Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Faiq dan Riana akhirnya telah disatukan sebagai pasangan suami isteri dengan sekali lafaz pada pagi tadi. Majlis belah Faiq juga telah selesai.
Mereka berdua kelihatan penat sahaja ketika sampai di rumah keluarga Faiq. Biasalah pengantin baru katakan. Riana terasa ingin cepat mandi bagi menyegarkan diri dan masuk tidur. Namun dia teringat yang dia sekarang adalah seorang isteri. Tidak mungkin terus masuk tidur begitu sahaja.
Selesai mandi, Riana mengenakan pijama satin berona ungu gelap dan tudung sarung. Dia masih perlu menjaga auratnya dengan ibu dan bapa mertuanya.
"Alhamdulillah, akhirnya sekarang Faiq dah lepas fasa menikah tu. Lepas ni Faiq dengan Riana kena sama-sama mengharungi bahtera rumah tangga ni ye. Apapun jadi kena hadapi bersama". Pesan Encik Syukri dalam kesyukuran kerana akhirnya Faiq telah pun mendirikan rumah tangga bersama wanita yang baik budi pekertinya.
Faiq dan Riana hanya tersenyum nipis sahaja mendengar pesanan Encik Syukri itu. "Lepas ni mama pun dah ke siap sedia nak jaga cucu pulak". Seloroh Puan Yasmin dan dibalas tawa oleh mereka semua. "Insha Allah ma, pa kita orang akan bagi cucu secepat yang mungkin". Jawab Faiq sambil tangan kanannya memeluk bahu Riana. Riana sedikit terpempan dengan tindakan Faiq itu kerana dia tidak pernah dipeluk oleh mana-mana lelaki dalam hidupnya kecuali bapanya sahaja.
"Faiq dan Riana mesti dah penat kan sekarang? Kamu berdua pergilah masuk tidur. Mama dengan papa pun dah penat juga". Suara Puan Yasmin memecah kesunyian di ruang tamu tersebut. "Faiq dengan Riana masuk bilik dulu ye ma, pa. Selamat malam, assalamualaikum". Pamit Faiq sambil tangannya kuat mengenggam tangan Riana menuju ke bilik mereka yang berada di tingkat atas.
Ketika tiba di bilik, Riana melabuhkan punggungnya di birai katil saiz 'king' itu. Faiq turut sama mengambil tempat duduk di sebelah Riana juga. "Tak sangka kan sayang sekarang kita dah sah jadi suami isteri". Ujar Faiq sambil matanya menatap langit malam yang ditaburi oleh bintang berserta bulan separuh melalui tingkap biliknya.
"Betul. Saya ingat dulu awak tak serius dengan saya". Jawab Riana. "Aip, Riana dah lupalah tu kita dah jadi suami isteri. Takkan masih nak guna awak saya tu??". Soal Faiq. Riana segera menekup mulutnya. Nampaknya dia terlupa lagi. "Sorry abang. Riana asyik lupa je. 'Happy' sangat punya pasallah ni". Jawabnya sambil tersengih.
"Tapi kenapa Riana ingat abang tak serius dulu? Riana nampak macam abang main-main ke?". Soal Faiq memfokuskan kepada pernyataan Riana tadi. "Bukan macam tu abang. Maksud Riana ni, dulu abang kan macam anggap Riana ni kawan je masa dekat universiti. So Riana tak sangkalah yang abang rupanya ada rasa yang sama juga dengan Riana". Jawab Riana panjang lebar.
"Mestilah abang serius. Riana ni first love abang tau". Jawab Faiq lantas dia mengambil tangan Riana dan dikucup sekejap. "Dah dekat bilik pun Riana masih nak pakai tudung ke?". Soal Faiq apabila melihat Riana masih lagi memakai tudungnya.
Riana juga baru menyedari yang dia belum membuka tudungnya lagi. "Riana masih belum biasa lagi nak buka tudung depan abang". Jawab Riana sambil mukanya mulai memerah kerana malu. Faiq semakin mendekatkan jarak antara mereka. Jantung Riana bertambah berdegup dengan lajunya.
"Tapi lepas ni Riana kena biasakan juga. Abang kan dah jadi suami Riana". Jawab Faiq separuh berbisik. Tangannya perlahan singgah di tudung Riana untuk membukanya. Perlahan-lahan tudung Riana dibuka. "Cantik". Ucap Faiq sebaik sahaja melihat Riana tanpa bertudung. Matanya tidak kalih daripada melihat wajah Riana itu.
Riana pula sudah mulai tersipu malu mendengar pujian Faiq itu. Jantungnya sudah mulai kembali bertenang kembali. Mungkin saat ini dirinya sudah bersedia sepenuhnya sebagai seorang isteri kepada Faiq Ilman
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mellina menyemburkan minyak wangi berjenama Victoria Secret itu. Petang itu dia sudah berjanji dengan Daim untuk keluar makan malam bersamanya. Mellina perlu memastikan dirinya sudah terlihat sempurna untuk makan malam bersama Daim, kekasih yang paling disayanginya itu. Entah sama ada sayangkan orangnya atau sayangkan hartanya.
Mellina menyandang 'clutch beg' Charles & Keith berona putih ke bahunya. Dia keluar dari biliknya lantas menutup pintu biliknya semula.
"Kau ni cuti pun memang tak reti duk rumah ek? Kerja asyik nak merayap aje". Kedengaran suara Puan Haida menegurnya yang sedang hendak keluar dari rumah. Mellina sudah mengeluh berat. Mulalah tu mak..
"Habis mak nak suruh Mel memerap dekat rumah ni dengan mak ke? Buat semak kepala otak jelah!". Jawab Mellina sambil nada suaranya naik seoktaf. Memang dia malas hendak melayan bebelan maknya itu.
"Lagi baik macam tu, daripada keluar dengan lelaki entah apa-apa tu!". Jawab Puan Haida tidak mahu mengalah. "Entah apa-apa mak cakap? Mak, Daim tu orang atasan dan dari keturunan yang baik-baik tau mak. Apa mak ingat, Mel ni ambik penyangak ke jadi boyfriend Mel?". Soal Mellina sambil membuntangkan matanya ke arah Puan Haida. Memang menempah jalan ke neraka budak Mel ni ....
"Kau keluar dengan pakaian macam tu ke? Macam tak cukup kain aje aku nengoknya". Luah Puan Haida sambil menilik tubuh badan anaknya itu. Mellina mengenakan dress ketat sendat separas atas lututnya tanpa lengan. Memang mengucaplah Puan Haida melihat penampilan anaknya itu.
"Eh dahlah mak. Kalau Mel layan mak ni, sampai esok pun Mel tak payah keluar tau!". Jawab Mellina sambil dia keluar dari rumah itu. "Balik jam berapa kau nanti?!". Soal Puan Haida apabila Mel sudah berada di luar rumah. "Entah! Lantak Mel lah nak balik jam berapa pun!". Jawabnya sambil pintu utama dihempas sekuat hatinya. Memang itulah senjatanya apabila dia bergaduh dengan maknya.
Puan Haida mengurut dadanya. Memang taubat nasuha dibuatnya apabila berhadapan dengan anaknya itu. Mellina memang sejak dulu lagi agak susah mendengar kata-katanya. Jika Puan Haida mengarahkan sesuatu, pasti ada sahaja yang akan dilawan oleh Mellina.
Namun, Puan Haida tidak menyalahkan Mellina 100% dalam hal ini. Mungkin punca Mellina jadi begitu disebabkan perceraiannya dengan suaminya. Mellina pasti merasakan keluarganya tidak lengkap dan bahagia seperti dulu yang membuatkan dia bersikap begitu brutal dan kasar.
Jauh di sudut hatinya, dia sentiasa berdoa buat kesejahteraan anak semata wayangnya itu. Dia juga berharap supaya Mellina akan berubah menjadi yang lebih pada masa akan datang dan diberikan jodoh yang mampu membimbingkan ke jalan yang diredhoiNya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Puan Haida menyusun sayur-sayuran di atas meja tersebut. Sesekali dia menyembur air ke atas sayur-sayuran tersebut supaya tetap terlihat segar. Itulah rutinnya setiap hari sejak 15 tahun yang lalu.
Walaupun gerai sayur ini bukan miliknya, namun majikannya itu sudah begitu mempercayai Puan Haida untuk menguruskan segalanya. Dengan hasil kerja inilah, Puan Haida membesarkan Mellina sehingga anaknya itu berjaya mengenggam segulung sijil diploma dan bekerja di sebuah syarikat yang agak terkenal.
"Amboi, jauh termenung Ida. Fikirkan apa tu?". Soal Pak Saad, jiran selang beberapa rumah darinya. Seketika Puan Haida tersedar dari lamunannya lantas menguntum senyum kepada Pak Saad, lelaki yang berumur lingkungan 50-an itu.
"Tak ada fikirkan apa pun bang. Abang nak beli sayur ke?". Soal Puan Haida ceria. "Taklah, aku turun pasar ni nak beli nasi lemak ni ha, buat sarapan. Biasalah orang bujang, tak ada siapa yang nak buatkan kita sarapan kan". Jawab Pak Saad berbaur nada kecewa. Mana taknya, walaupun usianya sudah menghampiri 60-an, namun dia masih belum bertemu jodohnya lagi. Apa yang dia boleh buat hanyalah pasrah sahaja dengan ketentuan Tuhan.
"Itulah abang. Saya dah selalu suruh abang carilah isteri biar boleh jaga abang selalu, boleh menua bersama abang. Tapi abang tu yang tak nak". Jawab Puan Haida sambil diiringi oleh tawa yang meletus daripada mereka.
"Ala abang ni dah tualah. Mana ada orang nak dah. Apa kata orang tu..? Dah expired dah ha". Jawab Pak Saad bersahaja sambil tertawa kecil. Puan Haida juga turut tertawa. "Kamu kenapa Haida? Tengok muka macam ada masalah aje". Soal Pak Saad ketika Puan Haida kembali menunjukkan wajah sedikit sugul.
"Tak ada apalah bang. Saya cuma terfikirkan anak saya, Mel tu je". Jawab Puan Haida sambil melepaskan keluhan kecil. "Kenapa dengan anak kamu tu?". Soal Pak Saad cuba menyelami hati Puan Haida. Dia tahu benar Mellina itu suka bergaduh dan mencari masalah dengan maknya itu. Puan Haida juga sering bercerita kepadanya mengenai kedegilan Mellina yang tidak pernah mahu mendengar kata-katanya.
"Saya ni dah penat tegur dia, jangan balik lambat selalu, jangan keluar dengan boyfriend dia tu selalu, tapi tak pernah sekali pun dia nak dengar apa saya cakap ni. Melawan lagi adalah". Luah Puan Haida kesal. "Saya bukan tak suka dia ada boyfriend tapi berpada-pada. Saya ada anak seorang tu je, saya risaulah apa-apa jadi dekat dia". Sambung Puan Haida lagi bernada sebak di hujungnya.
"Abang faham apa yang kamu alami ni. Abang memang tak nafikan, macam tulah sikap anak muda, fikirkan keseronokan dia je. Apa abang boleh cakap, kamu kena banyakkan bersabar menghadapi anak kamu tu. Kamu kena banyak berdoa supaya dia akan berubah suatu hari nanti". Panjang lebar Pak Saad cuba menenangkan hati Puan Haida yang gundah itu.
"Kalau doa tu, hampir setiap masa saya sentiasa doakan yang terbaik untuk anak saya tu, bang. Saya tak nak banyak pun, saya cuma nak dia berubah jadi baik, dengar kata saya". Jawab Puan Haida. Keluhan dilepaskan lagi sebagai tanda dia sebenarnya sudah terlalu lelah dalam menghadapi kedegilan Mellina itu.
"Maaf bang, tiba-tiba saya jadi bercerita pasal cerita sedih saya pulak dekat abang". Ujar Puan Haida apabila dia menyedari dia terlalu hanyut dalam kesedihannya tadi. Air mata yang bertakung di tubir matanya disapu cepat.
"Tak apa. Abang faham kamu memang susah hati kan tengok sikap anak kamu tu. Jangan pendam, apa saja masalah kamu, cerita je dengan abang. Insha Allah abang sudi dengar dan akan tolong mana yang mampu". Ujar Pak Saad sambil tersenyum nipis.
Jauh di sudut hatinya, dia sebenarnya bersimpati dengan nasib Puan Haida itu. Sudahlah dia bersusah payah membesarkan anaknya itu seorang diri. Kini apabila anaknya sudah besar, dia terpaksa menahan perit apabila anaknya itu selalu melawan kata-katanya.
"Terima kasih bang. Kalau tak ada abang, saya tak tahulah nak cerita ke siapa lagi". Ucap Puan Haida. Dia lega kerana dia dapat meluahkan isi hatinya kepada seseorang. Dia bersyukur kerana Pak Saad begitu prihatin kepada dirinya dan sering bertanyakan khabarnya. Nak harapkan anaknya itu yang bertanya, silap-silap sampai ajalnya menjemput pun dia takkan bertanya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari ini, adik lelaki Faiq akan pulang semula ke rumah setelah 3 tahun melanjutkan pelajarannya ke Australia. Dia hanya balik sesekali apabila cuti semester tiga minggu. Sekarang apabila sudah tamat pengajiannya, barulah dia dapat bersantai di rumahnya sementara mencari pekerjaan di sini.
Dalam diam juga, usia perkahwinan Faiq dan Riana sudah memasuki 1 bulan. Hubungan mereka semakin mesra dan erat. Mereka sangat bahagia sepanjang tempoh ini.
Petang itu, Faiq dan Riana sudah bersiap dengan rapi untuk menyambut kedatangan adik Faiq itu. Riana sendiri tidak pernah lagi berjumpa dengan adik iparnya itu memandangkan pada hari pernikahan itu adiknya itu tidak berada di Malaysia.
Buat masa sekarang, Faiq dan Riana masih menetap di rumah ibu dan bapa Faiq. Mereka sedang dalam proses untuk mencari rumah sewa baharu. Rumah sewa Riana yang lama pula sudah ada dua orang baru yang memasukinya bagi menemani Adya.
Encik Shukri dan Puan Yasmin yang menjemput Faiz dari lapangan terbang. Sementara itu, Faiq dan Riana pula membuat persiapan di rumah. Tidak lama kemudian, mereka berdua terdengar bunyi hon kereta berbunyi menandakan Encik Shukri telahpun tiba.
Faiq membukakan pintu buat mereka dan ya dia terus memeluk adiknya itu. Pelukan itu lama untuk melepaskan kerinduan terhadap adiknya itu. Setelah selesai berpelukan, Riana yang berada di sebelah Faiq menghulurkan senyuman kepada Faiz namun hampa kerana Faiz sekadar menjeling melihat Riana. Riana sedikit pelik tapi dia bersangka baik, mungkin Faiz kepenatan dengan tempoh penerbangan yang lama.
"Faiz, macam mana duduk tempat orang? Ada jumpa awek Aussie tak?". Soal Faiq sambil mengenyitkan matanya. "Banyaklah abang punya awek tu. Faiz pergi sana cari ilmu tau, bukan cari jodoh". Jawab Faiz sedikit bengang dengan persoalan abangnya itu. "Lagi pun Faiz ni masih citarasa dengan gadis Melayu je". Sambungnya lagi. Faiq tertawa kecil melihat adiknya itu.
"Ha Faiz, nilah isteri abang, Riana Suffiyah". Faiq memperkenalkan Riana yang sedari tadi berdiri di sebelahnya itu. Riana menghulurkan senyum lagi sekali. "Hmm". Itu sahaja yang terluah dari Faiz. Tiada senyum, tiada kata sapaan. Dari reaksi wajahnya kelihatan dia tidak menyukai dengan kehadiran Riana di situ.
"Aik nak borak depan pintu aje ke?". Soal Encik Shukri apabila mendapati anak-anaknya itu berbual di muka pintu. "Dah Faiz pergi mandi sekarang ni, segarkan dulu badan tu lepas tu kita makan tengahari sama-sama". Arah Puan Yasmin. Faiz lantas membawa masuk 'luggage bag'nya masuk ke biliknya untuk berehat sebentar.
Sebelum berlalu pergi, Faiz sempat menghadiahkan satu jelingan tajam kepada Riana membuatkan Riana semakin tidak sedap hati dengan perlakuan Faiz itu. Adakah Faiz tidak menyukai kehadirannya di situ? Kalau ya, kenapa? Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan Faiz, masakan Faiz tiba-tiba membenci dirinya?
Share this novel