Sebulan kemudian...
Dayyini sedaya upaya membuka pintu belakang dari arah dapur rumah agam tersebut. Tadi, dengan tenaga yang ada dia mencuba untuk memanjat tangga rumah agam tersebut dan akhirnya berjaya juga.
Setelah beberapa kali dia cuba untuk mengupil tombol pintu tersebut, akhirnya dia berjaya juga untuk membukanya. Dayyini tersenyum sendiri. Nampaknya nasib menyebelahinya.
Dengan kaki terjengket-jengket, Dayyini melangkah mendaki tangga seterusnya masuk ke bilik Daim dan Riana. Waktu sudah memasuki tengah malam, dia yakin mereka berdua pasti sudah diulit mimpi.
Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu supaya tidak mengeluarkan sebarang bunyi yang mungkin akan menyedarkan mereka berdua.
Rancangnya, dia mahu menculik Dariya, seterusnya memasang perangkap untuk membunuh Daim dan Riana. Jadi sekarang dia perlu mengambil Dariya terlebih dahulu.
Dayyini berjaya jua masuk ke bilik mereka. Matanya tertumpu kepada katil bayi yang menempatkan Dariya yang diletakkan di sebalah katil mereka berdua. Kelihatannya Daim dan Riana sedang nyenyak tidur, tidak menyedari akan kehadiran Dayyini di situ.
Dayyini perlahan-lahan mengangkat Dariya dan membawanya ke pelukannya. Dia mulai terkenangkan sesuatu tatkala melihat wajah kecil itu.
Dia lantas membuka langkahnya untuk melarikan diri. Riana yang ketika itu mula tersedar, membuntangkan matanya tatkala melihat kelibat seseorang keluar dari biliknya. Jantungnya mahu gugur melihat anaknya sudah tiada di situ.
"Woi! Anak aku!". Jerit Riana lantas mencuba untuk mengejar figura berbaju serba hitam dan memakai hoodie itu. Daim yang turut tersedar juga terus berlari untuk mengejarnya.
"Anak aku tu! Kau nak bawa ke mana ha? Pulangkan anak aku!". Jerit Riana sambil berlari menuruni tangga. Dayyini yang sudah bersedia untuk keluar dari rumah itu memalingkan tubuhnya memandang ke arah Riana.
"Kau jangan berani kejar aku kalau kau tak nak anak kau mati!". Ugut Dayyini sambil sebelah tangannya lagi memegang sepucuk pisau. Terus membuntang mata Riana tatkala melihat pisau di tangan Dayyini itu.
"Dayyini? Tolong Dayyini, aku merayu. Tolong jangan apa-apakan anak aku". Rayu Riana. "Jadi kau diam dekat situ! Jangan berani dekat". Ugut Dayyini lagi sambil mengacukan pisau tersebut ke arah Dariya. Dariya pula sudah mulai menangis ketakutan.
"Dayyini cukuplah tu. Kali ni apa lagi yang kau nak? Tolonglah jangan kaitkan anak aku". Daim pula bersuara merayu kepada Dayyini. "Apa yang aku nak? Aku nak korang semua mati!!". Jerit Dayyini.
"Apa salah kami pada kau Dayyini sampai kau buat kami macam ni? Kita tak pernah kenal pun sebelum ni". Soal Daim lagi. Dia benar-benar tidak boleh berfikir tentang sebab tindakan Dayyini itu.
"Memang kau tak kenal aku tapi aku kenal kau! Mak ayah kau dah bunuh mak ayah aku! Kau tau tak?!". Jawapan Dayyini itu membuatkan Daim dan Riana bingung.
"Apa kau merepek Dayyini? Mak ayah aku pun dah lama tak ada!". Bengang Daim jadinya dengan jawapan Dayyini itu. "Kau kata aku merepek? Aku tak pernah merepek, Daim! Memang mak ayah kau punca mak ayah aku mati!". Jerkah Dayyini lagi.
"Kau ingat lagi masa kemalangan tu? Mak ayah kau yang langgar kereta mak ayah aku masa tu! Kau tau tak betapa happynya aku masa tu sebab dapat naik kereta ayah sendiri untuk kali pertama?". Dayyini mula bercerita.
"Hidup kami susah, tak pernah ada kereta. Akhirnya ayah aku boleh dapat beli kereta untuk kami. Itulah kali pertama dan terakhir aku naik kereta sekali dengan mak ayah aku". Sambung Dayyini lagi.
"Mungkin kau tak ingat, tapi kita sama-sama dihantar ke rumah kebajikan yang sama. Tapi nasib kau baik, ada orang kaya ambil kau jadikan kau anak angkat dia orang sedangkan aku? Aku membesar dekat rumah kebajikan tu, kena hadap orang buli aku anak yatim piatu tapi kau? Hidup senang lenang, jadi anak orang kaya".
"Akhirnya umur 18 tahun, aku kena keluar dari situ. Aku kena mulakan hidup baru dekat luar tanpa sesiapa yang boleh bimbing aku. Aku hidup seorang tanpa ada sesiapa pun".
"Akhirnya aku jumpa dengan seorang lelaki ni. Walau baru kenal, dia dah ajak aku kahwin. Aku yang polos masa tu, aku setuju je. Aku fikirkan hidup aku akan lebih selamat bila dia ada. Perkahwinan yang aku sangkakan indah tapi rupanya tidak".
Tatkala Dayyini sedang asyik bercerita, Daim secara bersembunyi mengeluarkan telefonnya dan membuat panggilan kepada Zariff. Sengaja dia mahu Zariff mendengar suara Dayyini supaya Zariff boleh bertindak menelefon pihak polis.
"Lepas je kahwin, hidup aku berubah. Perkahwinan yang aku sangka akan indah macam syurga, nyatanya neraka untuk aku! Suami aku dera aku hampir setiap hari sampai tahap dia bunuh anak dalam kandungan aku. Kalaulah anak aku ada lagi, boleh aku dukung dia macam ni". Dayyini mengelus wajah Dariya. Itulah yang membuatkannya teringat akan kisah lalunya yang begitu menyakitkan.
"Aku ingat seksaan yang aku dapat berhenti dekat situ tapi rupanya tak! Lelaki jahanam tu tergamak jadikan aku pelacur. Kau bayangkan betapa sengsaranya terpaksa kerja macam tu dan semua duit aku kena bagi dekat dia. Sakit. Bertahun aku hadap seorang sampai akhirnya aku jumpa balik dengan kau Daim". Sambung Dayyini lagi.
Dayyini masih lagi teringat di saat dia bertemu semula dengan Daim yang ketika itu sedang menuruni keretanya lantas masuk ke pejabatnya. Di situlah dia mula menyiasat latar belakang Daim sehingga akhirnya berjaya masuk ke dalam kehidupan Daim.
"Kau punca semuanya! Mak ayah kau dah buatkan hidup aku sengsara sampai macam ni! Kau kena rasa apa yang aku rasa!". Jerit Dayyini lantas dia sudah berusaha untuk menikam Dariya menggunakan pisau yang dipegangnya.
Namun perbuatannya tergendala saat mendengar siren polis mula kedengaran di halaman rumah agam tersebut. "Berani kau report polis?! Kau memang nak kenalah Daim, Riana!". Jerit Dayyini yang sudah bersedia untuk mencampak Dariya ke lantai.
Riana pantas saja menyambut Dariya dan dipeluk erat anaknya itu yang sudah ketakutan. Dayyini pula sudah ingin membuka langkah seribu untuk berlari namun tindakan polis lebih pantas dengan menembak bahagian betis Dayyini. Dayyini mengerang kesakitan dan sudah tidak mampu bergerak lagi.
Dua orang polis wanita segera menggari tangan Dayyini. Dayyini pula masih lagi memandang ke arah Daim dan Diana dengan penuh rasa dendamnya. Akhirnya Dayyini dibawa oleh pihak polis tersebut.
"Daim, Riana korang okey tak?". Soal Zariff ketika pihak polis sudah meninggalkan kediaman mereka. "Aku tak sangka Dayyini simpan dendam sampai macam tu sekali. Salah aku ke dia sengsara?". Soal Daim yang lagi trauma dengan kejadian sebentar tadi.
Riana pula sudah tidak mampu berkata apa-apa sebaliknya hanya menangis sambil memeluk Dariya. Dia hampir saja kehilangan anaknya itu disebabkan amarah dan dendam pihak lain.
"Kau tak salah pun, Daim. Semua ni punca dari hati yang berdendam. Dah, sekarang korang berdua bertenang dulu nanti pergi ke balai polis untuk beri keterangan". Maklum Zariff. Adya pula menenangkan Riana dengan menggosok belakang badan Riana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Puan Haida mendekati menantu lelakinya yang sedang sibuk berkemas itu. Dia sempat juga melihat cucunya yang sudah memasuki usia empat bulan itu yang sedang lena diulit mimpi.
"Betul ke keputusan kamu ni Khaleel? Mak bukan apa, kesian dekat kamu dan Maleeq". Soal Puan Haida resah. "Ya mak, Khaleel memang dah yakin dengan keputusan Khaleel ni. Khaleel tetap akan bawa Maleeq bersama sepanjang Khaleel study dekat sana". Jawab Khaleel lembut.
Selepas pemergian Mellina, Khaleel memutuskan untuk menyambung pelajaran lagi di Amsterdam. Namun yang membimbangkan Puan Haida adalah Khaleel ingin membawa Maleeq sekali.
"Bagilah mak jaga Maleeq ya? Mak pun tak ada buat apa sangat dekat sini. Kamu dekat sana, fokus study je tak perlu fikir pasal Maleeq sangat". Jawab Puan Haida lagi.
"Khaleel faham mak memang sayang dengan Maleeq, mak memang nak jaga Maleeq tapi Khaleel mohon sangat dengan mak tolong izinkan Khaleel bawa Maleeq sekali? Sekurang-kurangnya, Khaleel boleh rasa Mellina ada bersama Khaleel kalau Maleeq ada". Jawab Khaleel.
"Kalau pasal pengasuh, dekat sana banyak daycare yang boleh jaga Maleeq ni. Mak tak perlu risau ya? Inshaallah Khaleel akan selalu update pasal Maleeq dekat mak". Sambung Khaleel memberi jaminan.
"Dah kalau itu keputusan kamu, mak tak boleh nak cakap apalah. Paling penting, tolong jaga diri dan jaga Maleeq baik-baik ya. Dia satu-satunya cucu yang mak ada. Tolong jangan biarkan dia kekurangan perhatian dan kasih sayang macam yang Mellina dulu rasa. Didik dia dengan ilmu agama dan adab". Nasihat Puan Haida berbaur nada sebak.
Khaleel sekadar mengangguk. "Mak, Khaleel akan ingat pesan mak tu sampai bila-bila. Maleeq adalah permata hati Khaleel yang akan Khaleel jaga dengan baik. Mak doakan untuk kami selalu ya?". Jawab Khaleel.
"Doa mak selalu untuk kamu dan Maleeq". Jawab Puan Haida pula. Cukuplah dia sudah kehilangan anak satu-satunya. Sekarang dia perlu memastikan cucunya sentiasa baik-baik saja. Dia tidak mahu kesilapannya semasa membesarkan Mellina dulu terulang semula kepada Maleeq Noah, cucu Puan Haida satu-satunya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Enam bulan kemudian...
Daim dan Riana berjalan beriringan menuju ke hospital pakar sakit jiwa di mana Dayyini berada. Inilah kali pertama mereka berdua menggagahkan diri untuk melawat Dayyini yang dirawat di sini disebabkan masalah kemurungan melampaunya.
Dia terlepas daripada hukuman penjara disebabkan masalah kesihatan mentalnya. Jadi dia perlu menjalani rawatan di sini terlebih dahulu.
Daim dan Riana terus berjalan menuju ke sebuah pondok yang berada tidak jauh daripada halaman hospital tersebut. Kelihatan Dayyini sedang duduk diam di situ dengan ditemani oleh seorang jururawat wanita.
"Dayyini, awak apa khabar? Ingat kami lagi tak?". Sapa Daim lembut. Dayyini pula hanya memandang mereka dengan pandangan kosong. Daim dan Riana sebenarnya sebak melihat keadaan Dayyini begitu. Dengan cengkung, badannya juga semakin kurus serta pandangan matanya yang kosong.
"Korang siapa?". Soal Dayyini lemah. Daim dan Riana saling berpandangan. Dia tahu dengan keadaan mental Dayyini yang begitu, sudah tentu dia tidak mengingati mereka.
"Ohh..korang ni kan yang jaga baby aku selama ni? Mana anak aku? Aku nak jumpa dia". Sayu saja kedengaran suara Dayyini. Jururawat tadi lantas menghulurkan sebuah patung baby kepada Dayyini. Dayyini lantas menyambutnga dan terus mencium patung tersebut dan memeluknya erat.
"Terima kasih korang dah jaga anak aku selama ni". Ucap Dayyini sambil tertawa sendiri.
Riana tidak dapat membendung air matanya lagi. Terasa begitu berat beban yang dipikul Dayyini selama ini. Suratan takdir Dayyini membuatkannya kini semakin hilang semangat.
"Korang..bawalah aku keluar dari sini. Aku dah bosanlah duduk sini. Aku nak keluar jalan-jalan dengan anak aku ni..". Rayu Dayyini lagi.
"Awak sembuh dulu ya barulah kita orang dapat bawa balik awak. Nanti kalau awak dah sembuh, awak boleh pergi mana je awak nak". Jawab Riana pula.
"Tapi aku tak sakit pun. Aku sihat je. Tengok, aku siap boleh jaga baby aku lagi tau. Betul tak baby?". Soal Dayyini kepada anak patung tersebut.
"Dayyini, awak rehat dulu dekat sini. Kami balik dulu ya? Nanti kami datang semula". Pamit Daim. "Nak ikut! Aku nak ikut! Jangan tinggal aku dekat sini!". Jerit kecil Dayyini.
Jururawat tadi lantas menenangkan Dayyini. Daim dan Riana cepat berlalu pergi daripada situ. Bimbang jika Dayyini akan lebih memberontak.
"Saya kesianlah dengan dia. Tak sangka dia jadi macam tu". Luah Riana ratkala mereka telah masuk ke dalam kereta. "Itu dah dinamakan takdir. Mungkin memang ini dah takdir dia dan pasti ada indah di hujungnya. Kita doakan je untuk kesembuhan dan kesejahteraan dia". Jawab Daim pula.
Riana sekadar mengangguk saja. Dia masih lagi tidak menyangka bahawa seorang Dayyini menyimpan masa lalu yang begitu berat dan dipendam sendirian hingga akhirnya memakan dirinya sendiri. Patut saja dia pernah ternampak ubat antidepresan di bilik Dayyini, ternyata Dayyini memang tidak begitu sihat.
Sekarang dia dan Daim hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk Dayyini. Dia begitu berharap, Dayyini akan mendapat kehidupan yang lebih baik selepas ini sebaik saja dia sembuh.
Share this novel