"Baiklah, mari kita bincang. Jelaskan supaya aku tak salah faham."
Selajur berkata begitu, Kaiser melabuh duduk disamping Mai. Agak berjarak untuk keamanan sejagat walaupun sudah halal.
Mai yang duduk bersila memusing badan berdepan tepat dengan lelaki itu. Cuak betul dia takut Kaiser salah faham. Tak pasal-pasal double rajuk jadinya.
"Awak pun tahu kan. Saya anggap Ken, Hairi, Rais, Calvin tu macam adik-adik saya saja. Tak lebih." Mai mula memujuk. Selembut sutera pujukkannya.
Riak Kaiser masih dingin. "Tapi kau sebut nama dia seorang saja."
"Itu spontan saja saya teringatkan dia. Ken kan pendiam, jadi saya tertanya-tanya la juga. Apa khabar dia sekarang. Sihat ke. Itu sajalah. Takkan la saya nak sukakan orang yang seumur dengan adik saya, Airel. Saya tak minat la yang lebih muda dari saya." jelas Mai sekali nafas. Tak berputus asa meyakinkan suaminya itu.
Kaiser membisu buat beberapa detik. Tampaknya sedang memikirkan setiap bait penjelasan tersebut. Tapi yang buat Mai pelik sekarang ni. Dah kenapa muka Kaiser berubah mendung pula?!
Cuak Mai dibuatnya. "Aw-Awak kenapa? Saya ada tersilap cakap lagi ke? Aduh, maaf la. Awak kena biasakan dengan mulut saya ni. Saya jadi macam ni pun disebabkan selalu mengata kat Salwa. Sekali saya yang lagi longkang dari dia."
Raut Kaiser tetap tak berubah. Malahan boleh pula dia tersenyum tawar. Acah nak tutup sedih la gayanya.
"Jadi, maknanya kau sikit pun tak sukakan aku."
"Hah?" terkebil-kebil Mai tak faham.
"Yela, aku kan muda tiga tahun dari kau. Kau kata kau tak minat yang lebih muda dari kau. Maknanya selama ni kau tak ada perasaan pada aku. Rupanya aku syok sendiri. Terima kasih Mai, sebab jujur." terang Kaiser seraya tersenyum pahit. Wajah muram ditunduk ke bawah.
Wayar otak Mai baru tersambung. Aduh! Dia tersalah cakap lagi!
Laju dia sambar kedua tangan Kaiser. Kekura tangan suaminya itu disalami lalu dikucup. Terkejut Kaiser dibuatnya namun dia biarkan saja.
"Saya! Saya minta maaf! Ampunkan semua dosa saya selama saya jadi isteri awak. Hidup saya takkan tenang selagi awak tak maafkan saya. Saya akan terus cium tangan awak sampai awak maafkan saya." lantang suara Mai memohon seperti buat dosa besar.
"Mai..." Kaiser ragu-ragu mahu sentuh bahu wanita itu. Ikutkan hati nak saja dia teruskan rancangan nakalnya, namun melihat kesungguhan Mai. Terbit pula rasa kasihan.
Mai masih tak angkat wajah. Tangan lelaki itu disalami lama. "Tak tak! Salah saya! Disebabkan mulut saya, awak terasa hati sekali lagi. Dan lagi satu, saya memang tak berminat dengan yang muda. Tapi awak terkecuali!"
Tergamam Kaiser. Dia batalkan niat untuk menyuruh wanita itu bangun dari terus menunduk. Dia dapat rasa, inilah kesempatan untuk dia gali isi hati Mai.
"Awak lain! Saya tak pernah rasa macam ni dekat mana-mana lelaki selain awak, Kaiser. Sekalipun saya pernah kahwin, tapi saya sayangkan Zahid sebagai suami saya. Saya tak pernah ada rasa cinta sebelum ni. Setiap kali dia pukul saya, saya terus teringatkan awak. Saya fikir kalau la awak ada disisi saya, mesti saya tak perlu kahwin dengan Zahid."
"Setiap kali dia belasah saya sampai pengsan, muka awak saja selalu muncul dalam mimpi saya. Saya tahu saya murahan, saya teringatkan lelaki lain sedangkan saya dah beristeri. Saya berdosa. Sebab tu untuk perkahwinan kali ni, saya tak nak berdosa dengan suami saya. Saya minta maaf sangat-sangat." sambungnya lagi dengan suara lirih.
Mai tak sedar bila matanya bertakung. Semua luahan yang dipendam selama lima tahun dihamburkan. Dada yang sesak langsung lega seolah-olah melepaskan beban yang ditanggung lamanya.
Dahi Kaiser berkerut seribu. Mata dipejam rapat. Bukan ini yang dia mahu. Bukan kesedihan yang dia ingin lihat. Bukan suara pilu itu yang dia mahu dengar. Menyesal pula kenakan Mai.
"Dah dah, jangan nangis. Terseksa batin aku tengok kau sedih macam ni." ujarnya sambil menarik tubuh Mai masuk kedalam dakapannya.
Tubuh Mai mengeras sekejap dipeluk secara tiba-tiba. Tak lama, terdengar suara esakkan halus darinya. Niatnya nak tahan tangis tapi bila dah dipujuk lembut begitu. Mana tak terhamburnya tangisan yang ditahan.
Kepala Mai yang mengenakan hijab biru muda diusap perlahan. Senyuman serba salah Kaiser tergaris. Dapat dia rasa dadanya lencun dengan air mata. Namun begitu, dia biarkan sahaja. Sengaja dia turut membisu untuk beri masa kepada Mai.
Tangisan Mai sekejap cuma. Tak lama, setelah sedunya mereda. Dia terdiam dalam pelukkan Kaiser. Malu menyerbu, segan pula nak angkat muka.
"Saya... saya minta maaf sesangat kat awak. Awak tak bencikan saya kan?" soalnya kedengaran polos.
Senyum simpul terlahir dari bibir Kaiser. "Itu perkara yang paling mustahil terjadi."
Mai diam. Yang anehnya, hatinya merasa lega mendengar itu. Ianya terdengar begitu meyakinkan dan tulus. Terdetik juga satu pertanyaan dalam benak Mai.
"Sampai macam tu sekali awak sukakan saya? Sampai mustahil untuk benci?" terpacul satu pertanyaan dari Mai.
"Kalau kau minta sedulang hati nyamuk pun aku boleh bagi. Bukan setakat suka, aku tergilakan kau sampai rasa nak makan kau hidup-hidup." ujar Kaiser senada bersama senyum sebaris.
Mai gosok lengannya. Merinding den yang dengar. "Lain macam awak ni. Seram pula saya."
Kaiser hanya tergelak kecil. Riak cuak wanita itu memangnya dapat menghiburkannya. "Tak la, anggap saja itu perumpamaan."
"Sebenarnya apa yang menarik dalam diri saya? Sampai awak tergilakan sangat." Mai aju soalan lain. Macam riak pula soalan aku ni. Ah lantak lah!
"Entah la. Mungkin kau mirip dengan mami."
Terpana Mai mendengar jawapan yang tak dijangka. Pelukkan dilerai. Dia tercari-cari kejujuran dari Kaiser yang sedang tersenyum.
"Saya mirip dengan mami. Dari segi apa?" Mai ambil kesempatan untuk menggali lebih dalam rahasia suaminya. Lelaki itu terlalu banyak berahsia.
Kaiser menatap dalam anak mata bundar yang penuh dengan persoalan itu. Wanita itu sentiasa penasaran dan ingin tahu lebih banyak tentangnya.
"Nasib yang sama. Dicurangi suami, dipukul sampai tak berdaya, menyedihkan. Tapi dalam masa yang sama, aku suka dengan perbezaan antara kau dan mami." ujar Kaiser tenang. Tangannya naik menyentuh kepala Mai.
Mai tetap diam bersama perasaan yang sulit difahami.
"Bezanya, kau berani tinggalkan Zahid dan berani ubah hidup kau. Sedangkan mami, dia rela terpuruk selamanya dalam genggaman ayah aku. Padahal dia tahu, hidup dia akan semakin hancur kalau terus bersama dengan ayah." tutur Kaiser tanpa menyadari riak tak senang dari Mai.
Dia membalas pandangan tajam Mai. "Kau marah aku cakap macam tu?"
"Awak belum kenal erti cinta terdalam. Jadi awak tak boleh cakap macam tu pada mami awak." ujar Mai berbaur sedikit tegas.
"Betul cakap kau. Aku tak faham perasaan mami dan selamanya aku takkan faham. Tapi tak mustahil suatu hari nanti, aku akan hadap benda tu." kata Kaiser membalas pandangan tajam Mai yang bersabung dengannya.
Bunyi deringan dari telefon Mai mencelah pergaduhan kecil mereka. Kening Mai berkerut hairan tatkala sebaris nama terpampang. Jarang benar orang itu menelefonnya.
Mai ragu-ragu mahu angkat panggilan tersebut disebabkan risau suaminya cemburu.
Kaiser menghela nafas kecil lalu buang muka ke arah lain. "Angkat saja."
Panggilan kedua dari Rais kini diangkat. Mai tekan tombol speaker.
"Hello, ada apa Rais call aka-"
"Kak! Akak jangan terkejut kalau saya cakap ni." suara termengah-mengah Rais terdengar dicorong talian.
Pandangan Mai sempat bertembung dengan Kaiser. Jelas dia bingung tetapi dalam masa yang sama. Ada satu rasa yang mengusik.
"A-Ada apa ni? Cuba bagitahu akak." Mai menahan getaran suara. Hatinya tak sedap. Dapat dia rasa ada sesuatu buruk yang berlaku.
"Hairi... Hairi dah tak ada! Dia baru meninggal tadi. Saya... saya dah hilang sahabat saya." dihujung ayat kedengaran esakkan Rais.
Dan berita itu jelaslah berjaya membuat kedua orang itu terpempam hebat. Terutama Mai. Menggigil tangannya hingga telefon hampir terlepas dari pegangan. Mujur sempat dipegang Kaiser.
"A-Apa... meninggal? Hairi..." muka pucat Mai tertunduk sambil memandang kedua tangannya yang gementar. Masih tak percaya yang berita mengejut tersebut.
Telefon bertukar tangan. Kaiser matikan mode speaker sebelum telefon ditekap ke telinga.
"Cuba hantar location." pinta Kaiser tanpa basa basi.
Serius dia mendengar lokasi yang diberitahu oleh Rais dihujung talian. Sempat dia melirik sekilas kepada Mai yang tertunduk.
"Baiklah, kami pergi sekarang." usai begitu, panggilan dimatikan.
Kaiser menghampiri isterinya yang tampak masih shock. Kedua bahu Mai dipegang.
"Bangun, Mai. Kau tak boleh diam macam ni."
Mai mendongak disertai air mata yang berjurai dipipi. Bibir pucatnya gementar menahan esak.
"Hairi... adik saya..." semakin deras air mata mengalir dikala nama Hairi disebut. Hanya Tuhan yang tahu, dia amat menyayangi pemuda itu.
Mutiara jernih itu diseka lembut dengan jari Kaiser. Pedih hatinya mendengar kesayuan dari suara Mai.
"Aku tahu, sebab tu aku suruh kau bangun. Kau tak boleh lemah, Mai. Tak nak jumpa dia?" pujuk Kaiser tanpa kekerasan sedikit pun.
Mai tertunduk kembali sambil mengangguk. Air mata yang membanjiri muka dikesat menggunakan lengan.
"Nak..."
****
LEMAH longlai langkah Mai yang mendekati sesosok tubuh kaku dibaluti kain kafan. Dia duduk bersimpuh. Kaiser yang setia disisi hanya diam memerhati.
Mata sembab Mai merenung lama wajah pucat Hairi. Wajah tenang tanpa cacat cela itu membuat hati Mai bagai dicarik dan disiat-siat. Mata yang terpejam rapat, kulit pucat lesi seolah tiada setitis darah, bibir pucat pesi namun bila diperhati lama.
Bibir Hairi seperti tersenyum. Mai tak dapat bendung lagi air mata yang ditahan.
Kenapa? Kenapa orang sebaik Hairi yang mati dulu? Kenapa bukan orang sekotor dia? Kenapa selalu orang baik yang mengalami hal buruk?
"Abang..."
"Abang... hiks! Jangan tinggalkan adik..."
Hati Mai kian dipagut sayu apabila terdengar suara esakkan adik-adik Hairi yang masih kecil. Rumah kayu yang berluasan sederhana itu tak muat dengan kehadiran para penduduk kampung. Hingga menyebabkan beberapa orang perlu membaca Yassin ditangga rumah.
"Hiks! Abang Hairi..."
Pandangan kuyu Mai jatuh kepada Aryan yang baru selesai mengucup ubun-ubun arwah. Anak itu sedaya upaya menahan tangisan dari pecah.
Rumah kayu biasanya memang dingin dimalam hari. Ditambah dengan langit yang memuntahkan hujan seperti turut berduka atas kematian orang baik itu.
"Dah dah, jangan nangis. Nak menangis tak apa tapi jangan meraung. Tak elok orang tengok."
Dia abaikan sahaja Kaiser yang sedang memujuk Aryan. Tak lama, pecah jua tangis kuat kanak-kanak itu. Maklumi saja, Aryan rapat dengan arwah Hairi.
"Huwaa! Abang Hairi! Kenapa tinggalkan Ayan!" raung Aryan yang sudah tergolek di atas lantai. Orang ramai hanya memerhati tanpa niat ingin marah. Sebaik apa arwah hingga anak sekecil itu menangisi kepergiannya.
"Ya Allah anak aku ni." Kaiser lekas mendukung Aryan kemudian dibawa ke luar rumah.
Mai yang masih bersimpuh di situ, diam membisu. Sayup-sayup telinga mendengar ruangan anaknya.
Tatapan penuh simpati Mai tertuju kepada adik-adik Hairi yang menangis sambil membaca Surah Yassin. Dia ingin mendekat namun tangannya dipegang oleh seseorang.
Cepat Mai menoleh ke samping. Agak tersentak apabila emak Hairi sedang tersenyum tawar padanya.
"Mai kan?" tanya wanita yang berusia kira-kira pertengahan 50an.
Meskipun bingung, Mai iyakan jua. "Ya saya. Makcik kenal saya?"
Tubir mata wanita itu kembali bergenang. Namun bibir tuanya kekal tenang dan tersenyum. "Makcik dah dengar banyak pasal Mai. Arwah selalu bercerita pasal Mai dan kawan-kawan serumah dia."
Mai berpaling ke arah lain tatkala mata terasa kembali panas.
"Saya... saya dah anggap Hairi macam adik saya sendiri. Saya banyak berhutang budi pada dia." ucapnya lirih terdengar. Mengingat kembali kebaikan hati arwah selama ini, membuatkan Mai dilanda sedih.
"Makcik pun banyak berhutang pada Hairi. Hairi banyak berkorban untuk makcik dan adik-adik dia."
Wanita itu segera dipeluk Mai. Melihat emak Hairi teresak begitu, saudara mara yang lain kembali dilanda kesedihan yang teramat. Mereka turut berduka sambil menenangkan satu sama lain.
Kelopak matanya Mai kerdip pantas berharap air suam itu mengering. Belakang tubuh emak Hairi ditepuk lembut berharap hati yang sedang dilanda lara itu bertenang.
*****
SUARA cengkerik didalam semak samun mengisi kesunyian malam. Butiran jernih embun muncul dihujung dedaun dan rerumput hijau. Setelah dihujani dengan air rahmat dari langit, bumi dibasahi hingga terasa angin dingin menyapa.
Bacaan Yassin dibaca dengan suara sayu, sayup-sayup terdengar hingga ke luar. Kelihatan empat orang lelaki muda sedang duduk termangu di beranda. Beranda kayu yang terletak dibawah pohon cherry.
Gula-gula manis dikulum dan mencair dalam mulut. Kaiser hanya berdiam diri, memandangkan tiada seorang pun dari mereka yang mahu membuka bicara. Masing-masing melamun dengan dunia sendiri.
Plastik gula-gula disimpan dalam poket baju melayu yang dipakai. Sebenarnya dia tengah menahan diri dari merokok. Sesekali Kaiser mengerling ke arah keretanya yang diparking tak jauh dari situ.
Berpeluh dia menidurkan Aryan yang menangis bagai dirasuk hantu tadi. Pelbagai cara dipujuk, tak jalan. Akhir sekali, dia tunjuk foto Hairi yang disimpan dalam telefon Mai. Barulah lena anak itu walaupun sesekali tersedu sedan.
"Aryan datang juga ke?" Calvin bersuara memecah kesunyian di antara mereka.
Tanpa berpaling Kaiser menjawap. "Ada, tidur dalam kereta."
"Oh," Calvin kembali diam menunduk. Matanya perit kerana kering dengan air mata. Kehilangan sahabat terdekat secara mendadak, siapa saja tak sedih kan.
Kaiser menjeling sekilas Ken dan Rais yang hanya membisu tanpa niat untuk menyampuk. Bila difikirkan balik, ini adalah pertemuan pertama mereka. Meski sebelum ini tak pernah bertemu empat mata, namun begitu Kaiser cukup kenal dengan setiap wajah pemuda-pemuda yang dikatakan 'adik' isterinya.
"Rasanya kau orang dah kenal aku. Aku Kaiser, suami Mai. Mai yang kau orang anggap kakak tu." ujar Kaiser bernada biasa. Namun entah kenapa, ayatnya terdengar seperti sengaja ditekan. Terutama part suami.
Calvin tersenyum serba salah. Huluran salam perkenalan tersebut disambut.
"Saya Calvin. Yang tengah termenung tu Ken, yang lagi seorang tu Rais namanya." keramahan Calvin menceriakan sedikit suasana suram itu. Walaupun suaranya sendiri terdengar serak.
Rais hanya membalas dengan senyuman ala kadar tatkala pandangannya bertemu dengan Kaiser. Ken pula masih termangu merenung ke dalam gelap malam.
Kaiser malas nak komen lebih-lebih apabila melihat sikap acuh tak acuh dua orang itu. Kerana jelas ketiga sahabat itu sedang berduka atas kepergian Hairi. Raut kesedihan jelas terpamer pada wajah masing-masing.
Seketika satu soalan muncul dari lubuk hati Kaiser yang paling dalam.
Kalau Martin mati, aku akan sedih macam tu juga ke? Memandangkan Martin satu-satunya sahabat aku.
Dan kalau Mai mati... apa aku akan gila lagi? Rasanya tak ada guna lagi untuk aku hidup kalau Mai tak ada dalam dunia ni. Mai kan segalanya bagi aku.
"Hidup dan mati hanya untuk Allah. Kalau Kai tanya apa tujuan manusia hidup atas dunia ni. Mudah saja jawapannya, tujuan utama manusia bernafas hanya untuk mendapat redha Allah Taala. Mengejar syafaat Rasulullah."
"Jadi jangan sesekali berharap pada makhluk hidup. Bersedialah kehilangan mereka, tabahkan hati. Kerana setiap yang bernyawa pasti akan temui ajalnya. Itulah hakikatnya kehidupan didunia sementara ini."
Kaiser cepat-cepat beristighfar apabila tersedar dari bisikkan yang sempat menjengah. Nasihat dari guru mengajinya menyadarkan dia.
"Aku balik dulu. Ada kerja."
Kaiser tersedar dari lamunan mendengar kata pamit dari Ken. Pemuda itu turun dari beranda.
"Hati-hati bawa muto." Rais yang membisu lama, akhirnya membuka mulut.
Ken mencemik muka. Tekaknya terasa loya mendapat pesanan begitu dari Rais.
"Hmm," balas Ken ala kadar sambil menyarung kasutnya.
"Jangan bawa laju sangat. Bahaya." pesan Rais lagi tanpa secalit senyum.
Ken rasa bulu romanya mencanak naik. Seram dengan keprihatinan yang secara tiba-tiba itu. "Kau buat aku merinding la gila. Kisah pula kau kalau aku accident pun. Bukan ke kau suka?"
Calvin ingin meleraikan pertelingkahan kecil itu tetapi dihalang oleh Kaiser. Kaiser diam memerhati tingkah dua orang itu.
"Kau kan kawan aku, kalau kau mati mestilah aku sedih." Rais tetap tak mahu kalah. Agaknya dah sebati darah permusuhan di antara dia dan Ken. Sampai bergaduh pun tak kena tempat dan situasi.
Riak Ken masih tak berubah. "Aku harap kau yang mati dulu."
Rais tergelak kecil. "Wah, kasar. Ini yang aku-"
"Cut it on. Hey Ken."
Suara Kaiser mencelah di antara dua sahabat yang sedang bertikam lidah tersebut. Rais dan Ken serentak menoleh ke arah Kaiser. Calvin turut melihat.
"Aku nak bercakap empat mata dengan Ken sekejap. Boleh?" nada Kaiser terdengar lain. Tatapan tajamnya tepat menujam ke anak mata Ken.
Ken menuding ke dirinya sendiri. "Aku?"
Share this novel