Bab empatpuluhlapan

Drama Completed 7961

Mellina merebahkan tubuhnya ke atas sofa di ruang tamu. Kepalanya terasa berpusing, perutnya pula terasa mual. Dia juga sudah dua kali muntah tadi walaupun dia belum menjamah sebarang makanan pada hari itu.

Mellina berasa hairan dengan dirinya hari ini. Apa sudah jadi padanya? Ini seperti simptom kanser yang pernah dia lalui dulu. Tidak mungkinlah sekarang kanser itu kembali lagi sedangkan dia sudah disahkan bebas daripada kanser limfona yang pernah dihidapi.

Tidak lama kemudian, terdengar pintu rumah dikuak dari luar dan terjengul Khaleel yang baru pulang dari tempat kerja.

"Mel, awak okey tak ni?". Soal Khaleel tatkala melihat Mellina terbaring di sofa dambil menutup matanya dan wajahnya yang agak pucat itu.

"Saya rasa pening sangat sekarang ni. Ni pun dah dua kali muntah. Tak tahu kenapa". Luah Mellina. Khaleel membantu Mellina untuk duduk. Khaleel lantas duduk di sebelah Mellina.

"Masuk angin ke ni? Dah makan ke belum?". Soal Khaleel sambil dia mengurut lembut belakang leher Mellina.

"Belum, tak ada selera. Rasa mual sangat ni". Jawab Mellina lemah. Sebaik saja mendengar perkataan mual riak wajah Khaleel mulai berubah kepada ceria.

"Awak tak rasa apa-apa ke?". Soal Khaleel menduga Mellina. "Rasa apa?". Soal Mellina tidak faham akan maksud suaminya itu. "Awak pregnant ke sayang?". Soal Khaleel lagi.

Mellina agak tersentak mendengar persoalan Khaleel itu. Tidak mungkin secepat itu. Dia baru sahaja sebulan lebih menikah dengan Khaleel, masakan secepat itu dia mengandung?

"Tak mungkinlah. Kita baru je kahwin kot. Saya rasa saya masuk angin je ni". Jawab Mellina yang cuba menafikan kata-kata Khaleel tadi.

"Tak ada makna. Dah jom siap, kita pergi klinik lepas ni". Ajak Khaleel. Khaleel lantas bangun dari duduknya dan masuk ke bilik mereka untuk membersihkan diri.

Mellina pula masih statik di sofa tersebut. Dia kan baru saja sembuh daripada kansernya, masakan sekarang dia sudah hamil? Dia cuba menafikan tekaan Khaleel itu.

"Mellina! Kenapa awak duduk situ lagi sayang? Jomlah cepat bersiap, kita pergi klinik lepas tu kita dinner kat luar sekali". Ajak Khaleel lagi sekali apabila mendapati Mellina masih tidak bergerak.

Mellina akhirnya bangun dari duduknya dan masuk ke bilik untuk bersiap. Dia bukannya tidak gembira jika dia memang benar hamil namun yang dia risaukan ialah bagaimana jika kandungannya nanti berisiko disebabkan dia baru sahaja sembuh daripada kansernya?

Dia tidak mahu membahayakan nyawa anaknya kelak. Itu yang membuatkan Mellina berfikir-fikir beberapa kali selepas mendengar andaian Khaleel itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Malam itu, Daim, Riana serta ibu bapa Daim menikmati makan malam bersama di rumah dengan hasil masakan Riana sendiri.

"Alhamdulillah mama rasa lega sangat akhirnya semuanya dah terjawab sekarang. Dah tak ada lagi rahsia antara kita ya sekarang". Ucap Puan Sri Ainnur sejurus habis menikmati makan malamnya.

Daim tersenyum lantas mengangguk. Beberapa hari lepas dia akhirnya menemui pakcik dari belah ayah kandungnya berdasarkan alamat dan maklumat yang diberikan oleh pihak rumah kebajikan.

Awalnya Daim berasa tidak mampu ke sana. Bukan kerana rumah pakciknya itu yang terletak jauh ke dalam kawasan pedalaman namun kerana dia bimbang tidak kuat untuk berjumpa pakciknya.

Namun setelah dipujuk oleh Riana, akhirnya Daim cekalkan hati untuk berjumpa dengan pakciknya itu dan ternyata ada alasan besar di sebalik mengapa pakciknya tidak mahu menjaganya.

"Alhamdulillah Daim pun lega sangat sekarang. Cuma memang Daim kesian sangat dengan keadaan Pak Man. Tak sangka selama ni hidup dia sengsara macam tu". Jawab Daim sebak membayangkan keadaan Pak Man sewaktu dia melawatnya.

Pak Man tidak mampu untuk bergerak bebas disebabkan kakinya lumpuh. Jadi dia hanya duduk di kerusi roda dan dijaga oleh isterinya yang juga tidak begitu sihat.

Pak Man memang sengaja tidak mahu mengambil dan menjaga Daim dahulu kerana keadaan kehidupannya yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Dia tidak mahu melihat Daim mengalami kepayahan hidup miskin dengannya.

Kini, isteri Pak Man hanya mengambil upah menjahit pakaian orang kampung sekitar dan sesekali mengambil upah pesanan kuih muih untuk dihantar di gerai berdekatan. Pak Man pula hanya terlantar begitu sejak kakinya lumpuh disebabkan jatuh ketika sedang bekerja.

"Tak apa Daim. Mulai dari sekarang, Daim kena tolong Pak Man ya? Hulurkan sedikit barang-barang keperluan untuk mereka dan pergi lawat mereka bila Daim ada masa lapang". Nasihat Tan Sri Yusran.

Daim hanya mengangguk faham dengan nasihat papanya itu. Itu sudah semestinya akan menjadi tanggungjawabnya sekarang. Walaubagaimana pun, Pak Man merupakan darah dagingnya sendiri. Tidak mungkin dia akan membiarkan Pak Man terus berlarut dalam kesusahannya.

"Terima kasih pa, ma sebab dah jaga Daim selama ni. Kalau papa dan mama tak ambil Daim dulu, tak tahulah apa nasib Daim sekarang ni". Ucap Daim lagi.

"Sama-sama Daim. Memang dah tugas kami untuk jaga Daim sebaiknya sebab kami yang memang ikhlas nak ambil dan jaga Daim. Sekarang bila Daim dah tahu semua kebenaran, mama dan papa rasa lega sangat, rasa tenang sikit hati kami". Jawab Puan Sri Ainnur tenang.

Riana yang berada di situ turut berasa sebak. Dia tidak pernah menyangka ada sebuah rahsia besar tersimpan selama ini di sebalik seorang Daim yang angkuh, dingin ketika awal pertemuan mereka.

Namun kini Daim telah pun berubah. Dia mulai membuang semua sifat angkuh, sombongnya itu. Daim mulai menunjukkan sisi baiknya kerana dia sedar tidak ada gunanya untuk dia terus bersifat angkuh dan sombong dengan hartanya kerana semuanya bukan miliknya.

Riana berharap agar perhubungan kekeluargaan mereka akan berkekalan dan sentiasa erat begini tanpa perselisihan faham.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Faiq menyusun pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg pakaiannya. Puan Yasmin yang melihat anaknya itu dari luar bilik segera masuk dan menghampiri Faiq.

"Faiq yakin ke dengan keputusan Faiq ni?". Soal Puan Yasmin sambil memandang lama wajah anak lelakinya itu.

Faiq memutuskan untuk berhijrah ke negeri orang untuk meluaskan lagi pengalamannya dan memulakan hidup baru.

"Faiq dah yakin ma. Cukuplah Faiq masih mengharapkan Riana lagi sedangkan Faiq sedar, Riana takkan jadi milik Faiq lagi selamanya". Luah Faiq meluahkan kekesalannya.

"Tentang Danish, Faiq akan jalankan tanggungjawab Faiq dengan beri nafkah kepada dia sebab macam mana pun itu anak Faiq. Sebab tu Faiq nak cari kerja jauh ke tempat orang. Mana tahu, ada rezeki Faiq di sana". Sambung Faiq lagi.

Faiq kelihatan lebih tenang sekarang. Dia sudah merelakan semuanya sekarang. Tiada guna juga untuk dia terus menerus rasa tidak berpuas hati dengan apa yang telah terjadi.

Dia sedar, walau bagaimana pun dia berusaha untuk mendapatkan Riana, Riana tidak akan kembali padanya lagi. Dia tahu perbuatannya sebelum ini sudah cukup menyakitkan buat Riana dan Farah.

"Jaga diri baik-baik dekat tempat orang ya, Faiq. Jangan lupa kami dekat sini. Papa dan mama akan sentiasa sokong dan doakan yang terbaik untuk Faiq". Ucap Puan Yasmin.

"Inshaallah ma. Mama dan papa doakan Faiq ya? Satu je harapan Faiq sekarang ni. Faiq harap sangat bila Faiq balik sini lagi nanti, Faiq dapat jumpa Faiz dan minta maaf dengan dia". Ujar Faiq pula.

Faiz kini menyambung belajar pada peringkat master pula di sebuah universiti tempatan. Semua ini diputuskan selepas cintanya ditolak oleh Farah. Faiz juga jarang pulang ke rumah semenjak abangnya sudah bebas daripada penjara dan lebih memilih tinggal di rumah sewanya sahaja.

"Inshaallah Faiq. Mama yakin, lambat laun hati Faiz akan lembut juga untuk maafkan Faiq. Walau macam mana pun, air yang dicincang tidak akan putus. Faiq dan Faiz adik beradik. Kamu berdua tetap akan berbaik juga pada akhirnya". Ujar Puan Yasmin.

Faiq lantas memeluk tubuh mamanya untuk mendapatkan semangat. Puan Yasmin membalas pelukan anaknya itu dan menggosok belakang badan Faiq.

Sebagai seorang ibu, beliau hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya. Selebihnya beliau menyerahkan segalanya kepada sang penjaga hati yakni Allah SWT.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Riana berjalan menuju ke bilik Puan Sri Ainnur sambil membawa sebuah dulang yang berisi makanan tengahari. Sejak seminggu ini, keadaan Puan Sri Ainnur semakin lemah dan memburuk.

Puan Sri Ainnur semakin tidak larat untuk bergerak ke sana dan ke sini. Rawatan kemoterapi pun telah diberhentikan atas permintaan Puan Sri Ainnur sendiri atas sebab beliau sudah tidak sanggup untuk menghadapi lagi sakit yang dirasakan selepas kemoterapi.

Walaupun puas dipujuk oleh Daim, Riana serta Tan Sri Yusran namun Puan Sri Ainnur tetap berpegang teguh dengan keputusannya. Akhirnya mereka terpaksa akur dengan keputusan Puan Sri Ainnur itu.

Riana mengetuk pintu bilik Puan Sri Ainnur terlebih dahulu sebelum masuk. Senyap, tiada langsung sahutan seperti kebiasaannya.

Riana lantas membuka pintu bilik tersebut dan masuk ke dalam. Dulang makanan diletakkan di atas meja di sebelah katil Puan Sri Ainnur.

'Oh tidur rupanya...', getus Riana. Riana mengerling jam di dinding. Sudah memasuki pukul 1:30 tengahari dan Puan Sri Ainnur masih tidur lagi. Jarang berlaku keadaan begini.

Riana melepaskan satu keluhan sebelum duduk di tepi katil Puan Sri Ainnur untuk membangunkannya. Riana tahu, ibu mertuanya itu tentu kepenatan dan sentiasa berasa lemah, oleh sebab itu beliau sering tidur.

"Ma...bangun kejap ma. Makan dulu. Ni Riana dah bawa lunch untuk mama. Mama bangun ya..". Riana cuba untuk membangunkan Puan Sri Ainnur.

Masih lagi diam, tiada sebarang respons daripada ibu mertuanya. "Ma..bangun kejap ma". Riana bersuara lagi. Hatinya mulai tidak sedap melihat Puan Sri Ainnur yang masih lagi memejamkan matanya.

"Ma..mama penat sangat ni tapi mama bangun kejap? Lagi pun ni dah masa untuk mama makan ubat. Ma..". Riana masih lagi tidak berputus asa untuk membangunkan Puan Sri Ainnur.

Namun Puan Sri Ainnur masih lagi sama. Tidak bergerak atau membuka matanya. Firasat Riana mulai berkata yang tidak-tidak.

"Ma, bangunlah ma. Mama dengar Riana tak?". Ujar Riana sambil menggerakkan sedikit badan Puan Sri Ainnur. Nada suaranya juga mulai naik sedikit berbanding tadi.

Daim yang terdengar suara Riana segera masuk ke bilik mamanya. "Riana, kenapa ni? Mama okey tak?". Soal Daim sambil berdiri di muka pintu.

"Saya bangunkan mama untuk lunch tapi mama tak nak bangun". Jawab Riana lirih. Daim segera menghampiri Puan Sri Ainnur dan berusaha untuk membangunkannya.

"Ma bangun ma. Ni Riana ada bawakan lunch untuk mama. Bangun kejap ma". Daim pula yang membangunkan Puan Sri Ainnur sambil menggerakkan sedikit badan mamanya itu.

Masih lagi tiada respons. Tangan Daim perlahan-lahan memegang pergelangan tangan Puan Sri Ainnur untuk merasa detak nadi. Tiada sebarang pergerakan nadi. Daim cuba memastikan Puan Sri Ainnur masih bernafas dan ternyata tiada lagi nafas.

"Ma! Bangun ma! Daim merayu ni, mama tolonglah bangun". Rayu Daim bersama tangisannya. Riana yang berada di sebelah sudah lencun dek air mata, memegang belakang badan Daim dan cuba menenangkan suaminya itu.

"Awak..dahlah tu". Ujar Riana. "Mama tak nak bangun ni, awak! Saya kena bangunkan dia juga!". Jawab Daim lagi.

Puan Sri Ainnur sudah tidak bernyawa lagi namun Daim masih belum menerima kenyataan itu dan terus menerus menggoncang tubuh Puan Sri Ainnur dengan harapan mamanya akan bangun kembali.

"Ma! Mama dengar Daim tak? Bangunlah ma!". Nada suara Daim semakin menaik. Air mata sudah terus laju membasahi pipinya.

Daim terus memeluk tubuh mamanya sambil menangis semahunya. Ini semua tidak mungkin! Tidak mungkin mamanya akan meninggalkannya secepat itu. Daim masih lagi terus menafikan apa yang telah terjadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience