BAB 18

Romance Completed 43587

BAB 18

Sejak terjumpa di Warung Kak Milah tempoh hari, setiap hari Ilham Iskandar akan mengambil dan menghantar pulang Alia Farhana. Tidak pernah jemu pun dia walaupun laluan ke Jaya Holding dan Tuah Agensi tidak sehala. Namun Ilham Iskandar sanggup bersusah payah demi mahu bersama gadis yang semakin bertakhta di hatinya itu.

Alia Farhana juga sudah tidak dapat menolak permintaan Ilham Iskandar itu apabila setiap pagi lelaki itu sudah tercongok di hadapan rumahnya seawal 7.30 pagi. Nak tak nak dia terpaksa juga menaiki kereta Ilham Iskandar itu. Waktu petang pula lelaki itu sudah pasti sudah menunggunya diluar bangunan Tuah Agensi setelah habis masa bekerja. Masakan dia boleh menolak pelawaan lelaki itu. Sudahlah bekas majikannya itu terkenal dengan sikap suka mendesaknya. Memang susahlah jika mahu menolak setiap apa yang dia mahukan.

“Hai Sayang.”

“Hai, Encik Ilham.” Dari jauh sudah kelihatan Ilham Iskandar berdiri di sisi keretanya menunggu kedatangan Alia Farhana. Senyuman manis dilemparkan buat lelaki itu. Ilham Iskandar membukakan pintu untuk Alia Farhana. Kemudian dia pula masuk ke tempat duduk pemandu. Enjin dihidupkan dan dia memandu perlahan keluar dari kawasan tempat menunggu bas itu.

“Kita makan dulu ye Sayang.” Ajak Ilham Iskandar seperti kebiasaan.

“Okey. Boleh. Tapi jangan balik lambat ye.”

“Kenapa Sayang? Sayang penat ye hari ni?.” Tanya Ilham Iskandar.

“Tak jugak. Saya nak buat persiapan untuk ke Langkawi esok. So esok Encik Ilham tak payahlah ambil saya ye.” Jawab Alia Farhana.

“Hah? Esok Sayang nak ke Langkawi? Ada apa ke sana? Dengan siapa? Berapa lama? Kenapa tak bagitahu saya awal – awal?.” Bertubi – tubi soalan yang dilontarkan oleh Ilham Iskandar. Ternyata dia terkejut dengan berita yang dia baru dengar itu.

“Errr… Maaflah Encik Ilham. Saya terlupa nak bagitahu Encik Ilham awal – awal. Saya ada urusan kerja kat sana. Ada meeting. Saya pergi dengan Encik Faris.”

“Dengan Faris? Dengan siapa lagi?.” Nada suara Ilham Iskandar sudah mula berubah. Wajahnya jelas menunjukkan dia cemburu apabila mengetahui Alia Farhana akan ke Langkawi bersama Faris, pengurus jabatannya.

“Errr… Berdua je Encik Ilham.” Jawab Alia Farhana teragak – agak. Dia menyedari akan perubahan nada suara dan wajah lelaki itu.

“Berdua aje??.” Soalnya kembali meminta kepastian. Dadanya sudah mula rasa tidak keruan. Mindanya sudah membayangkan yang bukan – bukan. Wajah Faris bermain di matanya. Pandangan lelaki itu tampak jelas ada maksud tersirat terhadap Alia Farhana.

“Pukul berapa flight esok? Tidur hotel mana? Sampai bila kat sana?.” Soal Ilham Iskandar lagi.

“Pukul 11 pagi, Encik Ilham. Kami tidur kat hotel Pantai Cenang. Tiga hari je kat sana, Encik Ilham.”

“Tak kongsi bilik kan dengan mamat tu?.” Soalan kali ini membuatkan Alia Farhana terkedu. Kenapa begitu sekali di fikiran Ilham Iskandar? Dia masih ada maruah. Dia masih tahu bezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Dia takkan cemarkan maruah dirinya dan keluarganya walau di mana pun dia berada. Minta dijauhkanlah benda – benda yang tak elok. Nauzubillah minzalik!

“Encik Ilham! Apa Encik Ilham cakap ni? Takkanlah saya sebilik dengan Encik Faris tu. Saya tahu dosa pahala, Encik Ilham. Takkanlah saya nak buat benda – benda yang tak senonoh belakang keluarga saya. Sampai hati Encik Ilham boleh terfikir sampai macam tu sekali.”

Ilham Iskandar sudah terdiam. Dia sedar akan kesilapan dia berkata – kata tadi. Kenapalah dia boleh terfikir sampai begitu sekali. Mungkin kerana perasaan cemburunya membuatkannya terlepas cakap. Ditoleh gadis di sebelahnya. Diam memandang keluar tingkap. Tentu gadis itu marahkannya.

“Sayang. Saya minta maaf ye. Saya tak ada niat nak anggap Sayang yang bukan – bukan. Entahlah. Saya terlepas cakap. Saya cemburu bila Sayang cakap Sayang pergi Langkawi berdua je dengan Si Faris tu. Saya minta maaf ye Sayang.” Diraihnya tangan Alia Farhana dan dibawanya ke ribaannya. Alia Farhana menarik pantas tangannya. Terasa sungguh hatinya dengan kata – kata yang keluar dari mulut Ilham Iskandar itu.

Masam mencuka wajahnya. Ditahan air matanya daripada menitis. Hatinya sedih bila lelaki yang selalu membuatkannya rindu boleh tergamak mengeluarkan ayat sebegitu rupa. Apa tanggapan lelaki itu pada dirinya selama ini? Sepertinya dia tiada harga diri pula.

“Hantar saya balik, Encik Ilham.” Sepuluh minit berdiam diri tiba – tiba Alia Farhana bersuara.

“Kita makan dulu ye Sayang.”

“Saya nak balik. Hantar saya balik, Encik Ilham.” Alia Farhana bertegas mahu pulang ke rumah saja. Entah dari mana datangnya kekuatan menolak permintaan Ilham Iskandar itu. Mungkin hatinya begitu sakit dengan kata – kata yang dilontarkan dari mulut lelaki itu.

Ilham Iskandar tidak mendesak kali ini. Dia tahu Alia Farhana terasa hati dengannya. Dia memandu menuju ke rumah gadis itu. Jika dia meneruskan juga niatnya mahu pergi makan, tentu akan lagi keruh keadaan. Lebih baik dia mengalah sahaja.

Sampai sahaja dihadapan rumah, Alia Farhana terus membuka pintu dan keluar dari kereta. Dia langsung tidak bercakap apa – apa dengan Ilham Iskandar. Hatinya sedih. Hatinya remuk dek soalan pedih yang lelaki itu ajukan.

Malam itu seusai solat Isyak, Alia Farhana mengemas beg pakaiannya. Dia menyiapkan segala keperluan untuk dibawa ke Langkawi esok. Satu persatu di semak agar tiada apa yang tertinggal nanti.

Sedang sibuk dia mengemas, tiba – tiba kedengaran bunyi mesej masuk di telefon bimbitnya. Dengan malas dia mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Dia sudah dapat mengagak yang mesej diterima itu tentu daripada Ilham Iskandar.

“Assalamualaikum Alia. Sibuk ke tu? Dah siap kemas barang?.” Disangkanya Ilham Iskandar yang menghantar mesej. Rupanya Faris yang bertanya khabar.

“Waalaikumussalam. Tengah berkemas la ni Encik Faris. Encik Faris dah siap kemas semua ke?.”

“Saya dah siap dah semua. Tinggal pergi je esok. Hehe… :-D”

“Oh baguslah tu. Siap awal – awal tak kelam kabut nanti :)”

Sedang mereka berbalas mesej, tiba – tiba mesej daripada Ilham Iskandar pula masuk. Alia Farhana mengeluh perlahan. Dibukanya mesej itu.

“Assalamualaikum Sayang. Sibuk ke tu?.”

“Waalaikumussalam. Sibuk. Ada apa Encik Ilham wasap ni?.”

“Sori saya kacau Sayang. Saya rasa bersalah sangat cakap Sayang macam tu petang tadi. I’m really sorry, Sayang. Saya janji saya tak cakap macam tu lagi. Saya cuma cemburu aje Sayang dengan mamat tu. Saya risau dia buat benda tak elok kat Sayang.”

“Ya Allah, Encik Ilham ni. Janganlah fikir yang bukan – bukan. En Faris tu tak macam tulah. Lagipun pandailah saya jaga diri. Encik Ilham tak payahlah risau sangat.”

“Mana Sayang tahu dia tak macam tu? Bukannya kita boleh baca isi hati dia. Dahlah Sayang jauh. Kalau jadi apa – apa macam mana?.”

“Encik Ilham tak payah risau ye. Insha Allah tak ada apa – apa yang tak elok berlaku. Encik Ilham doakan saya selamat hendaknya.”

“Ye Sayang. Saya selalu doakan Sayang saya ni. Esok Sayang ke airport dengan apa?.”

Tit. Tit. Faris pula menghantar mesej. Alia Farhana membuka mesej yang diterima.

“Esok awak ke airport naik apa? Saya jemput awak kat rumah ye?.”

“Eh. Tak pelah Encik Faris. Saya minta abang saya hantarkan je. Encik Faris tak payah susah – susah tau.”

“Tak pelah. Biarlah saya ambil. Lagipun kita kan nak ke tempat yang sama. Tak susah pun. Boleh ye Alia?.”

Mesej masuk berbunyi lagi. Daripada Ilham Iskandar pula. Alia Farhana membaca mesej yang dihantar.

“Sayang?.”

“Ye Encik Ilham.”

“Sayang esok ke airport dengan apa?.” Ilham Iskandar ulang semula soalan yang ditanya tadi setelah Alia Farhana tidak membalasnya.

“Saya minta abang saya hantarkan, Encik Ilham.”

“Owh… Kalau saya nak hantar Sayang boleh kan?.” Soal Ilham Iskandar lagi.

“Tak pelah Encik Ilham. Tak payah susah – susah. Abang saya boleh hantarkan. Lagipun Encik Ilham kan kerja. Nak ke Subang tu bukannya dekat. Okey Encik Ilham. Saya boleh pergi sendiri. Encik Ilham duduk kat office tu buat kerja. Okey!.”

“Alaaa Sayang. Kalau saya rindu nanti macam mana?. Dahlah tadi sekejap je jumpa.”

“Encik Ilham juga yang salah. Yang Encik Ilham cakap saya bukan – bukan tu dah kenapa? Kalau ye pun cemburu. Janganlah sampai fikir saya macam tu. Tak baik tau.”

“Yelah Sayang. Salah saya. Saya minta maaf sangat. Tak boleh kontrol rasa cemburu ni. Spontan keluar ayat macam tu.”

“Yelah. Saya maafkan Encik Ilham. Lepas ni jangan cemburu tak bertempat tau. Janji dengan saya.”

“Hmm… Susahlah nak janji Sayang. Saya takut tercemburu tanpa sengaja nanti.”

“Kalau dah macam tu. Encik Ilham juga yang susah nanti.”

“Kenapa pulak saya yang susah nanti?.”

“Yelah. Kalau saya merajuk nanti satu kerja pulak Encik Ilham nak pujuk.”

“Sayang merajuk berapa banyak kali pun saya sanggup pujuk tau.”

Tit. Tit. ‘Aduh! Encik Faris pulak. Apa lagi naknya ni?.’

Alia Farhana membaca pula mesej daripada lelaki itu. Dia membalas mesej Faris pula.

“Awak? Boleh tak saya ambil esok kat rumah?.”

“Tak payah susah – susah Encik Faris. Abang saya boleh hantar. Kita jumpa di airport je esok. Terima kasih sebab sudi nak ambil saya.”

“Hmm… Kalau dah macam tu awak cakap. Okeylah. Kita jumpa di airport aje. Selamat malam, awak.”

“Selamat malam, Encik Faris. See you tomorrow.”

Tit. Tit. Mesej masuk berbunyi lagi.

“Sayang?.”

“Ohhh… Sayang.”

“Iye Encik Ilham.”

“Kenapa tiba – tiba senyap?. Sayang online tapi tak reply mesej saya. Sayang mesej dengan siapa lagi tu?.”

“Saya balas mesej Encik Faris tadi. Tu yang saya senyap kejap tu.”

“Owh… Apa yang mamat tu nak? Selalu ke Sayang chat dengan dia tu?.”

“Tak de apalah Encik Ilham. Dia cuma tanya persiapan untuk esok aje.”

“Ye ke? Beranilah dia kalau nak lebih – lebih dengan Sayang. Kalau nak tengok saya amuk dia, cubalah dia buat.”

“Sejak bila Encik Ilham ni pandai nak amuk – amuk orang ni? Selama kenal dengan Encik Ilham rasanya tak pernah lagi Encik Ilham tunjuk perangai ganas -  ganas ni. Encik Ilham kan orangnya baik berbudi pekerti. Samseng – samseng ni tak sesuailah dengan lelaki handsome macam Encik Ilham ni. Tak macholah. Encik Ilham janganlah cemburu. Encik Faris tu cuma nak pastikan aje tak ada apa yang tertinggal esok.”

“Ni Sayang nak amik hati saya ke apa ni?.”

“Taklah. Saya cuma tak suka Encik Ilham kasar – kasar. Kan sweet kalau Encik Ilham macam sekarang. Lagipun Encik Ilham kan dah janji tadi tak nak cemburu tak bertempat.”

“Eh. Ada ke saya berjanji tadi? Rasanya saya tak ada janji apa – apa.”

“Adalah Encik Ilham janji tadi. Lupalah tu.”

“Pandailah Sayang ni. Dia yang berjanji cakap kita pulak. Okeylah Sayang. Dah lewat ni. Sayang rehatlah. Esok nak jalan jauh.”

“Saya pun dah siap berkemas ni. Nak tidur. Selamat malam, Encik Ilham.”

“Selamat malam, Sayang. Mimpikan saya tau.”

“Iye Encik Ilham. Dahlah. Saya nak tidur ni. Tiga hari lagi kita jumpa ye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam Sayang. Nite! Love you!.”

Telefon bimbit dimatikan dan diletak di atas meja kecil sebelah katil. Hatinya lega bila sudah memaafkan Ilham Iskandar. Dia tahu lelaki itu hanya cemburu dan tiada niat mahu melabel dirinya seperti tiada harga diri. Entah sejak bila lelaki itu berperangai seperti itu. Kuat cemburu, panggil dirinya dengan perkataan ‘Sayang’, terlalu caring… Hinggakan telinganya juga sudah terbiasa mendengar panggilan itu. Telinganya sedap mendengar bila lelaki itu memanggilnya ‘Sayang’. Tetapi yang dia tidak faham, kenapa Ilham Iskandar tidak pernah meluahkan perasaan pada dirinya.

Adakah dia benar – benar ada perasaan terhadapnya atau sekadar sedap mulut memanggil begitu. Dia sendiri tidak pasti.

Alia Farhana menyusun beg pakaiannya di depan almari baju. Disemak buat kali terakhir segala keperluan yang perlu dibawanya ke Langkawi. Setelah berpuas hati, dia terus berbaring di atas katil untuk tidur. Jam pun sudah pukul 11 malam. Badan sudah terasa letih. Perlahan Alia Farhana melelapkan mata.

 

 

 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience