"Salwa,"
"Hmm? Apa?" sahut Salwa acuh tak acuh tanpa mengangkat wajah.
Mai mengulum senyum melihat sahabatnya itu masih merajuk sejak tadi.
"Aku bukan tak nak bagitahu kau. Aku cuma tak nak kau risau, Wa." penjelasan dengan nada lembut diberi buat sekian kalinya. Punya la Salwa terasa hati sebab tak cerita kat dia pasal pekerjaan Mai. Katanya dirinya tak dianggap kawan.
"Apa-apa sajalah. Yelah! Kite ni siapa je, entah-entah kite je beria anggap dia teman. Dia? Entoh ler!" tukas Salwa bersama mimik masam mencuka kalah cuka didapur. Merajuk la kononnya. Ice Americano didalam gelas kaca itu dikacau ganas kemudian disedut.
Mai hela keluhan kecil. Sahabat yang satu itu bila dah merajuk kalah Aryan. Aryan pun mengalah kalau ibunya tak melayan rajuknya.
"Apa kau cakap macam tu. Kau pun tahu, kau seorang saja sahabat yang aku percaya dari dulu. Aku cuma tak nak bebankan lagi hidup dengan masalah aku. Kau pun ada masalah kau sendiri, jadi aku tak nak la kawan aku ni sampai stress fikirkan masalah aku." jelas Mai bernada tenang.
Salwa pandang penuh simpati kepada temannya itu. Suasana didalam Cafe tersebut tenang ketika ini disebabkan pelanggan yang tak ramai.
Tangan Mai yang di atas meja disentuh sembari mengukir senyum tawar.
"Dah bermacam dugaan yang kau hadap. Aku kagum dengan ketabahan hati kawan aku ni. Sebagai seorang sahabat, aku cuma berharap kau dapat jalani hidup dengan baik. Berbahgialah kalau kau yakin dia yang terbaik. Walaupun masih risau, tapi aku tahu. Kau tak bodoh nak berkahwin dengan lelaki dayus lagi. Aryan pun perlukan sosok ayah. Jadi betullah tindakan ayah kau kali ni."
Bicara panjang lebar dari Salwa membuatkan Mai terharu. Dia menahan matanya dari bergenang air jernih.
Kekura tangannya dielus lembut oleh Salwa. Mendapat pandangan simpati itu menghadirkan rasa lucu dihati Mai. Jarang temannya itu berbicara serius.
"Terima kasih, Wa. Kau saja satu-satunya sahabat aku."
Muncung mulut Salwa yang tengah menyedut air miliknya. Matanya melekat melihat wajah Mai. Hilang sudah rajuknya bagai debu ditiup angin.
"Aku bukan nak ragukan Tuan Idris tapi selesai ke masalah dengan cara kau orang bernikah?" soalnya agak penasaran. Jika difikir secara lojik, bukan mudah masyarakat akan tertipu hanya dengan alasan hubungan suami isteri disebabkan Kaiser selama ini dikenal masih bujang.
Pandangan Mai jatuh menatap lama dessert manis atas piringnya. "Aku pun ada terfikir macam tu. Tapi aku yakin, Tuan Idris yang aku kenal bukan orang yang akan bernegosiasi dengan perkara remeh. Ayah mesti ada cara dia sendiri. Sebab kami dah buat kesepakatan."
Ayat terakhirnya diperlahankan membuatkan Salwa tak dengar. Namun dia abaikan saja disebabkan raut mendung terpamer pada raut wajah Mai.
Jam kecil yang melekat pada pergelangan tangan ditilik oleh Salwa. "Aku ada kerja sikit di Hulu Langat nanti pukul empat. Kau nak aku hantar balik bilik sewa atau kemana?"
Mai tergamam sejenak meskipun tak ditunjukkan. Terhenti tangannya yang sedang menguis sepotong kek macha.
Hulu Langat?
Mendadak dia teringatkan seseorang tatkala Salwa sebut daerah yang satu itu.
"Boleh tak kau hantarkan aku ke suatu tempat? Kebetulan rumah dia di area Hulu Langat juga." pinta Mai sempat menjeling jam. Masih banyak masa sebelum pukul empat.
Salwa jelas tertanya-tanya. "Rumah siapa kau nak singgah ni? Kau kata aku seorang saja kawan kau. Jangan kata kau ada kawan lain?"
Tegang yang bertamu sebentar tadi lekas diusir. Mai geleng kecil sambil menyimpul senyum manis.
"Bekas mertua aku."
Wajah Salwa mendadak serius kembali. "Buat apa? Tak payah la. Kang tak pasal buatnya Zahid tak guna tu pun ada. Aku risau la. Si Zahid tu bukan boleh pakai sangat. Buatnya dia apa-apakan kau."
Namun raut Mai kekal tenang dan dihiasi senyum simpul.
"Hubungan aku dengan keluarga Zahid baik. Tiba-tiba rasa nak berjumpa dengan bekas mertua pula. Dia orang baik kat aku, jangan bimbang sangat. Lagipun aku bukan nak pergi jumpa Zahid." ujar Mai bersahaja.
*****
PANDANGAN Martin jatuh kepada Kaiser yang sedang santai memeluk tubuh didepannya. Lama lelaki berbaju Polo biru itu merenung dinding kaca dihadapan. Tajam renungannya bagai nak tembus dinding kaca yang memisahkan tahanan penjara dan orang luar.
Ketika ini, mereka berdua sedang berada di penjara untuk mengunjungi seseorang. Kedengaran pintu grill besi dibuka oleh seorang polis.
Tubuh Martin kembali tegak berdiri dibelakang bosnya, sambil memerhati langkah seorang banduan berbaju biru yang sudah duduk dikerusi berhadapan tepat dengan Kaiser.
Polis itu angguk sekali kepada kedua pengunjung kemudian keluar dari ruangan tersebut.
Farouk hanya tunduk kepala sambil melihat tangannya yang diborgol. Tatapan kosong orang dihadapan tak dihiraukan.
Tuk Tuk
Dia angkat muka apabila kaca transparent itu diketuk. Kaiser yang sedang memegang telekom menuding ke arah telekom dibahagian tahanan yang akan menjadi penyambung bicara antara mereka.
Penampilan Farouk terlihat begitu tak terurus dengan jambang yang tak dicukur. Tatapan matanya juga kosong sahaja bersabung dengan mata kaiser. Hampa dan tiada sinar dalam matanya seolah-olah dia sudah redha berada dalam penjara.
"Tunggu kat luar, Mar. Aku nak bercakap empat mata dengan dia." pinta Kaiser tatkala perasan raut tak selesa dari ayahnya.
"Baik." Martin akur seraya meninggalkan anak dan bapak yang sedang saling bertatapan itu.
Lantaran tinggal mereka berdua diruangan sederhana itu, akhirnya Farouk angkat gagang telekom lalu ditekap pada telinga.
"Baru sekarang kau jenguk aku. Ada apa? Baru teringat yang kau masih ada bapak?" bicara Farouk bernada biasa. Tidak lah sinis atau mengejek.
Kaiser yang tadinya bersandar pada kerusi, menegak tubuh. Dia membetul duduk agar lebih selesa bersama sebaris senyum yang dilukis pada wajah kosongnya.
"Ayah apa khabar? Sihat?" soalnya bersahaja.
"Kau boleh tanya aku sihat ke tak. Kau ni gila ke? Ada nampak aku bahagia hidup dalam tempat macam ni?!" emosi marah Farouk sedikit melonjak apabila melihat anaknya yang kekal tenang, sedangkan dia menderita didalam penjara.
Hujung bibir Kaiser ternaik senyum sinis. "Ayah marahkan saya seolah macam saya pula yang buat ayah masuk penjara. Kan salah ayah sendiri."
Ketap rahang Farouk mendapat sindiran dari pemuda itu. Memang benar apa yang dikatakan itu namun entah mengapa, rasanya bagai ditusuk pedang apabila anak yang dibanggakan berniat membunuhnya.
"Kalau kau datang setakat nak sakitkan hati aku, baik tak payah. Kau balik sajalah."
"Hujung minggu ni saya kahwin." celah Kaiser tenang menghalang ayahnya dari meletak gagang. Masih ada beberapa hal yang ingin diutarakan.
Farouk jelas tergamam sebelum kembali menekap gagang telekom.
"Kau... kahwin?" soalnya perlahan dan kedengaran seperti tak percaya. Perempuan malang mana yang akan menikahi anaknya yang gila itu.
"Ya, perempuan yang saya suka dari dulu. Malah dia mirip dengan mami." balas Kaiser sembari tersenyum kecil menanti reaksi bapanya.
Farouk mengetap gigi pabila sosok isterinya disebut. Air mukanya juga berubah tak senang. Sepertinya dia tak menyukai topik Xing Fei dibuka.
"Bukan sifat tapi nasib yang sangat mirip. Ayah tahu? Saya bencikan mami sebab dia tinggalkan saya. Tapi saya lebih bencikan ayah yang baru menyesal sekarang." ujar Kaiser bertukar dingin nadanya. Itupun dia sedang menahan diri sebaik mungkin.
Apa yang dia pelajari dari Islam adalah sejahat apapun seorang ayah atau ibu, seorang anak sepertinya tak boleh derhaka.
Lidah Farouk bagai terkelu akan ucapan dari anak lelakinya. Wajahnya jelas berubah sugul bersama penyesalan terhadap Xing Fei tertusuk pedih ke sanubarinya.
Bertahun dipenjara dan mengalami berbagai derita cukup membuatkan Farouk dilanda penyesalan berat. Semuanya ibarat kifarah buatnya walaupun tak sesakit yang ditanggung oleh Xing Fei.
"Kenapa kau masih biarkan aku hidup sampai sekarang? Bukan ke kau sendiri kata, kau akan bunuh aku walaupun aku dah tinggal bangkai sekalipun." Farouk bersuara setelah membisu cukup lama. Tersembunyi rasa hiba dalam ucapannya ini.
Mungkin kecewa akan dibunuh oleh anak sendiri.
"Saya nak ayah rasa apa yang saya rasa. Kalau ayah hilang seseorang yang berharga, itu lebih memuaskan saya. Tapi malangnya lelaki bernama Farouk ni tak ada sesiapa lagi." kata Kaiser bersama pandangan mata yang sukar dimengerti. Meski sudah dihakis tetapi api dendam masih tersisa biarpun sedikit.
Tiada sebarang perasaan pada wajah Kaiser saat ini. Senyum tipisnya juga mati serta merta melihat tampang menyedihkan Farouk, yang dulunya amat angkuh dan pentingkan diri. Sekarang seraut wajah tua itu begitu menyedihkan dimatanya. Jika dulu dia merasa jijik dengan sosok ayahnya.
Walau begitu, ayah tetaplah ayah. Mahu dinafikan bagaimanapun, perkara itu tetap fakta.
Kaiser mengeluh kecil. Tegangnya juga sudah kendur kerana terjentik simpati melihat Farouk.
"Saya dah cuci tangan dari buat kerja kotor ni, jadi saya takkan bunuh sesiapa. Ayah teruskanlah hidup dalam rasa bersalah. Jangan lupa semua perbuatan keji ayah pada mami saya." seraya berpesan tenang begini, Kaiser angkat punggung dari kerusi.
Farouk mengepal tangannya sendiri. Segan, malu, rasa bersalah yang menggunung, semuanya jelas terpampang pada riak orang ini. Apakah dia perlu lega bila dirinya tak jadi dibunuh? Layakkah dia meminta maaf?
Gagang telekom sudah diletak oleh Kaiser. Dia berpusing namun tubuh tetap statik kaku di situ. Lama berdiam diri bersama fikiran yang kian memberat. Tak lama dia membuka langkah keluar dari ruangan tersebut tanpa berpaling atau kata pamit.
Farouk diam tanpa menunjukkan tanda-tanda ingin bangun. Keheningan didalam ruangan kosong saat ini menghadirkan segala kenangan masa silam.
Tanpa sadar air mata yang ditahan sejak tadi, tumpah jua dari pipi cengkung itu. Farouk menahan esak tangis dari pecah. Tak henti bibir lesunya menyebut nama orang-orang berharga yang ia siakan dahulu.
"Maaf... maafkan aku Xing Fei... maafkan ayah, Kai..." esaknya disertai air mata yang mengalir bagai air terjun.
Benar kata Kaiser, hukuman untuk orang seperti dia bukanlah dibunuh melainkan dibiarkan tetap hidup. Hidup dengan memikul dosa. Dihantui rasa bersalah yang tak berhujung.
Satu memori manis menjengah dalam ingatan membuatkan dia makin dilanda pilu. Dadanya pedih dan sesak memikirkan betapa teruk dirinya dulu.
"Anak kita lelaki. Fei mahu namakan dia Kaiser."
"Kaiser? Maknanya apa? Unik juga nama tu."
"Artinya penguasa yang lebih tinggi dari raja. Walaupun artinya begitu, Fei tetap berharap anak kita menjalani hidup yang normal seperti anak orang lain. Kebahagiaan Kaiser adalah yang nombor satu bagi saya."
Bicara si isteri yang sentiasa berlemah lembut. Penuh kasih sayang dia mengusap perut yang membesar. Senyuman mekar secantik bunga dahlia itu tanpa sedar turut membuat Farouk tersenyum.
"Ooo... jadi saya ni dah dicampak lah." kata Farouk pura-pura berjauh hati.
"Merajuk ke? Baiklah suami saya nombor satu. Tapi bila Kaiser dah lahir, awak kena undur ke nombor dua." tawa Xing Fei seronok kenakan sang suami.
Semakin lebat air jernih yang membanjiri muka Farouk. Tawa merdu dan gelak gilai Xing Fei terngiang-ngiang seolah sengaja mahu menyeksa batinnya lagi.
"Maaf... Maafkan aku... aku b**oh dulu... dan sekarang pun aku masih suami dan ayah yang b**oh." desis Farouk yang tenggelam dalam kesedihan.
*****
JAG air yang berisi air sirap dan sedulang gelas diletak atas meja. Haziqah tersenyum mesra kepada dua tamu itu sebelum melabuh duduk disebelah ibu mertuanya, Mak Kalsom.
"Eh, jemput la minum. Jauh-jauh datang takkan tak dahaga kan. Jemput-jemput." ucap Mak Kalsom yang terlebih ramah itu kepada dua wanita yang duduk sopan disofa kayu itu.
"Terima kasih mak, Haziqah. Buat susah-susah saja." balas Mai sopan sambil mengambil segelas air yang dihulur oleh Haziqah a.k.a isteri Zahid.
"Susah apanya, Kak Mai. Ini air Kak Salwa." Haziqah turut memberi air kepada Salwa yang hanya diam dihiasi senyum canggung. Salwa memang macam ni orangnya, tak bercakap banyak dengan orang yang dia tak kenal.
"Terima kasih," cukup sopan Salwa sambut segelas air yang diberi. Lalu diminum penuh adab tertib. Ceh! Kalau abangnya nampak ni terguling gelakkan dia.
Mak Kalsom terpandang anak daranya yang baru keluar dari bilik. Gadis muda itu bersalaman dengan Mai dan Salwa.
"Zira, kamu nak pergi mana lawa-lawa ni? Mentang-mentang cuti panjang, tak melekat kat rumah budak ni." bebel Mak Kalsom perhati saja anak daranya itu yang berpenampilan kemas.
Zira merupakan adik bongsu Zahid yang sedang cuti semester. Menuntut ilmu di universiti Terengganu.
Zira mencemik muka apabila diri diomeli tak henti oleh si emak. "Halah mak ni pun. Orang nak keluar kejap saja, jumpa dengan kawan lama."
"Eh, menjawap budak ni. Kat dapur tu ada kek pisang. Kamu potong cepat nak jamu tetamu makan ni." suruh Mak Kalsom sedikit garang. Ada tetamu kan, kena la jaga air muka.
Zira yang sedang membetul tudung didepan cermin. Mengeluh berat seraya berjalan ke arah dapur.
"Yelah yelah,"
Mai dan Salwa yang menjadi pemerhati hanya tersenyum kecil dengan suasana 'hidup' didalam rumah sederhana ini. Terasa suasana keluarga yang harmoni dan normal.
Ditambah pula, Haziqah yang sedang kalut melarang anak-anaknya dari berlari di ruang tamu tersebut.
"Adik, kakak! Jangan la lari-lari. Pergi main dalam bilik."
Mai mengulum senyum dalam diam. Meskipun riuh namun terasa damai baginya yang sudah lama merindui suasana ini. Apakah keluarganya juga akan sebahagia ini suatu hari nanti?
Hatinya tercuit rasa pilu.
"Mai,"
Mai sedikit tersentak tatkala tangannya disentuh lembut oleh tangan tua Mak Kalsom. Wajah wanita itu telah dimamah usia seiring berjalannya waktu. Namun wajah itu juga menghadirkan rasa tenang didalam diri Mai.
Haziqah dan Salwa yang sedang berborak tak dihiraukan. Mai membalas senyuman bekas mertuanya. Tangan berkedut itu yang sedang sentuh tangannya turut disentuh.
"Mak apa khabar? Sihat? Dah lama Mai tak jumpa mak." tanya Mai.
"Mak sihat Alhamdulillah. Tuan Idris dan Puan Sharifah macam mana? Sihat?" Mak Kalsom membalas dengan soalan.
"Ayah dengan mama sihat saja." balas Mai yang tak lekang dengan senyuman mekar. Tampak seri bahagia dari wajahnya.
Wajah teduh bekas menantunya membuatkan hati tua Mak Kalsom dimamah rasa sebak. Dari dulu dia amat menyayangi Mai. Mata terasa panas digenangi air suam, namun ditahan sebaik mungkin. Tak mahu merosakkan suasana damai sekarang ini.
"Mai singgah ni sekejap saja. Memandangkan kami pun ada kerja lepas ni. Nanti bila ada masa free, Mai datang dengan Aryan." kata Mai.
Mak Kalsom tak jadi sedih malah terus bertukar senang mendengar cucunya ingin berkunjung. "Elok la tu, mak pun rindu dengan Aryan. Lama tak jumpa. Mesti besar dah anak tu."
Mai balas dengan sebaris senyum. Dia perasan riak Haziqah agak canggung seperti berat ingin katakan sesuatu. Dia yakin mereka pasti sudah dengar gossip tentangnya yang sedang panas di sosial media. Mereka pasti diam tak bertanya kerana tak mahu rosakkan suasana.
"Mai harap mak tak percaya dengan gossip tu. Memang betul saya keluar masuk kondo tu, tapi saya cuma bekerja sebagai pembersih. Tak lebih, hubungan kami pun sebatas bos dan pekerja." bicara Mai ingin buka cerita.
Mak Kalsom usap lembut kekura tangan wanita itu. "Mak kenal Mai bukan orang yang macam tu. Mai banyakkan bersabar ya. Apa-apapun selesaikan lah dengan cara yang baik. Mulut orang ni kita tak boleh nak tutup, tapi jelaskanlah kat orang-orang. Sekurangnya Mai mencuba."
"Saya faham, terima kasih mak." Mai sedang berfikir apakah perlu diberitahu tentang pernikahannya.
"Hujung minggu ni Mai kahwin. Buat kat masjid saja. Kalau Mak Kalsom dengan Haziqah ada masa lapang, datang la." selamba Salwa berkata tanpa hiraukan Mai yang sudah terbatuk-batuk akibat tersedak air.
Laju Mai menoleh ke arah temannya itu. Dasar Salwa mulut murai!
"Betul ke, Mai? Kamu nak kahwin dah?" Mak Kalsom bertanya bersama mimik takjub.
"Dengan siapa, kak? Dengan Kaiser Lee tu ke?" Haziqah juga menyoal. Jelas mereka terkejut tapi lebih kepada penasaran.
Mai berdehem membetul suara tekak yang terasa perit. Sempat hadiahkan jelingan maut lepada Salwa yang tersengih kambing itu. Agaknya dah sedar dengan telanjuran katanya.
Senyum samar terukir pada bibir Mai menutup perasaan gugup. Mana tak gugupnya kalau dah dipandang dia seperti dia ada buat dosa besar.
"Macam tu lah. Buat kecil-kecilan saja. Kalau mak dengan Haziqah nak datang pun boleh. Sa-Saya datang ni pun memang nak cakap pasal benda ni. Salwa pula yang terlepas cakap dulu." usai berkata begini, Mai ketawa sumbang mengawal cuak.
"Alhamdulillah! Mak tumpang gembira untuk Mai. Insya Allah kalau tak ada kerja, mak datang minggu depan."
Mai menghela nafas lega. Mujurlah kedua wanita itu tampak senang dengan berita mengejut ini.
Dia tak kisah kalau kedua wanita itu mahu datang ke pernikahannya, tetapi satu saja dia harap. Haraplah Zahid tak datang.
Share this novel