Bab empat

Drama Completed 7961

Pejam celik akhirnya sudah genap sebulan sejak Faiq dan Riana berpindah ke rumah baru mereka. Kelengkapan rumah masih berada pada tahap 70% siap. Namun Riana sudah mampu menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya Faiq dan dirinya boleh membina kehidupan bersama berdua.

Malam ini, Faiq sudah mengaturkan makan malam untuk keluarganya dan juga Riana. Dia merancang ingin mengajak mereka makan malam bersama bersempena meraikan rumah sewa baharu mereka. Awalnya Riana kurang bersetuju dengan idea Faiq itu kerana beranggapan itu hanya membazir. Lebih baik dia memasak sendiri lalu menjemput keluarga Faiq untuk makan bersama.

Namun Faiq tetap berkeras untuk makan malam di luar. Dia tidak mahu Riana bersusah payah tambahan pula perkara sebegini bukan selalu dilakukan. Jadi tidak salah sekiranya sekali sekala mereka makan di luar untuk meraikan sesuatu. Akhirnya Riana akurkan sahaja kata-kata Faiq itu.

Malam itu Faiq memandu keretanya menuju ke sebuah restoran makanan barat di bandar. Ibu bapa Faiq serta adiknya, Faiz bergerak dari rumah mereka ke lokasi restoran tersebut yang telah dihantar Faiq melalui WhatsApp. Akhirnya setelah hampir 20 minit perjalanan mereka pun tiba di restoran tersebut.

Terlihat kelibat ibu bapa Faiq dan Faiz sudah tiba sebelum mereka berdua. Faiq dan Riana lantas menyalami tangan kedua orang tua mereka. Riana juga menghulurkan senyuman kepada Faiz namun seperti biasa, hanya dibalas jelingan dan muka masam daripada Faiz.

"Tak sangka dah nak lima bulan kamu berdua berkahwin dah". Ujar Puan Yasmin memecah kesunyian antara mereka sementara menunggu pesanan mereka tiba. Riana hanya sekadar tersenyum tipis.

"Bila nak bagi mama papa cucu?". Soal Puan Yasmin sambil memegang tangan Riana yang duduk di hadapannya. Riana juga sedikit terpempan mendengar persoalan Puan Yasmin itu. Puan Yasmin memandangnya dengan penuh pengharapan. Serba salah Riana dibuatnya.

"Hmm Insha Allah ma. Cepat atau lambat, kalau Allah dah bagi rezeki mesti ada". Ringkas sahaja jawapan Riana. Dia faham perasaan Puan Yasmin yang begitu menginginkan cucu memandangkan baru Faiq seorang yang berkahwin. Faiz pula nampak gayanya masih ingin mengejar kariernya sahaja.

Faiq dan Riana bukan tidak berusaha untuk mendapatkan zuriat, namun itulah, Allah yang lebih berkuasa. Hingga saat ini, mereka masih belum lagi direzekikan anak. Namun mereka masih lagi bersabar dan terus berdoa supaya ada sinar buat mereka suatu hari nanti.

Puan Yasmin lantas mengangguk dan tersenyum. Dia juga tidak menyangka soalan begitu boleh terpacul keluar dari mulutnya. Dia juga faham dengan keadaan sekarang dan tidak akan mendesak Faiq dan Riana untuk mendapatkan zuriat dengan segera.

Beberapa minit kemudian makanan mereka pun tiba dan mereka mula menjamu selera. "Faiz, papa tak ajar tau makan sambil main phone". Tegur Encik Syukri apabila melihat Faiz masih lagi ligat bermain telefon. Serasa dunia hanya ada dia dan telefonnya sahaja.

Faiz lantas akur dan meletakkan telefonnya di atas meja. Dia menyuapkan makanan ke mulutnya dengan rasa terpaksa. Jika diikutkan hati, dia begitu malas untuk mengikut mereka pergi makan malam. Apatah lagi harus berhadapan dengan Riana, perempuan yang paling dibenci olehnya.

Namun Faiq berkeras juga untuk mengajaknya. Jadi dengan penuh keterpaksaan Faiz ikut jua.

Setelah selesai menikmati makan malam, mereka berlima meninggalkan restoran tersebut dan pulang ke rumah masing-masing. Namun sebelum keluar, Riana meminta izin untuk ke tandas sebentar.

Faiq yang sedang menunggu Riana di luar restoran tersebut, didatangi Faiz dengan wajah masam mencukanya.

"Aik, kenapa tak balik lagi? Nanti papa mama cari kaulah". Ujar Faiq. "Bang, sampai bila kau nak buat macam ni?". Soal Faiz bengang. Faiq membuat wajah toya tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Faiz. "Kau cakap apa ni Faiz? Abang tak fahamlah". Jawab Faiq.

"Kau tak payah acah acah innocentlah bang! Kau sedar tak kau dah sakitkan hati Kak Farah? Apa salah dia dekat kau sampai kau buat dia macam ni bang?". Soal Faiz lagi. Kalaulah Faiq itu bukan abangnya sudah pasti habis wajah Faiq ditumbuknya.

"Kau jangan cakap kuat-kuat boleh tak? Nanti Kak Riana dengarlah". Faiq bimbang sekiranya kata-kata Faiz tadi didengari oleh Riana. Jika Riana mendengarnya, pasti rahsia besarnya ini akan pecah dan segalanya akan musnah.

"Biarlah kalau dia dengar pun. Dia memang patut dengar kalau dia tu perampas hak milik orang. Dasar perempuan tak tahu malu!". Lagi bertambah kuat suara Faiz. Faiq segera menekup mulut Faiz.

"Kau jangan nak kurang ajar eh Faiz. Kak Riana tu isteri sah abang dan dia bukan perampas. Memang dia yang berhak dan selayaknya jadi isteri abang. Kau faham tak?". Faiq sehabis baik cuba memperlahankan suaranya walhal hatinya membara mendengar kata-kata adiknya tadi.

"Layak? Habis tu Kak Farah?". Soal Faiz lagi. Dia tekad. Malam ini biarlah andai hubungan abangnya dan Riana hancur disebabkan suatu kebenaran yang mungkin akan menyakitkan banyak pihak setelah mengetahuinya.

"Siapa Kak Farah?". Soal Riana yang baru sahaja keluar dari restoran tersebut. Dia sempat mendengar Faiz menyebut nama Kak Farah tersebut.

Faiq dan Faiz memandang kelibat Riana yang datang mendekati mereka. Faiq begitu terkejut dengan kehadiran Riana di situ. Bimbang sekiranya semua perbualannya dengan Faiz tadi didengar oleh Riana.

Faiq pantas menjegilkan mata ke Faiz menyuruh supaya Faiz diam dan berkata apa-apa lagi. Faiz lalu membuang muka ke arah lain. Tidak ingin melihat wajah Riana.

"Tak adalah sayang. Farah tu, sepupu kita orang. Dia tua sikit dari Faiz, tu yang dia panggil kakak tu. Faiz ni cerita kalau Farah tu sekejap lagi dah kahwin. Tu yang Faiz ajak abang dengan Riana sekali pergi majlis dia tu". Faiq cuba menipu untuk menutupi kesalahan Faiz.

Faiz sekadar menjeling ke arah abangnya itu. Bijak betul abangnya itu kelentong. Getusnya.

Faiz tidak berkata apa-apa labtas pergi meninggalkan mereka berdua dan menuju ke arah kereta Encik Syukri. "Oh macam tu. Bila tu majlis dia?". Soal Riana girang. Bolehlah dia berkenalan pula dengan keluarga besar Faiq selepas ini.

"Faiz tak sempat bagitahu pulak tadi. Kenapa budak ni cepat sangat pergi eh? Biasa dia ni kan. Takpelah, Nanti abang confirmkan balik dengan Faiz eh sayang?". Soal Faiq sambil membelai kepala Riana. Riana hanya sekadar mengangguk. Dia sebenarnya agak terasa dengan sikap Faiz yang begitu dingin dengan melangkah pergi begitu sahaja.

"Okey, sekarang kita balik ye?". Ajak Faiq lantas mereka berdua berjalan menghampiri kereta mereka dan tidak lama itu kereta tersebut berjalan laju membelah jalan raya.

Apakah sebenarnya rahsia yang disimpan oleh Faiq? Siapa Farah yang sesungguhnya? Apakah hubungannya dengan Faiq?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Faiz memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah rumah teres satu tingkat. Dia lantas turun dari motornya dan membuka topi keledarnya. Dia menjenguk ke sekitar perkarangan rumah, kelihatannya sunyi seperti tiada tuan rumahnya.

"Assalamualaikum". Faiz memberi salam. Tidak lama kemudian terjengul seorang wanita lingkungan umur akhir 20-an di muka pintu rumah tersebut. Bibirnya menguntum senyum tatkala melihat si tetamu.

"Waalaikumusalam. Eh Faiz, lamanya tak datang sini". Jawab wanita tersebut santun sambil berjalan menghampiri pintu pagar luar untuk membenarkan Faiz masuk. "Jemputlah duduk". Pelawa wanita tersebut kepada Faiz untuk duduk di kerusi yang tersedia di halaman rumah teres tersebut.

"Sekejap eh, akak buatkan air jap". "Tak apa kak. Tak payah susah-susah". Jawab Faiz segan. "Eh mana ada susah. Faiz pun bukan selalu datang sini kan? Tunggu sekejap tau". Wanita tadi meminta izin untuk ke dapur membuat minuman. Faiz pula hanya akur mengangguk.

Tidak lama kemudian wanita tadi datang kembali bersama dulang yang terisi dua buah cawan serta sepinggan kuih karipap. "Minum dulu Faiz. Ni ada karipap pagi tadi akak buat. Tak sangka pula Faiz nak datang, kebetulan sangatlah ni". Pelawa wanita itu.

Kelihatan dia seorang yang ramah serta lembut berkata-kata. Wajahnya juga putih bersih dan gayanya juga biasa sahaja. Hanya mengenakan tshirt berlengan panjang serta palazo dan bertudung bawal. Walaupun ringkas, namun terserlah kecantikannya.

"Susahkan akak je. Ni Faiz ada bawak buah tangan sikit untuk akak". Ujar Faiz sambil tangan kanannya menghulurkan sebuah beg kertas kepada wanita tersebut. "Apa ni?". Soal wanita itu sambil tangannya menyambut pemberian Faiz itu. Faiz hanya tersenyum saja. Jelas ketara perbezaan layanan Faiz terhadap wanita ini dan Riana.

"Ya Allah, cantiknya telekung ni. Buat susah Faiz je belikan akak semua ni. Terima kasih tau Faiz". Ucap wanita tersebut sambil tersenyum. "Tak susah pun kak. Bukan selalu". Jawab Faiz ringkas. "Lupa pula nak tanya, study kamu macam mana? Dah habis ke?". Soal wanita tersebut.

"Alhamdulillah everything done. Now Faiz tengah dalam usaha nak cari kerja dulu. Tapi itulah, tak sesenang yang difikirkan cari kerja ni kak". Keluh Faiz di hujung bicaranya. "Tak apa Faiz, akak faham. Akak sendiri pun tengah struggle nak cari kerja sekarang ni. Harapkan bussines jual nasi lemak tiap pagi tu, tak ke manalah hidup akak dengan Danish ni, Faiz". Wanita tersebut pula yang kini meluahkan perasaannya.

"Oh ya, Danish dekat mana? Senyap je dari tadi". Soal Faiz sambil matanya meliar melihat ke dalam rumah tersebut mencari Danish. "Danish baru je masuk tidur. Ni kalau dia tau Acu dia datang ni, maunya dia ikut Acu dia balik rumah". Kata wanita itu sambil dibalas tawa oleh Faiz.

"Tadi Kak Farah ada mention nak cari kerja kan? Abang tak bagi duit ke?". Soal Faiz kepada wanita yang dikenali sebagai Farah itu. Ya dialah Farah, isteri pertama Faiq atau lebih tepat lagi isteri rahsia yang mana tiada siapa pun mengetahui tentang hubungan mereka kecuali Faiz.

Farah yang tadinya berwajah ceria kini berubah sugul wajahnya. "Ada cuma jarang. Tapi tak apa, akak faham yang abang Faiq tu pun struggle dengan kerja dia". Jawab Farah lemah.

Mengimbau kembali detik bagaimana Faiq dan Farah boleh berkenalan sehingga akhirnya mereka berkahwin secara senyap-senyap. Semuanya berlaku disebabkan kesalahan Faiq sendiri.

Faiq dan Farah menuntut di universiti yang sama. Mereka berdua juga berada dalam satu kelas yang sama. Farah pula merupakan anak yatim piatu dan hanya tinggal sebatang kara. Dia hanya mempunyai seorang ibu saudara belah ibunya, yang membelanya selepas kematian ibu bapanya semasa umurnya 10 tahun.

Waktu itu, Faiq dan Farah tidaklah begitu rapat. Sebatas bertegur sebagai rakan sekelas sahaja. Namun dalam diam, Farah menyimpan perasaan terhadap Faiq namun tidak pernah sekali pun dia berhasrat untuk meluahkan perasaannya itu kerana baginya, mereka masih lagi belajar dan perlu mencapai cita-cita dan impian masing-masing.

Farah sering bercerita tentang perasaannya kepada seorang rakan baiknya, Isha. Isha lah yang setia mendengar semua cerita Farah tentang Faiq. Sehinggalah pada suatu hari, Isha tanpa sengaja telah terbocorkan rahsia Farah di hadapan Faiq. Tipulah jika Farah tidak kecewa dengan sikap Isha itu.

Faiq yang mengetahui hal sebenar cuba untuk tidak mengambil pusing tentang hal itu kerana dia tidak pernah sekali pun menyukai atau menyimpan perasaan terhadap Farah.

Namun malam itu telah mengubah hidup Farah sepenuhnya. Malam itu, Farah menerima panggilan telefon daripada Faiq untuk pertama kalinya. Awalnya Farah ragu-ragu untuk menjawab panggilan tersebut kerana dia masih lagi malu dengan Faiq.

Namun setelah beberapa kali Faiq menelefonnya, akhirnya Farah paksakan diri untuk mengangkat panggilan tersebut. Ketika itu, Faiq memintanya untuk datang ke rumah sewa Faiq kerana ada sedikit parti di rumahnya. Sudah pasti, Farah menolak mentah-mentah pelawaan Faiq itu.

Namun Faiq tetap memujuknya dan memberitahu bahawa semua rakan sekelas mereka turut berada di sini termasuklah Isha. Farah tanpa berfikir panjang lantas bergegas ke rumah Faiq dengan menaiki teksi.

Setibanya di sana, rumah sewa Faiq sunyi dan langsung tidak melihat kelibat sesiapa pun. Farah kesal kerana merasa telah ditipu oleh Faiq. Baru sahaja dia mahu melangkah pergi, Faiq dari dalam rumahnya memanggil Farah untuk masuk.

Faiq memberitahu bahawa mereka semua akan tiba sebentar lagi. Jadi dia meminta Farah untuk duduk sebentar di ruang tamu rumah tersebut. Farah sudah sedikit ragu melihat perlakuan Faiq itu. Mana tidaknya, dia menghidu bau alkohol pada Faiq. Masakan Faiq mabuk? Farah cuba untuk menyedapkan hatinya sendiri dan duduk di ruang tamu tersebut dengan pintu yang terbuka.

Tangannya pantas menaip mesej kepada Isha meminta untuk dia segera datang ke sini. Namun tindakannya itu gagal kerana Faiq pantas merentap telefon bimbitnya dan mencampakkannya ke lantai. Pintu rumah lantas ditutup dan semua lampu juga dimatikan.

Sewaktu itu, Farah mencuba sedaya upaya untuk melarikan diri kerana dia tahu apa yang cuba dilakukan oleh Faiq. Namun dia tidak terdaya kerana tenaga Faiq terlalu kuat dengan menekap mulutnya. Malam itu juga, kehormatan dirinya dirampas oleh Faiq.

Faiq yang akhirnya menyedari perkara itu berasa begitu bersalah dengan apa yang dilakukannya terhadap Farah. Semuanya berlaku tanpa sengaja. Dia mabuk sewaktu itu sehingga melakukan perkara bodoh tersebut.

Dia meminta Farah untuk merahsiakan hal ini. Farah yang ketika itu berasa takut dan trauma segera meninggalkan kediaman Faiq. Sepanjang perjalanan balik, dia hanya menangis mengingat semua yang terjadi malam semalam. Farah hanya membisu apabila ditanya oleh ibu saudaranya ke mana dia pergi malam semalam.

Sebulan kemudian, Farah disahkan mengandung dan tentu sahaja perkara ini membuatkan dunia Farah terasa begitu gelap. Berhari-hari dia tidak datang kelas kerana rasa takut, trauma dan risau yang melampau sehingga membuatkan dia jatuh sakit.

Akhirnya segala terbongkar, Farah akhirnya bercerita juga tentang hal sebenar kepada ibu saudaranya itu dan meminta Faiq untuk bertanggungjawab. Faiq bersetuju untuk bertanggungjawab dan menikahi Farah secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ahli keluarganya yang lain termasuklah ibu bapanya juga. Hanya Faiz yang diberitahu tentang hal ini pada ketika itu.

Selepas perkahwinannya, Farah terpaksa berhenti belajar kerana tidak mahu ada yang tahu tentang keadaan dirinya yang sedang mengandung ketika itu. Tidak lama selepas itu, Farah telah pun melahirkan seorang anak lelaki yakni Danish.

Kejadian hitam itu membuatkan Farah terpaksa melupakan semua cita-citanya dan dia berasa amat kecewa terhadap Faiq. Namun lama kelamaan Farah cuba untuk ikhlaskan segalanya dan fokus membesarkan Danish yang kini sudah berusia 4 tahun.

Namun kehidupan rumah tangganya tidak begitu bahagia kerana Faiq sering memarahinya, jarang balik ke rumah sewa mereka, jarang memberi nafkah buat mereka berdua. Faiq sepertinya tidak ikhlas dengan perkahwinan ini walhal hal ini disebabkan oleh dirinya sendiri.

Namun Farah tetap terus bersabar tambahan pula dengan cahaya mata mereka berdua yakni Danish, Farah harus bertabah dengan sikap dingin Faiq itu dan berharap suatu hari nanti Faiq akan berubah.

"Sebenarnya tujuan Faiz datang sini ada yang Faiz nak bagi tau". Ujar Faiz memulakan bicaranya. "Apa dia?". Soal Farah berdebar. Tampak seperti ada sesuatu perkara yang besar ingin disampaikan oleh Faiz. Tambahan pula sejak kebelakangan ini, Farah sering merasa tidak sedap hati tanpa diketahui sebabnya.

"Tapi sebelum tu, Faiz nak tanya akak. Abang dah lama ke tak balik sini? Atau memang tak pernah balik langsung?". Soal Faiz. "Akak perasan sejak 5 atau 6 bulan ni abang dah jarang balik. Dalam sebulan mungkin 2 atau 3 kali saja balik sini. Itu pun sekejap". Jawab Farah jujur.

"Tapi akak faham abang kan sibuk kerja jadi akak taklah desak dia suruh balik sini hari-hari. Lagipun hubungan kami kan rahsia, parents dia pun tak tahu lagi. Mungkinlah dia tak nak parents dia syak kalau dia hari-hari balik sini". Sambung Farah lagi.

Faiz mengeluh kecil. Betapa lurusnya seorang Farah ini. Terlalu bersangka baik terhadap abangnya itu. "Akak tau tak yang sebenarnya abang dah kahwin lagi?". Soal Faiz berhati-hati. Farah terpempan sebentar mendengar persoalan Faiz tersebut.

"Apa maksud Faiz ni? Kahwin lagi?". Soal Farah seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Faiz itu. "Abang dah kahwin lagi 5 bulan lepas. Faiz dah agak dah, mesti dia tak bagi tau akak pun pasal ni". Ujar Faiz kesal. Farah menggelengkan kepalanya perlahan. Dia memang tidak silap dengar kan?

"Tapi kenapa Faiz? Kenapa abang tak bagi tau akak pun pasal hal ni? Kenapa abang buat akak macam ni?". Soal Farah bertalu-talu sambil air matanya mulai turun membasahi pipinya. Faiz hanya menggelengkan kepalanya tanda tiada jawapan untuk persoalan Farah itu.

"Faiz pun tak tau kak. Awalnya Faiz pun tak tau yang abang ada hubungan dengan perempuan tu masa dia orang study. Faiz tau pun bila dia orang dah nak nikah. Faiz betul-betul minta maaf ye kak". Pujuk Faiz. Dia berasa bersalah memberitahu perkara ini kepada Farah namun dia tetap harus lakukan itu. Dia tidak mahu Farah terus dibohongi oleh abangnya.

"Apa salah akak ni Faiz? Selama ni abang jarang balik sini, akak sikit pun tak pernah tanya dia. Akak cuba untuk jadi isteri yang terbaik untuk dia. Akak cuba sedaya mampu akak untuk ikhlaskan semua yang dah jadi pada akak semata-mata untuk kebahagiaan kami, tapi ni yang akak dapat?". Luah Farah dengan esakan halusnya.

Hatinya begitu sakit mendengar kata-kata Faiz itu. Sudahlah dia tinggal sebatang kara, ditambah pula dia mangsa keadaan kini dia perlu menerima bahawa dia telah diduakan oleh satu-satunya sandarannya?

Selepas melahirkan Danish dahulu, Farah pernah meminta agar dirinya diceraikan supaya Faiq tidak perlu memaksa dirinya untuk mencintai Farah. Namun Faiq menolak dan tetap ingin bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan.

Namun kini, inikah yang dikatakan tanggungjawab? Dalam diam-diam telah berkahwin baru tanpa izin daripada dirinya sebagai isteri pertama? Di mana letak dirinya di dalam hati Faiq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience