Farah merenung jauh pada malam itu.
Angin malam itu pula sedikit sejuk. Dia duduk bersendirian di halaman rumah Mak Som sambil fikirannya melayang entah ke mana. Dia terfikir entah ke mana hala tujunya selepas ini.
Tak mungkin dia terus duduk di rumah Mak Som, tanpa pekerjaan pula. Dia perlu mencari kerja dan mencari rumah sewa buat dirinya dan Danish berlindung. Dia ada terfikir juga untuk kembali meniaga di sekitar kawasan situ, tapi dia juga perlukan modal untuk memulakannya semula.
Dia tahu, Mak Som memang tinggal bersendirian di rumah itu. Selepas pemergian arwah suaminya 15 tahun yang lalu dan pemergian anak tunggalnya 5 tahun yang lalu, Mak Som hanya tinggal bersendirian di rumah itu.
Mak Som menyara dirinya dengan bekerja di sebuah kantin sekolah di kampung itu. Sepulang dari tempat kerja, Mak Som biasanya akan mengambil upah menjahit pakaian. Namun sejak kebelakangan ini, tempahan untuk menjahit juga semakin berkurang.
Farah mengeluh kecil. Tidak mungkin dia akan menyusahkan Mak Som lagi, satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Dia akan menggunakan tulang empat keratnya untuk mencari rezeki dan memberikan kehidupan yang baik buat Danish.
"Jauh menung tu, Farah". Tegur Mak Som tatkala melihat Farah bersendirian di luar. Farah tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum. "Dah lewat malam, kamu tak tidur lagi ke?". Soal Mak Som.
"Belum mengantuk lagi, Mak Som. Danish yang dah tidur". Jawab Farah lembut. "Kamu termenung apa? Kamu ada masalah ke?". Soal Mak Som cuba menyelami isi hati Farah.
Farah mengeluh lagi. Entah berapa kali dia hendak mengeluh. "Tak ada apa pun. Cuma Farah terfikirkan masa depan". Jawab Farah santai. "Mak Som faham kamu sekarang mesti terfikir-fikir macam kan. Tambah-tambah lagi dengan perkara yang baru-baru jadi ni". Jawab Mak Som.
"Apa perancangan kamu selepas ini?". Soal Mak Som lagi. "Rancangnya Farah nak cari kerja, nak cari modal berniaga. Kalau boleh, Farah nak cari rumah sewa juga". Jawab Farah.
"Kenapa nak cari rumah sewa? Kamu tak suka duduk sini dengan Mak Som ke?". Soal Mak Som. "Bukan macam tu, Mak Som. Farah tak nak menyusahkan Mak Som lagi. Cukuplah, Farah dah banyak susahkan Mak Som. Farah kena hidup berdikari untuk besarkan Danish". Jawab Farah.
"Tak menyusahkan pun Farah. Kamu duduk je lah sini. Mak Som lagi suka. Kalau Mak Som duduk sorang, lagilah Mak Som teringat kat arwah Pak Mat dengan Arif". Jawab Mak Som sebak merujuk kepada arwah suami dan anaknya.
"Farah sebenarnya kagum dengan Mak Som sebab Mak Som kuat sangat. Kuat hadapi takdir. Kalau Farah kat tempat Mak Som, Farah tak kuat rasanya". Jawab Farah juga menahan sebak.
"Kita hidup ni perlu teruskan juga, Farah. Lumrah dalam kehidupan kita akan kehilangan seseorang yang kita yang kita sayang atau yang selalu ada dengan kita tapi kita tetap perlu kuat dan teruskan sisa hidup kita ni. Kalau tak kuat, mungkin setiap hari kita akan meratapi nasib". Nasihat Mak Som.
Farah mengangguk-angguk mendengar jawapan Mak Som. Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Mak Som. Seperti keadaan dirinya sekarang, walaupun telah berpisah dari Faiq, dia perlu meneruskan kehidupan. Tiada guna menyesali apa yang telah pun terjadi.
"Kamu nak meniaga apa? Nasi lemak dan kuih muih macam yang dulu kamu jual tu ke?". Soal Mak Som. "Rancangnya macam tulah Mak Som. Tapi Farah tengok, kat sini pun dah ramai orang jual nasi lemak dan kuih muih. Farah risau, yelah saingan banyak, nanti ada ya tak laku pula". Jawab Farah.
"Tak salah pun nak jual benda ya sama. Air tangan tak sama, betul tak?". Seloroh Mak Som. "Tapi apa kata kamu cari idea lain? Mungkin kamu boleh jual makanan yang tak dijual lagi kat kampung ni". Sambung Mak Som lagi.
Farah diam sejenak. Cuba mencerna idea Mak Som itu. Memang boleh untuknya menjual makanan lain, namun banyak aspek perlu diperhatikan. Dari segi modal, dari segi keuntungan. Lagi pula, Farah masih tidak mempunyai sebarang idea untuk menjual makanan lain selain daripada nasi lemak dan kuih muih.
"Hmm, boleh difikirkan nanti". Jawab Farah. "Macam mana perasaan kamu sekarang, Farah? Kamu baik-baik je ke?". Soal Mak Som. Dia tahu dari raut wajah Farah saja sudah menunjukkan dia banyak menyimpan cerita dan masalah.
"Macam tu lah, Mak Som. Kena sesuaikan diri jadi ibu tunggal sekarang ni". Jawab Farah tenang. "Faiq ada call kamu? Atau tanya khabar Danish?". Soal Mak Som. Farah menggelengkan kepalanya.
"Dia langsung tak call Farah selepas kami bercerai. Dah hampir sebulan pun, nafkah untuk Danish pun tak pernah lagi dia bagi". Jawab Farah. Mak Som menggeleng-gelengkan kepalanya tanda kecewa dengan sikap Faiq.
"Faiq, Faiq. Dia lupa ke kalau dia tu ada anak? Tak tanya khabar kamu, sekurang-kurangnya tanyalah khabar Danish tu. Danish tu anak dia juga, darah daging dia". Jawab Mak Som.
"Farah pun tak tahulah nak cakap apa lagi, Mak Som. Kalau dia tak nak beri nafkah pada Danish pun tak apalah, InshaAllah Farah boleh penuhi keperluan Danish". Jawab Farah. Dia redha andai Faiq memang tidak mahu bertanggungjawab.
"Kamu ni pun berlembut sangat. Nafkah tu kewajipan Faiq tau. Dia tak boleh abaikan macam tu je". Tegah Mak Som. "Tak apa, Mak Som. Lagi pun Farah rasa tenang begini. Tak perlu nak jumpa Faiq lagi. Cukuplah Farah dah terluka selama ni. Sekarang, biarlah Farah bawa diri dan tenangkan diri tanpa kehadiran Faiq lagi". Jawab Farah.
Mak Som mengangguk perlahan. Kalau begitu kata Farah, dia tak mungkin membantah lagi. Biarlah Farah hidup tenang bersama Danish sekarang. Biarlah luka di hatinya sembuh kembali seiring berlalunya waktu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Faiq menjengukkan sedikit kepalanya untuk melihat ke dalam pintu kaca di bangunan tersebut. Dia sedang menunggu kehadiran Riana yang keluar dari pejabatnya.
Dia mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya. 3 minit sebelum pukul 5 petang. Sebentar lagi Riana pasti keluar. Di tangannya juga dia membawa sejambak bunga mawar merah. Faiq tersenyum kecil melihat bunga yang dipegangnya itu.
Dia yakin, Riana pasti akan menyukainya. Tujuan dia datang ke situ pun untuk menyambung semula kasih yang terputus dengan Riana. Sekarang dia bukan lagi berstatus suami orang, jadi dia tahu Riana pasti akan menerimanya.
Tidak lama kemudian, kelibat Riana pun muncul. Mata Faiq bersinar-sinar tatkala melihat Riana yang sedang berjalan keluar dari bangunan tersebut. Walaupun ramai orang di situ, mata Faiq hanya tertumpu kepada Riana. Hanya dia seorang.
"Awak....". Panggil Faiq lembut sambil berdiri di hadapan Riana. Riana sedikit tersentak dengan kehadiran Faiq di situ. "Faiq? Awak buat apa kat sini?". Soal Riana sedikit bingung. "Saya nak jumpa awaklah. Ni, untuk awak orang yang istimewa". Jawab Faiq sambil menyuakan bunga mawar tadi kepada Riana.
Riana tidak terus mengambil bunga tersebut. Dia hanya memandang sepi sahaja bunga yang masih dipegang oleh Faiq itu. "Ambillah. Penat tau saya cari bunga sebenar dan segar untuk awak". Jawab Faiq cuba meraih simpati Riana.
Riana lambat-lambat mengambil tersebut daripada Faiq. Ikutkan hati dia tidak mahu mengambil bunga itu, namun dia sedar akan beberapa pasang mata yang sedang memerhatikan mereka.
"Terima kasih sebab sudi terima bunga dari abang". Ucap Faiq bersama senyuman. "Awak ada nak cakap apa-apa lagi ke?". Soal Riana lagi.
"Selain nak beri awak bunga, saya ada perkara nak bincang dengan awak". Luah Faiq. "Apa? Cakap jelah". Jawab Riana acuh tidak acuh. Dia berpura-pura melihat jam tangannya.
"Saya nak kita rujuk semula? Saya tak boleh lupakan awak langsung. Lepas kita bercerai, setiap hari saya teringatkan awak". Luah Faiq perlahan.
"Awak ni gila ke, Faiq? Awak lupa ke dengan isteri awak tu?". Soal Riana sinis. "Saya dah ceraikan dia. Sekarang saya bukan milik sesiapa pun. Awak je yang berhak memiliki saya". Jawab Faiq.
Riana mengerutkan dahinya. Lain benar sikap Faiq sekarang. Faiq kelihatan seperti seorang lelaki yang terdesak sangat. "Jadi, awak fikir lepas awak ceraikan isteri awak tu, saya akan kembali pada awak? Maaflah, tak semudah tu Faiq". Jawab Riana tegas.
"Awak bagi tahu je saya apa yang saya kena buat supaya awak boleh terima saya semula? Saya rindu dengan awak. Saya rindu dengan kenangan masa kita jadi suami isteri dulu. Saya rindu semua tu". Ujar Faiq sambil separa mengongoi.
"Saya tak minta pun awak buat apa-apa. Saya cuma berharap awak boleh lupakan saya dan mulakan hidup baru awak tanpa saya". Jawab Riana lagi.
"Tak. Tak mungkin saya akan lupakan awak. Awak cinta pertama saya, Riana. Tak mudah saya nak lenyapkan awak dari fikiran dan hati saya". Rayu Faiq tanpa putus asa.
"Cinta pertama? Tapi nyatanya saya bukan isteri pertama awak pun. Awak jadikan saya yang kedua juga. Awak jadikan saya seolah-olah saya perampas suami orang, awak tahu? Dahlah, tolong jangan ganggu saya lagi. Move on je lah, Faiq". Jelas Riana panjang lebar.
"Tak. Saya tak berniat nak jadikan awak macam tu. Saya hanya sayang awak seorang je. Saya tak sayangkan Farah pun. Tolonglah faham saya. Saya memang sayang awak sorang je. Saya tak boleh hidup tanpa awak". Faiq terus merayu mengharapkan simpati Riana.
"Cukup, Faiq. Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Kisah dah berakhir pun. Saya takkan terima awak sampai bila-bila pun. Tolong ingat tu dalam otak awak. Please jangan ganggu saya lagi. Jangan cari saya lagi. Dan..ni, ambillah". Jelas Riana sambil menyerahkan semula jambangam bunga tadi kepada Faiq.
Dia lantas membuka langkah meninggalkan Faiq yang hanya terdiam sepi memandang Riana berlalu pergi. "Awak!". Jerit Faiq namun tidak diendahkan lagi oleh Riana.
Riana terus laju mengatur langkah. Dia tidak memperdulikan pandangan orang sekeliling. Biarlah orang nak kata apa. Dia tidak boleh terus melayan Faiq di situ.
Faiq hanya mengekori Riana dengan pandangan matanya. Dia menundukkan kepalanya melihat lantai jubin berwarna putih. Riana benar-benar sudah keras hati terhadap dirinya. Begitu mudahkah untuk Riana melupakan semua kenangan mereka selama ini?
Faiq memandang sepi jambangan mawar yang dipegangnya. Dia lantas menuju ke rong sampah yang berada tidak jauh daripada situ dan membuang bunga tersebut ke situ.
Tiada guna dia menyimpan bunga itu. Dia lantas berlalu pergi dari situ bersama hati yang terluka.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Daim melihat parut di sikunya. Luka di sikunya telah pun kering namun luka di hatinya tidak kering lagi. Semuanya angkara Mellina.
Sehingga kini, dia masih lagi tidak habis fikir mengapa tergamak Mellina menipunya. Dia sayangkan Mellina. Malahan sehingga kini dia masih belum mampu untuk melupakan Mellina. Namun di sisi lain juga, seandainya dia mengetahui mengenai latar belakang Mellina, belum tentu dia mampu untuk menerima Mellina.
Sudah tentulah dia mencari gadis dalam kalangan kaya raya juga atau pun sekurang-kurangnya mempunyai latar belakang dari keluarga berada. Baginya, itu barulah sepadan untuk berganding bersamanya.
Otaknya juga tiba-tiba teringatkan Riana. Sehingga kini dia masih belum mengetahui nama wanita itu. Tetapi dia tidak sudi pun untuk mengetahui namanya kerana dia tahu benar jika Riana itu hanyalah dari golongan B40.
Tetapi dia hairan juga, mengapa Riana begitu beria ingin menolongnya tempoh hari? Dia sedar yang dia begitu lalj saat itu sehingga tidak peka akan keadaaan sekeliling. Namun dia tidak menyangka, Riana yang akan menyelamatkannya.
Dia terfikir juga bagaimana jika Riana tiada tempoh hari? Barang kali dia sudah menemui ajal atau pun sedang terbaring di hospital?
Dia teringat lagi perbualannya dengan mamanya, Puan Sri Ainnur tempoh hari.
'Kamu ni bukan budak kecil lagi, Daim. Kalau melintas jalan tu, cuba pandang kiri kana. Ni tidak, bergayut dengan telefon. Nasib baik ada yang selmatkan kamu'. Leter Puan Sri Ainnur sambil mencuci luka di siku Daim.
'By the way, siapa yang selamatkan Daim? Lelaki ke perempuan? Nama siapa? Kamu kenal dia tak? Mama rasa nak jumpa dia sebab mama terhutang budi dengan dia. Dia dah selamatkan kamu, Daim'. Sambung Puan Sri Ainnur lagi.
'Entah, Daim tak kenal pun tapi kalau Zariff mungkin kenal kot sebab dia tu kawan baik tunang Zariff. Apa? Mama nak jumpa dia? Tak payahlah mama. Dia bukan level-level kita'. Jawab Daim.
'Apa maksud kamu bukan level kita? Ni lah perangai Daim yang mama tak suka. Terlalu angkuh dan sombong dengan harta kita. Semua ni pinjaman je, Daim. Mama tak kira, mama nak jumpa dengan dia juga nanti'. Putus Puan Sri Ainnur.
Mama dan Zariff sama saja. Sama-sama suka memberi tarbiah kepada dia. Tak suka!
Share this novel