BAB 25
Selepas makan malam beramai - ramai tadi, Alia Farhana membantu Mak Kinah mengemas meja makan. Dia sibuk membasuh pinggan di sinki manakala Mak Kinah mengelap meja dan memasukkan semula kerusi di bawah meja makan.
“Rajinnya Sayang saya ni basuh pinggan.”
“Eh, Encik Ilham. Mestilah kena rajin. Kesian Mak Kinah buat sorang - sorang. Ni Encik Ilham sibuk duk kat dapur ni kenapa? Nak tolong kemas jugak ke?.”
“Taklah. Saja nak tengok Sayang saya ni buat apa. Busy betul dia. Sampai tak sempat pun nak tengok dia alih - alih aje dah hilang.”
“Bukan ke hari - hari Encik Ilham tengok saya? Rasanya 5 hari seminggu saya ni duk berkepit je dengan Encik Ilham ni. Kadang - kadang tu 6 hari. Tujuh hari seminggu pun pernah. Masih tak puas lagi ke?.”
“Yelah Sayang. Tak puaslah. Kalau boleh saya nak Sayang melekat kat saya ni. Tak boleh pergi mana - mana.”
“Tak naklah saya melekat dengan Encik Ilham.”
“Kenapa pulak?.”
“Nanti habis saya kena hurung semut. Tak mahulah.”
“Hurung semut? Tak faham. Apa maksud Sayang tu?.” Ilham Iskandar sudah berkerut dahi memikirkan maksud kata - kata Alia Farhana itu. Gadis itu pula tergelak kecil melihat reaksi Ilham Iskandar yang sudah kebingungan.
“Betul ni Encik Ilham tak faham?.”
“Yelah Sayang. Saya tak faham. Apa maksud Sayang tu?.”
“Apalah Encik Ilham ni. Tu pun tak dapat tangkap maksud saya. Saya tak nak duk melekat dengan Encik Ilham sebab takut nanti kena hurung semut. Yelah. Encik Ilham ni ‘sweet’ sangat layan saya. Manalah semut tak suka. Habis nanti saya digigit - gigitnya.”
“Ooo... Sayang pekena saya ea. Nakalnya dia. Meh sini saya gigit betul - betul. Baru tahu nanti.” Laju saja tangan Ilham Iskandar mencubit hidung Alia Farhana yang sedang membasuh pinggan itu. Gadis itu terkekeh - kekeh ketawa apabila dapat mengusik Ilham Iskandar.
“Aduh! Sakitlah Encik Ilham. Janganlah buat macam tu. Orang nampak nanti.”
“Biarlah orang nampak pun.”
“Seganlah saya. Tak manislah kalau orang tengok.” Alia Farhana menggosok perlahan hidungnya.
Dalam sedang mereka bergurau senda dan bergelak ketawa, mereka tidak sedar ada sepasang mata sedang menonton kemesraan mereka.
“Ehem. Apa yang kelakar sangat tu? Sharelah sikit.” Ketawa Alia Farhana mati tiba - tiba apabila Harris Hakimi menegur mereka di dapur. Lelaki itu mengambil mug dan menuang air oren ke dalamnya yang diambil dari dalam peti sejuk.
“Eh Kimi. Tak ada apalah. Borak kosong aje. Alia ni hah. Pandai bergurau jugak rupanya.” Jawab Ilham Iskandar kepada adiknya.
“Oh ye ke? Ni korang balik KL bila ni? Settle dah ke kerja kat Megah Holding tu?.”
“Beres dah. Ahad kita orang balik KL. Projek apa kau ke Melaka tu? Umi cakap busy betul kau sejak akhir - akhir ni sampai jarang jenguk dia kat rumah ni.”
“Projek usahasama dengan Syarikat Merak Wangsa. Baru dapat tender. Tu yang sibuk sikit tu.” Ilham Iskandar mengangguk - anggukkan kepalanya mendengar penjelasan Harris Hakimi itu. Mereka berbual - bual mengenai kerja masing - masing. Pada masa yang sama sesekali mata Harris Hakimi mencuri pandang Alia Farhana yang tekun menyudahkan kerjanya sedari tadi.
Dilihatnya gadis itu masih cantik seperti dahulu. Sopan dan ayu. Cuma tutur katanya sudah semakin matang di pendengarannya. Dulu semasa mengenali gadis itu, dia masih kebudak - budakan. Umurnya baru 18 tahun ketika itu. Dia pula berumur 20 tahun. Masing - masing masih muda remaja lagi dan baru nak kenal alam universiti.
“Encik Ilham. Saya naik bilik dululah. Pinggan semua saya dah basuh. Nanti bagitau Mak Kinah. Saya naik dulu ye.”
“Awalnya nak masuk bilik. Mehlah lepak dengan kita orang kejap.” Sampuk Harris Hakimi.
“Errr... Tak apalah. Mengantuk pulak rasa mata ni. Lain kali jelah kita lepak ye.” Alia Farhana membalas kata - kata Harris Hakimi itu. Dia cuba sebolehnya memaniskan wajahnya di hadapan Ilham Iskandar. Dia tidak mahu lelaki itu perasan cara layanannya kepada Harris Hakimi. Tentu akan banyak persoalan lelaki itu nanti.
“Kalau macam tu tak apalah. Esok saya bawak awak jalan - jalan bandar JB. Kita ajak umi sekali. Kimi kalau nak join sekali jomlah.”
“Saya ikut je mana - mana Encik Ilham. Okeylah saya naik dulu ye. Assalamualaikum.” Alia Farhana tidak menunggu lagi. Dia terus pergi dari ruang dapur. Dia tidak selesa dengan pandangan mata Harris Hakimi itu. Pandangannya penuh dengan makna tersirat. Matanya itu seperti ingin meluahkan segala yang terbuku di hati tetapi masih tidak terucap.
“Kau dengan Alia tu ada apa - apa hubungan ke bang?.” Soal Harris Hakimi.
“Kau rasa dia perempuan macam mana?.” Ilham Iskandar menjawab dengan soalan juga.
“Alia. Hmm.. Dia baik... Sopan... Dan... Still cantik macam dulu.”
“Eh, mana Alia?.” Mak Kinah daripada luar masuk ke ruang dapur tiba - tiba dan bertanyakan di mana Alia Farhana.
“Dia dah naik bilik dah Mak Kinah. Pinggan semua dah siap basuh.” Jawab Ilham Iskandar.
“Allah hai. Rajinnya Si Alia ni tolong kemaskan dapur ni. Ringan tulang sungguh. Untunglah siapa jadi suami dia.”
Semasa Ilham Iskandar dan Mak Kinah berbual - bual, Harris Hakimi mengambil peluang beredar dari situ. Dia baru tersedar yang dia telah tersalah cakap mengenai Alia Farhana tadi. Dia mengatakan gadis itu masih cantik seperti dahulu. Nasiblah Mak Kinah masuk ke dapur. Dia berharap yang abangnya tidak mendengar apa yang di sebutkannya tadi. Kalau tidak tentu akan timbul tanda tanya oleh abangnya itu dan akan jadi masalah lain pula. Sebolehnya dia tidak mahu bergaduh dengan Ilham Iskandar lebih - lebih lagi jika ia melibatkan perempuan.
Keesokan harinya, selepas bersarapan, Ilham Iskandar mengajak umi, abah dan Harris Hakimi keluar berjalan ke bandar JB untuk membawa Alia Farhana melihat suasana sekitar Johor Bahru. Umi dan Harris Hakimi tidak menolak pelawaan tersebut cuma Dato’ Razali sahaja yang tidak mahu turut serta. Katanya mahu berehat sahaja di rumah.
Mereka menaiki kereta milik Harris Hakimi. Di dalam kereta, Ilham Iskandar duduk di sebelah pemandu manakala umi di belakangnya dan Alia Farhana pula duduk di belakang Harris Hakimi. Sepanjang berada di dalam kereta, Alia Farhana perasan yang Harris Hakimi sering memandangnya melalui cermin pandang belakang. Sesekali mata mereka bertembung dan cepat - cepat Alia Farhana melarikan pandangan.
Tidak dinafikan Harris Hakimi memang seorang yang kacak. Masakan dia boleh ‘terjatuh’ cinta pada lelaki itu dahulu. Percakapannya yang lembut dan pandangan matanya yang menggoda sering membuatkan hatinya cair. Pada masa itu dia terlalu muda untuk menilai mana cinta yang suci dan mana cinta yang palsu. Selama 2 tahun dia cuba melupakan tragedi hitam itu. Sehingga kini dia merahsiakan segala yang terjadi daripada pengetahuan keluarganya. Dia tidak mahu ibu dan abangnya risau dan sedih atas apa yang telah terjadi. Biarlah dia simpannya sendiri di dalam hati.
Tapi apabila semuanya telah dilupakan, boleh pula Harris Hakimi muncul semula. Semua yang di simpan kemas jauh di sudut hatinya muncul semula satu persatu di ingatannya.
Sungguh dia tidak kuat untuk hadapi semua ini. Dia tidak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur agar jauh dari lelaki itu. Cepatlah masa berlalu. Pintanya di dalam hati.
Banyak tempat yang mereka kunjungi sehinggalah lewat petang baru mereka pulang ke rumah. Datin Ruhani bukan main banyak lagi berbelanja. Dah lama tidak window shopping katanya. Sesekali dapat keluar macam ni memang seronok. Lagi - lagi keluar dengan anak - anaknya. Bahagia rasa.
Datin Ruhani turut membelikan bermacam - macam barang untuk Alia Farhana. Baju, tudung, handbag dan kasut untuk dirinya. Naik segan pula gadis itu untuk menerimanya dan tidak sampai hati untuk menolak pemberian daripada umi. Beria - ia benar umi membelikan untuknya. Katanya dia tiada anak perempuan untuk diajak shopping seperti itu. Menantu pun masih belum ada. Kebetulan dia ada bersama ketika itu sudah cukup membuatkan Datin Ruhani rasa seperti mempunyai anak perempuan. Lagi pula dia sudah menganggap Alia Farhana itu macam anaknya sendiri. Mungkin dengan personaliti gadis itu yang mudah mesra dan pandai bawa diri, membuatkan hubungan mereka tidak kekok dan seperti sudah lama kenal.
Malam itu, selepas makan malam, Alia Farhana mohon naik ke bilik dahulu kerana dia mahu mengemas beg pakaiannya kerana esok dia dan Ilham Iskandar akan pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak mahu ada barangnya yang tertinggal nanti jika dia mengemas last minute.
Harris Hakimi juga masuk awal ke biliknya. Mahu berehat katanya. Ilham Iskandar pula duduk berbual - bual dengan umi dan abahnya sambil menonton televisyen.
“Is. Kenapa putus dengan Hana?.” Tanya Datin Ruhani tiba - tiba. Ilham Iskandar menoleh ke arah uminya.
“Tak ada jodoh umi.” Jawabnya ringkas.
“Aii. Clichenya jawapan Is. Tak ada jodoh. Ni mesti ada sebab lain. Cuba cerita pada umi.”
“Betullah umi. Dah tak ada jodoh nak buat macam mana kan. Takkan nak paksa.”
“Yelah umi tahulah tak boleh nak paksa kalau dah tak ada jodoh tu. Tapi mesti ada sebab dan puncanya. Is kata nak cerita pada umi. Umi pun nak tahulah jugak sebabnya kenapa tiba - tiba boleh putus. Bercinta pun dah lama. Lima tahun. Sayanglah kalau penyudahnya putus.”
“Dia ada lelaki lainlah umi.” Ringkas sahaja jawapan Ilham Iskandar.
“Ke... Is yang ada perempuan lain?.” Dato’ Razali yang sedari tadi menjadi pendengar setia menyampuk perbualan dua beranak itu. Datin Ruhani menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata - kata suaminya.
“Ish mana ada abah. Is tak pernah pun curang dengan dia. Is sayang kat Hana tu. Tapi tak sangka dia sanggup buat macam tu pada Is.”
“Tapi sekarang Is dah tak sayangkan dia kan?.”
“Apa maksud abah?.”
“Is sukakan Alia kan? Abah nampak cara Is layan dia, cakap dengan dia... Tak macam seorang bos bercakap dengan pekerja. Lagi satu. Jawatan PA tu. Sejak bila wujud dalam company kita? Semua tu Is yang adakan sendiri kan?.”
Ilham Iskandar sudah tersengih mendengar kata - kata ayahnya. Umi pula masih tekun mendengar dan setia menanti cerita selanjutnya.
“Sebenarnya memang betul cakap abah tu. Is sukakan Alia dan jawatan PA tu memang Is yang reka sendiri. Umi dan abah okey ke kalau Is dengan Alia?.”
“Sejujurmya umi memang suka dengan Alia tu. Baik budi pekerti orangnya. Tak segan silu masuk dapur tolong Mak Kinah. Umi bukan nak banding dia dengan Hana. Tapi Is pun boleh nampak sendiri kan. Betul tak abang?.”
“Betul cakap umi tu. Alia tu abah tengok pun baik budaknya. Mudah mesra dengan orang. Eloklah kalau Is dengan dia.”
“Dah tu bila umi dengan abah boleh masuk meminang dia ni?.” Datin Ruhani sudah tersenyum lebar. Matanya bersinar - sinar kegembiraan.
“Nantilah dulu umi. Alia tu pun masih tak tahu yang Is sukakan dia. Ni kan pulak tiba - tiba nak ajak kahwin.”
“Laa ye ke? Apa lambat sangat bertindak ni Is? Kita ni orang lelaki kena pantas. Kang kena sapu dek orang baru Is tahu.”
“Yelah Is ni.Susah - susah sangat umi masuk meminang jelah. Mesti dia terima punya.”
“Buatnya tak terima umi? Umi juga yang malu nanti. Is memang nak bagitahu dia tentang perasaan Is ni. Nanti semua dah ready, Is bagitahulah bila boleh masuk meminang. Okey umi, abah?.”
“Kalau dah Is cakap macam tu, kami ikut jelah. Tapi janganlah lambat - lambat ye. Umi tak sabar nak dapat menantu ni.”
“Ye umi. Sampai jodoh nanti kami kahwinlah nanti. Okeylah. Is nak masuk bilik dulu. Nak rehat. Esok kan nak balik KL dah.”
“Hah yelah.”
Jam menunjukkan hampir pukul 11 malam ketika Ilham Iskandar mahu masuk ke biliknya. Pada mulanya dia mahu singgah sebentar di bilik Alia Farhana tetapi dibatalkan kerana dia tidak mahu mengganggu gadis itu berehat.
Sementara di bilik Alia Farhana, gadis itu baru sahaja meletakkan badannya di atas katil. Lampu dimatikan dan bersedia untuk tidur. Tiba - tiba dia terdengar bunyi pintu biliknya di buka dari luar. Dengan pantas dia bangun dari pembaringan dan menyalakan lampu tidur di sisi katil.
Terkejut bukan kepalang apabila dia melihat Harris Hakimi berada di depan matanya. Dia tidak menjerit kerana tidak mahu satu rumah kecoh. Dan selebihnya dia tidak mahu umi dan abah menganggap dirinya yang bukan - bukan jika mereka dapat tahu.
“Harris. Apa awak buat dalam bilik saya ni? Baik awak keluar sekarang.”
“Alia. Saya takkan keluar selagi saya tak dapat luahkan apa yang tersimpan dalam hati saya ni.”
“Apa yang awak nak cakapkan lagi Harris? Saya rasa antara kita pun dah tak ada apa - apa hubungan. Lagipun kita tak pernah pun bercinta dulu. Jadi... Awak nak cakap apa sebenarnya ni?.”
“Saya nak minta maaf pada awak atas apa yang dah saya lakukan dulu. Pada mulanya saya memang berniat nak buat ‘benda’ tu pada awak. Tapi... Bila saya angkat awak dan letakkan awak atas katil saya masa tu... Saya tak tergamak nak lakukannya pada awak. Sumpah! Saya tak ‘sentuh’ awak. Saya cuma tidur dengan awak aje. Saya tahu saya kaki perempuan dulu. Tapi saya tak pernah pun buat ‘benda’ tu dengan perempuan lain. Awaklah yang pertama saya lihat...”
“Cukup! Saya tak nak dengar lagi. Lebih baik awak keluar sekarang. Kalau semua orang tahu akan jadi kecoh nanti.”
“Alia. Berilah saya peluang untuk tebus semuanya. Saya janji saya akan bahagiakan awak.”
“Apa yang awak merepek ni? Awak nak bahagiakan saya dengan cara apa? Setelah semua mimpi buruk yang awak berikan pada saya dulu awak ingat mudah - mudah je ke saya boleh terima? Awak pergi macam tu je. Menghilang tanpa berita. Alih - alih hari ni awak cakap nak bahagiakan saya selepas 3 tahun berlalu?.”
“Saya betul - betul minta maaf. Saya dapat tawaran belajar di London. Saya terpaksa pergi. Selama tu jiwa saya tak tenteram. Saya selalu ingatkan awak. Saya rasa bersalah. Berdosa pada awak. Please Alia. Maafkan saya.”
“Sudahlah Harris. Tolonglah keluar. Saya merayu tolong keluar dari bilik ni sekarang sebelum orang lain tahu.”
“Alia.” Harris Hakimi datang mendekati Alia Farhana yang sedang bersandar di dinding. Dia menunduk menahan tangis.
“Saya benar - benar minta maaf pada awak. Saya janji saya takkan kecewakan awak lagi. Kita mulakan semula hubungan kita ni ye?.” Harris Hakimi berbisik perlahan. Dia meletakkan kedua belah tangannya di dinding di kiri kanan Alia Farhana. Kini gadis itu berada amat dekat dengannya.
“Awak tak ingat ke yang kita tak pernah bercinta pun. Nak mulakan semula hubungan apa?.” Air mata Alia Farhana sudah mula bergenang di tubir mata. Tunggu masa sahaja ia gugur.
“Tapi saya tahu awak cintakan saya dulu kan? Saya je buta tak nampak keikhlasan cinta awak tu.”
“Ye saya mengaku saya pernah cintakan awak dulu. Tapi sekarang tidak lagi. Saya... Saya...” Alia Farhana kehilangan kata - kata. Air matanya sudah jatuh membasahi pipi. Harris Hakimi mengangkat perlahan dagu Alia Farhana. Di sekanya air mata itu. Gadis itu hanya membiarkannya sahaja. Dia keliru dan tidak tahu mahu membuat apa ketika itu. Dia memandang tepat ke dalam mata Harris Hakimi. Beberapa saat mata mereka bertemu. Hanya mata yang berbicara setiap rasa yang melanda.
Air mata Alia Farhana masih tidak berhenti. Perasaannya bercampur baur ketika itu. Harris Hakimi mengambil tangannya dan dibawa ke dada. Jelas terasa degupan jantung lelaki itu.
“Kurang ajar kau Kimi!.” Satu tumbukan tepat mengenai muka Harris Hakimi. Lelaki itu jatuh terbaring ke lantai. Alia Farhana menekup mulutnya kerana terkejut melihat Ilham Iskandar tiba - tiba masuk ke biliknya dan menumbuk adiknya sendiri.
“Berani kau masuk dalam bilik ni ea Kimi. Kau dengan Alia ada apa hubungan sebenarnya ni? Alia. Bagitahu saya apa yang awak rahsiakan daripada saya? Awak kenal kan Kimi ni? Kenapa tak bagitahu saya?.” Muka Ilham Iskandar sudah memerah menahan marah. Suaranya tetap di kawal agar umi dan abahnya tidak dengar kekecohan tersebut.
“Encik Ilham. Tolong. Jangan bergaduh. Saya akan jelaskan pada Encik Ilham. Tapi sekarang ni tolonglah keluar dulu dari bilik ni. Harris. Tolong keluar. Saya merayu. Tolonglah. Nanti umi dengan abah dengar kecoh - kecoh ni.”
“Okey. Saya tunggu penjelasan dari awak. Kau Kimi!!.” Ilham Iskandar sudah mengepal penumbuknya mahu menumbuk lagi adiknya. Marah sungguh dia apabila melihat adiknya itu berdiri dekat dengan Alia Farhana dan memegang pula tangan gadis itu. Tetapi kenapa dia tidak menolaknya? Kenapa dibiarkan sahaja adiknya memegang tangannya?. Mereka ada rahsia apa yang disorok? Mereka ada hubungan apa? Hatinya memberontak ingin tahu.
Malam itu masing - masing tidak dapat tidur. Masing - masing memikirkan kejadian yang berlaku tadi. Pada Harris Hakimi, dia dapat merasakan bahawa Alia Farhana masih menyimpan perasaan terhadapnya. Masakan gadis itu hanya membiarkan sahaja tangannya di pegang olehnya. Dan tidak menolak dirinya apabila dia berdiri dekat dengannya.
Ilham Iskandar pula masih marah dan perasaan ingin tahu begitu membuak - buak. Dia tidak sabar ingin tahu apa sebenarnya hubungan antara Alia Farhana dengan adiknya, Harris Hakimi.
Sementara Alia Farhana berasa takut untuk bertemu hari esok kerana dia bimbang Ilham Iskandar tidak boleh menerima alasannya nanti.
“Apa yang harus aku lakukan Ya Allah. Bantulah aku.” Dan air matanya sekali lagi gugur membasahi pipi.
Share this novel