Hujung minggu itu, Riana dan Adya berjumpa di sebuah kompleks membeli belah. Sejak berkahwin, Riana belum sempat untuk berjumpa dengan Adya disebabkan kesibukkannya sebagai seorang pekerja serta seorang isteri. Tambahan pula dia masih tinggal bersama keluarga mertuanya, jadi pada waktu cuti dia perlu menolong ibu mertuanya itu membersihkan rumah sedikit.
Namun Riana sedikit lega kerana akhirnya dia dan Faiq telah menemui sebuah rumah teres sewa yang terletak tidak jauh daripada tempat kerjanya. Rumah sewa tersebut juga tidaklah jauh daripada rumah keluarga Faiq. Jadi mereka berdua tetap dapat melawat keluarga mertuanya itu sekali sekala. Jika tiada aral melintang, minggu hadapan mereka sudah boleh mulai pindah masuk ke rumah baru mereka.
"Macam mana dengan housemate kau sekarang? Semua okey tak? Soal Riana sambil dia membeli barangan dapur yang sudah habis. "Okey je, tapi tulah aku masih susah nak bina chemistry dengan dia orang". Keluh Adya. Begitulah dia apabila baru berkenalan dengan orang baru, perlu ambil masa untuk beramah mesra dengan mereka.
"Takpelah slow-slow nanti kau okeylah tu. Tapi semua memang okey tak? Rajin macam aku dulu tak?". Soal Riana seraya dia tertawa kecil. Angkat bakul sendiri nampak.
"Semua memang okey. Dia orang pun baik aje dengan aku selaku senior dekat situ, ceh!". Seloroh Adya. Selepas Riana keluar dari rumah tersebut, ada dua orang gadis yang memasuki rumah tersebut. Menurut Adya, dua orang rakan serumahnya itu tidak bekerja di office yang sama dengan Adya.
"Lupa nak tanya, kau sekarang pergi kerja naik apa? Maklumlah your private driver ni dah bersara kan". Soal Riana apabila mengenangkan Adya yang dulunya sering menumpang keretanya untuk ke tempat kerja. "Aku sekarang hari-hari naik teksi pakcik yang tinggal selang berapa rumah situ. Lepas je kau pindah memang aku serabut juga fikir nak naik apa pergi kerja. Kalau naik public transport, maunya aku kena bersiap sejak 6 pagi weh. Tapi nasib baik aku jumpa pakcik tu, jadi aku sekarang dah jadi customer tetap dialah pergi dan balik hehehe" Jawab Adya panjang lebar.
Riana yang mendengarnya juga turut lega apabila Adya tidak perlu bersusah payah menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerjanya. Sebenarnya dulu Riana pernah merancang untuk menghantar jemput Adya seperti biasa, namun apabila mengenangkan jarak rumah mertuanya dengan rumah sewa Adya, Riana mematikan niatnya itu. Memang jauh habis!
"Tapi kau jangan risau, Adya's license in the making". Sambung Adya penuh bangga. "Kau nak ambik lesen ke? Dah habis belajar ke belum?". Soal Riana bertalu-talu kerana gembira yang Adya bakal mempunyai lesennya sendiri tidak lama lagi.
"Dah nak habis belajar. Lepas ni tinggal tunggu test je. Nervous betul rasanya. Doakan aku tau". Jawab Adya sambil menunjukkan riak wajah yang sedikit berdebar. Dia sebenarnya tidak menyangka akan sampai ke tahap ini yakni bakal memegang lesen memandu sendiri. Memang sudah sampai masanya untuk dia memiliki lesen memandu sendiri. Umur dah nak masuk 30-an dah pun.
"Of course! Kau tak payah suruh pun mesti aku akan sentiasa doakan kau Adya. Nanti roger tau bila tarikh test kau". Jawab Riana sambil tersenyum. Adya hanya mengangguk sambil menunjukkan jari tanda bagus. Mereka sudah selesai memberi barang keperluan masing-masing dan kini bergerak untuk mencari makanan pula. Perut masing-masing mula berbunyi mendendangkan lagu keroncong.
Makanan yang dipesan pun tiba dan kini mereka berdua mula menjamu selera. "Riana, kau pulak macam mana sekarang kehidupan selepas berumah tangga ni? Faiq tu, sweet tak?". Soal Adya sambil diselangi dengan usikan nakalnya.
"Alhamdulillah semua okey je. Biasalah ada ups and down tapi aku dan Faiq memang okey. Faiq pun selalu memahami aku dan dia juga tak pernah tinggi suara ke aku buat masa sekarang ni. Pokok pangkalnya, aku bersyukur". Jawab Riana tenang.
Sudah memasuki hampir dua bulan usia pernikahan mereka dan Faiq memang seorang suami yang bertanggungjawab dan boleh diharap. Riana terfikir, betapa bertuah dirinya mendapatkan Faiq Ilman sebagai suaminya.
"Alhamdulillah, aku pun tumpang happy dengar kau. Kau dah pindah rumah baru ke belum sekarang ni?". Soal Adya. "Belum lagi. Kemungkinan minggu depan kita orang dah boleh pindah masuk. Tak sabar aku nak deco rumah aku nanti tu". Ujar Riana bernada teruja memikirkan dia boleh menghias rumah mereka nanti mengikut seleranya.
Tapi ada sesuatu yang sebenarnya agak menganggu dirinya berkenaan keluarga mertuanya itu. Ini tidak lain tidak bukan berkaita dengan Faiz, adik Faiq yang sehingga kini masih lagi bersikap dingin terhadap dirinya.
Sehingga sekarang dia masih buntu untuk mencari sebab mengapa Faiz seolah-olah tidak menyukai kehadirannya ke dalam keluarga Faiq sedangkan mereka tidak pernah sekalipun bertemu sebelum ini. Bukan Riana tidak berusaha untuk memulakan komunikasi dengan Faiz, namun hanya reaksi dingin yang didapati.
Faiz sering menunjukkan riak wajah yang tidak menyenangkan terhadap Riana. Terkadang dia juga sengaja mengutuk Riana secara berdepan dengan mengatakan Riana ini hanya tetamu yang tak diundang. Tipu jika Riana tidak terasa hati, namun dia cuba untuk menutupi semua itu dan berbaik sangka jika Faiz susah hendak menyesuaikan diri dengan orang baru seperti dirinya.
Faiq juga mengetahui tentang hal ini dan telah beberapa kali menegur tentang sikap adiknya itu. Tetapi entah mengapa, Faiz yang biasanya seorang anak dan adik yang taat, menjadi seorang yang suka melawan apabila abangnya menyuruhnya lebih menghormati dan menjaga perasaan Riana.
Riana masih ingat dengan jelas lagi bagaimana Faiq cuba menegur adik lelaki nya itu, tetapi Faiz tidak menerima teguran Faiq itu dan memarahi abangnya kembali. Faiq yang malas hendak bertekak dengan adiknya, lantas keluar dari biliknya dan pintu bilik tersebut dihempas kuat oleh Faiz sendiri. Mendongkol hatinya ditegur abangnya sendiri kerana orang luar tersebut.
"Nanti kalau kau dah pindah masuk, jangan lupa buat makan-makan. Paling penting jangan lupa jemput aku hehe". Ujar Adya diselingi dengan tawa kecil dan dibalas tawa juga oleh Riana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Matahari pun sudah terpacak hampir tegak namun Mellina masih lagi terbaring di katilnya. Hari ini cuti hujung minggu dan rancangannya petang nanti dia hendak bertemu dengan Daim untuk menikmati makan malam di sebuah hotel lima bintang di ibu kota.
Namun kini Mellina merasakan badannya begitu lemah sehingga dia tidak boleh begitu banyak bergerak. Kepalanya terasa begitu berat dan dia juga merasakan seperti suhu badannya mulai meningkat.
'Aduh demamlah ni', getusnya sendiri.
Iphone miliknya yang berada di sebelahnya tiba-tiba berdering tanda ada panggilan masuk. Tertera nama Daim memanggilnya. Pantas dia menjawab panggilan tersebut sambil cuba untuk gagahkan diri supaya tidak kedengaran yang dia sebenarnya tidak sihat.
"Hai sayang. Awalnya call I harini. Rindu ke?". Soal Mellina mencuba untuk membuat nada ceria. "Hai sayang. You tanya I rindu? Bila je masa I tak rindu you hm?". Jawab Daim lembut. Mellina yang mendengar mulai tersipu-sipu malu.
"Mel, actually I ada benda nak bagitau you. Malam ni dinner date kita postponed dulu ya? Sebab now I tengah on the way to airport kena pergi Singapore. Ada urgent meeting yang I kena handle. Maybe esok or lusa I balik". Terang Daim.
Pagi tadi dia menerima panggilan daripada cawangan Singapore yang mereka mengalami sedikit masalah teknikal dan Daim selaku CEO di Yusran Berhad perlu menghadiri mesyuarat tersebut.
"Sorry tau Mel? You tak apa kan?". Soal Daim lagi apabila tidak mendengar suara Mellina. Bimbang juga sekiranya Mellina bakal merajuk. "Eh takpe. I okey je. I faham, urusan kerja you lagi penting and memang you kena settlekan as soon as possible kan? Takpe sayang, take care tau". Jawab Mellina lembut. Ada baiknya juga dia tidak jadi bertemu dengan Daim memandangkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
"Tapi you memang okey kan, Mel? Sebab I dengar suara you macam something wrong. You tak sihat ke?". Soal Daim curiga. Mellina sedikit tersentak. Begitu ketarakah suaranya pada pendengaran Daim? Walhal dia sudah sedaya upaya untuk membuat nada suara biasanya.
"I okeylah Daim. You tak payahlah risau. Maybe sebab cuaca yang tak menentu sekarang ni, tekak I sakit sikit. But don't worry sebab I dah makan ubat dah pun". Dalih Mellina supaya Daim tidak risaukan tentang dirinya.
"Now you just have to focus on your work okey? Settlekan apa yang patut, lepas tu nanti you balik sini kita boleh jumpa". Sambung Mellina pantas supaya Daim tidak terus menerus mempersoalkan tentang nada suaranya yang berbeza dari kebiasaannya.
"Okey sayang. You tu, take care tau. I love you". Jawab Daim dan dibalas Mellina, "I love you too sayang", sebelum panggilan telefon dimatikan oleh kedua-dua pihak. Mellina meletakkan kembali telefonnya di tepinya. Badannya terasa makin lemah dan kepalanya juga kian berat.
Pintu biliknya diketuk daripada luar. Mellina sudah boleh mengagak siapa gerangan yang mengetuk pintunya itu. Sudah pasti itu adalah Puan Haida, ibunya.
Puan Haida lantas membuka pintu bilik anaknya dan melihat Mellina masih lagi terbaring di atas katilnya. Hatinya mulai merasa tidak sedap. Dia tahu anaknya itu bukan seorang yang sering lambat bangun tapi berbeza pula dia pada hari itu.
"Mel, belum bangun lagi ke? Ni matahari dah nak terpacak, takkan masih nak sambung mimpi lagi?". Soal Puan Haida. "Kejap lagi Mel bangunlah. Mak jangan kacau orang boleh tak?". Jawab Mellina lemah. Puan Haida tidak menghiraukan kata-kata Mellina tu, lantas mendekati Mellina dan memegang dahi anaknya itu. Panas mengalahkan cerek elektrik.
"Kamu demam ni Mel. Jom pergi klinik". Ajak Puan Haida yang mulai bimbang akan keadaan anaknya itu. Wajah Mellina juga pucat. "Orang taknaklah. Kejap lagi okeylah ni". Tolak Mellina. Pergi ke klinik adalah perkara yang melecehkan baginya.
"Habis tu macam mana nak baiknya demam kamu ni kalau taknak pergi klinik? Dahlah tu Mel, jangan degil boleh tak?". Pujuk Puan Haida lagi tanpa berputus asa. Mellina mulai mengeluh.
"Mel cakap, Mel tak nak, Mel tak naklah. Mak ni kenapa tak faham ek? Dahlah mak, keluarlah. Mel nak rehat ni!". Bentak Mel bernada sedikit lemah namun cukup mengguris perasaan Puan Haida. Di mana letak dirinya sebagai seorang ibu dalam hati Mellina?
"Takpelah. Dah kamu degil sangat kan, tak nak pergi klinik. Nanti mak belikan ubat untuk kamu. Kamu rehatlah dulu. Jap lagi mak hantar makanan ke kamu". Ujar Puan Haida bernada lirih. Walaupun dia seorang yang tegas, namun ada masanya dia juga boleh terasa dengan kata-kata Mellina. Walau bagaimanapun, Puan Haida masih tetap mengambil berat tentang Mellina. Mellina sahajalah hidupnya buat masa ini.
Mellina pula tidak menjawab sebarang kata. Hanya diam sambil berselubung di sebalik selimutnya. Suasana dirasakan sejuk saat ini walhal cuaca di luar agak panas terik. Mellina memejamkan matanya dengan harapan rasa panas dari dalam badannya akan hilang.
Share this novel