BAB 44
Subuh yang hening, Alia Farhana masih setia menemani Harris Hakimi di hospital. Dia masih setia menanti suaminya membuka mata. Doa tidak putus - putus diminta dari yang Maha Esa agar suaminya diangkat dari penyakit yang dihidapnya. Dia bermohon agar suaminya segera membuka mata.
Selepas menunaikan solat fardhu Subuh di surau, Alia Farhana dan ibunya bergegas ke wad yang menempatkan Harris Hakimi. Ilham Iskandar pula selepas bersolat tadi dia terus keluar kerana mahu mencari sarapan untuk mereka semua.
Alia Farhana duduk di sisi katil Harris Hakimi. Dia menatap sayu wajah suaminya. Dia menggenggam erat jemari suaminya. Air matanya menitis lagi.
“Biy. Bila Biy nak bangun ni? Sayang. Sayang rinduuu sangat dengan Biy. Kenapa Biy rahsiakan dari Sayang? Kenapa Biy tak bagitahu Sayang yang Biy sakit? Kita boleh kongsi sama - sama. Tak delah Biy kena tanggung sorang - sorang kesakitan Biy ni. Biy. Bangunlah Biy. Janganlah buat Sayang susah hati.”
“Adik. Sabar. Kita doa sama - sama. Insha allah semuanya akan baik - baik aje. Adik kena kuat.” Puan Zalina memberikan kata semangat buat anak perempuan kesayangannya ini.
“Tapi Adik takut, mak. Adik takut kehilangan Harris. Macam mana kalau dia tak sempat jumpa anak dalam perut ni?.”
“Astaghfirullah al azim. Apa Adik cakap ni? Mengucap Adik! Doa yang baik - baik. Jangan fikir yang bukan - bukan. Doa. Mintak pada Allah biar Harris ni sembuh. Bukan fikir yang bukan - bukan. Harris pun tak suka tengok Adik lemah macam ni. Adik kena kuat semangat. Kena cekalkan hati tu. Faham?.”
Alia Farhana hanya mengangguk. Air matanya masih tidak henti mengalir. Dia masih mengusap jemari suaminya. Sedang dia asyik mengelamun sambil tangannya tidak lekang di tangan Harris Hakimi, tiba - tiba, jari Harris Hakimi bergerak - gerak perlahan. Matanya juga terbuka perlahan. Alia Farhana terkesima.
“Mak. Harris dah sedar, mak. Panggil doktor, mak.” Puan Zalina bergegas keluar untuk mendapatkan doktor atau jururawat yang berada di luar. Alia Farhana mengesat air matanya.
“Biy. Ya Allah. Alhamdulillah Biy dah sedar.” Alia Farhana tersenyum dalam tangisnya. Dia bersyukur kerana akhirnya Harris Hakimi sedar juga. Suatu penantian yang amat bermakna.
Tidak lama kemudian, doktor dan jururawat pun masuk mendapatkan Harris Hakimi untuk pemeriksaan.
“Macam mana doktor dengan suami saya?.” Alia Farhana bertanya kepada doktor setelah beberapa minit membuat pemeriksaan ke atas Harris Hakimi.
“Alhamdulillah. Keadaan suami puan semakin baik setakat ini. Cuma...”
“Cuma apa, doktor?.”
“Cuma, jangan putus berdoa ye. Banyak kemungkinan boleh berlaku bila - bila masa saja. Dengan keadaan otaknya yang dah tak boleh berfungsi dengan baik, saya tak nak letakkan harapan yang tinggi jika Encik Harris boleh sembuh sepenuhnya. Saya harap puan dapat bersabar. Jangan bagi tekanan pada Encik Harris. Kami bimbang kalau - kalau ia semakin melemahkan kesihatan Encik Harris. Kalau tiada apa - apa lagi, saya keluar dulu.”
‘Allahuakbar. Ya Allah. Kau kuatkanlah aku. Kau kuatkanlah suamiku. Berikan kesembuhan kepadanya Ya Allah.’ Usai berdoa di dalam hati, Alia Farhana terus mendapatkan suaminya. Sebelum itu, dia mengelap air matanya dahulu. Dia tidak mahu terlihat lemah di hadapan Harris Hakimi.
“Biy...” Alia Farhana tidak dapat meneruskan percakapannya. Hatinya sebak. Namun dia cuba menahan agar air matanya tidak jatuh.
Harris Hakimi tersenyum memandangnya.
“Sa..yang. Biy... Min..ta maaf se..bab rah..siakan dari..pada Sa..yang. Biy tak nak Sa..yang susah hati.” Harris Hakimi berkata lemah.
“Biy tak patut sorokkan dari Sayang. Kan kita dah janji tak nak ada rahsia antara kita? Kesian Biy kena tanggung sorang - sorang.”
“Biy min..ta maaf ye, Sayang.”
“Dah Biy. Jangan cakap banyak - banyak lagi. Syukurlah Biy dah sedar. Biy buat jantung Sayang nak gugur tau. Sayang takut sangat semalam.”
“Maafkan Biy ye, Sa..yang. Anak ki..ta macam ma..na? Si..hat tak dia?.”
“Anak kita sihat je Biy. Baik je dia duduk kat dalam ni. Dia pun turut rasa tau kesedihan mama dia ni.” Alia Farhana menarik tangan Harris Hakimi dan dibawanya ke perutnya. Kebetulan semasa tangan mereka letak saja di perutnya, bayi di dalam kandungannya menendang. Mereka sama - sama tersenyum.
“Hah rasa tak tu Biy. Baby tendang.”
Harris Hakimi mengangguk. Namun tiba - tiba air matanya mengalir di pipi. Sayu hatinya mengenangkan dirinya yang sedang terlantar sakit dan tidak boleh berbuat apa - apa. Bagaimana nanti jika isterinya mahu melahirkan? Dia sebagai suami tidak dapat menemankan isterinya berjuang melahirkan zuriat cinta mereka. Mungkin juga tidak dapat membesarkan anak mereka bersama - sama.
“Hey, Biy. Kenapa menangis ni?.”
“Biy.. Minta maaf. Se..bab tak da..pat te..mankan Sa..yang ber..salin nanti.”
“Tak apa Biy. Yang penting kesihatan Biy. Biy kena sihat cepat tau. Nanti bolehlah tolong Sayang jaga baby malam - malam. Biy jaga baby. Sayang tidur.” Alia Farhana ketawa kecil. Saja dia berkata begitu kerana mahu menghiburkan hati suaminya dan juga hatinya sendiri. Namun apa yang dia dapat rasakan semua yang dikatakan tadi tidak mungkin menjadi kenyataan. Tapi jauh di sudut hatinya masih mahu impiannya tercapai. Berbahagia bersama Harris Hakimi meraikan anak mereka nanti. Doanya semoga apa yang dihajati dimakbulkan oleh Allah swt.
“Kimi? Alhamdulillah. Kimi dah sedar.” Tiba - tiba muncul Ilham Iskandar pulang dari membeli sarapan. Ilham Iskandar terus mendapatkan adiknya selepas meletakkan makanan yang di bungkus di atas meja.
“A..bang Is.” Harris Hakimi tersenyum sedikit.
“Ya Allah Kimi. Berapa lama ni Kimi tanggung ni? Kimi buat kami semua susah hati tau.”
“Ki..mi min..ta maaf. Ki..mi tak a..da niat pun nak sem..bu..nyi..kan. Ki..mi tak nak se..mua orang su..sah ha..ti.”
Ilham Iskandar menggeleng kepalanya. Ternyata dia amat risaukan keadaan adiknya. Dia masih tidak percaya yang dia berada di hospital ini kerana adiknya. Seperti mimpi! Kali terakhir dia berjumpa dengan Harris Hakimi lebih kurang 2 bulan yang lalu. Itu pun bukan dalam suasana yang harmoni. Mereka bergaduh sehingga hampir melibatkan pihak polis. Dan hari ini mereka berjumpa lagi dalam keadaan yang sayu. Sukar mahu percaya.
Alia Farhana menyuakan segelas air masak kepada Harris Hakimi. Suaminya minum perlahan - lahan. Kemudian dia berbaring semula.
“Biy rehat, okey. Jangan cakap banyak - banyak.” Alia Farhana membetulkan selimut yang menyelimuti tubuh Harris Hakimi. Suaminya menutup mata dan terlena.
“Jom makan dulu. Mak mana?.” Tanya Ilham Iskandar selepas menyedari ketiadaan Puan Zalina di dalam wad itu.
“Mak jumpa Abang Man kat bawah. Abang Man tak boleh nak naik sebab nak cepat ada hal.” Ilham Iskandar mengangguk kepala.
Puan Zalina terpaksa meninggalkan Alia Farhana sendiri tadi setelah memanggil doktor dan jururawat untuk memeriksa menantunya selepas mendapat panggilan telefon daripada Aiman Farhan.
Ilham Iskandar menghidangkan makanan yang dibelinya di atas meja. Dia mengajak Alia Farhana makan bersama. Sengaja dia tidak makan di kedai tadi kerana mahu menemani wanita itu bersarapan.
Alia Farhana menghampiri Ilham Iskandar dan duduk di kerusi bertentangan. Dia mengambil air yang berisi di dalam cawan plastik. Dia termenung melihat cawan yang di pegangnya. Dalam hatinya merasa bersyukur kerana Harris Hakimi sudah pun sedar. Namun dia masih merasa bimbang akan kondisi kesihatan suaminya itu.
“Hey. Alia? Kenapa termenung ni? Jom makan. Sementara masih panas ni.”
“Abang. Macam mana kalau Harris tak sempat tengok anak dia ni? Saya.. Saya takutlah. Saya takut nak menghadapinya.”
“Astaghfirullah al azim. Apa yang Alia cakap ni? Kenapa fikir yang bukan - bukan? Cakap tu kan satu doa. Cuba fikir yang baik - baik. Doa yang baik - baik. In sha Allah Kimi akan sihat, akan sembuh. Kita semua sayangkan dia. Nak dia sihat. Abang tak nak dengar lagi Alia cakap macam tu lagi. Abang tak nak Alia fikir yang buruk - buruk. Sekarang ni Abang nak Alia makan. Malam tadi pun makan sikit aje. Kesianlah dekat baby dalam perut tu. Nah makan ni.”
Panjang lebar Ilham Iskandar membebel pada Alia Farhana. Geram pula dia asyik mendengar percakapan Alia Farhana begitu. Sepatutnya kenalah berdoa agar suami tu sembuh dan sihat. Bukannya asyik fikir akan kehilangan adiknya itu. Ya. Dia faham akan perasaan wanita itu. Dengan berkeadaan sarat mengandung, diuji pula dengan ujian sebesar ini, tentu saja emosi wanita itu tidak stabil. Dia bukanlah nak marahkan sangat Alia Farhana tu. Cuma dia tak nak wanita itu terus - terusan berfikiran negatif. Sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kesihatan dirinya sendiri.
Alia Farhana tidak membalas bebelan Ilham Iskandar itu. Dia penat mahu bertikam lidah. Akhirnya dia menjamah juga makanan yang dibeli oleh Ilham Iskandar itu.
Sedang mereka menjamu selera, Puan Zalina masuk ke dalam bilik wad bersama - sama dengan Datin Ruhani dan Dato Razali. Kebetulan semasa dia berjumpa Aiman Farhan di bawah tadi, mereka datang mahu melawat Harris Hakimi. Sekalianlah naik ke tingkat atas.
Datin Ruhani menjinjing sebuah beg pakaian yang berisi beberapa helai pakaian Alia Farhana dan juga kelengkapan melahirkan. Mana tahu jika tiba - tiba menantunya itu mahu bersalin, tidaklah kelam kabut nanti.
Selepas melihat keadaan Harris Hakimi, mereka duduk di sofa. Manakala Puan Zalina pula bersarapan makanan yang dibeli oleh Ilham Iskandar.
Alia Farhana ke bilik air kerana mahu membersihkan diri. Dari semalam lagi dia tidak mandi. Badannya sudah merasa tidak selesa. Ilham Iskandar berdiri berhampiran pintu bilik air kerana dia amat risaukan wanita itu yang berseorangan di dalam bilik air.
Beberapa minit kemudian, Alia Farhana pun keluar selepas selesai membersihkan diri. Dia berjalan dengan amat perlahan sekali. Sesekali dia berhenti di pertengahan jalan. Wajahnya berkerut menahan kesakitan. Ilham Iskandar yang melihatnya terus mendapatkan wanita itu.
“Alia? Awak okey tak ni?.”
“Saya okey je. Cuma perut ni mengeras sikit.”
“Dah - dah jom duduk kat sofa sana.”
Ilham Iskandar memaut lengan Alia Farhana untuk membantunya berjalan. Sebenarnya Alia Farhana sudah mulai rasa beberapa kali kontraksi. Namun dia hanya abaikan kerana ia tidaklah begitu ketara sakitnya. Tetapi pagi itu, kontraksinya agak kuat sedikit berbanding yang sebelumnya.
Masing - masing memandang ke arah Alia Farhana yang sedang duduk bersandar di sofa.
“Agaknya Alia dah mula rasa tanda - tanda nak melahirkan tak?.” Datin Ruhani memberikan pendapatnya.
“A'ah. Agaknya tak. Kerap sangat ke tak contraction tu?.” Tanya Puan Zalina.
“Tak delah kerap sangat. Sesekali aje rasa mengeras perut ni.” Jawab Alia Farhana.
“Tak lama lagilah tu baby nak keluar. Alia jangan risau. In sha allah semuanya dipermudahkan. Kita doa sama - sama. Tak sabarnya nak tunggu cucu pertama kita lahir, Kak Ina?.” Jelas kelihatan di raut wajah Datin Ruhani yang dia tidak sabar menantikan kelahiran penyambung waris mereka. Dato’ Razali turut tersenyum mendengar kata - kata isterinya itu.
Malam itu, Alia Farhana masih setia menemani Harris Hakimi di hospital. Namun pada malam itu hanya dia dan Ilham Iskandar sahaja yang menemankannya.
Lebih kurang pukul10 malam, Harris Hakimi terjaga dari tidurnya. Dia melihat isterinya sedang terlena di sisinya. Perlahan - lahan dia cuba membangunkan badannya untuk duduk bersandar di kepala katil. Namun cepat sahaja Ilham Iskandar datang membantunya. Mujurlah Alia Farhana tidak terjaga.
“Terima kasih.” Ucap Harris Hakimi perlahan.
“Sama - sama. Kau nak air tak?.” Tanya Ilham Iskandar.
Harris Hakimi mengangguk. Lalu Ilham Iskandar pun menyuakan segelas air masak ke mulut adiknya.
“Nak makan? Tu ada bubur aku beli tadi.”
Harris Hakimi menggeleng. Dia merasa tidak selera mahu makan ketika itu. Namun Ilham Iskandar memaksanya supaya makan juga kerana dia perasan yang adiknya tidak menjamah sebarang makanan sejak dari pagi tadi. Akhirnya Harris Hakimi akur juga dengan permintaan abangnya. Dia makan juga bubur yang disuap oleh abangnya itu walaupun tekaknya merasa pahit untuk menelan.
Selepas selesai makan, Ilham Iskandar mengemas bekas makanan dan mengelap mulut adiknya.
“Terima ka..sih A..bang Is. Kimi min..ta maaf dah me..nyu..sah..kan Abang.”
“Sama - sama. Apa yang kau cakap ni? Kau tu kan adik aku. Kau kan tengah sakit sekarang. Aku bantulah kau. Lagipun... Kan kau dah bantu aku masa aku kena culik dengan Hana dulu. Lagi besar bantuan kau pada aku. Apalah sangat aku tolong suapkan kau makan ni.”
“Kau nak apa - apa lagi tak?.” Soal Ilham Iskandar lagi.
Harris Hakimi menggeleng tanda tidak mahu apa - apa lagi.
“Kalau gitu kau rehatlah. Kalau nak apa - apa panggil je aku. Aku tidur kat sofa sana. Kau jerit je okey.”
Baru saja Ilham Iskandar mahu mengangkat kaki, tiba - tiba ditahan oleh Harris Hakimi.
“Se..ke..jap A..bang Is.” Harris Hakimi memegang tangan Ilham Iskandar memintanya agar jangan pergi.
“Kau ada nak apa - apa ke?.” Tanyanya. Harris Hakimi menggeleng.
“Ki..mi nak min..ta maaf. Maaf...kan Ki..mi se..bab banyak buat sa..lah pada Abang Is. Ki..mi ba..nyak do..sa pa..da Abang.”
“Semua salah kau pada aku, aku dah maafkan. Biasalah kan. Adik - beradik mana yang tak bergaduh. Aku dah lupakan dah semua perselisihan kita. Lagipun, aku pun banyak buat salah kat kau. Selalu cari pasal dengan kau. Aku mintak maaf tau.”
“Ki..mi dah maaf..kan dah. A..bang ja..ngan ri..sau.” Harris Hakimi tersenyum tipis.
Sesungguhnya dia sudah maafkan dan melupakan segala persengketaan antara mereka. Sedikit pun dia tidak simpan dalam hati. Begitulah Harris Hakimi. Seorang yang tidak pernah berdendam.
“A..bang Is. Ki..mi ada sa..tu per..min..taan.”
“Apa dia?.”
“Ka..lau ja..di apa..apa pa..da Ki..mi, to..long ja..ga Alia, ya. To..long ja..ga anak Ki..mi baik...baik. Buat..lah se..per..ti a..nak A..bang Is sen..di..ri.”
“Apa yang kau cakap ni? Kau akan sembuh. Kau akan sihat. Aku tak nak dengar kau cakap macam ni lagi. Istighfar banyak - banyak. Tak lama dah Alia dah nak bersalin. Kau tak nak tengok zuriat kau lahir ke?. Jangan cakap bukan - bukan.”
“Sia..pa yang tak nak te..ngok anak dia lahir Bang. Ki..mi dah nak ja..di ayah. Ta..pi Ki..mi takut tak sem..pat aje.”
“In shaa Allah sempat. Kita doa semoga kau cepat sembuh.”
“Ta..pi. To..long janji ye yang A..bang Is akan jaga Alia dan a..nak Ki..mi? Kah..win dengan A..lia. Plea..se.”
Ilham Iskandar menghembuskan nafasnya berat. Apa mungkin ini adalah wasiat terakhir adiknya jika ada apa - apa berlaku pada dirinya kelak? Teringatkan kata - kata doktor yang adiknya tiada harapan untuk pulih membuatkan hatinya berasa sebak. Hatinya sayu tiba - tiba.
“Please A..bang Is?.”
“Baiklah. Aku janji aku akan jaga Alia dan anak kau sebaik - baiknya. Kau jangan risau okey.”
“Te..ri..ma kasih A..bang Is.” Harris Hakimi tersenyum. Kemudian dia menyambung lagi percakapannya.
“To..long ke..jutkan Alia ti..dur. Ba..wa dia ke so..fa. Ke..sian dia ti..dur macam ni.”
Ilham Iskandar mengangguk perlahan. Lalu dia ke sisi Alia Farhana dan mengejutnya. Beberapa kali dikejut barulah Alia Farhana terjaga.
“Biy. Biy kenapa?.” Tergopoh - gopoh dia melihat keadaan suaminya. Namun dilihatnya suaminya sedang tidur. Dia menoleh ke belakang. Ilham Iskandar sedang berdiri di sampingnya. Terkebil - kebil dia melihat lelaki itu.
“Kenapa kejut saya?. Harris kenapa - kenapa ke?.”
“Kimi tak ada apa - apa. Alia janganlah tidur macam ni. Sakit badan tu. Tidurlah kat sofa sana.”
“Oh. Saya ingat Harris kenapa tadi.” Alia Farhana bangun dari duduknya. Dia melihat ke arah suaminya yang sedang lena. Dia membetulkan selimut di badan suaminya. Kemudian dia mengucup pipi dan tangan lelaki itu. Selepas memastikan keadaan Harris Hakimi, barulah dia ke sofa untuk merehatkan badannya.
Ilham Iskandar membuntuti pergerakan Alia Farhana dari belakang. Dia telahpun menyediakan bantal dan selimut untuk wanita itu di atas sofa.
Alia Farhana melabuhkan badannya di sofa. Terasa tegang segala urat sendinya saat dia berbaring. Selepas dia membetulkan selimut di badannya, dia mengiring ke kanan menghadap Harris Hakimi di katil. Tidak lama kemudian, dia terus terlena. Begitu penat badannya sejak Harris Hakimi di masukkan ke hospital.
Ilham Iskandar hanya memandang perilaku Alia Farhana. Dia menutup beberapa suis lampu yang menerangi seluruh bilik dan membiarkan satu lampu sahaja terbuka. Kemudian barulah dia mengambil tempat di sofa 1 tempat duduk yang telah menjadi tempat tidurnya saban malam sejak Harris Hakimi menjadi penghuni di hospital itu.
Serta merta suasana menjadi sunyi apabila Alia Farhana dan Ilham Iskandar melelapkan mata. Harris Hakimi membuka matanya dan melihat isterinya yang sedang berbaring di atas sofa. Hatinya sayu dan dadanya berasa sebak mengenangkan nasib dirinya dan masa depan isteri dan anaknya. Air mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya menitis jua.
‘Ya Allah Ya Tuhanku. Aku redha dengan ketentuan yang telah Kau takdirkan buat diriku ini. Aku terima. Namun, aku minta, Kau kuatkanlah hati isteriku jika Kau inginkan aku pergi menemui-Mu. Kau titipkanlah semangat dan redhakanlah hatinya dengan pemergianku ini. Kau mudahkanlah urusan abangku untuk mengahwininya. Sesungguhnya Kaulah Yang Maha Mengetahui segalanya.’
Share this novel