Mellina merenung lama pintu pagar rumah ibunya. Dulunya dia pernah tinggal di sini bersama ibunya. Sejak kecil pun dia membesar di rumah sederhana ini.
Mellina menarik nafas dalam-dalam sebelum mengetuk pintu rumah tersebut. Mellina perlu memohon keampunan daripada ibunya memandangkan dia sendiri pun akan bersalin dalam beberapa minggu ini.
Tok! Tok! Tok!
Sunyi. Tiada sahutan mahupun tanda-tanda pintu akan dibuka. Tak mungkinlah Puan Haida keluar di waktu tengahari begini. Biasanya beliau sudah berada di rumah selepas selesai bekerja di pasar pagi.
"Macam tak ada orang". Ujar Mellina kepada Khaleel yang berada di sebelahnya. "Cuba ketuk lagi sekali". Arah Khaleel dan Mellina hanya mengangguk.
Mellina cuba mengetuk pintu sekali lagi dengan harapan Puan Haida akan keluar.
Setelah beberapa kali mengetuk pintu, akhirnya pintu terbuka dari dalam. Lantas terjengul kepala Puan Haida di muka pintu.
"Mak...". Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Mellina. Matanya berkaca tatkala melihat figura ibunya berdiri di hadapannya.
Puan Haida sendiri terkaku dan tergamam melihat kehadiran Mellina di situ. Anak yang setiap hari dinanti kepulangannya, kini sudah berada di hadapan matanya.
"Mel? Betul ke ni Mel?". Soal Puan Haida melihat Mellina dari atas hingga ke bawah. Anaknya itu sudah berubah penampilannya. Jika dahulu gemar berpakaian seksi, namun sekarang yang berada di hadapannya, Mellina yang memakai jubah labuh serta bertudung.
"Ya mak, ni mel. Anak mak". Jawab Mellina sebak menahan tangisnya. Puan Haida lantas membuka kunci pintu pagarnya dan tidak semena-mena terus memeluk tubuh Mellina.
"Ke mana Mel pergi selama ni, nak? Mel tahu tak siang malam mak doa supaya Mel balik rumah. Mak minta maaf Mel kalau mak jarang tunjuk kasih sayang ke kamu". Luah Puan Haida sambil mengusap wajah Mellina.
"Mak tak perlu minta maaf pun. Semua ni salah Mel sebab Mel tak tahu bersyukur. Mel terlalu ikutkan perasaan sampaikan Mel derhaka dekat mak Mel sendiri. Maafkan Mel ya mak?". Ucap Mellina sebak.
"Mak dah maafkan semua salah silap Mel. Mak tahu mak tak mampu berikan kehidupan lebih baik kepada Mel. Tapi Mel kena tahu, mak sayang sangat dekat Mel. Mak dah tak ada sesiapa lagi di dunia ni". Jawab Puan Haida bersama tangisannya yang mula gugur.
"Tak mak. Apa yang mak berikan pada Mel semuanya cukup. Hanya saja Mel ni tak reti bersyukur. Ampunkan segala silap dan dosa Mel, mak. Mel janji Mel takkan sakitkan hati mak lagi lepas ni". Janji Mellina. Berkali-kali dia mencium tangan ibunya sebagai tanda dia benar-benar memohon keampunan atas semua kesilapannya.
Puan Haida lantas memeluk tubuh Mellina dengan erat. Dua beranak itu saling menumpahkan air mata dan Khaleel menjadi saksinya di situ. Khaleel rasa sebak dan dalam masa yang sama bersyukur kerana akhirnya isterinya telah berbaik dengan ibunya sendiri.
"Mak, ni suami Mel. Khaleel namanya. Maafkan Mel ya sebab tak bagi tahu mak masa Mel nak kahwin dulu. Masa tu Mel memang belum bersedia untuk jumpa mak". Ujar Mellina setelah tangisannya agak reda.
Khaleel lantas menyalami tangan Puan Haida. Puan Haida menatap lama wajah menantunya itu. Nampak menantunya itu seperti dari keluarga yang baik-baik.
"Dan mak kejap lagi akan dapat cucu tau
Doakan Mel ya mak semoga dipermudahkan semua urusan Mel nak bersalin nanti". Sambung Mellina lagi sambil menunjukkan perutnya yang membukit itu.
"Alhamdulillah, Mellina. Mak bersyukur sangat akhirnya kamu dipertemukan jodoh dengan orang yang baik. Mak doakan hidup kamu berdua akan bahagia dan dirahmati". Ucap Puan Haida sambil mengelus pipi Mellina.
Mellina kembali memeluk ibunya itu. Syukur kerana ibunya masih mahu menerima dirinya walaupun setelah banyak dosa yang dia lakukan selama ini. Dia cuma berharap semoga dirinya mampu menjadi anak dan isteri yang terbaik buat ibu serta suaminya selepas ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Daim perlahan menuruni anak tangga rumah agam tersebut menuju ke bahagian ruang tamu untuk menonton televisyen.
Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, namun matanya masih lagi segar. Di bilik tadi, puas sudah dia bermain telefon bimbit dengan harapan dia akan tertidur namun hampa kerana matanya masih lagi segar. Riana pula sudah tentu telah tidur sejak tadi lagi.
Jadi Daim memutuskan untuk menonton televisyen sebentar supaya matanya akan terasa mengantuk. Dia tahu, tiada siaran yang menarik pun di malam hari begini. Namun dia mencuba juga membuka televisyen dan melihat setiap saluran.
Daim akhirnya membiarkan saluran televisyen terhenti di siaran langsung bola sepak. Daim hanya memandang sepi ke arah televisyen tersebut. Berharap agar dia boleh cepat mengantuk.
"Tak tidur lagi ke Daim?". Tiba-tiba kedengaran suara Dayyini yang entah dari mana. Daim segera mengurut dadanya dek terkejut tatkala melihat Dayyini sudah berada di sebelahnya dengan jarak yang dekat.
"Eh kak...err bila akak kat sini? Terkejut saya". Daim pula bertanya soalan kembali. Rasa terkejutnya masih belum hilang lagi.
"Dah lama dah, Daim je tak perasan. Kenapa Daim tak tidur lagi ni?". Soal Dayyini lagi dengan nada suara yang sengaja dilembutkan.
Dia mulai mendekati Daim yang duduk di sofa tersebut. Jarak mereka kini kurang daripada setengah meter pun sehingga Daim boleh mencium bau wangian yang dipakai oleh Dayyini. Daim sempat melirik dari ekor matanya untuk melihat Dayyini yang semakin dekat dengannya.
Dia agak tersentak melihat Dayyini hanya mengenakan baju tidur satin bertali halus serta atas daripada paras lututnya.
"Err Daim tak mengantuk lagi tu yang tengok tv tu. Akak kenapa tak tidur lagi?". Soal Daim yang sengaja tidak mahu memandang ke arah Dayyini yang kelihatan menggoda itu.
"Hmm mungkin Daim kena teman akak tidur kot". Jawapan Dayyini itu membuatkan Daim tersentak lagi. Apa maksud Dayyini ni?
"Hehe tak adalah akak gurau je. Hmmm akak teman Daim tengok tv boleh?". Soal Dayyini lagi dengan nada manjanya sambil jarinya bermain-main di lengan Daim.
Daim mulai terasa tidak selesa dengan pertanyaan dan perlakuan Dayyini itu. Wajarkah seorang kakak berbuat begitu? Seakan ingin menggoda dirinya.
"Eh tak apalah kak. Akak masuklah tidur. Daim pun kejap lagi nak naik dah ni". Tolak Daim secara baik. Bimbang juga jika dia terus terang itu akan membuatkan perasaan Dayyini tersinggung.
"Ala tak apalah. Akak pun tak mengantuk sekarang ni. Bolehlah akak spend masa dengan Daim kan?". Jawab Dayyini lagi lantas menyandarkan kepalanya di bahu Daim membuatkan Daim bertambah tidak selesa.
Daim berpura-pura menguap. "Kak, Daim dah mengantuklah. Daim naik dululah eh. Akak masih nak tengok tv ke? Kalau tak, Daim nak tutup ni". Dalih Daim lantas perlahan-lahan dia bangun dari duduknya.
"Hmm tak apalah. Akak pun nak tidur jugalah". Jawab Dayyini hampa lantas dia terus berlalu pergi meninggalkan ruang tamu dan terus masuk ke biliknya. Daim sekadar mengangkat bahunya dan terus menutup televisyennya.
Sepanjang mendaki tangga, dia masih teringat tentang perbuatan Dayyini tadi. Adakah dia yang terlalu cepat bersangka buruk. Daim lantas menggelengkan kepalanya untuk membuang semua fikiran buruknya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Daim membuka pintu peti sejuk di dapurnya untuk mengambil air bagi menghilangkan dahaganya. Cuaca yang agak panas membahang sekarang ini membuatkan dia sering terasa dahaga. Seusai selesai minum air, Daim beralih ke sinki untuk membasuh mug yang telah digunakan.
Jantung Daim hampir gugur tatkala merasa ada seseorang memeluknya dari arah belakang. Daim melihat ke arah perutnya di mana empunya tangan yang memeluk terletak. Ini bukan tangan Riana.
"Kak?". Soal Daim sambil cuba melepaskan pelukan Dayyini. "Pandainya Daim ni. Tau je ni akak kan". Jawab Dayyini dengan nada manjanya. Dayyini melepaskan pelukannya dan Daim juga berpaling arah memandang ke arah Dayyini.
"Kak, maaf kalau Daim cakap ni tapi boleh tak lain kali akak jangan buat macam ni. Daim terkejutlah". Ujar Daim dengan perasaan serba salah. "Kenapa? Salah ke apa yang akak buat?". Soal Dayyini sambil kedua tangannya memegang tepi sinki untuk mengunci Daim daripada berlalu pergi. Dia semakin mendekat ke arah Daim.
"Tak..bukan macam tu cuma Daim terkejut dan..". "Tak selesa? Daim, akak ni kakak kandung Daim tau. Kita tak salah pun nak berpeluk atau bermesra macam ni tau. Lagi pun, akak dah lama sangat tak dapat jumpa Daim. Mestilah akak nak bermesra balik dengan Daim". Potong Dayyini ketika Daim belum sempat menghabiskan kata-katanya.
Daim sudah menelan air liurnya. Jaraknya begitu dekat dengan Dayyini saat ini. Sudahlah Dayyini mengenakan dress separas lututnya, tanpa lengan berona merah hati. Benar-benar menggoda.
"Jadi, kalau akak nak peluk Daim macam ni pun tak salah". Ujar Dayyini lagi lantas dia terus memeluk erat tubuh Daim. Disembamkan kepala ke dada Daim yang agak kekar itu.
Mata Daim membuntang saat melihat Riana berdiri kaku di muka pintu dapur melihat Dayyini memeluknya begitu. Terlihat jelas riak wajah Riana berubah ketika melihat situasi tersebut.
Dayyini yang sebenarnya menyedari kehadiran Riana di situ terus memeluk erat Daim sambil tersenyum sinis. Biar saja Riana menyaksikan sendiri kemesraannya dan Daim.
"Riana". Ujar Daim. Dayyini lantas melepaskan pelukannya dan berpura-pura berpaling memandang Riana. "Eh Riana. Sorrylah, tengah bergurau adik beradik". Jawab Dayyini sambil berjalan meninggalkan mereka.
"Awak.. awak nak makan apa-apa ke?". Soal Daim agak gagap ketika Dayyini sudah tidak berada di situ. "Tak. Saya ingat saya nak kemas pinggan mangkuk tu sikit, tapi tengok awak tengah bergurau dengan kakak awak pula, tak apalah". Jawab Riana acuh tidak acuh.
Dia lantas berlalu pergi dari situ dan terus masuk ke bilik. Tergendala hajatnya untuk mengemas pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan tengahari tadi untuk dimasukkan ke almari semula.
Tipulah jika dia kata dia tidak cemburu. Dia sedar itu adalah kakak kandung Daim, namun perlu gayanya seakan ingin menggoda suaminya itu? Daim pula sekadar diam dan mengiyakan saja semua perbuatan Dayyini itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Malam itu, Riana hanya membaca novelnya di atas katilnya. Selepas makan malam, dia tidak duduk santai dengan Daim seperti kebiasaannya sebaliknya terus naik ke bilik dan menyendiri.
Daim lantas masuk ke bilik mereka dan duduk di birai katil. Dia memandang ke arah Riana. Dia tahu isterinya itu pasti merajuk dengannya disebabkan kejadian petang tadi.
"Riana, awak okey tak ni?". Soal Daim. "Hmm saya okey je". Jawab Riana acuh tidak acuh. Matanya masih lagi fokus membaca setiap perkataan yang adalam novel tersebut.
"Saya minta maaf. Saya tahu awak masih teekesan dengan apa yang awak tengok tadi kan?". Pinta Daim lagi. "Kenapa awak nak minta maaf pula? Korang berdua kan adik beradik". Jawab Riana.
"Tapi saya tengok awak macam merajuk je dengan saya. Awak jealous ke?". Soalan Daim itu membuatkan Riana meletakkan novelnya dengan serta merta.
"Saya tak tahulah nak cakap macam mana kan. Sorry to say tapi firasat saya berkata lain". Ujar Riana sambil duduk tegak di hadapn Daim.
"Maksud awak?". Soal Daim inginkan kepastian. "Awak memang yakin ke dia kakak awak? Kenapa saya rasa dia tu macam datang sengaja untuk kacau rumah tangga kita?". Soal Riana pula.
Daim diam cuba menghadam kata-kata isterinya itu. "Awak nak cakap dia tipu ke? Tapi dia pun ada bukti gambar tu. Tu memang gambar saya masa kecil pun". Ujar Daim.
"Sekarang ni saya tanya awak, logik ke seorang kakak berpakaian seksi macam tu depan adik lelaki dia? Tambah pula adik dia tu dah berkahwin tau". Riana meluahkan isi hatinya.
"Saya pun rasa pelik sebenarnya tapi kami kan dah lama tak jumpa. Mungkin dia memang rindukan saya". Daim masih cuba untuk mempertahankan Dayyini. Dia ragu namun dalam masa yang sama dia faham akan perasaan Dayyini yang terlalu merindukan Daim.
"Macam ni lah, apa kata awak try buat DNA test?". Cadang Riana pula. "Takkanlah sampai kena buat DNA? Lagi pun tak mungkinlah ada orang nak menyamar jadi kakak saya". Daim tidak mempersetujui cadangan Riana itu.
"Awak sendiri tahu kan, Pak Man siap tunjuk lagi tau kubur family awak. Mana mungkin tiba-tiba kakak awak ada pula? Dari awal lagi saya ada rasa yang lain dengan dia". Ujar Riana cuba menyedarkan Daim.
"Tapi kak Dayyini dah bagitau kan semua tu tipu helah Pak man je? Memang Pak Man sengaja pisahkan saya dan kak Dayyini". Jawab Daim.
"Saya serabutlah fikir pasal ni. Saya yakin dia memang kakak saya. Dahlah, saya penat, saya nak tidur jelah". Sambung Daim lagi lantas bersedia untuk tidur di tempatnya.
"Awak pun tidurlah. Awak jangan fikirkan sangat hal ni". Ujar Daim lagi sebelum dia melelapkan matanya. Riana pula masih tidak berpuas hati dengan perbincangan mereka. Mengapa Daim begitu mempercayai Dayyini?
Riana melepaskan satu keluhan. Dia perlu menyiasat siapa sebenarnya Dayyini. Adakah benar Dayyini itu kakak kandung Daim? Atau dia ada muslihatdi sebaliknya?
Share this novel