BAB 32

Romance Completed 43587

BAB 32

     Syukur alhamdulillah kaki Alia Farhana beransur baik. Hari Isnin itu dia dapat ke pejabat walaupun jalannya masih perlahan. Pagi itu Alia Farhana ke Jaya Holding bersama Harris Hakimi. Lelaki itu telah menjemputnya seawal jam 7. 30 minit pagi. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga menaiki kereta lelaki itu untuk ke tempat kerja. Bagaimana lagi mahu mengelaknya jika seawal pagi itu dia sudah tercongok di hadapan rumah.

     Lima hari berlalu. Setiap hari pergi dan balik Harris Hakimi tidak pernah jemu mengambil dan menghantar pulang Alia Farhana. Waktu makan tengah hari juga dia tidak pernah tertinggal satu hari pun rehat bersama. Harris Hakimi memang memanfaatkan peluang yang ada untuk mendekati gadis kesayangannya itu. Sudah ada desas - desus di telinga mereka yang mengatakan bahawa mereka ada hubungan istimewa. Ramai juga yang merasa marah kepada Alia Farhana seolah - olah seperti mengkhianati bos mereka ketika Ilham Iskandar tiada di Malaysia.

     Tidak terkecuali Maria dan juga Fuad yang perasan akan keakraban Alia Farhana dan Harris Hakimi. Namun mereka sendiri tidak pasti sejauh mana hubungan mereka.

     “Sayang. Esok kita keluar jalan - jalan ea. Boringlah duduk rumah.” Ajak Harris Hakimi ketika menghantar pulang Alia Farhana ke rumahnya.

     “Awak tak tahu penat ke? Dahlah lima hari bekerja. Lepas tu bila hari cuti sibuk nak berjalan pulak. Baik rehat kat rumah.”

     “Alah bukan selalu Sayang. Nanti bila saya dah balik JB tak ada dah saya ajak Sayang keluar lagi. Ni jelah masa yang saya ada nak date dengan Sayang saya ni tau.”

     “Awak nak ke mana aje esok? Malas betul saya nak keluar. Jangan awak ajak saya jogging lagi dahlah. Tak kuasa saya nak berlari tau.”

     “Taklah Sayang. Kita date lah. Jalan - jalan, makan - makan. Boleh ye Sayang. Pukul 8 pagi saya jemput Sayang, okeh.”

     “Amboi paginya. Mall pun tak bukak lagilah Harris.”

     “Alah. Kita sarapanlah dulu. Pastu tengoklah ke mana kita boleh pergi. Esok Sayang pakai cantik - cantik tau.”

     “Hmm... Macam - macamlah awak ni. Tengoklah kalau saya rajin. Dahlah. Saya masuk dulu.” Jawab Alia Farhana lalu membuka pintu kereta.

     “Sayang, kejap!.” Harris Hakimi menarik lengan Alia Farhana agar tunggu sebentar.

     “Hah ada apa lagi ni Harris?.” Alia Farhana menoleh ke arah Harris Hakimi.

     “Lupa ke?.” Harris Hakimi menghulurkan tangan kepada Alia Farhana untuk bersalaman. Alia Farhana sudah membuat muka menyampah.

     “Dah macam laki bini kan nak salam - salam bagai.”

     “Aaminnn... Mana tahu satu hari nanti jadi kenyataan. Cepatlah salam saya.”

     Alia Farhana menghembus kasar nafasnya lalu menyambut tangan Harris Hakimi yang sedang menunggu dan menciuminya. Harris Hakimi tersenyum.

     Keesokan harinya, tepat jam 8 pagi Harris Hakimi sudah berada di hadapan rumah Alia Farhana. Ketika sampai, kelihatan Puan Zalina sedang menyiram pokok bunga di beranda rumahnya. Harris Hakimi turun dari kereta dan datang menyapa ibu Alia Farhana itu.

     “Assalamualaikum, mak cik.”

     “Waalaikumussalam. Encik Harris kan?.” Harris Hakimi mengangguk.

     “Mak cik sihat?.”

     “Alhamdulillah. Sihat. Encik Harris tunggu kejap ye. Alia tengah bersiap tu.”

     “Hah tak apa mak cik. Saya boleh tunggu. Mak cik tak payahlah panggil saya encik. Panggil Harris je dah cukup.” Habis saja Harris Hakimi membalas, terjengul Alia Farhana di muka pintu.

     “Lamanya bersiap Dik. Kesian Harris ni menunggu.” Puan Zalina menegur Alia Farhana ketika anaknya itu keluar dari rumah.

     “Tak apa mak. Dia boleh tunggu. 10 jam pun tak kisah.”

     “Eh apa cakap macam tu. Tak baik.”

     “Tak apa, mak cik. Saya dah biasa. Hmm... Saya nak minta izin mak cik ye bawa Alia keluar. Nanti saya hantar dia semula.”

     “Hah yelah. Jaga diri elok - elok tu.” Alia Farhana bersalaman dengan ibunya sebelum berjalan keluar menuju ke kereta. Harris Hakimi hanya memberikan senyuman buat wanita itu sebagai tanda hormat.

     “Cantik Sayang hari ni.”

     “Saya tahu. Dari dulu pun cantik. Tapi tulah. Cantik - cantik pun cinta tak terbalas. Apalah gunanya cantik kan?.”

     “Sayang perli saya ye?.”

     “Eh taklah. Janganlah terasa pulak.” Entah kenapa dia boleh melontarkan kata - kata sebegitu kepada Harris Hakimi. Ia seolah - olah berbunyi seperti dia amat kecewa kerana cintanya tidak berbalas suatu ketika dahulu.

     “Sayang ni. Pagi - pagi dah nak hot - hot. Kan Sayang dah janji tak nak dingin - dingin dengan saya lagi. Janganlah marah - marah. Tak seronoklah Sayang.”

     “Hah yelah. Saya layan awak baik - baik aje. Special punya saya bagi layanan. Confirm malam nanti awak tak boleh tidur sebab terasa - rasa saya punya layanan ni.” Sengaja Alia Farhana menekankan nadanya pada perkataan ‘layanan’ yang terakhir. Harris Hakimi yang mendengar terus meledak tawanya.

     “Alah Sayang. Tak perlu tunggu Sayang bagi ‘layanan’ istimewa tu pun saya tetap terasa - rasa Sayang ada dengan saya setiap masa.”

     “Eleh. Geli saya dengar.” Alia Farhana sudah membuat mimik muka menyampah.

     “Ni pagi - pagi awak dah ajak saya keluar ni nak ke mana sebenarnya? Saya ni kan ikutkan hati nak je bermalas - malasan kat rumah tu tengok tv cerita hindustan sambil makan jajan tahu tak. Awak ni potong plan saya aje tau.”

     “Daripada Sayang tengok cerita hindustan tu baik Sayang tengok muka saya ni. Ada jugak faedahnya.”

     “Eeuww! Please lah. Dari tengok muka awak tu baik saya tengok muka kambing. Menyampahlah tengok muka awak tu.” Harris Hakimi tergelak mendengar ayat yang dilontarkan oleh Alia Farhana itu.

     ‘Dahlah handsome. Kang tengok lama - lama lain pulak jadinya. Awak tu cinta pertama saya, Harris Hakimi. Hati saya sekarang ni ada dengan abang awak. So, please. Jangan buat saya jatuh cinta semula pada awak, Harris.’ Alia Farhana berkata sendiri di dalam hati.

     “Apalah Sayang ni. Selera ek Sayang tengok muka kambing. Lain macam betul citarasa Sayang.” Harris Hakimi menyakat Alia Farhana yang berada di tempat duduk sebelah. Dia sudah terkekeh - kekeh ketawa.

     “A’ah. Memang pelik taste saya ni. Masakan saya boleh jatuh cinta pada awak dulu kalau tak kerana muka awak tu macam kambing. Kan?.” Hah ambikkk. Sengaja Alia Farhana mengenakan Harris Hakimi.

     “Apa? Sayang samakan saya dengan kambing?.” Laju saja tangan Harris Hakimi menggeletek pinggang Alia Farhana yang duduk di sebelahnya. Gadis itu sudah mengekek kegelian.

     “Eh janganlah awak. Bahayalah. Bawak kereta tu betul - betul. Sempat lagi dia geletek kan.” Alia Farhana melarang.

     “Kalau nak kena lagi cakaplah lagi muka saya ni macam kambing. Bukan setakat geletek je Sayang kena nanti. Kalau berani cakaplah lagi.”

     “Okeh - okeh. Saya tak cakap lagi. Sori ea Encik Kambing.”

     “Sayang!!.” Membulat biji mata Harris Hakimi mendengar usikan Alia Farhana itu. Gadis itu pula sudah ketawa terbahak - bahak. Puas hatinya dapat mengenakan Harris Hakimi.

     “Awak. Ni kita nak ke mana ni?.” Soal Alia Farhana setelah tawanya reda.

     “Adalah. Tapi sekarang ni kita pergi sarapan dulu.” Jawab Harris Hakimi.

     Alia Farhana hanya menuruti. Setengah jam kemudian selepas mengisi perut, mereka memulakan perjalanan ke destinasi yang telah dirancang oleh Harris Hakimi.

     “Kita nak ke mana ni Harris? Dari sebelum sarapan sampai dah kenyang awak masih tak jawab lagi saya tanya.”

     “Saya nak bawak Sayang pergi kahwin. Tok kadi semua dah ready tau.”

     “Cuba serius sikit Harris. Kalau tak ada nak ke mana - mana better awak hantar saya balik.”

     “Alah Sayang ni. Gurau pun tak boleh kan. Yelah - yelah saya bagitahu. Saya nak bawak Sayang pergi Genting Highland. Lama tak pergi sana. Mesti dah banyak perubahan.”

     “Jauhnya. Macamlah dah habis round satu KL sampai perlu nak ke Genting tu kan.”

     “Bukannya selalu kita date luar KL kan. Entah bila lagi dapat berdua - duaan dengan Sayang. Lepas ni tak ada dahlah peluang macam ni. Sekurang - kurangnya bagilah saya simpan satu memori indah dengan Sayang.”

     “Hmm... Yelah Harris. Ikut awaklah. Asal awak tak bawak saya pergi tempat bukan - bukan dahlah.”

     “Takkanlah saya nak buat macam tu pada orang yang saya sayang. Cinta hati saya kot.”

     “Euwww... Geli saya dengar. Dah jangan nak merepek - repek cakap tu lagi. Bawak kereta tu elok - elok. Pandang depan tu. Janganlah pandang saya pulak. Terbabas karang.”

     “Iye Sayang. Saya drive elok - eloklah ni.” Jawab Harris Hakimi lalu menarik tangan Alia Farhana ke genggamannya.

     Alia Farhana tersentak. Membulat matanya memandang lelaki di sebelahnya. ‘Tak perlu kot nak pegang - pegang tangan macam ni. Sesuka hati je kan dia ni’. Bebel Alia Farhana di dalam hati. Namun dia hanya membiarkan sahaja. Tak guna dia melarang. Lelaki itu tetap mahukannya. Daripada bergaduh dan moodnya hilang, lebih baik diturutinya sahaja. Dia cuba sedayanya mahu berkelakuan seperti dirinya dan tidak mahu bersikap dingin dengan Harris Hakimi. Sampai bila kan dia harus berperangai seperti itu? Terus - terusan bercakap kasar dan marah - marah pada lelaki itu sedangkan dia adalah seorang yang ceria. Tentang sejarahnya bersama lelaki itu sudah lama dipadam dari kotak memorinya. Dia juga sudah memaafkan atas keterlanjuran perbuatan Harris Hakimi itu. Tak guna berdendam. Ia akan membuatkan jiwanya sakit sendiri.

     Lebih kurang 2jam perjalanan ke Genting Highland, akhirnya mereka tiba di Genting Highland Premium Oulet. Harris Hakimi meletakkan kereta di kawasan lot parking yang disediakan. Mereka menaiki kereta kabel dari situ menuju ke puncak Genting Highland. Cuaca waktu itu redup dan mendung membuatkan suasana agak sejuk.

     Alia Farhana memeluk tubuhnya. Kesejukan amat terasa kerana dia hanya memakai baju nipis ketika itu. Kalau dia tahu akan ke Genting Highland, sudah tentu dia akan memakai pakaian yang bersesuaian.

     Harris Hakimi yang perasan keadaan Alia Farhana itu terus sahaja memeluk bahu gadis itu. Alia Farhana tergamam dengan tindakan Harris Hakimi itu. Dia menoleh memandang lelaki itu namun dia tak endahkannya. Malah semakin kejap pelukannya di sisi.

     “Eh, janganlah peluk saya macam ni. Malulah orang tengok. Ramai orang kat sinilah.” Alia Farhana berbisik kepada Harris Hakimi. Ditekannya percakapannya itu agar lelaki itu mengerti.

     “Biar jelah. Bukannya orang tahu kita dah kahwin ke belum. Sayang buat biasa jelah. Mesti nanti orang sangka kita suami isteri.” Harris Hakimi menjawab kemudian dia tersenyum manis pada gadis di sebelahnya.

     “Masalahnya saya tak selesa awak tahu tak.” Alia Farhana berbisik lagi. Dia cuba menolak tubuh lelaki itu namun tidak berjaya.

     Sedang Alia Farhana membebel - bebel kepada Harris Hakimi, kereta kabel pun sampai di hadapan mereka. Giliran mereka pula untuk naik. Harris Hakimi membiarkan Alia Farhana naik dahulu disusuli dirinya pula.

     Alia Farhana mengambil tempat duduk menghadap pemandangan depan manakala Harris Hakimi pula duduk di sebelahnya. Kebetulan kereta kabel yang mereka naiki hanya mereka berdua sahaja di dalamnya.

     “Awak duduk depan sana boleh tak? Jangan duduk sebelah saya sini.” Alia Farhana mengarah Harris Hakimi agar berpindah duduk di bangku hadapannya.

     “Laaa. Kenapa pulak saya tak boleh duduk sebelah awak ni? Kalau duduk situ tak nampaklah pemandangan kat depan tu.” Harris Hakimi menjawab.

     “Ishh... Awak ni. Suka hati awaklah nak duduk mana pun. Sibuk aje.” Alia Farhana memberikan jelingan pada Harris Hakimi. Geram pula dia rasa pada lelaki itu kerana duduk di sebelahnya. Sudahlah tadi sesuka hati peluk bahu dia. Sekarang ni duduk pulak di sebelahnya. ‘Aduhaiii... Dahlah minyak wangi awak tu bukan main lagi semerbak. Ni kalau lalu sebelah awek confirm kepala dia orang boleh tertanggal sebab duk menoleh ke arah awak ni tau. Dengan muka handsome lagi... Wangi lagi... Cukup pakej tau tak awak ni Harris. Manalah saya tak terpikat dengan awak dulu. Hmm...’ Gumamnya di dalam hati.

     “Sayang. Senyum.” Harris Hakimi memanggil Alia Farhana dan terus menekan butang kamera di telefon bimbitnya.

     Mata Alia Farhana sudah membulat memandang ke arah Harris Hakimi kerana mengambil gambarnya yang masih belum bersedia. Harris Hakimi melihat gambar yang diambil kemudian dia ketawa besar.

     “Kenapa ketawa? Bak sini handfone tu saya nak tengok. Mesti hodoh kan muka saya?.” Alia Farhana cuba berebut mengambil telefon bimbit di tangan Harris Hakimi namun lelaki itu lebih pantas mengelaknya daripada di rampas.

     “Sayang nak tengok ea. Nah tengok.” Harris Hakimi menunjukkan foto tersebut kepada Alia Farhana daripada jauh. Gadis itu mengamati wajahnya di dalam gambar tersebut. Tidak lama selepas itu dia mengetap giginya kegeraman.

     “Eee.... Buruklah muka saya. Buanglah Harris gambar tu.”

     “Kalau saya tak nak.”

     “Kalau awak tak nak... Saya... Hmm...” Alia Farhana buat - buat sedang berfikir. Kemudian dengan pantas dia cuba merampas telefon bimbit milik Harris Hakimi itu namun gagal.

     Hahahaha!!! ‘Wah bukan main besar lagi ketawa, kan. Amboiii dia!.’ Alia Farhana mengetap bibir.

     Sekali lagi dia cuba merampas telefon bimbit milik Harris Hakimi itu. Dia memegang dan cuba menarik tangan kiri lelaki itu yang masih menggenggam telefon. Tangannya di angkat ke atas biar jauh daripada Alia Farhana. Gadis itu masih berusaha untuk mendapatkan telefon bimbit Harris Hakimi itu. Sedang mereka berebutkan telefon bimbit tersebut, tiba - tiba kereta kabel yang mereka naiki berhenti mendadak disebabkan tiupan angin yang agak kencang. Alia Farhana yang sedang memegang tangan Harris Hakimi yang ketika itu sedang berdiri, terus terduduk di pangkuan lelaki itu dan tersembam wajahnya pada wajah Harris Hakimi. Akibat hentian yang mengejut itu, Alia Farhana juga telah memeluk Harris Hakimi tanpa sengaja.

     Sesaat mata mereka bertemu. Namun cepat - cepat Alia Farhana bangun dan  mengalihkan wajah lalu duduk jauh daripada Harris Hakimi. Jantungnya berdegup kencang. Kemudian dia menunduk. Terasa malu kerana berkelakuan seperti itu tadi.

     “Sorry.” Alia Farhana meminta maaf.

     “Untuk apa Sayang minta maaf?. Sayang tak ada buat salah apa pun.”

     “Pasal gambar tu ikut awaklah nak simpan atau nak buang gambar saya tu. Saya tak kisah. Saya tak nak dah berebut dengan awak lagi.”

     “Sayang.” Harris Hakimi mendekat. Kemudian dia meraih tangan Alia Farhana dan mengusapnya lembut.

     “Sayang yang macam nilah yang saya tunggu sejak kita bertemu. Sayang yang suka bergurau... Manja... Terubat rindu saya bila Sayang bergurau dengan saya macam tadi tu. Saya harap Sayang akan terus layan saya macam tadi. Tak nak marah - marah... Kasar - kasar dengan saya. Sebab saya tahu Sayang bukan orangnya macam tu. Saya rindu sangat dengan Sayang yang dulu.”

     Alia Farhana merenung wajah lelaki di sebelahnya. Mencari sesuatu di dalam sepasang anak mata Harris Hakimi. Jauh di lubuk hatinya merasakan sesuatu. Namun cepat - cepat dia menafikannya. Sayang dan cintanya kini hanya untuk Ilham Iskandar seorang sahaja. Manakan boleh seorang perempuan mencintai dua orang lelaki sekaligus.

     Kereta kabel terus meluncur membelah kabus sejuk sehingga sampai ke destinasinya. Sesampai sahaja di puncak Genting Highland, mereka berjalan mengelilingi segenap pelusuk yang ada. Harris Hakimi mengajak Alia Farhana untuk bermain permainan yang ada di situ tetapi ditolak oleh gadis itu kerana dia bukanlah seorang yang sukakan permainan yang extreme sebegitu. Menjerit - jerit menaiki roller coaster, kemudian pening dan berkemungkinan akan muntah... Dia tidak mahu ambil risiko. Harris Hakimi akur dan dia akhirnya membatalkan niatnya untuk bermain. Tidak seronok pula jika hanya dia seorang yang bermain.

     Setelah puas berjalan, mereka turun ke Genting Highland Premium Oulet. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, mereka berjalan - jalan pula di sana.

     “Sayang. Jom masuk kedai jam tu.” Alia Farhana membuntuti langkah Harris Hakimi yang menuju ke sebuah kedai menjual jam tangan.

     “Cantik tak Sayang jam ni?.” Harris Hakimi menunjukkan jam tangan yang berada di dalam rak cermin itu kepada Alia Farhana.

     “Tak cantik. Terlalu kecik dengan awak. Design dia pun nampak ‘old school’. Hmm... Kalau yang ni nampak macho awak pakai. Kaler dia pun nice.” Alia Farhana menunjuk ke arah jam tangan yang menjadi pilihan matanya. Harris Hakimi tersenyum lantas meminta pekerja di situ mengambilnya. Dia membelek - belek jam tangan tersebut dan mengacukannya di pergelangan tangan. Ya. Memang cantik pilihan Alia Farhana ini. Dia meminta pula pekerja tersebut untuk ambilkan jam tangan untuk wanita pula. Memang sengaja dia pilih jam tangan yang ada pasangan. Dia sudah berniat mahu membeli jam tangan yang sama dengan cinta hatinya.

     “Sayang. Meh sini tangan. Try ni.” Alia Farhana menghulurkan tangannya. Sungguh cantik jam itu terletak di pergelangan tangannya. Harris Hakimi tersenyum melihatnya.

     “Cantik. Nak belikan untuk ummi ke? Rasanya kurang sesuai untuk ummi ni. Sebab design dia macam ni kan. Ummi kan dah berumur. Kalau kecik sikit sesuailah dengan ummi.”

     “Bukan untuk ummilah Sayang. Untuk Sayanglah ni. Cantik kan.”

     “Eh, saya kan dah ada jam tangan. Tak naklah saya.”

     “Boleh ye yang ni. Saya nak dua - dua ni.” Tanpa banyak soal, Harris Hakimi terus menghulurkan kedua - dua jam tangan yang telah dipilih oleh Alia Farhana itu.

     “Awak beli jugak ke jam tu, Harris?.” Tanya Alia Farhana.

     Harris Hakimi tidak menjawab soalan Alia Farhana itu. Dia hanya berdiam dan terus menguruskan pembayaran jam tangan tersebut. Melihat reaksi Harris Hakimi yang tidak menjawab pertanyaannya itu, tanpa menunggu jual beli selesai, dia terus keluar dari kedai jam tangan tersebut. Dia menuju ke balkoni yang mempamerkan pemandangan indah di atas bukit.

     Dingin sungguh cuaca ketika itu. Alia Farhana menggosok - gosok lengannya. Dia berdiri berpeluk tubuh sambil merenung jauh melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.

     “Jauh termenung, Sayang. Fikir apa tu?.”

     “Siap dah?.” Alia Farhana tidak menjawab malah dia bertanya pula kepada lelaki itu.

     “Dah. Jom kita pergi makan. Laparlah.” Alia Farhana hanya mengangguk dan mengikut sahaja kehendak Harris Hakimi itu.

     Mereka masuk ke dalam Restoran The Chicken Rice Shop dan mengambil tempat duduk di bahagian luar. Setelah pesanan diambil, mereka berbual - bual sementara menunggu  hidangan tiba.

     “Sayang.” Harris Hakimi memanggil Alia Farhana yang duduk bertentangan dengannya. Gadis itu memandang.

     “Selamat Hari Lahir, Sayang.” Harris Hakimi menghulurkan beg kertas berisi jam tangan yang dibelinya tadi kepada Alia Farhana.

     Alia Farhana tergamam dan keningnya bertaut kehairanan. Lidahnya kelu untuk berkata - kata. Seingatnya dia tiada pun menyebut tentang hari lahirnya hari itu. Bagaimana lelaki di hadapannya ini boleh ucap dan memberikannya hadiah?

     “Hey, tak payahlah buat muka pelik macam tu. Kenapa? Sayang hairan ye macam mana saya boleh tahu birthday Sayang hari ni?.”

     “Yelah. Saya tak ada sebut pun pasal birthday saya hari ni. Macam mana awak boleh tahu?.”

     “Sayang. Bukan hari ni je tau saya ingat tarikh lahir Sayang tu. Setiap tahun pun saya ingat. Cuma tak dapat nak wish dan bagi hadiah je kat Sayang. Tak sangka tahun ni saya berpeluang meraikannya dengan Sayang.”

     “Maksud awak... Awak masih ingat lagi tarikh lahir saya?.”

     “Of course saya ingat. Sayang terima ye hadiah tu.”

     Alia Farhana membuka bekas berisi jam tangan berjenama Titan itu. Dilihatnya tanda harga yang masih belum ditanggalkan. Kemudian dia memandang ke arah Harris Hakimi.

     “Mahal sangat ni Harris. Saya tak boleh nak terimanya. Saya tak layak nak terima hadiah semahal ni.” Alia Farhana menyua jam tangan itu kepada Harris Hakimi.

     “Jangan macam tu Sayang. Saya memang dah niat nak bagi Sayang. Sayang ambil, okeh. Sayang pakai.”

     “Tak boleh Harris. Takut saya nak pakai jam mahal macam ni. Tengok harga dia ni. Dekat seribu tu. Buatnya orang rompak saya macam mana?.”

     “Hahaha... Apalah Sayang ni. Sampai ke situ Sayang fikir. Selagi Sayang berada dekat dengan saya, insha allah tak ada apa - apa yang buruk berlaku. Saya akan selalu protect Sayang. Don't worry, okeh.”

      Harris Hakimi meminta tangan Alia Farhana dan memakaikan jam tangan yang baru dibelinya itu.

     “Hah. Sekarang barulah kita nampak seperti couple yang sangat sweet sebab jam kita sama.” Harris Hakimi menunjukkan jam tangannya kepada Alia Farhana.

     “Jam lama tu Sayang boleh simpan. Mulai hari ni Sayang mesti pakai jam tangan yang saya belikan tu tau.” Alia Farhana melihat jam tangan yang sudah berada cantik di pergelangan tangannya.

     “Terima kasih, Harris.”

     “Ye, Sayang. Sama - sama kasih Sayang.”

     “Excuse me.”

     “Owh. Makanan pun dah sampai. Terima kasih ladies.” Harris Hakimi mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang menghantar hidangan mereka.

     “Jom Sayang kita makan. Bismillah.”

     Setelah membaca doa makan, mereka pun menjamu selera. Sepanjang mereka makan itu, Harris Hakimi tidak lekang dengan senyuman di bibirnya. Dia tahu benar yang lelaki itu sedang gembira dan bahagia kerana momen indah satu hari itu apabila dapat keluar bersama orang yang dia sayang.

     Alia Farhana dapat merasakan perasaan yang di rasai oleh Harris Hakimi itu. Sebenarnya dia turut merasainya. Gembira, bahagia... Dan perasaan itu sama seperti dia bersama lelaki ini suatu ketika dahulu.

     Dia memandang ke arah lelaki yang sedang rancak bercerita itu. Seorang lelaki yang boleh dikategorikan seorang yang cukup segala - galanya. Kacak, kaya, berpelajaran, berpangkat... Siapa saja yang tidak mahu berdampingan dengan lelaki seperti Harris Hakimi ini? Tanyalah semua gadis di luar sana. Semuanya mengimpikan lelaki sepertinya. Dia? Ye. Dia ‘pernah’ menjadi kekasih main - main buat lelaki itu dahulu. Dan hari ini, lelaki ini juga yang telah menganggapnya ‘kekasih hingga matinya’. Namun dia terlewat kerana hatinya kini milik Ilham Iskandar, abang kandung lelaki ini.

     Selesai makan, mereka ke surau untuk bersolat jamak sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang, Alia Farhana tidak banyak bercakap. Dia berasa sungguh letih sekali. Harris Hakimi pula tidak penat bercerita itu dan ini. Dia tahu lelaki itu amat gembira hari itu. Sebolehnya dia tidak mahu menghilangkan rasa bahagia itu dengan melayan kasar - kasar pada lelaki itu. Biarlah dia merasa bahagia. Dia juga senang dengan keadaan itu.

     “Sayang. Kita dah sampai ni.” Harris Hakimi mengejut perlahan Alia Farhana yang sedang tidur di sebelahnya. Gadis itu masih tidak sedar. Harris Hakimi tersenyum. Dia memandang seraut wajah milik gadis yang dia sayang itu.

     “Kalaulah Sayang boleh terima cinta saya semula kan bagus. Tentu kita dah bahagia sekarang.” Harris Hakimi berkata perlahan. Dia mengusap lembut pipi Alia Farhana. Masih juga tidak terjaga dari tidurnya. Letih sangat nampaknya.

     Harris Hakimi merenung lama wajah gadis di sebelahnya. Tiba - tiba jantungnya berdegup kencang tatkala melihat bibir merah milik gadis itu. Tanpa sedar dia telah mendekatkan wajahnya hampir kepada wajah Alia Farhana. Terasa hembusan nafas gadis itu. Jantungnya semakin tidak keruan. Dia memejamkan mata dan mendekatkan bibirnya menyentuh bibir merah Alia Farhana. Dia membuka matanya. Ternyata dia tidak bermimpi ketika itu. Dia sedang mencium bibir gadis yang dia sayang. Namun tiba - tiba dia tersedar.

     “Astaghfirullah al azim. Apa yang kau dah buat ni Kimi?.” Harris Hakimi meraup wajahnya di atas keterlanjuran perbuatannya. Syukurlah Alia Farhana tidak tersedar. Kalau tidak tentu gadis itu bertambah benci pada dirinya. Cukuplah dengan perbuatan gilanya dahulu. Dia tidak mahu mengulanginya lagi selagi Alia Farhana belum sah menjadi isterinya.

     “Sayang. Bangun. Dah sampai ni.” Kali ini Harris Hakimi menggoyangkan badan Alia Farhana sedikit kuat.

     Beberapa saat kemudian Alia Farhana terpisat - pisat bangun dari tidurnya. Dia menggonyoh matanya beberapa kali.

     “Dah lama ke kita sampai ni? Sorry Harris saya tertidur. Maaf tak temankan awak drive.”

     “Baru je sampai Sayang. Tak apa. Saya tahu Sayang letih. Dah. Pergilah masuk dulu. Lewat dah ni. Isnin nanti saya jemput Sayang macam biasa ye.” Alia Farhana melemparkan senyuman dan mengangguk. Dia membuka pintu setelah semua barangan yang dibelinya tadi di ambil.

     “Sayang.” Harris Hakimi memanggil. Alia Farhana menoleh.

     “Terima kasih buat saya happy hari ni.” Harris Hakimi menghulurkan tangan. Alia Farhana menyambutnya. Namun kali ini Harris Hakimi yang mencium tangan gadis itu.

     “Ye Harris. Terima kasih jugak sebab awak bawak saya jalan hari ni dan terima kasih sangat hadiah ni. Terima kasih sebab masih ingat birthday saya.”

     “Sama - sama Sayang. Dah masuklah. Tu air liur basi kat tepi mulut tu. Busyuklah.” Harris Hakimi sengaja mengusik. Dengan pantas Alia Farhana mengelap sekeliling mulutnya.

     “Eee!! Mana ada air liur basi. Sengaja kan nak pekena.” Alia Farhana tersedar bahawa dia telah disakat oleh Harris Hakimi. Lelaki itu sudah terkekeh ketawa.

     Apabila menyedari dirinya disakat, laju saja tangannya menggeletek pinggang Harris Hakimi. Kegelian lelaki itu dibuatnya. ‘Hah. Rasakan. Tadi geletek orang tak ingat. Sekarang rasakan pulak.’

     “Dah. Dah. Dah. Sayang. Gelilah.” Harris Hakimi memegang tangan Alia Farhana yang sedang rancak menggeleteknya.

     “Tahu pun geli. Tu makan dia sebab buat saya.”

     “Okey. Okey. Saya minta maaf. Saya tak buat lagi.”

     “Awak ingat saya nak percaya awak punya tak buat lagi tu?.” Alia Farhana menjeling. Tangannya masih di genggaman Harris Hakimi.

     “Sayang. I love you. Sayang sangat kat Sayang.” Harris Hakimi meluahkan.

     “Dahlah saya nak masuk. Malas nak layan awak ni.” Alia Farhana merentap tangannya agar dilepaskan. Cepat -cepat dia membuka pintu dan keluar dari kereta.

     “Jumpa Isnin nanti, Sayang.”

     “Iye. Baik - baik drive tu. Assalamualaikum.”

     “Waalaikumussalam. Saya balik dulu. Sayang masuk dulu.” Alia Farhana melangkah masuk ke dalam beranda rumah. Selepas dia menutup pagar, barulah Harris Hakimi beredar pergi.

     Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Harris Hakimi tidak habis - habis tersenyum sendirian teringatkan momen - momen indah selama satu hari ini. Hatinya terasa semakin sayang dan cinta pada Alia Farhana walaupun dia tahu dia sedang bersaing dengan abangnya sendiri untuk merebut cinta hati mereka.

     Namun dia tahu yang Alia Farhana sebenarnya masih menyimpan perasaan terhadapnya. Dari pandangan matanya, dia tahu jauh di sudut hati gadis itu masih tertulis namanya di situ. Dia akan cuba mendapatkan kembali kekasih hatinya itu walau bagaimana cara sekalipun. Akan tetapi, jika Allah mentakdirkan bukan dia yang menjadi suami Alia Farhana, dia akur dan dia akan redha dengan takdir yang telah ditentukan buat dirinya.

 

   

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience