Faiq dan Faiz mengambil tempat duduk di sebuah bangku batu yang berada di taman rekreasi tersebut. Setelah lebih 2 tahun mereka berdua tidak bertemu dan saling bertegur, akhirnya hari ini Faiq mengajak Faiz untuk bertemu dan berjoging di taman rekreasi tersebut. Syukurnya, Faiz juga bersetuju untuk bertemu dengan abangnya itu.
"Penatlah, kita rehat dululah, Faiz". Ujar Faiq dan Faiz pula hanya akur. Mereka membuang rasa penat berjoging tadi. Hujung minggu begitu, ramai orang mengambil kesempatan untuk berjoging atau sekadar bersiar mengambil angin.
"Faiz, abang sebenarnya nak ucap terima kasih dekat kau sebab sudi juga jumpa abang hari ni. Kau pun tahulah betapa lamanya kita tak jumpa kan". Ujar Faiq setelah mereka berdiam untuk beberapa ketika.
"Dah sampai masa bang untuk kita jumpa semula macam dulu". Jawab Faiz tenang. "Abang nak minta maaf dekat kau atas apa saja yang abang pernah buat dulu. Abang tahu, abang tak sepatutnya bertindak ikut emosi. Abang terlalu ikutkan perasaan sampai lupa yang kau tu adik abang". Ucap Faiq dengan penuh rasa bersalahnya.
"Sampai bila-bila pun aku akan tetap ingat dengan apa yang aku dah buat dekat kau. Parut dekat perut kau mungkin boleh hilang, tapi parut dekat jiwa kau, susah nak hilang kan?". Sambung Faiq lagi.
"Tak apalah bang, benda dah berlaku pun. Aku pun minta maaf sebab ikutkan perasaan geram sangat sampai kantoikan kau. Sepatutnya aku boleh je ajak berbincang dengan kau tapi itulah, aku pun pilih cara macam tu. Aku pun salah". Jawab Faiz pula.
"Kau tak salah pun, Faiz. Apa yang kau buat tu sebenarnya betul sebab kau dah tarik diri aku daripada terus menipu Farah dan Riana. Kalau kau tak terfikir macam tu, mungkin aku masih lagi terus menipu dia orang". Ujar Faiq pula dengan nada kesal.
"Tak apalah bang, kita sama-sama muhasabah diri jelah. Faiz pun lega bila tengok kau dah makin berubah ke arah kebaikan. Cuma satu pesan aku, tolong jangan culas dengan tanggungjawab kau kepada Danish". Pesan Faiz.
"Faiz jangan risaulah, abang tak akan lupa dengan tanggungjawab yang satu tu. Terima kasih lagi sekali abang ucapkan sebab kembali percayakan abang". Ucap Faiq sambil merenung dalam mata adiknya itu.
Faiz sekadar menguntum sebaris senyuman sambil menepuk bahu abangnya. "Dahlah jom kita sambung balik. Nanti lagi penat kalau matahari dah naik". Ajak Faiz pula dan diakurkan saja oleh Faiq.
Faiq akhirnya tenang kerana pada akhirnya kekusutan ini telah berjaya diluruskan kembali. Papa dan mamanya pasti lebih gembira bila mengetahui mereka berdua telah berbaik dan memilih untuk berdamai.
Faiq juga sudah datang melawat Farah serta Danish. Bahkan sekarang dia kerap datang untuk meluangkan masa bersama Danish. Danish sendiri sudah memasuki tadika dan ada masanya Faiq akan menghantar dan menjemput Danish ke tadikanya.
Dia mulai sedar bahawa Danish merupakan tanggungjawabnya dan dia tidak akan pernah boleh lari daripada tanggungjawab itu. Walaupun sekarang kehidupan Farah sudah semakin baik oleh kerana perniagaanya yang semakin berkembang. Farah kini sudah mempunyai kedai sendiri dan juga sudah berjaya memiliki sebuah rumah sendiri, cukuplah untuk dia dan Danish berteduh.
Faiq sudah berjanji kepada dirinya untuk menjadi bapa yang berguna serta yang sentiasa ada buat Danish.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Riana menghirup nafas segar ketika dia mengambil tempat duduk di atas sebatang pokok di tepi pantai tersebut. Bibirnya mengukir senyum. Hatinya terasa lega kerana pada akhirnya semua masalah yang membelenggu hidupnya telah pun hilang.
"Jauh betul termenung tu. Fikirkan apalah tu". Tegur Daim dari arah belakang sambil mendukung anak mereka, Dariya Alisha.
Riana sekadar tersenyum sambil mengambil Dariya daripada pelukan Daim. "Awak ingat lagi tak tempat ni?". Soal Riana sengaja menduga Daim.
"Mestilah ingat. Tak mungkin saya lupa. Kat tempat inilah saya lamar awak walaupun sebenarnya masing-masing antara kita tak ada perasaan antara satu sama lain". Jawab Daim.
"Maaflah sebab dulu saya paksa awak kahwin dengan saya. Saya tak faham trauma awak, awak terlalu pentingkan diri, saya ego. Tapi bila saya fikir balik, bagus juga tindakan saya paksa awak kahwin". Sambung Daim lagi.
"Bagus macam mana tu?". Soal Riana ingin tahu. "Sebab saya boleh dapatkan perempuan sehebat awak. Awak tahu? Awak sebenarnya banyak mengubah saya tau. Memang saya akui, saya selalu cuba nafikan semua tu pada awalnya tapi pada akhirnya ya memang saya akui awak bawa pengaruh besar dalam hidup saya. Tak menyesal pun saya paksa awak kahwin dengan saya". Jawab Daim panjang lebar.
"Awak pun sama, Daim. Bila saya kenal awak, susah untuk saya katakan tidak dengan apa yang awak cakap. Kita seolah-olah ada sesuatu ikatan dari awal lagi. Mungkin itulah takdir kita". Luah Riana.
"Terima kasih awak sebab dah buatkan saya percaya semula yang cinta sejati itu wujud. Dulu saya pernah kehilangannya sebab ditipu macam tu je dengan Faiq tapi awak hadir, awak buatkan hari saya indah kembali. Terima kasih Daim". Ucap Riana sebak.
Daim lantas memaut bahu Riana. Kepala isterinya dikucup. "Saya akan sentiasa jaga awak dan Dariya, sayang. Koranglah kepentingan saya sekarang ni. Saya sayang awak sampai Jannah". Ucap Daim penuh ikhlas.
"Saya pun sayang awak sampai Jannah". Jawab Riana dengan senyuman mekar di bibirnya. Pandangan mata mereka bertaut buat seketika.
Akhirnya, mereka berdua dapat jua mengecapi kebahagiaan setelah perlu menghadapi pelbagai dugaan. Mengenai kesihatan Daim, Daim sudah pulih selepas berubat dengan ustaz yang datang ke rumah mereka tempoh hari. Dayyini pula masih lagi berada di hospital sakit jiwa dan terus mendapatkan rawatan di sana.
Riana tidak henti mengucapkan rasa syukur kerana akhirnya dia boleh hidup tenang bersama keluarga kecilnya. Diharapnya tiada lagi gangguan dari pihak luar yang cuba menganggu ketenteraman hatinya.
"Amboii bukan main sweet lagi you all berdua ya. Dah sekarang biar Dariya kami yang jaga, korang punya turn pula pergi tengokkan bbq kita tu". Suara Adya kedengaran memecah kesunyian.
Memang mereka berempat sedang berkelah sambil ber'bbq' untuk meluangkan masa bersama. "Kacau daun betullah dia ni! Orang baru nak dating". Jawab Riana berpura-pura mencemberutkan wajahnya.
"Bagilah chance kita orang pula dating. Nanti kejap lagi payah sikit nak dating, ada pula guard akan datang". Seloroh Adya sambil mengusap perutnya yang yang membukit itu dengan kehamilan menghampiri 9 bulan itu.
Mereka semua ketawa tatkala mendengar kata-kata Adya itu. "Haih yelah Adya oii. Baiklah, sekarang kami pula ya yang tengok bbq tu". Pamit Daim pula. Riana juga ikut serta bersama Daim.
Daim memeluk erat pinggang Riana sepanjang mereka berjalan ke arah tempat membakar bbq yang tidak jauh daripada mereka.
Riana terus tersenyum. Begitu juga Daim. Di sebalik ujian yang mereka perlu hadapi, ternyata ada sebuah kemanisan di hujungnya. Begitulah rupanya takdir cinta Riana yang berhujung dengan kemanisan itu....
-------------------TAMAT-----------------
maka tamatlah cerita ini. terima kasih kepada pembaca yang masih setia tunggu walaupun saya kadang menulis kadang tidak. nantikan novel lain yang akan saya publish pula tidak lama lagi :)
Share this novel