Faiq terburu-buru masuk ke rumah. Dia sempat lagi mengerling jam di pergelangan tangannya. Baru pukul 3 petang. Dia terburu-buru balik dari tempat kerjanya seketika mendapat panggilan telefon dari ayahnya yang mengatakan ibunya jatuh dari bilik air.
"Assalamualaikum, sayang". Ucap Faiq ketika pintu rumahnya terbuka. Riana kelihatan sedikit terkejut melihat Faiq sudah pun pulang ke rumah walhal masih awal lagi. "Eh awalnya abang balik. Ada apa ni bang?". Soal Riana. Dia melihat wajah Faiq yang sedikit cemas itu. Hatinya mulai tidak sedap.
"Papa call tadi, papa cakap mama jatuh bilik air". Faiq memberitahu hal sebenar. "Astagfirullahalazim abang. Macam keadaan mama sekarang?". Soal Riana cemas. "Papa cakap mama okey, tak pengsan apa pun, tapi kaki dia bengkak. Dia tak boleh jalan sekarang ni. Sebab tu abang minta balik awal ni, abang risaulah dengan keadaan mama". Ujar Faiq cemas.
"Jom bang, kita pergi tengok mama sekarang. Kejap, Riana pakai tudung jap". Pamit Riana lantas laju dia berlari mendaki tangga rumah dua tingkat milik mereka berdua itu.
Sebenarnya sudah hampir dua bulan Riana tidak bekerja. Ini semua pun permintaan Faiq yang memintanya untuk menjadi suri rumah tangga sahaja. Tambah pula, Faiq meminta Riana berehat di rumah sahaja sambil mereka sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Sudah setahun lebih usia perkahwinan mereka dan sehingga kini, mereka masih belum dikurniakan rezeki. Oleh sebab itu, Faiq memintanya untuk berehat sahaja daripada menghadapi stress di tempat kerja.
Lebih kurang 20 minit pemanduan dari rumah mereka ke rumah ibu bapa Faiq, Faiq memberhentikan kereta Proton Saganya di hadapan rumah ibu bapanya itu. Faiq dan Riana laju sahaja menuju masuk ke rumah.
"Ma, pa macam mana?". Soal Faiq sebaik sahaja tiba di ruang tamu rumah tersebut. Kelihatan Puan Yasmin sedang berbaring di sofa ruang tamu. Wajahnya seperti menahan kesakitan. Kakinya di bahagian buku lali juga sudah dibalut.
"Alhamdulillah tak ada apa yang serius. Tadi papa dah bawa pergi klinik, doktor pun dah buat xray, ada terkehel sikitlah tulang dia, tu jadi bengkak tu". Cerita Encik Syukri. "Buat masa ni, mama tak boleh nak banyak bergerak. Tak boleh banyak berjalan juga". Sambungnya lagi.
"Alhamdulillah kalau tak ada apa serius. Risau sangat Faiq tadi. Cepat-cepat balik kerja lepastu ambik Riana. Macam mana mama boleh jatuh tadi?". Soal Faiq pula. "Kepala mama pening tadi. Darah mama naik agaknya". Jawab Puan Yasmin bernada lemah. Memang mereka pun sedia maklum bahawa Puan Yasmin mempunyai tekanan darah tinggi dan bergantung kepada ubat-ubatan juga.
"Nasib baik tak teruk sangat ma. Riana jaga mama saja ya?". Tawar Riana. Dia sanggup menjaga Puan Yasmin sementara Puan Yasmin kembali sembuh. Lagipun, dia sendiri tidak bekerja sekarang, jadi tidak ada salahnya untuk dia menjaga ibu mertuanya itu.
"Eh tak apalah Riana. Buat susah je. Mama okey je ni. Faiz pun kan ada boleh tolong mama". Tolak Puan Yasmin. Dia sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia masih mampu untuk bergerak sendiri. "Tak apalah ma. Riana okey je. Lagi pun Riana bosan duduk rumah tu, sorang je. Abang pun kerja. Faiz pun sekarang dah dapat kerja kan?".
"Ha ah Faiz dah kerja sekarang ni. Riana tu sepatutnya berehat, betullah apa yang Faiq suruh tu. Riana rehat je". Jawab Puan Yasmin pula. "Ala ma, bukannya susah pun nak jaga mama. Boleh ye Riana jaga mama?". Pujuk Riana lagi. "Betul tu ma. Lega juga hati Faiq ni bila ada Riana tolong tengok-tengokkan mama. Faiz pun bukannya selalu ada kat rumah. Papa pula bukannya sihat sangat. Eloklah kalau ada Riana kat sini". Celah Faiq pula. Riana sekadar mengangguk.
"Dah kalau macam tu, baiklah. Terima kasih Riana. Kamu memang menantu yang baik. Beruntung Faiq dapat kamu". Jawab Puan Yasmin sambil tersenyum. Dalam hatinya dia bersyukur sekali kerana mendapat menantu sebaik Riana Suffiyah itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mellina berjalan perlahan menghampiri farmasi di hospital tersebut. Dia perlu mendapatkan bekalan ubat-ubatan lagi memandangkan ubatnya yang di rumah pun dah habis. Seusai mendapatkan ubat-ubatannya, Mellina memutuskan untuk pulang semula ke pejebatnya. Dia memang memanfaatkan waktu makan tengaharinya untuk singgah sebentar ke hospital.
Baru sahaja Mellina menekan butang lift, pintu lift sudah pun terbuka. Namun, Khaleel juga kebetulan keluar dari lift yang sama. Pandangan mereka berdua bertaut seketika.
"Hai..Mel? Awak kat sini lagi?". Sapa Khaleel. Mellina menundukkan wajah seketika. Mesti Khaleel hairan dengan kekerapan kehadiran Mellina di situ. "Hai...ya saya di sini lagi". Jawab Mellina perlahan.
"Ada apa-apa yang boleh saya bantu ke?". Soal Khaleel menduga reaksi daripada Mellina. "Nope thanks. Saya cuma ambil vitamin je dari sini". Jawab Mellina. "Awak yakin ke awak cuma ambil vitamin? Vitamin pun ada dijual kat farmasi luar. Anything actually happen to you, Mel?". Duga Khaleel lagi. Kening kirinya sudah diangkat sedikit. Dia yakin, Mellina pasti menyembunyikan sesuatu daripadanya.
Bukan sekali atau dua kali dia nampak Mellina berkeliaran di kawasan hospital ini, malahan sudah beberapa kali. Dia yakin Mellina bukan sekadar mengambil vitamin biasa sahaja, pasti ada sesuatu. "Emm..nothing. Oh, saya dah lambat ni. Lunch hour saya dah nak habis. Saya pergi dulu ya". Pamit Mellina. Dia pantas menekan butang lift dan nasibnya baik, pintu lift pun segera terbuka. Dia perlu cepat-cepat mengelak daripada Khaleel. Dia merasakan Khaleel sudah tahu sesuatu.
Khaleel mengeluh kecil, dia mengelak lagi nampaknya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Riana begitu ralit menyiapkan juadah makan tengahari buat keluarga Faiq. Hari ini hujung minggu, semua penghuninya berada di rumah.
Masakannya pada tengahari itu cukup sederhana, udang masak sambal, ayam masak kari dan tumis kangkung. Dua hari sudah rupanya sejak dia menjaga inu mertuanya itu, Puan Yasmin. Keadaan Puan Yasmin juga sudah semakin membaik.
Disebabkan Riana yang begitu sibuk menghidangkan makanan, dia tidak terperasan kehadiran Faiz yang masuk ke dapur itu. Faiz apalagi, mulalah menjeling ketika melihat kelibat Riana.
Faiz sebenarnya dahaga, jadi terpaksalah dia masuk ke dapur untuk mengambil minuman. Terpaksa jualah dia menghadap wajah kak iparnya itu. "Ehh Faiz. Meh makan, ajak sekali papa dengan mama tu ya". Sapa Riana tatkala melihat Faiz sedang mengambil minuman.
Faiz hanya diam sambil memerhati Riana. Pandangan penuh dengan rasa muak dan benci. "Kau ni tak payah acah-acah baik boleh tak? Menyampah aku tengok". Luah Faiz membuatkan Riana memandang Faiz sambil berkerut dahi.
"Acah-acah baik? Apa maksud Faiz ni?". Soal Riana tidak mengerti. "Kau ni dahlah acah-acah baik, lepastu sekarang nak tunjuk macam orang bodoh pulak ke?". Soal Faiz lagi bernada sinis. "Faiz, apa yang Faiz cakap ni? Akak memang tak fahamlah". Riana juga mulai naik darah mendengar ayat-ayat Faiz itu.
"Kau tu dahlah perampas. Aku tak fahamlah apa yang abang aku suka sangat dengan kau ni. Entah apalah ayat yang kau baca bagi abang aku kan". Makin pedas kata-kata Faiz itu. Dia juga turut senyum sinis. Puas dapat menyakitkan hati Riana. "Perampas? Bila masa akak jadi perampas? Faiz ni kenapa eh, selalu nak cari gaduh dengan akak? Apa salah akak dengan Faiz?". Soal Riana bertalu-talu. Nafasnya mulai turun dan naik.
"Salah kau sebab kau merampas hak milik orang lain. Kau kena ingat, kau takkan bahagia dengan abang sebab kau dah rampas bahagia orang lain". Berdas-das kata-kata pedas dilemparkan oleh Faiz. Dia terus berlalu pergi meninggalkan Riana yang mulai tidak stabil emosinya.
Riana mengambil tempat duduk sebentar. Cuma menghadam apa yang dikatakan oleh Faiz tadi. Rampas? Dia rampas Faiq dari siapa? Kenapa Faiz begitu membencinya?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Malam itu, Riana hanya duduk mendiamkan diri di bilik. Dia masih lagi terfikirkan kata-kata Faiz tengahari tadi. Pintu bilik, terkuak dari luar. Terjengul kepala Faiq sambil tersenyum ke arah Riana.
"Sayang okey tak ni? Dari lunch tadi lagi abang tengok muka sayang macam tak happy". Tegur Faiq. Dia perasan akan perubahan mood isterinya sejak tadi.
Riana hanya mendiamkan diri sahaja. Dia buntu. Tidak tahu hendak memberitahu Faiq atau tidak tentang sikap adiknya itu. "Tadi masa Riana masak untuk lunch, Faiz datang ke dapur". Riak wajah Faiq juga turut berubah ketika Riana menyebut nama Faiz. 'Jangan budak ni buat hal sudah', getus hati Faiq.
"Kenapa dengan Faiz? Dia ada cakap apa-apa ke? Dia buat apa je dengan sayang?". Soal Faiq bertalu-talu. "Dia tak ada buat apa, cuma dia ada cakap yang Riana ni perampas kebahagiaan orang lain". Riana memulakan ceritanya.
Berderau darah Faiq mendengar itu. Tak mungkin rahsianya akan terbongkar semudab ini. "Riana tak faham kenapa dia cakap macam tu? Apa salah Riana ni bang? Bila masa Riana rampas kebahagiaan orang lain?". Sambung Riana lagi bernada lirih. Air mata mula bertakung di tubir matanya.
"Ohh pasal tu ke. Riana nak tau satu cerita tak?". Soal Faiq berpura-pura tenang. "Cerita apa?". Soal Riana pula. "Faiz tu sebenarnya dia ada satu masalah mental mungkin yang buatkan dia susah nak move on dari sesuatu atau seseorang". Faiq memulakan penipuannya.
"Abang nak cakap Faiz tu kena mental ke bang?". Soal Riana. "Bukan macam tu tapi ya dia memang ada satu masalah. Kalaulah sayang nak tau, dia panggil sayang perampas sebab dia masih tak boleh move on hubungan abang dengan ex girlfriend abang dulu zaman sekolah". Faiq memulakan ceritanya.
"Abang dulu ada sorang girlfriend tau kat sekolah. Mak bapak ada hantar sekolah untuk belajar, abang sibuk bercinta hahaha". Sambungnya lagi sambil mengingat kenangan lalu. "Abang lama bercinta dengan girlfriend abang ni. Dekat 3 tahunlah jugak. Tapi terputus di tengah jalan sebelum kami nak SPM masa tu". Sambung Faiq lagi.
Faiq mulai teringat kenangan dia pernah bercinta dengan rakan sekelasnya, Hani. Hani yang mempunyai rupa paras cantik serta dia juga terkenal di sekolah kerana penglibatan aktif dalam mewakili bola jaring di sekolahnya.
"Takkanlah sebab tu je bang. Lama sangat dah pun kan. Ke abang masih contact dengan Hani lagi sampai sekarang?". Soal Riana curiga. "Mana ada contact lagi sayang. Hani pun dah menikah dengan orang lain dah. Ni pun abang tahu dari kawan baik abang masa zaman sekolah dulu". Terang Faiq.
"Tapi memang sebab itu je, Faiz akan label sayang ni perampas. Walaupun benda dah berlalu berpuluh tahun". Sambung Faiq lagi. Riana menggelengkan kepala perlahan. Cuba menghadam apa yang disampaikan oleh Faiq.
"Hmm kalau macam tu, sampai bila-bila sayang takkan berbaik dengan Faizlah nampaknya. Sayang dah tak tau nak buat apa lagi untuk berbaik dengan Faiz". Luah Riana lagi. Dia selalu berusaha untuk berbaik dengan Faiz. Setiap kali dia dan Faiq melawat ibu bapa Faiq, Riana pasti akan menyapa adik iparnya itu namun yang Riana dapat hanya jelingan dan wajah masam mencuka sahaja.
"Tak apa sayang. Slow-slow nanti Faiz mesti akan terima juga semua ni. Kita doa jelah ya". Pujuk Faiq cuba menenangkan hati Riana. Namun jauh di dasar hatinya dia rasa bersalah kerana tidak memberitahu hal sebenar punca Faiz membencinya.
Faiq terlalu sayangkan Riana. Dia takut kehilangan Riana angkara kesilapannya di masa lalu.
Share this novel