit.

Ilham Iskandar mengambil satu bantal di atas katil dan di letakkannya di atas lantai di sisi katil. Dia menyuruh Alia Farhana berbaring di atas katil. Diselimutkan gadis itu. Tanpa menunggu lama, matanya mudah sahaja terpejam akibat daripada menangis yang terlalu banyak dan juga kepala yang terasa amat sakit.

Lampu dimatikan agar lebih selesa. Ilham Iskandar memandang gadis kesayangannya itu tidur. Tuala yang menutupi kepala gadis itu ditanggalkan dengan berhati – hati. Jatuh kasihan pula dia dengan apa yang menimpa gadis itu. Faris! Dia akan ajar lelaki tak guna itu.

Keesokan harinya, Ilham Iskandar dahulu yang bangun dari tidur. Dilihatnya Alia Farhana masih sedang tidur lagi. Dia tersenyum. Tidak percaya mereka tidur sebilik malam tadi.

Ilham Iskandar bingkas bangun dan mengeliat sedikit bagi meregangkan urat – uratnya yang tegang kerana tidur di atas lantai. Jam baru pukul 5.30 pagi tetapi dia sudah terjaga.

Memandangkan Alia Farhana masih tidur, dia ambil kesempatan pergi membersihkan diri dahulu. Jika gadis itu sudah terjaga, khuatir pula gadis itu akan berasa tidak selesa.

Setelah dua puluh minit berada di dalam bilik mandi, Ilham Iskandar pun keluar untuk bersiap – siap sebelum menunaikan solat subuh.

“Assalamualaikum warahmatullah… Assalamualaikum warahmatullah…” Ilham Iskandar mengaup wajahnya selepas memberi salam usai bersolat subuh.

Selesai berdoa, dia bangun untuk mengejut Alia Farhana dari tidurnya.

“Sayang. Bangun Sayang. Dah subuh dah ni.” Ilham Iskandar menggerakkan perlahan badan Alia Farhana tetapi gadis itu tidak juga jaga.

“Sayang… Bangunlah. Dah subuh ni.” Kali ini dia gerak agak kuat dari tadi tubuh gadis itu. Beberapa kali Ilham Iskandar kejut, barulah Alia Farhana terjaga. Terpisat – pisat dia memandang Ilham Iskandar yang sedang tersenyum padanya. Dia menggosok matanya berkali – kali dan duduk seketika sebelum berdiri. Dia meraba kepalanya. Tuala yang menutupi kepalanya malam tadi sudah tertanggal. Ilham Iskandar yang perasan gadis itu sedang mencari tuala tersebut cepat sahaja menghulurkan tuala yang dipakainya semalam.

“Hey Sayang. Lena tidur malam tadi?.”

Alia Farhana hanya tersenyum sedikit sahaja sambil mengangguk perlahan.

“Dah bangun. Pergi mandi, solat. Nanti saya mintak room service hantarkan breakfast untuk kita. Kita makan dalam bilik aje.” Tanpa banyak bicara, Alia Farhana segera bangun untuk bersiap dan bersolat.

Usai bersolat dan mengenakan semula pakaian yang dipakai semalam, Alia Farhana berdiri di balkoni bilik. Dia merenung jauh teringatkan kejadian semalam.

‘Apa yang harus aku lakukan sekarang?.’ Katanya di dalam hati. Runsing sungguh hatinya. Takut dan pelbagai rasa lagi yang dia rasakan saat itu. Bagaimana dia mahu berdepan dengan Faris nanti. Dia mengeluh perlahan.

“Sayang menung apa tu? Teringat pasal semalam ke?.”

“Saya takut Encik Ilham. Saya malu. Saya tak tahu apa nak buat sekarang.”

Beberapa saat kemudian dia menyambung lagi.

“Saya minta maaf sangat sebab saya buat Encik Ilham tertunggu – tunggu. Saya dah kecewakan Encik Ilham. Saya dah buat Encik Ilham susah hati, marah… Saya betul – betul minta maaf. Saya sepatutnya menolak ajakan Encik Faris ke Sky Cab semalam. Kalau tak tentu benda ni tak jadi. Maafkan saya ye Encik Ilham.” Panjang lebar Alia Farhana memohon maaf pada Ilham Iskandar. Sesungguhnya dia amat menyesal kerana perkara itu berlaku.

“Dah Sayang. Tak payah diingat lagi. Lepas ni saya nak Sayang berhenti kerja. Hari ni jangan balik KL lagi. Kita balik esok. Soal tiket Sayang jangan risau. Biar saya yang uruskan. Okey.”

“Terima kasih, Encik Ilham sebab dah selamatkan saya. Tolong saya.”

“Untuk Sayang saya ni apa pun saya sanggup lakukan. Dah. Jom masuk. Kita breakfast dulu.”  Ilham Iskandar memimpin tangan Alia Farhana masuk ke dalan bilik untuk bersarapan.

Tiket balik ke Kuala Lumpur pada jam 11 pagi. Tetapi mereka ambil keputusan untuk pulang esok sahaja. Alia Farhana tidak mahu berjumpa dengan Faris buat masa ini. Pada jam 9.45 pagi tadi mereka ada mendengar Faris memanggil Alia Farhana di biliknya. Sehingga benar – benar Faris telah pergi barulah mereka berani membuka pintu. Ilham Iskandar pula hanya menunggu masa sahaja mahu mengajar lelaki itu. Tunggulah bila dia dah balik KL nanti. Tahulah nasib dia!.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience