Keadaan dalam kereta BMW A6 senyap dan sunyi sedari tadi. Daim dan Riana bagaikan orang yang tidak saling mengenali, tiada langsung perbualan tercetus antara mereka.
Riana sendiri tidak menyangka Daim tiba di hadapan rumah sewanya tengahari tadi. Hujung minggu begitu, Riana biasanya hanya berada di rumah sahaja, merehatkan badan dan minda.
Namun alangkah terkejutnya dia melihat Daim tiba-tiba berada di hadapan rumah sewanya dan menyuruhnya segera bersiap. Bila ditanya hendak ke mana, Daim langsung tidak menjawab sebaliknya terus memaksa Riana untuk mengikutinya.
Jadi, Riana hanya bersiap ala kadarnya dan dengan penuh lemah kakinya mengikuti langkah Daim ke keretanya. Kini, sudah hampir sejam perjalanan namun Daim masih lagi tidak memberhentikan keretanya di mana-mana destinasi. Riana sendiri tidak tahu, Daim sebenarnya hendak ke mana.
"Awak nak culik saya ke mana sebenarnya ni? Jauh betul awak bawak saya!". Soal Riana memecah kesunyian. "Tak ingin aku culik kau. Kau diam jelah! Kejap lagi sampai". Bidas Daim yang membuatkan Riana kembali mengunci mulutnya.
Setelah satu jam lebih perjalanan, Daim membelok masuk ke kawasan pantai. Lantas dia memberhentikan keretanya di kawasan parkir di pantai tersebut, lalu turun dari kereta.
Riana pula masih terpinga-pinga melihat kawasan pantai. Mengapa Daim membawanya ke sini? Daim nak tolak dia masuk pantai ke? Tapi dah kenapa? Apa salahnya? 1001 persoalan terus muncul dalam benak fikirannya.
Riana lambat-lambat turun dari kereta. Dia melihat Daim sudah berjalan jauh darinya menuju ke pantai. Jauh betul pergi healing ni!
Riana sekadar berjalan menghampiri Daim. Sejak awal tadi lagi dia dapat mengagak yang Daim sedang dalam masalah. Wajahnya kelihatan kusut. Baru putus cinta barangkali.
Daim kemudian duduk di atas batu besar yang berada tidak jauh dari pantai tersebut. Dia beberapa kali melepaskan keluhan berat dan membuang pandangan ke arah pantai yang terbentang luas di hadapannya.
"Kau mesti pelik kenapa aku bawa kau pergi pantai kan?". Soal Daim. Riana sekadar berdiri dan memeluk tubuhnya. "Mestilah pelik! Random betullah awak ni. Nak broken, nak healing, tiba-tiba ajak saya pula. Entah apa kaitan dengan saya pun tak tahulah!". Bebel Riana.
Riana juga turut menikmati udara segar di pantai tersebut. Walaupun hujung minggu, pengunjung di situ tidak begitu ramai. Mungkin disebabkan kawasan pantai tersebut agak tersorok dan tidak ramai yang tahu.
"Rasa tenang je kan dapat duduk tepi pantai. Hirup udara segar, pergi jauh untuk sekejap dati bandar tu. Kalaulah masalah boleh dibawa terbang angin...." Ujar Daim bernada lirih. Kedengaran dia sepertinya menahan tangis.
Riana sudah sedikit hairan mendengar kata-kata Daim itu. Dia semakin yakin jika Daim memang sedang berdepan dengan masalah kerana dari gaya bicaranya saja sudah menunjukkannya.
"Awak ada masalah ke? Tak pernah lagi saya tengok awak bercakap penuh puitis macam ni". Ujar Riana. "Ya memang aku ada masalah". Jawab Daim singkat.
"Mama...sakit. Dia kena kanser ovari....". Meleret jawapan Daim sambil dia menundukkan kepalanya. "Ya Allah, aunty Ainnur sakit..?". Jawab Riana yang kaget mendengar pernyataan Daim itu.
"Aku tak tahu apa nak buat sekarang ni. Cuma apa yang aku boleh buat, aku kena penuhi apa saja impian mama". Daim mula bercerita. Riana hanya mengangguk perlahan tanda menyetujui kata-kata Daim itu.
"Kau tau apa salah satu impian mama ke aku? Dia nak sangat tengok aku kahwin dengan kau". Kata-kata Daim itu membuatkan Riana segera memandang tajam wajah Daim.
"Apa? Awak ni biar betul?". Soal Riana tidak mempercayai apa yang baru didengarinya. "Sebelumnya, aku nak bagi tahu kau supaya jangan perasan sangat aku nak kahwin dengan kau. Mama tu yang suka sangat dengan kau. Entah apalah yang dia tengok kat kau ni". Bidas Daim.
"Tapi sebab aku tak nak kecewakan mama dan aku nak bahagiakan dia, jadi..aku terpaksa bersetuju je untuk menikah dengan kau". Daim sengaja menekan suaranya di perkataan terpaksa tersebut. Sengaja dia mahu menyedarkan Riana yang semua ini bukan atas kemahuannya.
Riana hanya mendiamkan diri sahaja. Dia tidak terasa pun dengan kata-kata Daim itu kerana sedia maklum yang Daim seorang yang berlagak dan poyo.
"Awak boleh je bagi alasan kan dengan mama awak yang awak tak nak kahwin dengan saya. Tak perlu pun nak paksa keadaan". Jawab Riana. "Kalau kaulah, sanggup ke nak kecewakan hati mama di saat begini?". Soal Daim pula cuba menduga Riana.
"Kau jangan risau, perkahwinan kita takkan berkekalan lama pun. Sampai masa, kita akan bercerai. Yang penting, mama dah tengok kita menikah, itu saja. Kalau mama tanya kenapa kita cerai, then jawabnya tak ada jodoh antara kita, that's all". Sambung Daim lagi.
Riana sudah membuntangkan matanya. Begitu mudah Daim mengungkapkan kata cerai. Dia sekarang sudah begitu anti mendengar kata cerai itu sendiri.
"Senangnya awak cakap. Demi nak penuhi impian mama awak, awak nak hancurkan hidup saya?". Soal Riana dengan nafas yang mulai turun naik. Emosi dia jadinya. "Kenapa? Salah ke aku cakap? Lagi pun, setahu aku kau kan dah miss J, jadi apa salahnya kalau kau bercerai lagi sekali?". Sindir Daim.
"Awak jangan kurang ajar, Daim! Saya sedar status diri saya tapi itu tak bermakna awak boleh perlekehkan status saya. Apa awak ingat kahwin cerai ni suatu permainan ke?". Bidas Riana dengan nada yang mulai meninggi.
"Okeylah fine, sorry if kata-kata aku tadi dah buat kau terasa. Walau apapun jadi, kau kena kahwin dengan aku". Putus Daim tanpa bertanya jawapan Riana.
"Tak nak! Saya tak setuju dengan rancangan awak ni! Tak ada satu manusia pun yang nak berkahwin untuk bercerai. Jangan sebab nak penuhi impian mama awak, awak nak hancurkan hidup orang lain. Saya takkan setuju sampai bila-bila pun". Putus Riana tegas.
Dia tidak akan mengalah kali ini. Biarlah walaupun Daim tidak bertanya tentang keputusannya, yang penting dia tidak akan pernah bersetuju dengan cadangan Daim itu. Dia tidak akan mempertaruhkan kehidupannya.
"Aku tak tanya persetujuan kau. Aku dah putuskan yang kita tetap akan berkahwin. Rancangan aku akan berjalan dengan lancar". Jawab Daim juga tidak mahu mengalah.
"Saya nak balik! Sekarang!". Arah Riana tegas. Daim tidak mengendahkan Riana. Dia memandang ke arah pantai yang berada di hadapan matanya.
Riana yang terasa bengang dengan sikap Daim itu, lantas dia membuka langkah kakinya, berlalu dari situ. Dia ingin pulang sekarang juga. Tidak mahu terus berlama di situ bersama orang yang sering menyakiti hatinya.
Dia terus mengorak langkah untuk balik. Bagaimana cara dia hendak pulang, nantilah difikirkan. Yang pasti dia tidak mahu pulang bersama Daim.
"Kau nak pergi mana?". Soal Daim dari arah belakang ketika dia mula menyedari yang Riana semakin jauh meninggalkannya. "Kan saya cakap saya nak balik". Jawab Riana acuh tidak acuh.
"Kau nak balik dengan apa? Kan kau datang dengan aku tadi". Soal Daim. Riana tidak menjawab persoalan Daim itu sebaliknya meneruskan perjalanannya.
"Tunggulah! Okey fine jom balik. Takkan kau nak balik jalan kaki pulak? Nanti apa-apa jadi, aku jugak yang kena". Putus Daim. Dia segera mengejar Riana dan menarik tangan Riana.
Riana berusaha untuk melepaskan genggaman tangan Daim namun tenaga lelaki itu lebih kuat. Dia akhirnya terpaksa akur mengikuti langkah Daim menuju ke keretanya.
Di dalam kereta, Riana memeluk tubuh dengan mempamerkan wajah masam mencukanya. Dia terasa dipaksa oleh Daim. Dia langsung tiada kebebasan untuk bersuara bila di hadapan Daim.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Akak, apa khabar? Sihat? Danish sihat?". Bertalu-talu soalan dilontatkan oleh Faiz tatkala pertemuan mereka di perkarangan rumah Farah. Sudah cukup lama mereka tidak bersua muka. Kali terakhir berjumpa ketika Farah masih lagi menjadi isteri Faiq.
"Akak dan Danish sihat je, alhamdulillah. Faiz pula macam mana?". Soal Farah bersama senyuman nipis. "Faiz sihat. Maaf lama sangat Faiz menghilang, tak tanya khabar akak pun". Ucap Faiz.
"Tak apa Faiz, akak faham. Lagi pun Faiz kan sibuk kerja". Jawab Faiz. "Faiz bukan sibuk kerja sangat pun kak. Faiz lama menghilang sebab tengah Faiz nak ketenangan untuk seketika". Jawab Faiz.
"Faham. Sekarang, Faiz dah rasa tenang ke? Rasa lega sikit?". Soal Farah. Dia faham benar dengan maksud Faiz itu. Pasti Faiz ingin ketenangan selepas kejadian dia ditikam oleh Faiq.
"Alhamdulillah sekarang Faiz dah rasa tenang sikit. Sebab tu Faiz datang jumpa akak. Tapi sepanjang tempoh bertenang Faiz tu, tak pernah sekali Faiz lupakan akak dan Danish". Jawab Faiz.
"Faiz bukan saja sembuhkan luka kat perut ni, tapi Faiz juga cuba sembuhkan hati yang terluka sebab sikap abang. Faiz sendiri tak sangka abang sanggup buat macam ni ke adik sendiri". Sambung Faiz kesal.
"Akak faham perasaan Faiz tu. Faiz mesti rasa terkilan dengan sikap abang Faiq kan? Tapi Faiz pun kena faham yang abang tertekan sangat masa tu. Abang tak sengaja". Nasihat Farah.
"Sengaja atau tak itu bukan point nya. Masalah sekarang ni, dia dah tak boleh fikir ke yang Faiz ni adik dia? Sanggup dia buat hal macam tu? Susah Faiz nak lupa dan maafkan abang". Jawab Faiz. Hatinya masih lagi terluka dengan sikap abangnya.
"Jadi sampai sekarang, Faiz masih belum tengok abang dekat penjara?". Soal Farah berhati-hati, bimbang Faiz tersinggung. "Belum dan tak nak. Faiz takkan tengok dia. Biarlah apa nak jadi ke dia pun, Faiz tak kisah langsung!". Jawab Faiz.
Farah hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak menyangka Faiq akan berbuat sedemikian dan tidak mungkin dia akan memaksa Faiz untuk memaafkan abangnya. Semuanya pasti perlukan masa.
"Maaflah, jadi Faiz luahkan perasaan pulak. Akak..sekarang sewa dekat sini ke?". Soal Faiz menukar topik perbualan. "Ya, akak sewa sini sekarang. Tak adalah besar mana rumah ni tapi cukuplah untuk akak dan Danish berlindung kan?". Jawab Farah tenang.
"Kalau akak perlukan apa-apa, please inform Faiz ya? Jangan segan atau apa. Walaupun sekarang kita bukan lagi adik beradik ipar, tapi hubungan kita tetap akan terjalin selamanya". Jawab Faiz bersungguh-sungguh.
Farah hanya menganggukkan kepala. Dia tahu Faiz memang baik orangnya. Sejak awal perkahwinannya dengan Faiq dulu, Faiz yang lebih banyak membantunya berbanding Faiq. Dia tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa Faiz nanti.
"Tak apa, sekarang ni Faiz duduk kejap tau, akak buatkan air kejap. Sambil-sambil akak panggilkan Danish. Entah apalah dibuatnya kat dalam tu". Leter Farah sambil dia berlalu masuk ke dalam rumah.
Faiz hanya tersenyum kecil. Farah kelihatan lebih bahagia tanpa Faiq. Mungkin Farah telah pun redha akan segalanya sehinggakan dia terlihat begitu tenang dan bahagia.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sudah seminggu sejak Daim mengatakan rancangannya kepadanya tempoh hari. Riana jadi terfikirkan mengenai apa yang dikatakan oleh Daim.
Dia faham yang Daim memang ingin menggembirakan hati ibunya namun dalam masa itu akan menyakitkan hati Riana juga. Dia seperti dipaksa kahwin oleh orang yang tidak pernah dicintai.
Apatah lagi dia masih teringat penghinaan Daim mengenai status dirinya. Daim fikir, semua ini berlaku atas kemahuan dirinya kah? Bukan kemahuannya melihat rumahtangganya hancur dan bercerai, namun takdir sudah berkata begitu. Siapalah dia untuk menidakkan takdir.
Sekarang Daim pula mengajaknya berkahwin sedangkan dia tahu tiada langsung perasaan cinta antara mereka berdua. Malahan yang ada hanya api kebencian sahaja. Bagaimana mungmin dia ingin meruskan perkahwinannya dengan Daim jika dia tahu pada akhirnya dia yang akan merana jua?
Sedang dia mengelamun panjang, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi menandakan panggilan masuk. Dia lihat nombor yang tidak dikenali memanggilnya. Riana membiarkan panggilan tersebut berlalu begitu sahaja.
Tidak lama kemudian panggilan pun mati, namun telefonnya kembali berbunyi. Masih nombor yang sama memanggilnya. Riana rasa ragu-ragu untuk menjawabnya. Dia bimbang sekiranya itu panggilan daripada scammer.
Akhirnya Riana memberanikan diri untuk mengangkat panggilan tersebut. "Hello?". Riana bersuara perlahan. "Eh kau pergi mana ek, susah betul nak angkat call!". Kedengaran suara Daim dalam talian.
"Awak ke rupanya? Manalah saya tahu ni nombor awak. Saya bukannya pernah ada nombor awak pun". Bidas Riana pula. Tidak puas hati dia ketika dimarahi begitu oleh Daim. Banyak hensem muka dia!
"Fine! Aku pun baru ada nombor kau ni, minta dari kawan baik kau tu". Jawab Daim. Riana mengerutkan dahinya. Dah kenapalah Adya ni baik hati sungguh memberi nombornya kepada mamat poyo ni?
"Dah kenapa awak call saya ni? Ada benda penting sangat ke nak cakap?". Soal Riana sebal. "Ada, memang penting sangat. Esok pukul 10 pagi aku jemput kau, kita jumpa mama aku". Ujar Daim.
"Apa? Ish, tak naklah aku. Kenapa pula nak jumpa mama kau ni?". Tolak Riana. "Kita bincang pasal hari pernikahan kita. Aku tak nak tunggu lagi, kita kena nikah secepatnya. Esok kau stand by". Putus Daim lantas dia terus mematikan panggilan.
Sementara itu Riana pula terpinga-pinga dengan sikap Daim itu. Esok? Bincang pasal nikah?!
Share this novel